NADIA mencelikkan matanya daripada tidur. Dengan pandangan yang masih berbinar, dia segera melihat ke arah jam yang tergantung di dinding, tepat menghadap ke arahnya yang sedang terbaring di atas katil. Jarum jam tepat menunjukkan pukul tujuh.
“Ya Allah.. Aku terlewat solat subuh.” Nadia segera bangkit daripada pembaringannya. Baru sahaja mengalihkan kakinya menjejak lantai, Nadia kemudiannya mula teringat bahwa dirinya sedang datang bulan.
“Astaghfirullahalazim.. Nasib baik aku period..” Nadia sedikit merasa lega. Seketika kemudian dia baru teringat, semalam dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Malam tadi suaminya tidur di sebelahnya. Nadia segera berpaling ke katil tempat pembaringannya. Susuk Safwan sudah tidak berada di situ. Nadia termenung seketika. Masih cuba memikirkan kembali untuk mendapatkan kepastian bahawa dirinya benar-benar sudah berkahwin. Kini dia yakin sebelum tidur malam tadi, Safwan ada tidur di sebelahnya. Dia sememangnya sudah berkahwin. Nadia tiba-tiba menepuk dahi sambil menggelengkan kepalanya. Dirinya terasa seperti orang bodoh. Dia sebentar tadi sempat berfikir jika perkahwinannya semalam hanyalah satu mimpi.
Sambil duduk di hujung katil, Nadia termangu sendirian. Dia mula mengingati kejadian malam tadi. Safwan tertidur sebelum sempat dilayani olehnya. Nadia mula ragu, apakah dia sudah menjadi isteri derhaka kerana tidak melayan suaminya itu sebelum tidurnya? Ingatannya juga kembali kepada kejadian tengah malam tadi. Dalam keadaan samar dan suasana berbalam, Nadia sempat terjaga dari tidurnya dan dia melihat Safwan sedang melakukan solat.
“Dia bangun tahajud ke malam tadi?” Nadia bertanya kepada dirinya sendiri. Tanpa berlengah, gadis itu terus bangkit berdiri dan keluar dari bilik tidurnya. Di dapur, ibu dan kakak iparnya baru siap menyediakan sarapan pagi.
“Mak, abang tak balik lagi?” Nadia menyapa ibunya sambil bertanyakan tentang abangnya. Dia tahu rutin abangnya yang akan bersolat jemaah di pondok Ustaz Razali.
“Abang kau yang mana? Abang Farhan kau ke Abang Safwan laki kau?” Maryam pandai mengusik anaknya. Nadia terpempan seketika apabila diberikan soalan sebegitu oleh ibunya.
“Ish.. mak ni.. Abang Farhan la abang orang..” Nadia memuncungkan bibir mulutnya.
“Hormat suami kau.. Dia pun kau kena panggil abang.. Kalau kau nak panggil sayang pun suka hati kau la..” Maryam terus mengusik Nadia.
“Makk.. tak kuasa la orang nak bersayang-sayang ni.. Eeii.. gelilah..” Nadia cuba merajuk dengan usikan ibunya.
“Tak payah nak geli-geli.. Safwan tu laki kau.. Kau bini dia.. Hangpa dah halal dari hujung rambut sampai hujung kaki.” Maryam memberi teguran.
“Tak la.. Kan orang tanya elok-elok.. Abang tak balik lagi ke? Lagipun mereka berdua pun mesti pergi solat kat pondok sana kan.. Tak kisah la orang tanya abang mana pun.. Dua-dua pun sama je tempat tujuan dan rumah mereka..” Nadia menarik kerusi di meja makan untuk duduk di sebelah ibunya.
“Hmm.. ye la tu Nadia..” Maryam tersenyum selepas mengusik anak bongsunya itu sambil menuangkan air teh panas ke dalam cawan.
“Assalamualaikum..” Farhan dan Safwan muncul di muka pintu dapur rumah mereka sambil memberikan salam. Nadia yang tidak memakai tudung hampir bangkit untuk berlari mendapatkan tudung apabila melihat Safwan. Dia kemudian membetulkan kembali duduknya di kerusi apabila teringat lelaki itu sudah pun menjadi suaminya.
“Kau ni kenapa Nadia?” Maryam menegur apabila melihat Nadia yang kelam-kabut.
“Orang lupa nak pakai tudung.. Tapi lupa pula Safwan tu suami..” Nadia bersuara perlahan menjawab pertanyaan ibunya.
“La ilaha illallah.. Nadia..” Maryam tertawa apabila mendengar penjelasan anaknya itu. Nazirah yang berada berdekatan mereka berdua turut tertawa kecil dengan telatah adik iparnya itu.
“Kenapa mak? Sampai ketawa macam tu?” Farhan tertanya-tanya apabila melihat ibu dan isterinya yang sedang ketawa manakala Nadia pula sudah merona kemerahan mukanya kerana menahan malu.
“Adik kau ni la.. Dia lupa dia dah ada laki..” Maryam melanjutkan tawanya. Nadia yang malu diperlakukan begitu menepuk lembut lengan ibunya itu.
“Makkkk.. Jangan la macam tu.. malu orang.” Nadia berbisik kepada Maryam.
“Isshh.. apa nak malunya.. Bukan ada orang lain pun kat sini.. Ini Kak Ira kau.. Itu abang kau.. Itu laki kau.. Kau nak malu kat siapa?”
“Makkk…ishh..benci la..” Nadia merengek seperti anak kecil sambil menggoncangkan lengan ibunya yang masih tidak habis mengusiknya sejak dari tadi.
“Dah..isikan air teh tu kat abang dan suami kau.” Maryam mula mengarah. Nadia yang merajuk memuncungkan bibirnya namun arahan ibunya itu tetap dituruti dengan patuh. Nadia segera menuangkan air teh dari teko ke dalam dua cawan yang sudah terhidang lalu di hulurkan kepada Safwan dan Farhan yang baru duduk berhadapan dengannya di meja makan tersebut. Tidak lama kemudian, Nazirah menghidangkan mee goreng yang baru siap dimasak olehnya. Sambil menunggu Nadia mengambil pinggan, Farhan yang menghirup sedikit air teh panas dari cawan memandang ke arah Safwan yang duduk di sebelahnya.
“Sekejap lagi kau ke kebun Saf?”
“Ye la bang.. Kelmarin dah tak jual sayur-sayur tu.. hari ni kalau tak kutip, tak jual lagi, nanti rosak pulak.. Ayam dengan kambing tu pun, kelmarin nasib baik budak-budak pondok tu tolong beri makan.” Safwan menjawab pertanyaan Farhan sambil tersenyum.
“Itulah susah kalau menanam, bela binatang ni.. Tak boleh nak tinggal lama. Abang pun surrender.. Setakat ikan keli tu, tak bagi makan empat lima hari pun takpe lagi.. Cuma kurus je la ikan tu nanti..” Farhan teringat kembali kambingnya yang berpuluh ekor dulu habis dijualnya.
“Hmm.. buat la kerja apa pun.. Asalkan dapat rezeki yang halal dan berkat. Yang penting kena rajin usaha.. Kalau pasal masalah, halangan, apa kerja pun, semua ada masalah tersendiri..” Maryam mencelah perbualan anak lelaki dan menantunya itu.
“Ya mak..” Safwan masih tidak lekang dengan senyuman menganggukkan kepala apabila mendengar kata-kata ibu mentuanya.
“Betul juga kan.. Kalau kerja makan gaji pun, nanti susah juga nak dapat cuti.. Nak cuti pun kena apply dulu.. Nasib baik lulus, takpe la.. Kalau bos tak bagi lulus, hari raya pun tak boleh cuti.. Menangis kat tempat kerja.. Kerja sendiri ni, nak cuti bila-bila masa pun takpe.. Tapi tak masyukk je la hari tu.” Farhan melepaskan tawa seraya membenarkan kata-kata ibunya sebentar tadi. Mereka sekeluarga kemudian bersarapan dengan mee goreng yang siap diisi ke dalam pinggan oleh Nadia.
Selesai menikmati sarapan pagi pertama kalinya sejak bergelar suami, Safwan segera menuju ke kebun sayurnya selepas menukar pakaian. Walaupun baru menyelesaikan majlis perkahwinannya semalam, Safwan tetap meneruskan rutin hariannya sejak beberapa bulan lalu kerana tidak ingin sayur-sayuran dari kebunnya rosak kerana tidak di jual.
Selepas menyiram tanamannya, Safwan segera memetik sayur-sayuran yang sudah matang. Dia perlu bergegas mengejar masa memandangkan banyak tugas yang perlu dilakukan sebelum membuka gerai perniagaannya. Seketika kemudian, beberapa orang pelajar dari pondok Ustaz Razali baru memunculkan diri untuk membantu Safwan di kebunnya. Dia sedikit lega apabila melihat kehadiran para remaja tersebut. Walaupun mereka diberi upah, namun Safwan tidak pernah memaksa mereka untuk membantunya. Terpulang kepada mereka jika ingin membantu di kebunnya atau tidak memandangkan upah yang diberi oleh Safwan juga adalah secara harian setiap kali selepas bekerja. Safwan sedar tugas para remaja tersebut di sana adalah untuk belajar dan bukannya untuk mencari wang. Dia hanya sekadar ingin membantu memberi mereka wang saku jika mereka memerlukan.
Setelah hasil kebun dipetik dan dikumpulkan, mereka bersama-sama membantu Safwan membungkus dan mengikat sayur-sayuran tersebut dan segera meletakkan hasil kebun itu di gerabak yang dipasang pada belakang motosikal. Tanpa membuang masa, Safwan segera memacu motosikal yang ditunggangnya menuju ke arah simpang jalan besar, dimana terletaknya gerai perniagaan. Sesampainya Safwan di gerai, dia langsung tidak menduga Aisyah sudah menunggu di gerai tersebut.
“Saya ingat Aisyah tak keluar hari ni.. Syukurlah kalau Aisyah boleh bantu jaga gerai..” Safwan tersenyum menyapa gadis yang memakai purdah itu.
“Aisyah fikir, Safwan yang tak keluar.. Maklumlah, pengantin baru.. Tapi tadi Aisyah nampak Safwan duk kutip sayur kat kebun dengan budak-budak tu.. maknanya nak meniaga la tu.. sebab tu Aisyah datang sini terus.” Anak gadis Ustaz Razali itu membalas sapaan Safwan.
“Kalau ikutkan hati, memang taknak keluar lagi.. Tapi kelmarin dah tak meniaga.. Nanti rosak pula sayur-sayur ni duk biar lama-lama. Nak tak nak, kena la kerja juga.” Safwan ketawa kecil sambil mengangkut sayur-sayuran dari gerabak di motosikalnya dan di letakkan di atas meja pada gerai perniagaannya.
Aisyah yang tidak melanjutkan kata-katanya dengan segera menyusun sayur-sayuran yang di longgokkan oleh Safwan di atas meja. Setelah selesai meletakkan sebahagian sayuran di atas meja, Safwan berehat sebentar dan melihat ke arah sebahagian sayuran yang masih tersisa di dalam gerabak motosikalnya. Sebahagian yang ditinggalkan itu nanti akan dijaja oleh Safwan ke sekeliling kampung selain di jual kepada peniaga kedai makan.
‘Terima kasih Aisyah sebab sudi keluar tolong saya jagakan gerai ni.. Hari ni sayur banyak sikit sebab bercampur dengan hasil kelmarin yang tak dijual. Kalau tak jaja, nak harapkan jual kat gerai je, tak tau la dapat habiskan ke tak hari ni..” Safwan melihat Aisyah yang masih tekun menyusun sayur-sayuran di atas meja supaya terlihat menarik dan kemas.
“Kan dulu saya sendiri yang setuju untuk bantu awak jaga gerai ni.. Selagi takde masalah, saya akan keluar je.. Cuma saya minta maaf kalau ada masanya saya tak boleh keluar untuk jaga gerai ni..”
“Setiap orang ada masanya akan ada masalah.. ada masa sakit, ada masa perlukan rehat.. Takpe la kalau Aisyah tak boleh keluar pun kalau ada halangan. Saya faham je.. Takkan saya tak nak bagi Aisyah tolong saya pulak.. Saya sendiri je yang susah nanti.” Safwan melepaskan tawa.
“Hmm.. Saf..” kata-kata Aisyah tiba-tiba mati di situ dan tidak dihabiskan. Safwan yang kehairanan masih menunggu gadis itu untuk melanjutkan kata-katanya.
“Kenapa Aisyah?” Safwan terpaksa bersuara apabila Aisyah masih tidak menghabiskan ayatnya yang tergantung sebentar tadi.
“Hmm.. Aisyah.. Nak minta maaf.. Kerana Abang Azlan.. Aisyah tahu Safwan dan Nadia tak mungkin buat macam yang Abang Azlan katakan.. Aisyah minta maaf sebab Safwan dan Nadia menjadi mangsa fitnah dan Safwan terpaksa berkahwin untuk menutup aib kami..” Aisyah menundukkan pandangannya sambil berkata dengan perlahan dan suara yang tersekat-sekat.
“Sudah la Aisyah.. Benda dah lepas pun.. Yang lepas, biarkan je berlalu.. Yang penting bagaimana kita hadapi hidup untuk hari ini dan akan datang.. Lagipun Aisyah tak perlu minta maaf. Aisyah bukan ada buat apa-apa salah pun..” Safwan mengukirkan senyuman dengan ikhlas.
“Ya.. Aisyah tahu.. Aisyah cuma nak minta maaf bagi pihak Abang Azlan..”
“Takde apa la Aisyah.. Saya dah lama lupakan pasal tu.. tak payah fikir dah benda yang dah lepas..” Safwan mula meletakkan punggungnya di tempat duduk motosikal dan terus menghidupkan enjin motosikal tersebut. Tanpa menunggu lama, dia terus memulas minyak untuk meluncurkan motosikalnya dan memulakan aktiviti mejaja. Aisyah yang masih berdiri di tempatnya hanya mengiringi pemergian Safwan dengan pandangan matanya.
Share this novel