Bab 23 (part 2)

Romance Series 8087

BEBERAPA minit sebelum azan maghrib berkumandang, Safwan sudah tiba di pekarangan surau kampungnya. Dengan girang, dia berazam untuk berubah menjadi orang yang lebih baik dan menjaga solat lima waktu. Bagi Safwan, sebagai langkah permulaan, setidaknya dia akan berjemaah di surau dahulu untuk solat maghrib dan isyak kerana waktu solat yang lain dia merasakan masih mempunyai kekangan untuk ke surau. Setibanya dia di surau, tiba-tiba Paksu Nasir yang berada di surau melemparkan sehelai sejadah yang digumpal ke arah Safwan. 

“Budak tak guna.. Berambus kau dari sini.. Orang datang nak sembahyang, kau pulak datang mencuri..” Paksu Nasir terus memaki Safwan sehingga menyebabkan Safwan kebingungan.

“Apa ni? Apa maksud Paksu?” Safwan bertanya sambil terpinga-pinga.

“Kau tak payah nak pura-pura tak tahu.. Kau yang pecahkan tabung surau tu..” Paksu Nasir melemparkan tuduhan.

“Astaghfirullah.. Jangan nak menuduh Paksu..”

“Tuduhan aku berasas.. Selama ni tak pernah pun tabung surau ni kena pecah. Tapi sejak kau, si banduan ni datang sini semalam, tiba-tiba tabung surau ni pecah.. Habis tu, siapa lagi kalau bukan kau yang buat? Ehh.. kau tak payah nak tunjuk baik, berlakon jadi alim la.. Banduan macam kau bukan reti halal haram.. Selama ni tak pernah pun jejak kaki ke surau. Sekarang baru muncul, lepas tu rembat duit tabung surau..”

“Celaka orang tua ni..” Safwan sudah hilang kesabaran dan cuba menerkam ke arah Paksu Nasir. Namun nasib orang tua itu sangat baik apabila sekumpulan lelaki lain menghalang Safwan dan memegangnya dengan erat bagi mengelakkan dia mencederakan Paksu Nasir.

“Dah.. cukup Safwan.. Kawal diri kau.. Kalau kau taknak kami serahkan kau kat polis, lebih baik kau beredar sekarang.” Seorang lelaki memberi peringatan kepada Safwan.

“Dasar budak kurang ajar.. Banduan tak sedar diri.. Memang patut pun kau jadi anak si Tini tu.. perangai sama jahat. Menjanda berbelas tahun, duk goda laki orang.” Paksu Nasir semakin bersemangat memaki Safwan apabila melihat anak muda itu sudah dipegang oleh orang ramai. 

“Orang tua bangsat! Mampus kau aku kerjakan.” Safwan meronta dari pegangan beberapa orang lelaki.

“Dasar anak pelacur! Pencuri!” Kata-kata Paksu Nasir ibarat mencurahkan minyak di api yang sedang marak. 

“Lepaskan aku! Biar aku bunuh orang tua celaka ni..” Safwan sudah hilang kewarasan apabila ibunya dihina dan difitnah sedemikian. Bagi Safwan, dia tidak peduli jika orang ingin mengutuk dan menghinanya, namun dia sesekali tidak akan biarkan sesiapa pun menghina ibunya.

“Astaghfirullah alazim.. Apa yang paksu cakap ni? Jangan mengata buruk macam tu kat orang..” Ustaz Adnan yang baru tiba segera mendekati tangga surau yang sedang kecoh.

“Saya dah cakap ustaz.. Budak banduan ni la yang pecahkan tabung surau kita. Padahal selama ni tak pernah ada kes macam ni. Sejak dia balik, tiba-tiba je berlaku kes macam ni.. Semalam dia pura-pura datang nak solat. Padahal duk intai tabung tu..” Paksu Nasir menghalakan jari telunjuknya ke arah Safwan yang sedang meronta.

“Paksu ada bukti ke nak tuduh Safwan ni? Jangan main sebarang tuduh kalau takde bukti Paksu.. Jatuh fitnah nanti.” Ustaz Adnan memberi nasihat.

“Bukti apa lagi ustaz? Memang sah dia orangnya yang mencuri tu.. tu, nampak.. Marah sebab dah kantoi, tiba-tiba nak serang saya pulak.” 

“Siapa tak marah kalau paksu main tuduh je.. Siap duk hina mak dia bagai.. Paksu sendiri yang buat silap..” 

“Eh, saya pulak yang salah.. Jadi ustaz nak bela la banduan pencuri ni?” 

“Saya bukan nak bela sesiapa.. Tapi cara paksu tu salah. Kalau betul si Safwan ni mencuri, paksu ada bukti, ada saksi, tunjukkan.. Biar saya sendiri yang serahkan dia pada polis.” Ustaz Adnan masih bersuara tenang. Paksu Nasir mula diam dan tidak membalas kata-kata ustaz yang berperanan sebagai imam surau itu. Semua orang yang berada di situ turut diam dan tidak bersuara sepatah kata.

“Tenang Safwan.. Sabar.. Banyakkan istighfar.. Ingat Allah..” Ustaz Adnan cuba menenangkan Safwan yang berkelakuan seperti kerasukan dan masih meronta. Mendengar kata-kata lembut ustaz itu, Safwan mulai reda kemarahannya namun dadanya masih berombak kencang.

“Bila tabung surau kena pecah?” Ustaz Adnan bersuara lagi, bertanya kepada Paksu Nasir.

“Lepas asar tadi la.. Waktu solat asar masih elok je..” Paksu Nasir segera menjawab.

“Safwan, bukan kamu kan yang pecahkan tabung tu?” Ustaz Adnan bersuara lembut seraya menggosok dada Safwan yang kembang kempis.

“Hari ni seharian saya kat rumah.. Saya tak keluar kemana-mana pun.. Kalau tak percaya, boleh pergi tanya mak saya kat rumah tu.” Safwan yang mula sedar dari amuknya menjawab pertanyaan dari Ustaz Adnan.

“Baiklah.. Saya percayakan awak.. Siapa yang tak percaya kata Safwan ni, boleh pergi ke rumahnya, tanya mak dia.. Betul ke dia kat rumah hari ni lepas asar..” Ustaz Adnan melihat ke arah Paksu Nasir. Orang tua itu diam dan terkulat-kulat mendengar ucapan lelaki yang menjadi imam itu. Tiba-tiba dua orang remaja menghampiri kekecohan tersebut.

“Ustaz.. Tadi lepas asar kami main basikal depan ni.. Kami nampak Abang Ayie, anak Paksu Nasir ada masuk ke surau ni..” Remaja lelaki yang berpakaian lengkap baju melayu berwarna biru berkata kepada Ustaz Adnan.

“Betul tu.. sepanjang kami main basikal, takde orang lain datang ke surau selain Abang Ayie..” teman remaja tadi mengiyakan kata-kata temannya.

“Betul ke kamu tengok Ayie anak Paksu Nasir?” Ustaz Adnan inginkan kepastian.

“Betul Ustaz.. Kalau tak percaya, boleh tanya kawan kami yang lain. Fateh, Mirul, Ain.. memang kami nampak Abang Ayie je yang datang ke surau ni lepas asar.” Remaja berbaju melayu biru menjawab.

“Korang budak-budak jangan nak fitnah.. Ni mesti si Safwan dah rasuah budak-budak ni untuk burukkan keluarga aku.. Budak-budak tak guna..” Paksu Nasir cuba menafikan perbuatan anaknya.

“Sudah! Nanti bawakan Ayie tu datang sini. Akob, kau azan dulu.. Dah lewat ni, masih tak azan maghrib lagi. Kita solat maghrib dulu.. Nanti bawakan si Ayie tu datang ke sini.” Ustaz Adnan bersuara tegas. Pak Yaakob yang menjadi bilal surau segera berlari anak menuju ke arah alat pembesar suara untuk melaungkan azan maghrib yang masih tidak ditunaikan. Gara-gara kekocohan yang timbul dari Paksu Nasir dan Safwan, para jemaah semua berkumpul di tangga surau untuk hentikan Safwan yang mengamuk sehingga semua orang terlupa waktu untuk azan maghrib sudah berlalu. 

“Korang pun, lepaskan Safwan.. Paksu, naik ke atas..” Ustaz Adnan melanjutkan arahannya. Paksu Nasir segera menapak ke ruang solat surau tersebut. Namun, para lelaki yang memegang Safwan masih ragu-ragu untuk melepaskan Safwan. Mereka bimbang jika anak muda itu menyerang Paksu Nasir dan mencederakan orang tua itu.

“Kenapa lagi? Lepas la dia..” Ustaz Adnan menatap ke arah para lelaki yang masih mengekang pergerakan Safwan.

“Tapi ustaz.. Nanti dia serang Paksu Nasir pula..” salah seorang lelaki itu menjawab dengan suara yang perlahan.

“Ahh..takdenya dia nak serang.. Istighfar jangan berhenti Saf..” Ustaz Adnan menggosok dada Safwan. Anak muda yang panas baran itu sudah mula tenang. Ustaz Adnan dapat merasakan degupan jantung Safwan sudah kembali normal berbanding tadi. Pegangan kemas pada Safwan akhirnya dilepaskan oleh para jemaah. Safwan tenang dan berdiam diri sambil menarik nafas yang dalam.

“Jom la solat dulu.. Tenangkan hati kamu..” Ustaz Adnan menepuk lembut bahu Safwan.

“Tak jadi la ustaz.. Hilang dah mood nak solat.. Saya balik rumah dulu la. Solat kat rumah je.. Malas dah nak tengok muka orang tua tu.. Ikutkan hati, memang saya nak patah-patahkan tulang dia.”

“Sabarlah Saf.. jangan ikutkan hati.. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.. Kamu kan nak berubah..”

“Saya tak kisah kalau dia nak burukkan saya ustaz.. Saya tahu saya jahat.. Tapi jangan duk fitnah melulu.. Jangan hina mak saya.. Saya takkan duk diam kalau orang duk hina mak saya.”

“Takpelah Saf.. ingat, Allah sentiasa bersama orang yang benar. Kalau kamu tak buat, kamu tak perlu risau.”

“Saya balik dulu la ustaz..”

“Hmm.. ye lah.. Hati-hatilah..” Ustaz Adnan tidak ingin menghalang Safwan dari pulang sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah. Dia tahu suasana hati anak muda itu belum baik lebih-lebih lagi untuk bersama dengan Paksu Nasir yang sudah memfitnahnya. Imam itu juga risau kalau Safwan tiba-tiba menyerang Paksu Nasir ketika sedang solat. Maka, lebih baik sahaja jika anak muda itu pulang sahaja ke rumahnya terlebih dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience