Bab 24 (part 1)

Romance Series 8087

FIKIRAN Safwan berserabut. Jiwanya menjadi tidak  tenang apabila teringatkan kata-kata Paksu Nasir terhadap diri dan ibunya. Pulang dari surau, dia tidak terus kembali ke rumahnya. Dia tidak ingin ibunya tahu hal yang sudah berlaku sebentar tadi.

Safwan kini berada di wakaf yang menjadi tempat lepak dia dan teman-temannya selama ini. Pada waktu maghrib sebegitu, hanya dia sendirian duduk di kawasan tersebut. Safwan termenung mengenangkan nasib dirinya. Dia tidak tahan mendengar orang mengeji ibunya.

Sejak kematian ayahnya, ibunya, Kartini menjadi ibu tunggal berbelas tahun lamanya. Demi menyara Safwan dan Alyaa yang masih kecil ketika itu, ibunya terpaksa bekerja di kedai makan untuk mencari nafkah.

Arwah ayahnya juga bukanlah orang berada. Semasa meninggal, ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah sahaja untuk mereka berteduh dari hujan panas. Kerana ibunya bekerja di kedai makan, maka ramailah lelaki berhidung belang yang cuba menggoda dan mendekati ibunya yang berstatus ibu tunggal.

Paksu Nasir adalah salah seorang dari lelaki tersebut. Oleh kerana dirinya ditolak oleh Kartini, itulah sebabnya Paksu Nasir cuba menabur fitnah dengan mengatakan Kartinilah yang cuba menggodanya. Lelaki hidung belang itu juga terpaksa berkata sedemikian apabila perbuatannya yang selalu mendekati Kartini diketahui oleh isterinya. Untuk membela dirinya, maka lelaki itu menuduh dan menyalahkan Kartini yang cuba menggodanya. Malah lelaki seperti Paksu Nasir itu ramai jumlahnya.

Kerana ditolak, mereka menabur fitnah sehingga isteri-isteri mereka datang menyerang Kartini dan menuduhnya pelacur. Oleh kerana sering di serang ketika bekerja, pemilik kedai makan pun terpaksa memberhentikan Kartini. Dengan berbekalkan sedikit wang simpanan, Kartini memulakan perniagaan sendiri dengan membuka warung menjual nasi dan kuih secara kecil-kecilan. Hal itu berlangsung selama belasan tahun, sehingga Safwan berumur dua puluhan. 

Beberapa tahun lalu, Kartini yang berkahwin dengan suami baru mula menghentikan perniagaannya. Safwan sendiri pada awalnya tidak mahu ibunya itu berkahwin dengan ayah tirinya itu, namun kehendak ibunya itu terpaksa diturutkan. Dia hanya mahukan yang terbaik buat ibu dan adiknya, tetapi ternyata kehidupan mereka tidak juga berubah selepas ibunya berkahwin lagi.

Ayah tirinya hanya pulang sesekali ke rumah mereka dan sering bersama isterinya yang terdahulu. Awal perkahwinan Kartini, ibunya itu juga sering diganggu oleh isteri terdahulu ayah tirinya dan menuduh ibunya sebagai perampas dan perempuan murahan.

Safwan yang membesar dalam keluarga yang porak poranda tanpa ayah menyebabkan dia sering menghabiskan masa dengan teman sebaya dan terjebak dengan masalah sosial sehingga bergaduh dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Berbeza dengan Safwan, adiknya Alyaa pula membesar sebagai gadis pendiam dan ulat buku. Adiknya itu banyak menghabiskan masa di rumah dan menelaah buku pelajaran. Alyaa mempunyai tekad untuk menjadi doktor dan mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Ketika mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya, Safwan yang ketika itu berada dalam penjara begitu gembira dengan perkhabaran dari adiknya. Bagi Safwan, tiada hal yang paling di sayangi dalam hidupnya selain ibu dan adiknya itu. 

Tatkala Safwan sedang mengelamun jauh, laungan azan isyak mula berkumandang. Safwan yang masih termenung dihanyutkan lamunan fikirannya tidak mengendahkan alunan lafaz suci yang bergema di ruang udara itu. 

“Oii Paku.. awal kau datang sini.. Siang tadi tak pula keluar.” Apik tiba-tiba muncul dan menyapa Safwan yang sedang termenung. Sapaan temannya itu mengejutkan Safwan yang sebentar tadi hanyut di dalam fikirannya.

“Ahh, Pik.. saja duk sini.. Serabut kepala.”

“Kenapa pulak? Mak kau bebel ke? Dah besar pun kena bebel lagi..” 

“Takde la.. Bukan masalah dengan mak aku..”

“Habis tu? Ayah engku kau?”

“Bukan la.. Orang tua tu pun aku tak jumpa lagi.. Aku duk serabut dengan Paksu Nasir tu la. Ada ke patut dia tuduh aku pecah tabung surau.. Lahanat betul. Last-last kantoi, anak dia sendiri, si Ayie tu yang curi duit tabung surau. Kalau bukan orang ramai sekat aku tadi, memang mampus orang tua tu aku kerjakan.” Safwan melepaskan nafas keluhan.

“Rileks la.. Kau jangan macam-macam.. Kau baru dua hari keluar penjara, takkan nak masuk lagi sebab tibai orang tua.” Apik memberi nasihat.

“Itulah..dia pun dah tua, nak mampus esok lusa dah.. Tak berbaloi juga aku bunuh dia..” Safwan langsung tertawa setelah menghabiskan kata-katanya. 

“Ni.. ubat stess ada.. Buah aku baru dapat..” Apik tiba-tiba menghulurkan pil kuda yang digelar oleh mereka sebagai ‘buah’ kepada Safwan. Setelah melihat dadah tersebut, Safwan cuba untuk mengambilnya dari tangan Apik. Namun, tiba-tiba bayangan Alyaa menjelma di fikiran Safwan dan suara adiknya itu seolah bergema di telinganya. Safwan mengingati janjinya kepada adik kesayangannya itu seraya membatalkan hasratnya untuk mengambil pil kuda yang dihulurkan oleh Apik.

“Aku dah bersih sekarang.. Taknak la aku ambik benda ni lagi. Tak pasal lekat urine lagi, mampus aku..” Safwan menolak pemberian sahabatnya itu. 

“Perghh.. Rokok pun berhenti, buah pun dah taknak..” Apik teruja dengan tekad Safwan yang sudah mampu membuang ketagihannya.

“Aku nak berubah dah pik.. Aku taknak dah duk dalam dunia lama..”

“Baguslah kalau macam tu.. Kau pun dah berhenti ambil benda ni. Jadi, lebih baik jangan mulakan balik.. Biar kekal bersih macam tu je badan kau. Macam aku ni susah lagi nak berhenti.”

“Kalau nak berubah, kau pun boleh buat Pik.. Eh, dah la.. Aku balik dulu la.. Kesian mak aku sorang-sorang kat rumah..”

“Ok, jumpa lagi.” Apik mengangkat tangannya kepada Safwan yang sudah pun berdiri dari wakaf tersebut dan mula berjalan untuk pulang ke rumahnya.

Setelah berjalan kaki beberapa minit, Safwan pun tiba di kawasan rumahnya. Di halaman rumahnya, terlihat sebuah kereta sedang parkir. Safwan segera tahu ayah tirinya sudah pulang ke rumah. Kereta yang sedang parkir di pekarangan rumahnya itu adalah kereta ayah tirinya yang dipanggil sebagai Ayah Engku oleh Safwan.

“Assalamualaikum..” Safwan memberi ucapan salam ketika membuka pintu rumahnya. 

“Waalaikumussalam..” Kartini dan Tengku Badrul menjawab salam itu pada waktu yang bersamaan.

“Ha.. dah balik pun kau..” Tengku Badrul mula menyapa Safwan. 

“Ayah Engku bila sampai?” Safwan terus bersalaman dengan ayah tirinya itu.

“Baru je sampai..” Tengku Badrul menatap anak tirinya yang baru keluar dari penjara itu.

“Pergilah makan Saf.. Mak dah siapkan makanan kat dapur tu.” Kartini bersuara.

“Ayah Engku, jom la makan sekali..” Safwan mempelawa ayah tirinya.

“Kau makan la.. Ayah dah makan tadi.” Mendengarkan kata-kata Tengku Badrul, Safwan segera menuju ke arah dapur. 

“Baru keluar penjara dah merayap.. Tu tak lain, pergi cari kawan.. Lepas tu hisap dadah lagi.. Kena tangkap, masuk penjara lagi..” Suara Tengku Badrul yang sedang berbicara dengan Kartini tertangkap di cuping telinga Safwan. Walaupun terasa sakit hati, namun Safwan tetap bersabar dengan kata-kata ayah tirinya itu.

“Dia pergi ke surau la bang..” Kartini cuba menyebelahi anak lelakinya.

“Alah.. baru-baru keluar penjara, semua macam tu.. berlagak alim dulu. Nanti dia hisap dadah lagi. Kalau tahi dadah, macam tu je la hidup mereka. Takkan pernah berubah.” Suara sinis yang menyakitkan hati berlanjutan keluar dari mulut Tengku Badrul.

Safwan terpaksa mengabaikan kata-kata tersebut dan terus menapakkan langkah kakinya ke dapur. Berpura-pura tidak mendengar tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Sampai di dapur, Safwan segera membuka tudung saji di atas meja. Hidangan ayam goreng dan ikan sardin yang disediakan oleh ibunya terlihat menyelerakan. Tanpa menunggu lama, Safwan segera membuka tudung periuk nasi dan duduk di meja makan. Keutamaannya sekarang adalah menjamu selera dan mengisi perutnya yang sudah berkeroncong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience