Bab 34

Romance Series 8087

MOTOSIKAL yang ditunggangi oleh Safwan meluncur laju merentasi jalan yang dihiasi dengan pemandangan sawah padi yang menghijau. Angin pagi yang segar disedut memenuhi ruang paru-paru. Safwan menikmati pemandangan indah yang saujana menghiasi mata. Jauh di belakang sawah padi pula terlihat bukit yang masih dara dengan kehijauan yang yang mendamaikan menjadi santapan mata.

Safwan benar-benar gembira menikmati keindahan suasana desa yang jauh dari hiruk pikuk manusia dan kereta. Hari ini dia menjaja sayur-sayurannya semakin jauh dan memasuki kampung berdekatan tempat tinggalnya. Kedainya sudah di uruskan oleh dua orang lelaki dan dua orang wanita. Itu sudah mencukupi untuk memastikan perniagaan berjalan lancar. Oleh kerana itu, Safwan mengambil keputusan untuk kembali menjaja, memasuki jalan-jalan kampung yang bersebelahan bagi memudahkan golongan yang tidak mempunyai kenderaan untuk keluar mencari bahan makanan. Selain itu, dengan cara menjaja juga akan menaikkan lagi hasil jualannya. Pemuda itu tidak pernah lelah untuk terus berusaha.

Apabila selesai melaksanakan tugasnya dan semua barangan yang di bawa sudah habis terjual, Safwan meluncurkan motosikalnya untuk kembali semula ke kedainya. Di pertengahan jalan, sewaktu melintasi kawasan bendang, Safwan terlihat seorang budak lelaki sedang menangkap ikan di dalam parit berdekatan. Menangkap ikan di bendang dan di dalam parit adalah kebiasaan masyarakat dan budak-budak di kampung. Namun Safwan merasa aneh setelah melihat remaja tersebut. Dia segera menghentikan kenderaannya dan menghampiri budak lelaki tersebut.

“Assalamualaikum.. Adik buat apa? Tangkap ikan ke?” Safwan mula bertegur sapa.

“Waalaikumussalam.. Ye bang.”

“Adik tak pergi sekolah ke? Bukan ke masa ni waktu persekolahan?” Safwan melontarkan persoalan yang bermain di benaknya.

“Saya tak sekolah bang.. Tak mampu la nak masuk sekolah.”Budak lelaki itu berterus terang.

“Masyaallah.. Kenapa pula macam tu.. ibubapa adik buat apa?” Safwan bertanya lagi. Budak itu terdiam sebentar sambil menjatuhkan pandangan wajahnya ke arah air parit yang separas betisnya.

“Mak ayah saya dah takde.. Saya duk sorang je..” Budak itu bersuara sayu.

“Astaghfirullah alazim.. Ya Allah.. Ampunkanlah aku Ya Allah.. Ampunkan dosaku kerana tidak membantu hambaMu ini..” Safwan terkejut dan memohon keampunan kerana terlepas pandang untuk membantu orang yang sedang kesusahan. Hati Safwan tiba-tiba diruntun sayu dan bersimpati ke atas nasib budak itu.

“Mak ayah ke mana? Kenapa adik tinggal sorang?”

“Ayah dah lama meninggal.. Mak baru meninggal lima bulan lalu.. Saya seorang je anak mak.. Adik beradik sebelah ayah yang lain ada, tapi lain mak. Saya tak kenal pun mereka. Tak tahu kat mana mereka tinggal. Sejak mak meninggal, saya duk sorang je la.. Terpaksa berhenti sekolah sebab saya tiada duit nak bayar yuran, nak beli baju sekolah, kasut, buku lagi..” Budak itu jujur menyampaikan kata-katanya.

“Allahuakhbar…” Safwan menggelengkan kepalanya. Dia kesal dengan dirinya sendiri kerana tidak pernah tahu ada kanak-kanak yang hidup susah sebegitu. 

“Adik tinggal kat mana?” Safwan mengajukan soalan lagi. Budak tu hanya menunjukkan jari telunjuknya ke arah matahari terbit. Safwan tidak melihat satu rumah pun di kawasan tersebut. Mungkin rumah budak itu masih jauh dari kawasan itu. Hatinya mula terdetik, budak itu perlu meneruskan pembelajarannya dalam mencari ilmu. Dia tidak ingin anak itu membesar dengan tidak menghabiskan pengajian sepertinya. Namun akan menjadi kesukaran untuk Safwan sentiasa memastikan keadaan budak lelaki tersebut yang cuma hidup sebatang kara. 

“Macam ni.. Adik ikut dengan abang.. Duduk di pondok agama Ustaz Razali kat kampung sebelah. Adik belajar je kat sana.. Makan minum pun disediakan..”

“Tapi, saya tiada duit nak bayar yuran..”

“Takpe.. Duduk kat sana tak kena bayar yuran untuk orang macam adik. Nanti abang belikan baju untuk adik pakai. Adik tinggal je kat sana.. Belajar agama.” Safwan teringat keadaannya dahulu yang diberi tawaran yang sama oleh Farhan ketika pertama kali menjejakkan kaki ke pondok Ustaz Razali itu.

“Betul ke ni bang?” Budak itu terlihat seakan gembira dan girang.

“Betul la.. Dah. jom ikut dengan abang.. Kita ke rumah adik dulu, ambil barang-barang adik. Lepas tu kita pergi pekan untuk beli baju dan keperluan untuk adik guna kat sana. Nanti adik tinggal je kat pondok tu. Nak balik rumah adik sekali sekala untuk tengokkan rumah adik pun boleh.” Safwan tersenyum. Dia ingin menyelamatkan masa depan budak tersebut dari menjadi hanyut seperti dirinya semasa kecil dahulu. Jika tidak mampu untuk ke sekolah biasa, setidaknya budak itu berjaya mempelajari ilmu fardhu ain yang wajib. Asas ilmu agama itulah yang paling penting buat manusia. Safwan mula teringatkan ucapan Ustaz Razali malam tadi selepas mereka selesai menamatkan pengajian kitab mastika hadith.

“Nama adik siapa?” Safwan lupa untuk bertanyakan nama budak itu ketika awal pertemuan mereka tadi.

“Muhammad Syafie..”

“Subhanallah.. Cantik namanya..” Safwan segera mengingati tokoh dan imam mujtahid yang mengasaskan mazhab syafie. Ilmuwan berbangsa quraisy yang memiliki nama aslinya Muhammad bin Idris itu menjadi idola Safwan kerana memiliki ingatan yang sangat hebat dan berjaya menghafal al-quran ketika masih berusia kanak-kanak. Malah Imam syafie itu juga pernah mengagumkan imam Malik bin Anas kerana berjaya menghafal kitab al-muwwata’ karangannya dalam masa hanya beberapa hari ketika berusia sembilan tahun.

USTAZ Razali menyambut baik kehadiran budak lelaki yang bernama Syafie tersebut. Budak yang di bawa oleh Safwan ke pondoknya itu terlihat comot dan kusut masai, persis Safwan yang mula-mula menjejakkan kaki ke pondok itu suatu ketika dahulu. Safwan yang membimbit beberapa beg kertas dan plastik hanya tersenyum gembira. Dia merasa lega kerana berjaya menolong budak lelaki itu dari terus hanyut terbiar tanpa didikan dan penjagaan dari orang dewasa. Sebelum menghantar Syafie ke pondok tersebut, Safwan terlebih dahulu membawa anak muda itu ke pekan untuk dibelikan pakaian baru serta alat kelengkapan dan penjagaan diri. Dia mula berniat akan sentiasa menjaga kebajikan Syafie selama anak itu masih di bawah umur dan belajar di pondok tersebut. 

“Alan, tolong bawa Syafie ke atas.. Nanti tunjukkan dia sekeliling kawasan pondok ni. Mulai sekarang dia akan tinggal kat sini bersama kalian.” Safwan memanggil seorang pelajar di pondok tersebut untuk meminta bantuan remaja terbabit. Remaja lelaki yang dipanggil Alan itu segera menghampiri dan membantu membawa barang keperluan Syafie dari tangan Safwan.

“Semoga Allah sentiasa merahmatimu Safwan dan membalas jasa baik kamu kepada budak tu dengan rezeki berlipat kali ganda..” Ustaz Razali melafazkan doa buat Safwan.

“Saya hanya membantu setakat yang saya mampu ustaz..” Safwan sedikit menundukkan wajahnya, mempamerkan sikap merendah dirinya. 

“Teruskanlah membantu orang yang memerlukan.. Allah berikan kita rezeki, untuk kita kongsikan dengan hambaNya yang lain, termasuk haiwan dan makhluk-makhluk ciptaanNya yang lain.” Ustaz Razali terus memberikan kata-kata nasihat.

“Insyaallah Ustaz.. Saya minta diri dulu la ya.. Saya nak kena pergi kedai semula ni..” Safwan bergegas meninggalkan Ustaz Razali yang masih tetap di pekarangan pondok. Enjin motosikal terus dihidupkan dan Safwan dengan pantas meluncur laju meninggalkan kawasan tersebut.

Sesampainya Safwan di kedai, dia meninjau keadaan kedainya yang masih dikunjungi oleh pembeli. Banyak barang jualannya habis terjual. Safwan menjadi teruja apabila sambutan yang diterima dari orang kampung semakin menggalakkan. Perniagaan kedainya semakin laris dan mendapat perhatian orang kampung. Namun seketika kemudian, Safwan terlihat termenung sendirian seperti sedang memikirkan sesuatu. 

“Kenapa Saf? Ada yang tak kena ke?” Aisyah mula bertanya apabila melihat Safwan yang seolah sedang mengelamun.

“Tak.. takde apa-apa.. Saya cuma fikirkan, sambutan orang kat kedai ni semakin menggalakkan. Rasanya untuk sementara waktu ni, saya dah tak perlu menjaja kot. Nampak macam yang dijual kat kedai ni pun dah tak cukup.. Atau saya perlu tambah lagi bekalan dari luar.. Macam sayur, setakat ni je hasil yang saya dapat dari kebun. Nak luaskan kebun lagi, macam dah tak cukup tanah.. Kalau nak tambah bekalan lagi, nak tak nak, saya kena ambil sayur lain lagi la dari pemborong kat pekan. Telur pun macam tak cukup je.. Cuma ayam tu rasanya boleh la tambah lagi dalam dua ke tiga ratus ekor. Tu pun boleh tambah dalam sembilan ke sepuluh papan je sehari. Kalau nak lebih lagi, memang kena ambil telur lain dari pembekal telur.” Safwan meluahkan apa yang tersirat di fikirannya sebentar tadi. Otaknya sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik dan memajukan perniagaannya.

“Entahlah.. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana.. Terpulang la kat awak nak buat macam mana.. Nak kekal macam ni pun dah OK. Kalau nak tambah lagi pun, takde masalah.. Awak tauke.. Saya ni makan gaji je.” Anak gadis Ustaz Razali yang berpurdah itu tertawa dengan kata-katanya.

“Eh, jangan la cakap macam tu.. Saya mampu berniaga, buka kedai ni pun kerana jasa awak Aisyah.. Awak yang banyak bantu saya. Kalau takde awak, takkan ada semua ni..” Safwan menyampaikan kata-kata yang ikhlas dari lubuk hatinya. Dia benar-benar sangat terhutang budi kepada gadis itu kerana sudi menolongnya menjaga gerai sewaktu mula-mula berniaga dulu. Hasil keuntungan dari gerai itulah yang membuatkan Safwan terus maju dan mampu menyewa kedai untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saf, baru balik menjaja ke?” Amir yang baru menjadi pekerja di kedai tersebut menegur majikannya itu.

“Ah.. tadi ada jumpa budak kat kampung sebelah.. Kesian betul budak tu.. anak yatim, hidup sebatang kara.. Nampak dia duk tangkap ikan dalam parit untuk buat makan. Aku ambil budak tu, bawa pergi pekan, beli pakaian, barang-barang, lepas tu hantar dia kat pondok Ustaz Li tu.. terjamin sikit hidup dia sambil belajar agama kat situ dari duk sorang diri dengan tak bersekolah, takde orang tua yang jaga.. Tu yang lambat sikit balik kedai.. Macam mana kerja hari ni, OK?” 

“Allahuakhbar.. Kesiannya dia..” Aisyah terkejut mendengar kisah yang di sampaikan oleh Safwan.

“Ya Allah.. Budak hidup sorang diri? Kerja OK..” Amir membalas pertanyaan Safwan.

“Kalau dia malas, nanti potong gaji dia..” Safwan berseloroh kepada Aisyah sambil ketawa. Aisyah turut tertawa dengan usikan Safwan terhadap pekerja baru tersebut manakala Amir hanya tersengih sambil menggarukan kepalanya.

“Anak siapa budak kat kampung sebelah tu? Dah tu kemana pergi penghulu? Tok imam? Wakil rakyat lagi la.. Nak mengundi pulak la baru nampak batang hidung.. Kalau dah lepas mengundi, nak nampak bayang pun susah. Bila dah berkempen, orang sihat pun dia suruh berlakon bagi nampak susah, lepas tu dia suapkan bubur. Ambik gambar, tayang kat orang konon dia berjiwa rakyat, ambil berat pasal rakyat.. Lepas mengundi, orang sakit minta bantuan pun susah nak dapat.” Amir mula berleter menyalahkan orang politik.

“Entah la anak siapa.. Yang penting sekarang dia dah selamat.. Dah la mir.. Tak payah la nak burukkan sesiapa.. Itu ujian Allah kepada mereka. Jika mereka tidak amanah, tak tunaikan tanggung jawab mereka, biarlah urusan itu antara mereka dengan Allah.. Kita tengok dari sudut yang lain pula. Setidaknya, Allah nak bagi pahala kat orang biasa macam kita ni la untuk menolong orang lain. Menjaga kebajikan orang lain, bukan semata digalas oleh pemimpin. Kita sebagai manusia biasa juga perlu menolong dan menjaga sesama masyarakat. Sebab tu nabi kata, malaikat akan melaknat kita sepanjang malam jika jiran kita tidur dalam kelaparan sedangkan kita tidur dalam kekenyangan. Nak dijelaskan kat sini, kita dengan jiran sebelah rumah pun kena ambil tahu dan sentiasa bertanya khabar. Jika sentiasa nak salahkan orang lain, masalah tidak akan selesai. Islam mengajarkan kita untuk saling menjaga antara satu sama lain.. Kita tak boleh cakap, aku dengan hal aku, kau dengan hal engkau.. habluminallah wa habluminannas.. Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia. Nak jaga hubungan tu, kena tunaikan la hak mereka.. Jaga hubungan dengan Allah melalui tunaikan hak kepadaNya. Dia suruh solat, puasa, zakat.. Kita kena buat la. Tunaikan hak kepada manusia pula, kita kena jaga kebajikan, keperluan dan perasaan orang lain. Makan, minum orang terdekat dengan kita, kena ambil tahu.. Sakit demam mereka, kita kena peduli.. Kena melawat, ziarah ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga. Tanya khabar mereka.. Perasaan orang pun kita kena jaga. Jangan sakiti hati orang apatah lagi nak sakitkan tubuh badan mereka. Sebab tu kita kena jaga dan kawal percakapan kita, perbuatan kita..” Safwan memberi syarahan bagai lagak seorang ustaz. Aisyah dan Amir terangguk kepada mereka mendengar kata-kata Safwan. Dua orang pekerja lain juga mendengar dengan memasang telinga sambil mengemas kedai.

“Betul kata Safwan tu.. terima kasih sebab dah beri ingatan dan nasihat yang berguna kepada kami.” Aisyah tersenyum di sebalik hijab yang menutupi wajahnya.

“OK, cukup setakat tu dulu kuliah kita pada hari ini.. Sekarang barang pun dah banyak habis, kemas kedai cepat-cepat..kita tutup awal hari ni..” Safwan sempat bergurau sehingga membuatkan para pekerjanya tertawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience