Bab 14

Romance Series 8087

ANGIN petang berpuput lembut di temani dedaunan yang hijau merimbun dan melambai-lambai menghiasi pemandangan indah suasana kampung. Safwan dengan girang berjalan sambil membawa sebuah kotak dan diiringi oleh Farhan menuju ke arah reban ayam yang sudah bertambah besar. Setelah masuk ke dalam reban, Safwan segera membuka kotak yang dibawanya dan menampakkan beberapa puluh ekor anak ayam di dalamnya. 

“Kau ni Saf, setiap minggu beli anak ayam tu berpuluh ekor.. Dah beratus ekor ayam kau tu.. tapi yang mula-mula beli dulu pun masih tak bertelur lagi.” Farhan menegur perbuatan adik iparnya itu.

“Ala.. tak rugi pun bang.. Yang mula-mula beli dulu pun, seminggu dua lagi bertelur la tu.. Setidaknya, kalau semua dah start bertelur nanti, saya boleh jual dah telur tu. Sepapan berapa belas ringit sekarang ni.. Ayam ni kalau dah start bertelur, hari-hari dia bertelur. Nanti jual harga runcit, tapi telur ayam, kita sendiri punya.. Lagi untung dari duk beli lepas tu jual semula..” Safwan menjelaskan perancangannya.

“Elok la macam tu.. dah la sekarang bekalan telur ayam selalu terputus.. Naya orang kampung, nak cari telur pun payah.. Setidaknya usaha kau ni boleh la pastikan bekalan telur kat kampung ni terjamin.” Farhan kagum dengan Safwan yang bertiwikrama.

“Itulah tujuan saya bang.. Saya akan ingat pesanan Ustaz Li dulu.. Kita buat kerja apa pun, biarlah niat kerana Allah dan kerja kita tu mampu bantu menyenangkan kehidupan orang lain.. Sebaik-baikmanusia adalah yang mampu memberi manfaat kepada orang lain. Biarlah saya tak baik pun, tapi saya tetap akan berusaha untuk menuju ke arah tu semampu mungkin.” Safwan tersenyum ke arah Fahan. 

“Masyaallah.. betul apa yang kau cakap tu Saf.. tapi janganlah duk kata kau tak baik.. Abang tahu, abang kenal kau.. Kau orang yang baik Saf. Kau selalu buat benda baik dan ingat pesanan Ustaz Li.. itu tanda orang yang baik la..” 

“Itu sebab abang orang yang baik.. Orang baik selalu nampak kebaikan orang lain.. Begitu juga sebaliknya.. Orang yang buruk, dia hanya akan nampak keburukan orang tapi tak nampak keburukan dia sendiri. Lagipun banyak lagi keburukan saya yang abang tak tahu.” Safwan kembali memuji Farhan malah merendahkan dirinya.

“Kan abang dah bagitau dulu, setiap orang pun ada keburukan.. Tapi aib kita tu, biarlah kita dengan Allah sahaja yang tahu.. Abang sendiri pun ada keburukan yang kau tak tahu.. Takkan abang nak bagitau kat kau pula apa benda jahat abang dah buat.” Farhan melanjutkan kata-katanya itu dengan ketawa. Safwan turut ketawa bersama. Mereka kemudian terus menatap kumpulan anak ayam yang berciapan di dalam kotak. Di hati Safwan, dia yakin anak-anak ayam yang dipeliharanya itu nanti akan membantu mengubah ekonomi dirinya. Semakin banyak dia menghasilkan wang, semakin banyak pula peluang untuk dia membantu orang lain di kemudian hari. Lelaki itu kemudian tersenyum sendiri apabila mengingatkan impiannya itu.

BULAN separa purnama menghiasi dada langit pada waktu malam sambil ditemani para bintang yang gemerlapan.  Setelah selesai makan malam bersama, Safwan duduk di ruang tamu, bertemankan Farhan, Nadia, Maryam dan Nazirah. Mereka sekeluarga bersembang sambil bergelak ketawa sesama mereka. Namun Nadia sendirian lebih fokus menonton rancangan televisyen dan tidak menyertai perbualan tersebut melainkan hanya memasang telinga untuk mendengar. 

“Keluarga Safwan ada kat Kelantan?” Maryam tiba-tiba bertanyakan soal keluarga menantunya itu. Selama menjadi perantau, Safwan tidak pernah bercerita mengenai asal-usulnya.

“Ah.. kat kampung masih ada mak dengan adik..” Safwan segera menjawab.

“Mereka tinggal berdua je?” Maryam terus bertanya.

“Ada ayah tiri.. Mak duduk dengan ayah tiri. Adik pulak duk belajar.. Kat UM..” Safwan seperti teragak-agak untuk bercerita.

“Oh, jadi siapa yang tanggung pengajian adik tu?”

“Hmm.. Dia ada dapat biasiswa.. Tapi  Saf ada la juga bagi duit kat adik tu setiap minggu.. Perbelanjaan hidup kat KL tu agak tinggi. Nak tak nak, sebagai abang, Saf kena juga tolong dia. Tu yang kena pulun cari duit lebih..” Safwan tertawa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Nadia dan Farhan segera menatap ke arah wajah Safwan. Mereka kini mengerti, itulah antara sebabnya Safwan begitu bersungguh-sungguh melakukan pelbagai kerja untuk mencari wang. Mereka langsung tidak menyangka Safwan mempunyai tanggungan terhadap keluarganya yang berada jauh.  Nadia kemudian melanjutkan kegiatannya menonton televisyen sambil sesekali matanya beralih ke layar telefon bimbit pada pegangan tangannya. Tidak lama kemudian, Safwan mulai menguap.

“Ahh.. mengantuk betul.. Dah sampai masa untuk tidur. Saya masuk tidur dulu..” Safwan segera bangkit berdiri dan langsung menuju ke arah bilik tidur. Melihat menantunya itu sudah menuju ke bilik tidur, Maryam lantas mengalihkan padangannya ke arah Nadia yang masih asyik menonton rancangan televisyen.

“Nadia..” Maryam memanggil anak perempuannya itu.

Mendengarkan namanya disebut, Nadia segera berpaling ke arah ibunya. Maryam hanya menggerakkan anak matanya ke arah Safwan bagi memberi isyarat kepada Nadia untuk mengikuti suaminya itu. Nadia yang tidak ingin melawan arahan ibunya sempat melepaskan satu nafas keluhan sebelum bangkit berdiri dan berjalan mengikuti arah yang dituju oleh Safwan dengan langkah yang berat.

Di dalam bilik tidur, Safwan merasa hairan apabila melihat Nadia tiba-tiba menghempaskan punggungnya di hujung katil dengan kuat. Isterinya itu terlihat seakan merajuk. Safwan yang tidak mengerti akan tindakan Nadia itu segera menghampiri dan duduk di sebelah isterinya itu.

“Nadia kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Safwan cuba mendapatkan kepastian. Setelah melihat Nadia hanya mendiamkan diri, Safwan cuba untuk memegang tangan isterinya, namun dengan segera ditepis Nadia. Safwan terkejut dengan tindakan Nadia dan langsung tidak mengerti penyebab isterinya bertindak sedemikian. 

“Saya ada buat salah ke? Kalau ada salah, saya minta maaf..” Safwan tanpa berat hati meminta maaf walaupun dia langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Tak payah minta maaf.. Awak takde salah pun..” Nadia mula bersuara.

“Habis tu, kenapa awak macam ni?” Safwan semakin bingung dengan isterinya.

“Saya tak boleh layan awak.. Saya masih period.. Lagipun kita kahwin, bukan atas kehendak sendiri, tapi sebab orang lain.. Saya tak boleh nak bersama awak.” Nadia meluahkan kata-katanya dengan lancang.

Safwan benar-benar terkejut dengan pengakuan isterinya. Kemudian Nadia baru sedar dia sudah terlepas cakap dan mungkin telah menyakiti hati suaminya. Dia benar-benar merasakan dirinya sudah melakukan dosa. Namun kerana mempertahankan ego di dalam hatinya, Nadia tetap mendiamkan diri dan tidak menarik kembali kata-katanya apatah lagi untuk meminta maaf daripada suaminya. 

“Itu ke sebabnya? Kalau macam tu, saya pun tak akan paksa Nadia. Tapi di depan abang Farhan, mak dan kak Ira, kita jagalah hubungan kita..” Safwan tersenyum dan segera berdiri kembali. Dia kemudian membaringkan tubuhnya di atas katil dengan kaki yang terlunjur.

“Saya mengantuk sangat.. Saya tidur dulu la..” Safwan kemudian memejamkan matanya. Nadia pula masih kekal di tempat duduknya dan langsung tidak bergerak walau seinci apatah lagi untuk menoleh ke arah suaminya. Dia masih ingin mengekalkan ego dirinya. Namun pada masa yang sama, hatinya gementaran. Dia tahu dia sudah melakukan kesalahan terhadap suaminya. Sebagai seorang wanita yang mengerti akan syariat agama, Nadia sangat tahu tindakan dan kata-katanya sebentar tadi akan mengguris perasaan suaminya. Namun demi mempertahankan ego, dia cuba mengabaikan pengetahuan yang dimilikinya itu.

Hanya dalam masa beberapa minit, Nadia mula mendengar dengkuran halus. Safwan yang baru berbaring sebentar tadi sudah tertidur dengan begitu nyenyak. Jelas sekali lelaki itu sangat keletihan. Nadia kemudian berkalih pandang ke wajah suaminya. Wajah Safwan yang sedang tidur itu terlihat polos dan bersih.

"Pernikahan kita adalah satu kesilapan.. kita sama-sama terpaksa.. rasanya lebih baik kita bercerai je lepas ni secara baik.." Nadia berbicara sendirian dengan suara yang perlahan, seakan berbisik. Dia mula memikirkan rencana untuk berpisah dengan suaminya itu. Namun dia akhirnya tersentak sendiri. Nadia tidak tahu apakah alasan untuk mereka bercerai. Sedangkan Safwan sama sekali tidak melakukan sebarang kesalahan. Bahkan lelaki itu bersikap sangat baik terhadapnya dan semua orang.

'Tidak akan mencium bau syurga bagi wanita yang menuntut cerai daripada suaminya tanpa sebab yang dibenarkan syarie.. padahal bau syurga itu dapat dihidu pada jarak ratusan tahun perjalanan..' kata-kata itu seakan terngiang-ngiang dibenak Nadia. Wanita itu mula mengeluh. Dia bingung dengan keadaan dirinya sekarang. Dia sama sekali tidak ingin menerima Safwan sebagai suaminya. Namun dia juga tidak punya alasan untuk bercerai dengan lelaki tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience