SIANG berlalu dengan pantas. Safwan bersama para pekerjanya mengemas dan membersihkan kedai sebelum pulang. Sedang membersihkan lantai, fikiran Safwan tiba-tiba teringat akan kata-kata Nadia pagi tadi. Entah apakah kejutan yang ingin disampaikan oleh isterinya itu. Safwan semakin tidak sabar untuk mendengar perkhabaran yang akan diberitahu oleh isterinya nanti. Seketika kemudian, Aisyah memanggil Safwan untuk mendatanginya ke meja kaunter pembayaran. Segala urusan kewangan dan pembayaran, Safwan sudah tugaskan kepada Aisyah untuk uruskan. Apabila menghampiri Aisyah yang sedang duduk di meja, Aisyah segera menghulurkan sejumlah wang kepada Safwan.
“Ini hasil jualan untuk hari ni.” Aisyah berbicara ringkas. Safwan segera mengambil wang tersebut sambil melihat jumlah kutipan yang sudah dikira dan dicatatkan pada buku oleh Aisyah. Safwan seperti tidak mempercayai jumlah wang yang sudah dikira oleh Aisyah. Dia mula mengira kembali wang yang diterimanya dari Aisyah.
“Eh, kenapa banyak yang dapat hari ni? Lebih dari separuh berbanding jualan biasa..” Safwan terkejut dengan hasil jualan yang dia terima pada hari tersebut.
“Entahlah.. Saya pun dah tiga kali check untuk pastikan jumlah tu betul.. Memang takde silap..” Aisyah memberi penjelasan.
“Alhamdulillah.. Allah nak bagi lebih rezeki untuk kita hari ni..” Safwan tetap memuji Tuhan yang memberikan rezeki. Berapapun hasil yang dia dapat, Safwan tetap bersyukur dan menerima rezeki yang sudah ditetapkan untuknya dengan hati yang terbuka. Oleh kerana jualannya meningkat, Safwan juga tidak lupa untuk memberi upah yang lebih kepada setiap pekerjanya.
Setelah siap melakukan tugas membersih dan mengemas kedai, Safwan segera memberikan upah kepada setiap pekerjanya sebelum mereka masing-masing pulang. Setelah menutup serta mengunci pintu kedai, Safwan meluncurkan motosikalnya untuk kembali ke rumah. Dia sudah tidak sabar untuk mendengar hal yang akan disampaikan oleh Nadia sebentar lagi.
Sesampainya di rumah, Safwan bergegas menuju ke arah tangga rumah sambil memberi salam. Hatinya girang untuk menemui isteri tercinta. Apabila menapakkan kaki ke muka pintu depan rumah, Safwan tiba-tiba tergamam. Dia merasakan dirinya seolah sedang bermimpi. Rumah mereka sedang menerima seorang tetamu yang sangat dikenali oleh Safwan dan dia langsung tidak menyangka kehadiran tetamu tersebut.
Alyaa segera berlari mendapatkan Safwan. Gadis itu mencapai tangan Safwan untuk bersalaman dengan abangnya yang masih berdiri kaku. Safwan masih tidak mempercayai apa yang dilihatnya. Bagaimana Alyaa mampu muncul secara tiba-tiba di sana.
“Abang..” Alyaa segera memeluk Safwan dengan erat. Pelukannya itu menyedarkan Safwan yang menjadi kaku seketika tadi. Air mata jernih menitis dari mata Safwan.
“Adik.. macam mana adik boleh sampai sini?” Safwan membalas pelukan adiknya. Nadia, Maryam dan Nazirah yang berada di ruang tamu tersenyum melihat pertemuan dua beradik tersebut. Mata mereka turut berkaca menahan sebak. Selama ini Safwan jarang bercerita mengenai keluarganya melainkan jika ditanya. Mereka cuma tahu Safwan memiliki seorang ibu, ayah tiri dan seorang adik perempuan. Namun hari ini mereka baru dapat melihat adik yang menjadi kesayangan Safwan itu.
“Kak Nadia yang suruh adik ke mari. Dia yang bagi location.. Kelmarin adik dah habis final exam. Pagi tadi adik terus naik bas datang ke kedah. Dari stesen bas, adik ambil grab datang sini..” Alyaa menjelaskan keadaan yang telah berlaku. Safwan merenung Nadia yang sedang duduk bersama Nazirah dan Maryam. Dia langsung tidak menyangka isterinya itu sering berhubung dengan Alyaa. Safwan yakin, Nadia sudah mendapat nombor telefon Alyaa ketika mereka berbual semasa panggilan video di telefon Safwan beberapa hari yang lepas.
“Mak tahu tak adik kemari?” Safwan bertanya kepada adiknya.
“Mak tak tahu.. Adik tak bagitau mak pun.. Mak dah pesan hari tu, jangan bercakap pasal abang kat telefon. Mak takut Ayah Engku dengar.. Mak tak nak Ayah Engku tahu abang duk kat mana.. Dia masih marah dengan abang.. Adik dah habis final exam kelmarin pun adik tak bagitau mak. Kalau tak, mesti mak akan bertanya kenapa adik tak balik kampung lagi.” Alyaa memberi penjelasan dengan lebih terperinci untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh Safwan.
“Bagus la kalau macam tu.. mak pun mesti bimbang kalau tahu adik dah habis exam tapi tak balik.. Biarlah dia tak tahu dulu..”
“Abang.. Adik rindu dengan abang.. Kak Nadia dah ceritakan apa yang terjadi kat abang selama duk kat sini.. Adik bangga dengan abang. Semoga abang terus istiqomah menjadi orang baik.” Alyaa menitiskan air mata bahagia sambil memandang abangnya.
“Insyaallah.. Abang akan sentiasa ingat janji abang kat adik dulu.” Safwan menyeka air mata Alyaa. Dia kemudian menuntun tangan adiknya itu untuk duduk di sofa.
“Eh, barang-barang adik kat mana? Tak bawa ke?” Sawfan baru menyedari adiknya itu tidak membawa beg besar dan beg sandang yang sering dibawa adiknya itu untuk ke Kuala Lumpur dahulu.
“Kak Nadia dah simpankan..” Alyaa tersengih.
“Sayang dah letak beg dan barang-barang Alyaa kat bilik tetamu tu.” Nadia menunjukkan ke arah sebuah bilik kosong yang tidak dihuni selama ini. Bilik itu memang disediakan oleh arwah ayah Nadia untuk kegunaan tetamu yang biasanya terdiri dari sanak saudara yang datang bertandang ke rumah mereka. Safwan hanya tersenyum apabila memikirkan, mungkin kehadiran Alyaa inilah yang dimaksudkan oleh Nadia sebagai kejutan pada pagi tadi. Dia tidak menyangka isteri dan adiknya membuat pakatan di belakang pengetahuannya. Dalam masa yang sama, Safwan turut bersyukur kerana dua orang wanita kesayangannya sudah saling mengenali dan menjadi akrab. Air sirap di atas meja yang dihidangkan untuk Alyaa masih tersisa dan masih ada satu gelas kosong yang tidak diisi dengan air. Safwan ingin mencapai air sirap tersebut namun pergerakan tangan Nadia lebih pantas mengatasi.
“Abang nak minum?” Nadia segera menuangkan air sirap ke dalam gelas yang masih kosong lalu di hulurkan kepada Safwan. Safwan segera menyambut gelas yang dihulurkan oleh Nadia sambil menyertakan ucapan terima kasihnya kepada sang isteri.
“Abang Farhan dah pergi ke pondok?” Safwan bertanyakan tentang abang iparnya yang tidak terlihat bersama mereka di ruang tamu tersebut.
“Ah.. sekejap lagi nak asar.. Dia pergi mengajar budak-budak tu mengaji quran dulu sebelum asar.”Maryam menjawab pertanyaan Safwan.
“Padahal baru beberapa bulan tak jumpa, tapi tak tahu kenapa, abang rindu sangat kat adik.. Macam dah lama sangat tak jumpa.” Safwan menatap Alyaa setelah meneguk air sirap.
“Sama la.. Padahal dulu masa abang duk kat dalam penjara, bertahun tak jumpa.. Tapi takde la rasa rindu sangat macam sekarang.. Mungkin sebab perubahan diri abang kot.. Hidup abang dah berubah seratus lapan puluh darjah.. Adik syukur abang dah jadi macam ni.”
“Dulu abang jahat sangat ke?” Safwan sengaja memancing adiknya.
“Entah.. Orang je cakap abang jahat. Adik tengok abang baik je.. Sekarang pun abang tetap abang Safwan yang sama bagi adik.. Cuma sekarang, muka abang makin berseri.” Alyaa meluahkan pendapatnya dengan ikhlas.
Pada pandangannya, Safwan dari dahulu seorang abang yang baik. Walaupun abangnya itu dituduh dengan pelbagai kesalahan, Alyaa tetap meragukan keputusan mahkamah.
Manakan tidak, Safwan ketika berada di rumah bersama Alyaa memang seorang lelaki yang baik dan penyayang. Dia hanya berkelakuan buruk dan menghisap rokok serta menagih dadah ketika berada diluar rumah sahaja. Tidak pernah sekalipun Safwan menyakiti Alyaa dan ibunya dan langsung tidak pernah Safwan membentak ibunya. Walaupun berkelakuan buruk ketika bersama teman-temannya diluar, namun Safwan adalah seorang anak dan abang yang baik ketika berada di rumah.
“Adik duduk dulu la, berbual dengan Kak Nadia, Kak Ira, dengan mak.. Abang nak mandi, nak bersiap untuk sembahyang asar dulu.” Safwan bangkit berdiri dan menggosok kepala Alyaa sehingga hampir melucutkan tudung yang di pakai oleh Alyaa.
“Ish.. abang ni..” Alyaa geram dengan abangnya yang melayan dirinya seperti anak kecil. Alyaa membetulkan kembali tudung yang dipakainya sambil melihat Safwan yang melangkah pergi menuju ke bilik.
“Alyaa tunggu sat.. Kak, mak, layan la dulu Alyaa ya..” Nadia turut bangkit dari duduknya dan segera menuju ke bilik, mengikut jejak suaminya. Sesampainya di bilik, Safwan baru melepaskan baju yang dipakainya.
“Abang suka tak dengan surprise ni?” Nadia menghampiri Safwan lalu memeluk suaminya itu dari hadapan.
“Tiada yang lebih istimewa daripada ni.. Terima kasih sayang..” Safwan mencium dahi isterinya dengan penuh rasa cinta. Dia benar-benar gembira dengan kejutan yang diberikan oleh Nadia. Tangan Safwan dengan sendirinya mula bergerak merangkul pinggang isterinya. Nadia yang merasa bahagia di dakapan Safwan mengendus hidungnya, mencium aroma tubuh si suami.
“Abang…Mmmm..” Muka Nadia mula merona kemerahan. Nafas wanita itu mula kencang dan dia cuba merapatkan bibirnya ke leher Safwan.
“Haissh.. Jangan macam tu la.. Abang dah lambat ni.. Sekejap lagi dah nak asar.. Kan tertinggal pula solat jemaah kat sana..” Safwan cuba menolak keinginan isterinya. Nadia pula tertawa kecil sambil mengetap bibirnya seraya mengukir satu senyuman yang nakal. Selepas meleraikan dakapannya, Nadia lantas mencubit perut suaminya itu.
“Hutang ye.. Malam ni bayar balik..” Nadia mengusik suaminya yang cuba bergegas untuk bersiap sedia menunaikan solat. Safwan tidak mampu menahan dirinya dari menganggap wajah isterinya yang merona kemerahan ketika itu terlihat sangat comel. Dia lantas mencubit kedua belah pipi yang berlesung pipit milik isterinya.
“Dah, pergilah temankan Alyaa dulu..” Safwan kemudian mendorong belakang Nadia untuk meninggalkannya. Ketika Nadia baru sahaja memulakan langkah untuk menuju ke pintu bilik, Safwan tiba-tiba menarik lengan isterinya itu dan memberikan satu kucupan di pipi Nadia.
“I love you sayang..” Safwan meluahkan kalimat cintanya kepada sang isteri. Nadia tersenyum dengan perbuatan suaminya itu.
“Jangan lupa.. Malam ni bayar..” Nadia berkata dengan suara separa berbisik sambil berjalan keluar dari pintu bilik tidur mereka.
Safwan tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat kelakuan isterinya itu. Hari ini Safwan benar-benar sangat bahagia. Tanpa membuang masa, Safwan segera bergegas mencapai tuala dan berjalan laju menuju ke arah bilik air untuk membersihkan diri. Sebentar lagi azan asar akan berkumandang. Dia tidak ingin terlewat untuk menunaikan ibadat wajib itu secara berjemaah di pondok Ustaz Razali.
Share this novel