ANAK pokok cili selesai di tanam oleh Safwan. Beberapa pohon anak cili dibelinya dari pasar dan di tanam di tepi halaman rumahnya. Kangkung tanamannya yang berselerakan juga telah ditanam kembali oleh Safwan. Safwan yang sedar dirinya sukar untuk mendapat pekerjaan memandangkan statusnya sebagai bekas banduan dan dirinya juga tidak mempunyai kelayakan akademik kerana tidak menghabiskan persekolahannya terpaksa mengambil jalan dengan bercucuk tanam dan berencana menjual hasil tanamannya itu nanti. Baru sahaja selesai bercucuk tanam, tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang motosikal mendatangi Safwan di rumahnya. Setelah menongkat motosikalnya, lelaki itu segera memegang parang dan menuju ke arah Safwan.
“Woi Safwan.. Berani kau jual lembu aku..” Yazid terlihat berang sambil berjalan dan mengacukan parang di tangannya ke arah Safwan. Namun lelaki itu menghentikan langkah kakinya beberapa meter dari Safwan dan tidak terus merapat.
“Oh, jadi lembu kau la yang duk lepas berkeliaran, makan tanaman orang. Habis tanaman aku lembu kau makan.. Lain kali kalau nak bela lembu, letak dalam kandang.. Kalau nak lepas, lepas kat padang, tambat dengan tali.. Bukan duk lepas, bagi lembu berkeliaran makan tanaman orang.. Nasib baik aku jual sekor je.. Kalau aku jual semua, baru padan muka kau.” Safwan memberi peringatan sambil menyindir pemilik lembu tersebut.
“Tak guna.. Dah kau nak menanam, buat la pagar.. Takde la lembu tu nak masuk. Ni rumah pun takde pagar.”
“Woi Yazid, rumah aku takde pagar pun, rumah aku tak keluar ganggu rumah orang lain.. Lembu kau tu duk masuk tanah orang, makan tanaman orang.. Dah menyusahkan orang. Tahu tak?”
“Dah nama pun lembu.. Kau ajar macam mana pun, bukan dia faham tak boleh masuk kawasan rumah orang, bodoh!” Yazid masih ingin menegakkan benang yang basah.
“Aku bukan suruh kau ajar lembu tu jadi cerdik, bangang! Dah kalau kau nak bela lembu, beli tali, tambat la.. Takkan la kau tu lebih bodoh dari lembu.”
“Celaka kau..” Yazid memajukan langkah kakinya beberapa langkah ke hadapan, menghampiri Safwan sambil menghayunkan parang di tangan. Lelaki itu cuba untuk menggertak Safwan yang menghinanya.
“Masuklah kalau kau berani.. Kita tengok siapa yang mampus hari ni.. Tak mampus aku, mampus kau.” Safwan mengangkat cangkul di tangannya, bersedia untuk menghadapi Yazid yang cuba menyerangnya dengan parang. Yazid mula teragak-agak. Dia sebenarnya bukanlah berani untuk menetak orang menggunakan parangnya. Dia hanya berani mengacah sahaja untuk menakutkan Safwan. Namun kini dia sedar, Safwan yang merupakan bekas banduan itu memiliki hati yang berani dan tidak takut untuk kehilangan nyawa. Yazid tahu dia sudah tersalah memilih lawan. Lelaki itu kemudian perlahan-lahan mengundurkan langkah kakinya sebelum berpaling dan menuju ke arah motosikalnya. Dengan penuh geram, Yazid memusingkan motosikalnya dengan laju dan meninggalkan pekarangan rumah Safwan. Safwan pula tersenyum sinis memandang lelaki itu pergi dari halaman rumahnya. Cangkul di tangan Safwan kemudian dihentak kuat ke tanah.
MALAM itu, Bulan purnama menerangi segenap alam. Safwan keluar melepak bersama kawan-kawannya di wakaf, menghabiskan masa mereka dengan sia-sia dan bersembang kosong. Di rumahnya, Tengku Badrul baru pulang dalam keadaan mabuk. Pada ruang halaman rumah pula, terdapat beberapa biji kereta sedang parkir. Beberapa orang lelaki yang baru selesai menghantar Tengku Badrul ke rumah itu berdiri di hadapan kereta sambil menghisap rokok dan berbual sesama mereka. Mereka adalah anak buah kepada Tengku Badrul yang memimpin satu pertubuhan. Sedang mereka berbual-bual, tiba-tiba bunyi bising di dalam rumah. Terdengar seperti barang-barang dan peralatan di lempar dan dihempaskan dengan kuat.
“Perempuan tak guna! Siapa kau nak mengajar aku?” Suara Tengku Badrul menjerit kedengaran sehingga ke luar rumah dan mengejutkan para lelaki yang menjadi anak buahnya itu.
“Ayah mengamuk tu..” Kata salah seorang dari mereka.
“Dia tengah mabuk tu.. biar je la.. Jom la blah, sebelum berlaku apa-apa, kita pulak yang terlibat sama.” jawab seorang temannya.
“Jom la.. Malas aku nak terlibat dengan ayah yang duk mabuk.” Mereka mula memasuki kereta. Di dalam kereta, mereka masih melanjutkan perbualan dan belum juga bergerak meninggalkan pekarangan rumah tersebut. Keadaan di dalam rumah pula, Tengku Badrul yang sedang mabuk membaling barangan di dalam rumah ke arah Kartini.
“Jangan bang.. Jangan buat saya macam ni.. Saya cuma nasihatkan abang, jangan minum arak je.. “ Kartini menangis, merayu agar tidak di sakiti dengan balingan barang dari suaminya.
“Woi betina.. Aku nak mabuk ke, nak apa ke, kau jangan nak peduli hal aku.” Tengku Badrul menengking isterinya.
“Sayakan isteri abang.. Saya cuma nasihatkan je..”
“Aku tak perlukan nasihat dari kau! Betina jalang.. Sedar sikit diri kau tu.. kalau aku tak kutip kau dulu, kau masih duk merempat je tepi jalan tu.. jual kuih macam peminta sedekah.”
“Kalau abang tak malu kat Tuhan, malu la kat budak-budak abang tu.. kononnya abang tu ayahanda, ramai anak buah.. Tapi duk tunjuk contoh tak baik kat budak-budak.. Cuba la tunjuk contoh baik untuk dijadikan teladan.” Kartini bersuara perlahan sambil menangis.
“Perempuan tak guna, tak habis-habis nak mengajar aku ya.. Kau ajar anak kau tu dulu biar jadi orang.. Bukan jadi banduan..” Tengku Badrul yang tidak sedarkan diri semakin mengamuk dan mula memukul Kartini. Tamparan, pukulan, sepakan dan tendangan dari Tengku Badrul semuanya hinggap di tubuh badan Kartini. Setelah puas memukul isterinya, Tengku Badrul mencekik leher wanita itu dengan kuat. Kartini yang masih tersisa tenaganya itu meronta untuk melepaskan diri dari lelaki kejam yang mencekik lehernya. Namun tenaganya tidak cukup kuat untuk melawan suaminya yang sudah mabuk dan kerasukan syaitan.
“Woii!!” Tiba-tiba Safwan muncul dan menjerit.
Menyedari kehadiran anak tirinya itu, Tengku Badrul mula melepaskan cengkaman tangannya pada leher Kartini. Safwan segera berlari ke arah ibunya yang sudah mengalami luka dan tanda lebam mula muncul pada wajah wanita itu. Api kemarahan mula menyala di hati Safwan apabila melihat darah meleleh keluar dari bibir ibunya, namun kemarahannya itu masih ditahan memandangkan pelaku yang memukul ibunya itu adalah ayah tirinya sendiri.
“Ingat, lain kali jangan nak memandai-mandai mengajar aku.. Dasar betina jalang tak sedar diri..” Tengku Badrul meludahkan air liur sambil memberi amaran kepada Kartini.
Dia yang sedang mabuk sama sekali tidak menyangka kata-kata kepada isterinya itu telah memecahkan tembok kesabaran Safwan. Tidak tahan penghinaan yang diberikan kepada ibunya, Safwan segera bangkit dan memukul wajah Tengku Badrul. Tumbukan kuat anak muda itu berjaya merebahkan tubuh badan ayah tirinya. Kartini segera bangkit dan memegang tangan Safwan.
“Jangan Saf..jangan pukul dia.. Dia tu ayah kau..” Kartini menarik tangan Safwan agar anaknya itu tidak terus maju untuk memukul suaminya.
“Ayah tiri.. Bukan ayah!” Safwan memberi penegasan.
“Jangan cari masalah Saf.. Ayah Engku kau tu ayahanda.. Dia ramai anak buah.”
“Ayahanda ke, bapak nda ke, datuk nda ke.. Saf takkan diam kalau dia pukul mak, hina mak macam-macam.” Safwan merentap tangannya untuk melepaskan pegangan tangan Kartini dan segera menuju ke arah Tengku Badrul yang sedang berusaha untuk bangkit berdiri.
“Budak tak guna..” Tengku Badrul menyorotkan mata ke arah Safwan yang sedang menuju ke arahnya. Satu lagi tumbukan Safwan mengenai muka ayah tirinya itu. Tendangan kaki anak muda itu pula menyusul lalu hinggap di badan Tengku Badrul sehingga orang tua itu kembali rebah ke lantai. Safwan yang gagal mengendalikan emosinya itu melompat ke arah ayah tirinya yang sedang terbaring lalu satu tendangan lagi mengenai perutnya.
Akibat tendangan itu, Tengku Badrul segera muntah dan mengeluarkan kembali air kencing syaitan yang diminumnya tadi. Lelaki tua itu merasakan dirinya sukar bernafas dan mula batuk. Saki baki air yang memabukkan keluar lagi dari mulutnya dan menimbulkan bau kurang enak di dalam ruang rumah berkenaan. Safwan yang masih tidak puas hati dengan ayah tirinya itu mencekik leher orang tua itu sama sebagaimana Tengku Badrul mencekik ibunya tadi. Tumbukan dilepaskan lagi ke arah muka Tengku Badrul sehingga darah meleleh keluar dari hidung dan mulutnya.
“Sudah Saf..cukup…cukup..” Kartini memegang tangan Safwan untuk menghalang anaknya itu dari terus memukul Tengku Badrul. Wanita itu kemudian menarik Safwan ke belakang agar menjauhi ayah tirinya itu. Dia tidak ingin anaknya itu menjadi pembunuh atau kembali semula ke penjara kerana pergaduhan tersebut. Menyedari pergerakan Safwan sudah terkekang oleh ibunya, Tengku Badrul segera merangkak sebelum bangkit berlari ke arah muka pintu.
“Woi budak-budak.. Tolong aku.. Ajar budak tak guna ni.” Tengku Badrul menjerit ke arah anak buahnya yang masih duduk di dalam kereta. Melihat ayahanda mereka terluka, beberapa orang lelaki kelam kabut untuk keluar kembali dari kereta mereka.
“Lari Saf.. lari cepat.. Jangan sampai mereka pukul kau. Lari!!” Kartini menolak badan Safwan supaya anaknya itu lari menyelamatkan diri.
Safwan sebenarnya tidak berencana untuk melarikan diri. Dia sudah siap bersedia untuk bergaduh walau sampai kehilangan nyawa. Namun kerana mendengarkan arahan ibunya, Safwan dengan patuh melarikan diri ke arah pintu dapur rumahnya apabila melihat beberapa orang lelaki mula menyerbu dari pintu hadapan rumahnya.
Share this novel