PARA jemaah di pondok pengajian agama termasuk Safwan tekun mendengar pengajian kitab Mastika Hadith yang di sampaikan oleh Ustaz Razali. Masing-masing memegang kitab dan membaca kandungannya sambil mendengar kupasan yang diberikan oleh guru mereka.
“Alhamdulillah, kita sudah pun selesai mengaji dan menelaah kitab Mastika Hadith jilid pertama. Nanti kita akan teruskan pula dengan jilid kedua di lain masa. Kitab ni ada tiga jilid semuanya. Nanti kita akan kupas satu persatu.” Ustaz Razali selesai membacakan kandungan kitab. Setelah diam beberapa saat, dia meneruskan kata-katanya.
“Ilmu ini terbahagi kepada tiga. Yang pertamanya ilmu fardhu ain, iaitu ilmu agama yang wajib kita pelajari. Yang kedua, ilmu fardhu kifayah.. Ini ilmu yang merangkumi hal-hal di dunia ini macam ilmu matemaik, sains, sejarah dan sebagainya. Ilmu ini sunat di pelajari dan kita dasarkannya kepada landasan agama. Contohnya dalam belajar ilmu sains, kita akan nampak kebesaran Allah melalui ilmu yang kita belajar itu. Zaman sekarang, sains banyak membuktikan kebenaran ayat-ayat al-quran yang sudah diturunkan kepada Rasulullah pada lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Yang ketiganya pula, ilmu dunia.. Ilmu yang sia-sia. Ilmu sebegini haram kita pelajari seperti ilmu sihir, ilmu nujum, ilmu tilik.. Itu adalah ilmu dari syaitan dan tiada manfaat untuk akhirat. Orang yang menggunakan sihir ini cumalah untuk memenuhi keinginan nafsunya sendiri sahaja. Untuk berbuat keburukan, menyakiti orang. Belum ada ilmu sebegitu memberi kebaikan melainkan mendatangkan keburukan semata. Kerana itulah ilmu begitu di haramkan. Kita kembali kepada ilmu yang pertama, iaitu ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain ni wajib dituntut oleh setiap manusia. Alhamdulillah, kita semua yang berada di sini tidak terkecuali dari belajar ilmu fardhu ain ini. Ilmu ini pula terbahagi kepada tiga bahagian. Tidak dapat tidak, kita kena belajar ketiganya iaitu ilmu tauhid, iaitu meyakini keEsaan Allah. Kedua pula ilmu feqah, iaitu ilmu tentang hukum hakam. Bila kita dah yakin dengan kekuasaan Allah, kita kena belajar pula cara melakukan ibadat, buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. Dalam feqah, ada lima penetapan hukum iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Kemudian yang ketiga pula ilmu tasawuf. Ini adalah ilmu tentang akhlak, menjaga hati kita. Kita meyakini Allah itu Esa, kita beribadat kepadaNya dan akhir sekali kita kena belajar bagaimana untuk menjaga hati kita agar bersih dari sifat tercela seperti riak, sombong, ujub, angkuh dan sebagainya. Saya rasa sampai di sinilah dulu pembelajaran kita pada hari ini. Insyaallah apa yang kita pelajari hari ini, dapat kita sampaikan kepada orang lain yang tidak hadir di dalam majlis ini. Sebagaimana sabda rasulullah, sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.. Insyaallah..”
“Insyaallah..” Para jemaah menyambut kata-kata penutup Ustaz Razali beramai-ramai. Mereka kemudiannya saling bersalaman sebelum bersurai dari ruang solat. Safwan dan Farhan pula beriringan berjalan pulang ke rumah mereka. Ketika berjalan merentasi jalan di tepi kebun sayurnya, Safwan melihat ke arah kandang kambingnya. Fikirannya mula teringat kepada peristiwa yang berlaku siang tadi ketika menemui Amir di pekan.
“Bang, saya dah upah si Amir untuk jaga semua ternakan saya tu.. saya juga upah dia untuk kerja kat kedai saya.” Safwan menyampaikan berita kepada Farhan.
“Amir? Amir yang pecahkan kandang kambing tu? Kenapa kau upah pencuri tu? Kau yakin ke dia dah berubah?”
“Insyaallah, dia akan berubah.. Lagipun dia perlukan kerja untuk sara anak bini dia. Allah berikan saya rezeki lebih ni, untuk saya bantu orang macam dia bang..”
“Baguslah kalau kau fikir macam tu..”
“Siapalah kita untuk menentukan seseorang itu jahat atau baik.. Lagipun.. Saya pernah berada disituasi macam dia bang.. Saya pernah rasa macam mana dipandang serong dan tiada kerja untuk mencari nafkah. Jika semua orang menghina, mengeji, macam mana dia nak berubah? Dia perlukan sokongan moral untuk berubah. Macam saya dulu pun, Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan abang..”
“Benar kata-kata kau Saf..”
“Semua manusia itu fitrahnya dari kebaikan.. Kita di ciptakan oleh Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kerana sifatNya itulah kita dilahirkan ke dunia ini dengan membawa fitrah yang penuh dengan kasih dan sayang di hati kita. Cuma kerana mengikut hasutan syaitan dan menurut kehendak hawa nafsu, menjadikan manusia itu berbuat kejahatan yang berlawanan dengan fitrah mereka. Tapi sejahat manapun manusia, sifat kasih dan sayang itu tetap wujud dalam hati kita. Sedangkan binatang buas pun ada rasa kasih dan sayang kepada anaknya, apatah lagi manusia yang diberikan akal. Cuma apabila seseorang manusia itu tersasar dari fitrahnya, dia perlukan dorongan dan sokongan untuk kembali kepada asalnya.”
“Alhamdulillah.. Syukurlah kalau kau faham hal yang macam tu. Abang bangga dan malu juga kepada kau. Abang sendiri tak terfikir selama ni macam yang kau katakan.” Farhan tertawa kecil sambil memegang bahu adik iparnya yang berjalan beriringan di sebelahnya.
“Ish.. abang ni.. Saya pun banyak belajar dari abang je selama ni.” Safwan terkidum-kidum mendengar pujian dari abang iparnya.
Mereka kemudian tiba di rumah dan memberi salam ketika masuk ke dalam rumah. Nadia, Nazirah dan Maryam sudah pun siap sedia di dapur rumah mereka dengan hidangan makanan di atas meja, menunggu kepulangan dua orang lelaki itu untuk makan malam bersama.
Baru sahaja selesai makan malam, telefon bimbit Safwan berdering. Lelaki itu segera berlari menuju ke bilik tidurnya sambil menjawab panggilan telefon tersebut. Nadia hanya memerhatikan kelakuan suaminya itu. Tidak pernah pula selama ini dia melihat Safwan tersenyum apabila mendapat panggilan, malah segera menjauhi orang lain untuk menjawab panggilan. Nadia tanpa banyak berbicara langsung membantu Nazirah untuk mengemas meja dan membasuh pinggan, mangkuk.
Selesai mengemas dapur, Nadia segera menuju ke bilik tidur untuk mendapatkan suaminya. Langkah kakinya diatur berhati-hati semasa menaiki anak tangga dari dapur untuk menuju ke bilik tidur. Dia masih trauma jika kejadian dia jatuh di tangga tersebut berulang lagi. Sesampainya di muka pintu bilik, dia mendengar suara Safwan yang sedang berbicara di telefon.
“Iya.. mestilah abang sayang.. Jangan nak mengada-ngada.. Abang pun rindu.”
Kata-kata Safwan yang terdengar di telinganya membuatkan darah Nadia berderau. Hatinya terasa bagai dihiris oleh belati yang tajam. Air matanya hampir saja tumpah membasahi pipi, namun masih tertahankan. Jelas dan nyata suaminya itu sudah mempunyai perempuan lain selain dirinya. Nadia yang gagal mengawal emosinya lantas menolak daun pintu biliknya dengan kasar.
“Abang! Tak sangka abang betul-betul dah ada perempuan lain.. Siapa perempuan tu? Aisyah?” Nadia berteriak sehingga mengejutkan semua penghuni rumah tersebut. Safwan yang di terpa dengan tiba-tiba langsung kehilangan kata-kata. Lidahnya menjadi kelu untuk menjawab tuduhan Nadia.
“Patut la kemain senyum nampak panggilan masuk.. Nak jawab call pun kena lari masuk bilik.. Ini rupanya kerja abang.. Berindu-rindu, bersayang-sayang dengan perempuan lain!” Nadia mengamuk.
Farhan, Nazirah dan Maryam yang mendengar kata-kata Nadia masing-masing mendiamkan diri dan tidak menghampiri perempuan itu. Mereka hanya memasang telinga namun tidak akan mendekat untuk mencampuri urusan rumah tangga Nadia dan Safwan.
“Astaghfirullah.. Apa yang sayang mengarut ni?” Safwan menghembuskan nafas yang kasar.
“Sayang pulak yang mengarut? Abang tu yang mengarut! Tahu dah ada bini, tapi masih nak sayang, rindu perempuan lain.. Sayang tak pekak! Sayang tak buta lagi..” Nadia yang beremosi menjawab kata-kata suaminya.
Safwan hanya tersenyum melihat isterinya yang sedang mengamuk. Sambil memicit dahinya, tangan Safwan yang sedang memegang telefon tertekan butang pembesar suara.
“Abang.. Suara perempuan mana tu? Abang duduk dengan perempuan ke?” Suara seorang perempuan kedengaran dari pembesar suara telefon Safwan. Darah Nadia semakin mendidih apabila terbukti suaminya itu sedang bercakap dengan seorang perempuan di telefon. Safwan pula terus tersenyum sambil menarik tangan Nadia untuk duduk di sampingnya pada hujung katil.
“Abang sedang bercakap dengan Alyaa.. Adik abang..” Safwan memberi penjelasan sambil tersenyum kepada Nadia. Riak wajah Nadia segera berubah. Emosinya segera hilang dengan serta merta. Wajahnya yang masih merona merah kerana menahan marah sebentar tadi kini tersipu malu.
“Abang! Abang duk cakap dengan siapa? Jawab la..” Suara Alyaa masih kedengaran memanggil Safwan.
“Adik.. abang ada benda nak bagitahu adik.. Abang minta maaf sebab tak bagitau adik selama ni.. Sebenarnya abang dah menikah.. Perempuan yang ada dengan abang sekarang ni isteri abang..” Safwan menjawab pertanyaan Alyaa sebentar tadi.
“Hah!! Apa?? Abang dah menikah?! Ya Allah.. Kenapa la abang buat macam ni.. Kenapa abang tak bagitau adik? Ke abang kena tangkap basah?” Suara Alyaa yang kedengaran terkejut dengan berita yang dia terima langsung membuat tuduhan kepada abangnya itu.
“Astaghfirullah.. Adik jangan nak mengarut.. Takdenya nak khalwat, tangkap basah.. Abang menikah dengan elok, dari keluarga baik-baik..”
“keluarga orang memang la elok, abang tu yang tak elok..” Alyaa masih mengusik abangnya. Safwan hanya tertawa kecil dengan kata-kata adik perempuannya itu. Kemudian Safwan terkejut kerana panggilan telefon mereka ditukar kepada panggilan video oleh Alyaa. Safwan segera menerima panggilan video dari adiknya itu.
“Mana nak tengok kakak ipar adik.. Lawa tak?” Alyaa segera melontarkan pertanyaan apabila wajahnya muncul di skrin telefon bimbit Safwan. Safwan langsung menepuk dahi dan ketawa dengan pertanyaan adiknya itu. Dia kemudian menghalakan kamera telefonnya ke arah Nadia yang sedang duduk di sebelahnya.
“Assalamualaikum.. Hai kak.. Saya Alyaa..”
“Waalaikumussalam Alyaa.. Akak, Nadia.” Nadia merasa malu kerana telah menuduh suaminya tadi tanpa usul periksa. Dia juga segan untuk memperkenalkan dirinya sebagai kakak kerana Alyaa terlihat sebaya dengan dirinya. Tetapi memandangkan pangkatnya kepada Alyaa adalah seorang kakak ipar, dia terpaksa membahasakan dirinya sebagai kakak.
“Wah.. cantiknya kak Nadia. Pandai abang cari bini..” Alyaa memberikan pujian. Safwan hanya tersenyum simpul mendengar kata-kata adiknya manakala Nadia pula mula tersanjung dengan pujian dari Alyaa itu. Hatinya mekar berbunga dan gembira dengan kata-kata adik iparnya.
“Tapi Alyaa pun cantik.. Lagi cantik dari akak..” Nadia turut memuji kembali adik iparnya itu. Nadia ikhlas memuji kecantikan adik kepada suaminya itu. Gadis itu benar-benar menawan dan ada kemiripan dengan Safwan lebih-lebih lagi pada bahagian matanya.
“Alyaa duk buat apa sekarang?” Nadia menyambung kata-katanya.
“Alyaa tengah study.. Sekarang final exam.. Ada empat lima hari lagi baru habis. Nanti nak balik kampung la.”
“Ahh.. nanti Alyaa datang sini dulu la.. Lepas tu kita balik kampung sama-sama.” Nadia mengambil alih telefon Safwan dari tangan suaminya itu. Safwan terkulat-kulat dan bingung dengan tindakan isterinya itu.
Nadia kemudian berbaring di atas tilam katil sambil meneruskan bicaranya bersama Alyaa. Safwan hanya tersenyum melihat keramahan isteri dan adik perempuannya yang sedang bersembang melalui panggilan video. Nadia yang tadinya mengamuk kerana Safwan sedang bercakap di talian telefon, namun kini perempuan itu pula yang girang dan bersemangat apabila berkenalan dengan adik iparnya.
Dia kemudian bangkit berdiri dan meninggalkan dua orang wanita kesayangannya itu untuk terus bersembang. Safwan perlahan-lahan menutup pintu biliknya dan berjalan ke arah ruang tamu di mana Farhan, Nazirah dan Maryam sedang bersama menonton rancangan televisyen.
"Kenapa Saf? Apa yang Nadia duk bising tadi?" Farhan segera bertanya kepada adik iparnya yang baru muncul di ruang tamu itu.
"Takde apa la bang.. Saya duk bercakap dengan adik saya, Alyaa kat telefon.. Nadia ingatkan saya duk menggatal dengan perempuan lain.. bila dia tahu tu adik saya, terus berubah.. dia pulak yang lebih-lebih duk bersembang dengan si Alyaa tu.." Safwan tersengih sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
"Haishh.. macam-macam la si Nadia.." Farhan tersenyum sambil menggelengkan kepala. Maryam dan Nazirah turut merasa geli hati apabila mengetahui hal yang sudah berlaku.
Share this novel