Bab 27

Romance Series 8087

TIGA hari berlalu. Safwan yang hidup bergelandangan selepas temannya ditangkap polis kembali hilang arah tujuannya dan tidak tahu caranya untuk dia kembali ke kampung halaman. Duitnya yang berbaki selepas membeli air minuman di stesen minyak tiga hari yang lepas sudah diguna oleh Safwan untuk membeli makanan terakhirnya kelmarin. Kini dia langsung tidak memiliki sebarang wang untuk mendapatkan makanan. Sejak semalam, dia menahan laparnya dan cuma bertahan hidup dengan meminum air paip di stesen minyak dan surau yang ditemuinya.

Safwan terus berjalan tanpa arah. Dia yang menemui sebuah pekan, asyik berlegar di sekeliling pekan tersebut. Cuaca yang panas terik pada hari itu membuatkan Safwan lemah dan kehausan. Perutnya yang berkeroncong meminta diisikan menjadikan fikirannya semakin hilang keupayaan mencari jalan mendapatkan makanan. Tidak lama kemudian, lelaki yang bergelandangan itu menghentikan langkah kakinya di hadapan deretan bangunan kedai.

Di seberang jalan, beberapa orang terlihat sedang beratur untuk membeli air dan pisang goreng dari sebuah gerai di tepi jalan. Aroma dari gorengan pisang itu menyebar di udara dan tersedut oleh hidung Safwan. Dia menelan liur sambil memejamkan mata. Aroma pisang goreng di endus sambil menarik dalam nafasnya dan fikiran Safwan mula berkhayal dia sedang memakan pisang gorengan yang enak.

Seketika kemudian khayalannya menghilang apabila perutnya berkeroncong dengan kuat. Safwan yang kecewa mula menghela nafas berat yang terkandung keluhan. Matanya tiba-tiba tertancap pada dua orang gadis yang sedang membeli air di gerai seberang jalan tersebut. Penglihatannya fokus kepada duit baki yang diterima oleh gadis itu dari peniaga gerai. Setelah menyimpan duit baki di dalam tas tangan, dua gadis itu mula beredar dan berjalan merentasi jalan di pekan tersebut.

Niat jahat mula timbul di benak Safwan. Dua gadis itu terlihat lemah dan mudah menjadi mangsa. Safwan yang sudah teramat lapar sudah hilang akal warasnya. Sekarang dia cuma memikirkan, dia perlu makan dan perutnya perlu di isi. Tanpa membuang masa, Safwan segera berjalan dan mengekori dua gadis terbabit. Dia tetap menjaga jaraknya dari sasaran agar tidak di curigai.

Di kawasan pekan tersebut, masih ramai orang yang lalu lalang. Safwan tahu keadaan tersebut akan menyukarkan rancangannya untuk merompak dua orang gadis berkenaan. Dia terus sabar mengekori sehinggalah dua orang gadis itu mula melencong memasuki satu jalan yang agak lengang. Tiada orang awam yang berlegar di kawasan tersebut melainkan beberapa biji kereta yang berada di atas jalan raya.

Safwan mula merencanakan tindakannya. Dia melihat satu lorong. Fikirnya, dia akan meragut tas gadis itu dan segera berlari memasuki lorong tersebut. Maka jika pengendara kereta melihat perbuatannya, mereka pun pasti tidak akan mampu untuk mengejarnya nanti. Perancangan yang sempurna pada fikiran Safwan.

Safwan mula mempercepatkan langkah kakinya untuk menghampiri dua gadis yang di ekorinya. Kurang dari dua puluh kaki lagi jaraknya dengan bakal mangsa, tiba-tiba sebuah motosikal yang di pandu laju menghala ke arah mereka dari arah yang bertentangan. Penunggang motosial itu dengan pantas meragut tas tangan salah seorang gadis tersebut dan meluncur ke arah Safwan untuk meninggalkan mangsanya.

Safwan terkejut kerana bakal mangsa ragutnya telah diragut terlebih dahulu oleh lain. Dia mula berfikir, peluangnya untuk mendapatkan makanan mulai hilang kerana tidak berjaya mendapatkan wang. Disebabkan geram dengan peragut yang cuba merampas rezekinya, Safwan segera menendang peragut bermotosikal itu sehingga menyebabkan peragut tersebut terbabas dan jatuh tergolek di atas jalan raya. Motosikal yang jatuh, terseret di atas jalan sebelum terhenti apabila melanggar penghadang jalan manakala penunggangnya yang meragut tadi mengalami luka akibat jatuh dan tergolek beberapa kali di atas jalan tar.

Safwan yang penuh geram berlari mendapatkan peragut tersebut dan memijak dada peragut yang sedang terbaring itu beberapa kali. Lelaki itu kemudian memijak tangan peragut tersebut dan menekan dada peragut dengan lutut sambil tangannya membuka pelindung yang menutup wajah peragut pada topi keledarnya.

Setelah wajah peragut terlihat, Safwan dengan sepenuh tenaga melepaskan penumbuk ke arah muka peragut tersebut. Beberapa kali tumbukan dilepaskan sehingga muka si peragut berlumuran darah. Selepas puas memberi pengajaran kepada si peragut, Safwan segera merampas kembali tas tangan dari tangan peragut tersebut. Orang ramai mula menghampiri tempat kejadian dan menangkap peragut tersebut. Safwan pula berjalan kembali menuju ke bahu jalan sambil membawa tas tangan yang di dapatkan semula olehnya dari si peragut.

"Terima kasih dah tolong saya dapatkan semula beg ni." Nadia mengambil tas tangannya dari pegangan Safwan. Gadis berlesung pipit dan berkulit putih itu tersenyum kepada Safwan yang telah menolongnya. Di sebelah gadis itu, Aisyah yang memakai purdah, menutupi wajahnya turut mengucapkan terima kasih kerana Safwan telah menolong sahabatnya. Safwan terkulat-kulat dan mendiamkan diri dan sebarang balasan. Dia sebenarnya cuba meragut gadis itu namun keadaan menjadi sebaliknya. Malah dia pula yang menjadi penyelamat yang menolong gadis tersebut daripada peragut.

"Saya tak tahu macam mana nak balas jasa baik awak ni.. Semoga Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan awak." Nadia memandang Safwan dengan penuh rasa syukur dan gembira. Safwan pula mengalihkan pandangannya ke arah peragut yang sudah lemah akibat dipukul olehnya dan kini dipegang oleh orang ramai untuk diserahkan kepada polis.

"Hmm.. boleh bagi saya duit? Saya lapar.." Safwan meluahkan permintaan sebagai balasan untuk pertolongannya. Pandangannya dijatuhkan ke tanah kerana malu meminta wang namun dia terpaksa juga meminta kerana tidak sanggup lagi menahan lapar. Nadia dan Aisyah terkejut mendengar permintaan lelaki yang sudah menjadi wira mereka sebentar tadi. Tanpa banyak bicara, Nadia segera membuka tas tangannya dan mengeluarkan sekeping not merah, sepuluh ringgit lalu di hulurkan kepada Safwan.

"Ini je yang saya ada.. Ada baki sikit lagi saya nak buat bayar grab untuk balik ke rumah." Nadia berkata dengan jujur.

"Ini je?" Safwan seolah tidak berpuas hati kerana cuma diberikan sepuluh ringgit. Nilai sebanyak itu cuma mampu untuk sekali makan sahaja bagi Safwan. Bagaimana pula dengan hari berikutnya untuk dia mencari makan lagi. Melihatkan reaksi Safwan yang seperti tidak berpuas hati, Aisyah pula mula bersuara.

"Takpe.. Biar saya tambah lagi.." Gadis yang memakai purdah itu segera membuka tas tangannya.

"Takpe lah.. Terima kasih." Safwan segera berpaling dan berjalan meninggalkan dua orang gadis itu yang sedang kebingungan. Mereka benar-benar tidak memahami pemikiran lelaki yang telah menjadi wira itu. Awalnya dia terlihat seperti adiwira yang hebat dan menyelamatkan orang yang lemah. Kemudian dia meminta balasan wang kerana pertolongannya. Dia juga mengeluh kerana jumlah yang diberikan seolah tidak sepadan, malah ketika ingin ditambah lagi duitnya, dia pula menolak dan terus menghindar.

"Dia ni betul ke tak?" Aisyah berkata sambil melihat ke arah Safwan yang berjalan semakin menjauh.

"Mungkin dia betul-betul kelaparan tu.. tengok pakaian dia pun, macam gelandangan je.." Nadia menaruh simpati kepada lelaki yang telah menyelamatkannya itu.

"Entah-entah penagih dadah.. Tengok diri dia pun tak terurus.. Mandi ke tidak.. Nampak serabai je.." Aisyah meluahkan pandangan.

"Astaghfirullah.. Tak baik berburuk sangka kat orang macam tu Icah.." Nadia menegur temannya itu.

"Astaghfirullah alazim.. Ampunkan aku Ya Allah.." Aisyah turut beristighfar apabila menyedari kekhilafannya dalam berprasangka. Dua gadis tersebut terus memandang ke arah Safwan yang sedang berjalan membelakangi mereka. Lelaki itu semakin menjauh dan akhirnya hilang dari pandangan setelah dia membelok memasuki lorong.

Safwan yang sedang kelaparan pula akhirnya menemui sebuah restoran. Dia ragu-ragu untuk memasuki restoran tersebut kerana terlihat agak mewah. Dia yang cuma memiliki wang sebanyak sepuluh ringgit yang diberikan oleh Nadia sebentar tadi bimbang jika wang tersebut tidak mencukupi untuk membayar makanan di restoran tersebut. Safwan kemudian terus melangkah kakinya sehinggalah dia menemui sebuah kedai makan yang terlihat sesuai baginya. Safwan segera memasuki kedai makan tersebut dan tidak sabar untuk mengisi perutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience