SEBULAN berlalu. Rumah tangga Safwan dan Nadia semakin hari semakin bahagia. Sejak insiden kemalangan jatuh dari tangga, Nadia mula menerima Safwan dalam hidupnya dan cinta di antara mereka semakin mekar saban hari. Lebih menggembirakan Safwan, hasil kebunnya kini semakin bertambah dan ayam-ayam peliharaannya juga sudah mula bertelur.
Tengah hari itu, selepas selesai menjaja dan menutup gerai perniagaan, Safwan segera meluncurkan motosikalnya ke arah simpang tiga jalan yang tidak jauh jaraknya dari gerai sayurnya. Di simpang tiga tersebut, dia memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah lot kedai yang baru siap di bina. Dia berdiri di tepi jalan sambil menatap lama kedai tersebut. Seketika kemudian, Farhan yang baru pulang dari pasar dan sedang menuju ke arah rumahnya melihat Safwan yang sedang berdiri di tepi jalan tersebut. Farhan segera menghentikan van yang dipandunya dan menyapa adik iparnya itu.
“Saf.. kau buat apa duk tercegat kat sini?”
“Eh, bang.. Takde apa.. Saja tengok kedai ni..” Safwan menjawab dengan spontan.
“Kenapa pulak dengan kedai ni? Ni kedai abang Rosli rasanya.. Entah dia nak buat kedai apa..” Farhan melihat bangunan yang baru siap di bina di simpang tiga tersebut.
“Ah.. kedai abang Rosli.. Saya dah jumpa dia.. Dah deal siap-siap.. Kedai ni saya dah sewa.. Nanti boleh la masukkan barang-barang.” Safwan tersengih sambil menerangkan perancangannya.
“Hah! Kau dah sewa? Nak buat apa pulak kali ni?” Farhan terkejut dengan pengakuan adik iparnya.
“Beralih kedai la bang.. Sampai bila nak meniaga kat gerai, keluar menjaja.. Ada kedai, senang sikit..”
“Tapi, duk kat gerai tu kan dah free.. Ni nak kena menyewa pula.. Berbaloi ke?”
“Ala bang.. Abang Rosli nak bagi sewa murah je.. Tujuh ratus je sebulan.. Lagipun saya ingat, nak tambah la lagi benda lain nanti.. Kalau jual sayur saja mana la mampu.. Saya ingat nak buat kedai barangan basah.. Pastu letak la barang kering sikit-sikit.. Barang keperluan dapur je..”
“Otak kau ni bergeliga betul la.. Boleh buat batu cincin.” Farhan berseloroh seraya tertawa.
“Saya ingat nak jual sekali ikan, ayam, daging.. Senang orang kampung nak cari bahan makanan, semua dah ada kat sini.. Boleh la letak ikan keli abang sekali.. Lepas tu jual la gula, garam, kicap, sos sikit-sikit.. Telur dah ada telur ayam sendiri..” Safwan memberi perincian perancangannya.
“Bijak..bijak.. Mantap rancangan kau. Dah la lokasi kedai pun cun.. Betul-betul kat simpang tiga jalan besar ni.. Laluan utama orang kampung.” Farhan tidak berhenti memuji Safwan.
“Bila boleh mula kat kedai ni?” Farhan meneruskan kata-kata dengan sebuah pertanyaan.
“Sekarang dah boleh set up kedai ni.. Tengok la dua, tiga hari lagi, insyaallah dah boleh start kot..Nak kena cari macam-macam bekas, tong ikan lagi.. Pastu nak kena buat meja, rak bertingkat..”
“Kenapa tak beli je.. Kan senang sikit.”
“Mahal la bang.. Baik buat sendiri je lebih jimat.”
“Betul jugak.. Kalau ada yang terpakai, orang nak jual rak second hand takpe la.. Nak beli yang baru memang mahal harganya.” Farhan bersetuju dengan pendapat Safwan.
“Eh, jom la balik dulu bang.. Saya pun nak kena pergi beli dedak ayam dulu kat kedai depan sana.”
“Ah.. kalau macam tu abang balik dulu la..” Farhan sedikit menganggukkan kepalanya. Mereka kemudian menghidupkan enjin kenderaan masing-masing dan mula bergerak menuju ke destinasi mereka.
Sekembalinya ke rumah, Safwan segera menuju ke biliknya. Setelah menekan suis kipas, Safwan melepaskan bajunya dan melabuhkan punggungnya di hujung katil. Pergerakan angin dari kipas yang tergantung di siling sedikit meredakan kepanasan yang dirasakannya. Seketika kemudian, Safwan bangkit dari duduknya dan mengambil tuala. Dia ingin membersihkan diri pada tengah hari tersebut sebelum menunaikan solat Zohor. Setelah melepaskan seluar dan hanya memakai tuala, Safwan sedikit terkejut dengan kemunculan Nadia yang tiba-tiba memasuki ruang bilik mereka.
“La.. abang tak mandi lagi?” Nadia menegur apabila melihat rambut Safwan yang masih kekeringan.
“Baru keringkan peluh.. Takkan nak mandi dengan badan berpeluh panas-panas ni..”
“Hmm..patut la busuk..” Nadia mengusik suaminya. Tubuh tegap Safwan yang tidak berpakaian itu menarik perhatian Nadia dan wanita itu langsung menghampiri suaminya.
“Kata busuk.. Jangan la masuk dekat-dekat..” Safwan pelik dengan tindakan isterinya.
“Suka hati la nak duk dekat, nak peluk pun.. Laki sendiri, bukan laki orang..” Nadia berkata seraya merapatkan badannya ke tubuh Safwan. Tangannya perlahan-lahan merangkul pinggang suaminya dan hidungnya kembang kempis menghidu bau keringat lelaki itu. Safwan hanya membiarkan sahaja isterinya yang bertindak sedemikian. Sejak kebelakangan ini, Safwan sedar akan perbuatan pelik isterinya itu yang gemar menghidu aroma tubuhnya. Perlahan-lahan tangan Safwan digerakkan untuk membelai ubun-ubun Nadia yang sedang memeluknya.
“Nadia..” Safwan bersuara perlahan.
“Ish.abang ni.. Nadia.. Nadia.. Tak romantik langsung.. Panggil isteri pun takde beza dengan panggil orang lain.” Nadia mengomel.
“Aaaa.. dah tu nak kena panggil apa? Sayang?” Safwan kebingungan.
“Ha.. sayang pun boleh.. kan sedap sikit bunyinya.”
“Hmm.. apa-apa je la..”
“Apa-apa je la apa pula? Panggil sayang je la..” Nadia mula merajuk. Safwan hanya tertawa sambil melihat wajah isterinya yang masih rapat dalam pengkuannya.
“Ya sayang..” Safwan mengucup lembut dahi isterinya itu. Nadia memejamkan matanya. Bibir suaminya terasa hangat menyentuh dahi dan menyemarakkan lagi cinta di dalam hatinya. Ditambah lagi dengan aroma tubuh Safwan, Nadia menjadi semakin ghairah dan hanyut di alam asmaranya.
“Eh, Abang lupa..” kata-kata Safwan mengejutkan Nadia dari lamunan ghairahnya.
“Kenapa? Abang lupa apa?” Nadia tertanya-tanya.
“Sekejap..” Safwan melepaskan pelukannya dan Nadia juga turut berbuat demikian apabila Safwan mula bergerak melangkahkan kakinya. Nadia hanya melihat suaminya yang sedang mencari sesuatu di dalam beg sandang lelaki itu. Seketika kemudian Safwan tersenyum sambil memegang sebuah kotak baldu berwarna merah. Lelaki itu kemudian mengeluarkan seutas gelang emas dan segera di pakaikan di tangan Nadia.
“Ini.. untuk Nadia?” Nadia terkejut dengan pemberian Safwan.
“Tadi kata tak nak panggil Nadia.. Ye la.. Abang belikan untuk sayang.” Safwan tersenyum sambil mengusik isterinya. Nadia terus tersipu malu dengan kata-katanya sendiri.
“Tapi.. buat apa la membazir duk beli gelang emas ni.. Kalau seberat ni, mesti mahal..” Nadia meluahkan rungutan walaupun hatinya gembira dan mekar seperti bunga.
“Mana ada membazir kalau beli emas.. Emas ni salah satu pelaburan.” Safwan memegang tangan isterinya yang telah terhias dengan gelang emas yang di pakaikannya sebentar tadi.
“Pelaburan? Maksud abang?” Nadia masih tidak memahami maksud suaminya.
“Emas ni tidak terpengaruh dengan inflasi macam duit sekarang.. Tengok la sekarang, harga barang semakin naik dan melambung tinggi. Sebenarnya bukan harga barang tu yang naik, tapi sebab nilai duit kita yang jatuh. Bila nilai duit jatuh, sebab tu kita nampak harga barang menjadi semakin mahal. Jumlah duit yang kita ada masih sama, tapi nilainya dah semakin jatuh. Contohnya kita ada duit seribu, kita simpan selama mana pun, jumlahnya tetap seribu. Tapi seribu masa lima tahun lepas, kita boleh beli sepuluh barang. Seribu sekarang kita cuma boleh beli lapan barang sahaja.” Safwan memberi penerangan. Nadia hanya terlopong mulutnya mendengar.
“Tapi kalau simpan emas, satu dinar lima tahun lepas boleh beli sepuluh barang, sekarang pun satu dinar tetap boleh beli sepuluh barang. Harga seekor kambing dari zaman dahulu adalah satu dinar. Zaman nabi dulu pun dah satu dinar.. Sepuluh tahun dulu pun satu dinar.. Sekarang pun masih satu dinar. Tapi harga kambing kalau beli dengan duit, sekarang seribu seekor. Lima tahun lepas tujuh ratus je seekor. Sepuluh tahun lepas lima ratus je seekor. Nampak tak bezanya?” Panjang lebar penjelasan dari Safwan, namun Nadia masih terdiam untuk cuba memahami.
“Contoh la kan.. Andaikata satu dinar emas sekarang harganya seribu ringgit, empat, lima tahun lagi, mungkin harganya dah jadi seribu dua ratus, seribu tigas ratus.. Kalau kita jual emas masa tu, itu la jumlah wang yang akan kita dapat. Padahal kita beli emas tu sekarang dengan harga seribu je.. Tapi kalau kita simpan duit seribu dalam bank, selepas lima tahun pun, jumlah duit dalam akaun bank kita tetap ada seribu je.. Seribu sekarang kita boleh beli lagi seekor kambing.. Tapi empat lima tahun lagi, takkan adanya kambing harga seribu.. Kena tambah duit lain pula.” Safwan menatap wajah Nadia yang mengangguk perlahan.
“Lagipun, emas ni abang bagi sebagai hibah kat sayang.. Hadiah untuk sayang pakai dan simpan.. Mana tau kalau jadi apa-apa kat abang nanti, abang sakit tak mampu bekerja ke, abang meninggal ke, setidaknya sayang ada simpanan emas ni untuk perbelanjaan hidup nanti.”
“Ish.. Jangan la cakap macam tu.. tak baik duk minta sakit. Kata-kata tu satu doa..” Nadia membalas.
“Bukan abang duk minta nak sakit, nak mati.. Tapi kena bersedia la.. Setiap yang hidup, pasti akan mati.. Semua orang akan mati.. Hidup kat dunia ni sementara je..lagipun kita tak tahu bila masanya setiap dari kita akan sakit, akan mati.. Nak tak nak, kita tetap akan kembali kepada yang Maha Esa. So, kena la sentiasa bersedia..” Safwan tersenyum.
“Semoga kita akan kekal bersama sehingga ke syurga..” Nadia mengucapkan doa pengharapan.
“Insyaallah.. Semoga kita bersama-sama akan menjadi hamba yang diredhai Nya dan mendapat syafaat Rasulullah.” Safwan mengelus pipi Nadia dengan jarinya. Wajah isterinya yang sedang tersenyum terlihat sungguh menawan, dengan lesung pipit yang menghiasi pipi gebunya.
Share this novel