Bab 10 (Part 2)

Romance Series 8087

Tiba-tiba satu tendangan kuat menerjah ke badan Azlan yang sedang menggila sehingga menyebabkan lelaki itu terpelanting dari atas badan Nadia. Satu hentakan kaki menyusul ke dada Azlan yang sedang terbaring sehingga lelaki itu meraung kesakitan. 

Tanpa menunggu lama, Safwan melepaskan beberapa tumbukan ke arah muka Azlan. Tidak tahan dirinya terus di pukul, Azlan segera menendang Safwan sehingga penyerangnya itu terundur ke belakang. Azlan mengambil peluang dengan bergolek untuk menjauhkan diri sebelum bangkit berdiri. Nafasnya tercungap-cungap memandang ke arah Safwan yang sedang merenungnya dengan pandangan mata yang tajam. 

“Tak guna kau..” Azlan menyumpah Safwan yang sudah mengganggu urusannya.

“Kau tu yang tak berguna! Syaitan bertopengkan manusia! Demi mengikut hawa nafsu, kau sanggup merampas kesucian seorang gadis..” Safwan membalas kata-kata Azlan dengan suara yang tinggi sambil jari telunjuknya menuding ke arah Nadia yang sedang terbaring tanpa pakaian.

Gadis itu sedang menangis kencang sambil menutup bahagian dadanya dengan menggunakan kedua lengannya. Azlan yang menyedari mukanya berlumuran darah akibat tumbukan yang diterimanya tadi, mengesat darahnya menggunakan tangan. Mukanya terasa pedih dan badannya sangat sakit akibat serangan daripada Safwan. Setelah berfikir semasak-masaknya, Azlan segera berlari meninggalkan Safwan dan Nadia di situ. Dia sedar, dengan keadaan dirinya sekarang, sukar untuk dirinya menandingi Safwan jika mereka terus bergelut.

Safwan yang ingin memastikan keselamatan Nadia, membiarkan Azlan berlalu dari kawasan tersebut tanpa berniat untuk mengejar lelaki tersebut. Setelah Azlan hilang dalam kegelapan malam, Safwan segera menoleh ke arah Nadia yang masih terduduk di atas tanah. Menyedari gadis itu tidak berpakaian, Safwan segera mengalihkan kembali pandangan matanya daripada terus melihat aurat gadis tersebut. Lelaki itu segera melepaskan jubah yang di pakainya dan dihulurkan kepada Nadia setelah menyedari pakaian gadis itu sudah terkoyak rabak. Bagaimana pun, gadis itu perlu menutup auratnya. Safwan masih lagi mempunyai baju t-shirt putih yang dipakai pada bahagian dalam jubah. 

“Pakailah jubah saya tu dulu..” Safwan tidak berani memandang ke arah Nadia yang sedang menangis dalam keadaan tidak berpakaian.

Jubah dari tangannya dilepaskan ke arah Nadia apabila Safwan menyedari pakaian yang di hulurnya tidak disambut oleh Nadia. Mata Safwan hanya memandang ke arah seluar yang di pakainya. Seluar putih yang dipadankan dengan jubahnya tadi sudah terlihat kotor setelah pergelutannya dengan Azlan sebentar tadi.

Seketika kemudian, esakan tangis Nadia semakin mereda. Gadis itu sedar lelaki yang menyelamatkan kesuciannya itu tidak ingin mengambil kesempatan dan tidak berani untuk melihat auratnya yang sedang terdedah. Nadia perlahan-lahan menyarungkan jubah yang diberikan oleh Safwan ke badannya. 

“Awak tak apa-apa?” Safwan bersuara untuk menegur gadis malang itu. Namun pertanyaan Safwan itu langsung tidak dijawab oleh Nadia. Gadis itu masih mendiamkan diri dan terus menangis walaupun semakin perlahan esakannya.

“Maaf.. Pertanyaan saya tak kena pada tempatnya..” Safwan kembali bersuara dengan meminta maaf kerana dia menganggap soalannya tadi mungkin telah menyinggung perasaan Nadia. Gadis itu baru sahaja di cabul dan hampir di rogol, mana mungkin dia tidak apa-apa. Begitulah fikir Safwan. 

“Tak.. tak perlu minta maaf.. Awak tak salah.. Awak dah tolong selamatkan saya.. Terima kasih Safwan..” Nadia baru mula bersuara walaupun kedengaran agak perlahan. Safwan mula memalingkan wajahnya, memandang ke arah Nadia apabila dia yakin Nadia sudah memakai jubah yang diberikannya sebentar tadi untuk menutup aurat gadis tersebut.

“Awak datang tepat pada masanya.. Terima kasih..” Nadia kembali menangis dengan kencang setelah mengucapkan kalimat tersebut.

“Sudahlah.. Jom la balik ke rumah.. Mari saya tolong hantarkan..” Safwan menunjukkan tangannya mengarah ke arah rumah Nadia.

Gadis itu pula langsung tidak menunjukkan tindak balas untuk bergerak selain masih meneruskan tangisan. Safwan hanya berdiri kaku memandang ke arah adik perempuan Farhan itu. Dia tahu gadis itu masih di dalam keadaan trauma, maka dia hanya mendiamkan diri untuk memberikan gadis itu masa untuk bertenang.

Safwan kembali teringatkan peristiwa yang berlaku tadi. Dia bersyukur kerana selepas keluar dari tandas tadi, dia tidak terus kembali ke ruang solat untuk menyambung mendengar kuliah. Safwan yang sedikit keletihan mengambil keputusan untuk keluar ke arah kebunnya sebentar bagi mengambil angin. Namun dari kejauhan, dia terlihat kelibat dua orang sedang berjalan melepasi kandang kambing dan rumah Farhan. Kerana laluan tersebut jarang di lalui orang, Safwan mula curiga. Kerana itu dia mengikuti jejak dua kelibat lembaga yang sedang berjalan itu. Tanpa disangka, dua orang itu sebenarnya adalah Azlan dan Nadia. Setelah mendengar jeritan Nadia, Safwan segera berlari mendekati mereka dan melihat Azlan yang sedang cuba menodai tunangnya itu. Kerana melihat Nadia yang sudah lemah dan cuba meronta melepaskan diri, tanpa berfikir panjang, Safwan segera melepaskan tendangan ke arah Azlan agar menjauhi gadis tersebut.

Tidak lama kemudian, beberapa orang mula muncul di kawasan tersebut. Di antara mereka adalah Azlan, Farhan dan beberapa orang lelaki lain. Safwan dan Nadia sangat terkejut dengan kehadiran beberapa orang lelaki dari pondok. Jelas pada pemahaman mereka, Azlan yang telah membawa kumpulan lelaki tersebut ke kawasan tersebut. Safwan berfikir, mungkin mereka telah mendesak Azlan apabila melihat muka anak Ustaz Razali itu berlumuran darah. Semoga perbuatan terkutuk lelaki itu terbongkar dan orang ramai akan tahu sifat sebenar Azlan.

“Nah.. kan saya dah cakap.. Mereka masih ada kat sini..” Azlan mula menjerit. Farhan jelas mempamerkan wajah yang terkejut apabila menyaksikan Safwan dan Nadia yang berada berduaan di kawasan tersebut.

“Tengok.. Gelojoh sangat buat maksiat sampai baju pun tertukar.. Ni mesti gelojoh sampai main tarik baju, terkoyak habis ni..” Azlan menuding ke arah Nadia yang sedang memakai jubah milik Safwan. Semua yang berada di situ terkaku dan mendiamkan diri.

“Tadi, bila diorang kantoi dengan saya, si Safwan ni pukul saya.. Sebab tu saya lari, balik ke rumah. Tapi saya nak buktikan, lelaki tak guna ni dah berdua-duaan dan buat maksiat, berzina dalam semak.. Jadi tuan-tuan tengok la sendiri.. Semua orang jadi saksi perbuatan terkutuk mereka ni..” Azlan dengan lancar menghamburkan fitnah ke atas Safwan dan Nadia.

Farhan yang merasa sangat malu kepada orang lain dan marah dengan perbuatan Safwan dan adik perempuannya itu langsung melepaskan satu tumbukan ke arah muka Safwan. Safwan sedikit terundur ke belakang dan hanya mendiamkan diri. Dia tidak akan membalas atau mematahkan serangan dari Farhan yang sangat dihormati olehnya itu. Azlan tersenyum puas apabila melihat tindakan dari Farhan. Jelas umpannya sudah mengena. Farhan pasti akan lebih percaya pada cerita yang disampaikan olehnya lebih-lebih lagi lelaki itu dan ramai saksi lain yang menyaksikan kebenaran yang dia ceritakan.

“Abang! Jangan buat begitu.. Safwan tidak bersalah..” Nadia kembali menangis apabila abangnya itu menyerang lelaki yang sudah menyelamatkan dirinya secara membuta tuli tanpa usul periksa. 

“Kau diam Nadia! Tergamak kau menconteng arang ke muka keluarga kita!” Farhan mula membentak. Semua orang yang berada di situ mendiamkan diri. Safwan hanya menundukkan pandangannya ke tanah. Langsung tidak membantah atau membela dirinya yang sudah di fitnah. Nadia pula terus menangis teresak-esak sambil menyeka air matanya menggunakan lengan.

“Kalau begini la perangai kau, aku taknak kahwin! Aku batalkan perkahwinan kita.. Pertunangan kita putus!” Azlan masih meneruskan lakonannya supaya semakin terlihat bahawa dia adalah mangsa dalam kejadian tersebut.

“Lan.. tarikh perkahwinan korang dah hampir pun.. Abang minta tolong.. Tarik semula kata-kata kau tu.. kita bincang elok-elok perkara ni.. Malu keluarga kita kalau perkahwinan ni dibatalkan..” Farhan berpaling ke arah Azlan dan cuba memujuk lelaki tersebut. 

“Nak bincang apa lagi bang.. Dah jelas Nadia ni dah takde dara.. Dah berzina.. Saksi pun ramai.. Kalau teruskan perkahwinan ni, saya yang akan lebih malu.. Keluarga saya yang lebih malu sebab menerima perempuan hina macam Nadia ni.” Azlan masih meniupkan api fitnah tanpa segan silu. 

“Aku sendiri pun tak nak kahwin dengan lelaki tak guna macam kau! Pergi mampus la kau Azlan!” Nadia mula memekik. Air matanya semakin laju mencurah keluar apabila di fitnah oleh tunangnya sendiri.

“Haa.. abang dengar sendiri.. Dia sendiri yang taknak kahwin dengan saya.. Sebab tu dia berzina dengan jantan tu.. bila kantoi dengan saya, jantan tu pukul saya sampai macam ni.. Sekarang nak fitnah saya pula.. Nasib baik saya tak report polis, tak report pejabat agama.. Kalau tak, lagi teruk kes diorang ni.. Saya bawa abang dan semua orang kat sini je sebagai saksi kebenaran kata-kata saya..” Azlan cuba memanipulasikan kata-kata Nadia.

Farhan mendiamkan dirinya. Dia cuba menenangkan dirinya dan bertindak secara waras. Dia mula sedar dia sudah terbawa oleh emosi sebentar tadi. Namun apabila dia melihat Safwan yang tunduk mendiamkan diri dan Nadia yang menangis teresak-esak dengan memakai jubah milik Safwan, hatinya mula ragu. Dia sangat kenal dengan adik perempuannya. Walaupun nakal, namun adiknya itu pasti akan menjaga kehormatan dirinya.

Sepengetahuannya, Nadia tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki kerana sangat menjaga batas pergaulannya. Dia bertunang dengan Azlan pun kerana hanya menerima langsung pinangan dari anak Ustaz Razali itu. Safwan pula, walaupun lelaki itu hanya baru di kenali hampir enam bulan, namun dia tahu kebaikan hati budi Safwan. Tidak mungkin lelaki seperti Safwan dan adiknya yang sudah bertunang akan melakukan perkara terkutuk. Tapi Farhan juga ragu-ragu. Jika mereka tidak bersalah, kenapa Safwan hanya diam dan tidak membela dirinya.

Farhan terpaksa mengambil langkah yang lebih selamat dan rasional. Perkara ini perlu di siasat dan dia perlu mendengar cerita dari semua pihak. Sejak dari awal, dia hanya mendengar cerita dari Azlan yang membuat pertuduhan. Hanya kerana melihat Safwan dan Nadia berduaan, mereka terus memberikan hukum. Walaupun keadaan Nadia dan Safwan sangat mencurigakan malah dengan Nadia yang memakai pakaian milik Safwan, Farhan fikir dia perlu ambil tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku. 

“Sudah! Kita bersurai dulu.. Nanti kita bincangkan hal ini elok-elok. Sekarang masing-masing masih terbawa oleh emosi. Kita bertenang dulu.. Ayuh, semua  kita balik.. Nadia, balik ke rumah..” Farhan memberikan arahan. Semua orang yang berada di situ masing-masing menurut kata-kata Farhan dan mula beransur pergi dan bersurai. Hanya Safwan yang hanya masih membisu dan berdiri di tempatnya. Matanya masih setia menatap bumi yang dipijak. Farhan yang menyedari keadaan Safwan terus berpaling dan memanggil lelaki tersebut.

“Safwan.. Jangan berdiri di situ lagi.. Ikut abang..” 

Safwan tanpa sebarang bantahan terus menggerakkan kakinya mengikuti Farhan dan semua yang lain untuk pulang.

Sampai sahaja di rumahnya, Nadia terus berlari masuk ke dalam rumah dan menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu seraya menangis dengan kencang dengan menelungkupkan mukanya ke arah bantal di sofa. Tindakannya itu langsung mengejutkan ibunya, Maryam dan Nazirah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tersebut. Kedua orang wanita itu masih belum mengetahui hal yang sudah berlaku sebentar tadi.

Semua orang akhirnya pulang ke pondok Ustaz Razali selain Safwan dan Farhan. Farhan menghempaskan punggungnya di anak tangga rumahnya dan menatap Safwan yang diam membatu di hadapannya. Farhan kemudian memicit dahinya kerana fikirannya sudah kusut memikirkan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Maryam dan Nazirah pula segera menghampiri Nadia yang sedang menangis di sofa. 

“Kenapa Nadia? Kenapa kau menangis ni? Ni.. baju kau.. Kenapa kau pakai jubah putih ni? Mana baju kau?” Maryam mulai gusar apabila melihat keadaan anak gadisnya itu. Pertanyaannya langsung tidak di jawab. 

“Abang, Kenapa dengan Nadia? Apa yang dah berlaku?” Nazirah pula melontarkan soalan kepada suaminya apabila menyedari Farhan dan Safwan sedang berada di tangga rumah mereka. Maryam segera menuju ke arah Nazirah yang sedang berada di muka pintu. Dia perlu mendapat jawapan kepada persoalannya tadi dari Farhan memandangkan Nadia langsung tidak ingin berbicara melainkan menangis.

“Farhan, apa dah jadi kat adik kau? Kenapa dia menangis macam tu?” Maryam mengulangi soalan yang ditujukan oleh Nazirah kepada Farhan. Farhan pula masih mendiamkan diri dan tidak menjawab pertanyaan isteri dan ibunya itu. Matanya masih kaku memandang ke arah Safwan yang berdiri di hadapannya.

“Abang minta maaf sebab dah pukul kau tadi.. Abang terlalu ikutkan emosi.. Sekarang cuba kau ceritakan, apa sebenarnya yang dah berlaku? Abang nak dengar cerita dari semua pihak.. Abang tak percaya kalau kau dan Nadia dah buat benda terkutuk macam Azlan katakan.. Abang nak kau jujur..” Farhan bersuara tenang.

“Astaghfirullah al azim.. Allahuakhbar.. Apa kau dah buat kat Nadia, Safwan?” Maryam bersuara sedikit kuat.

“Mak.. tolong diam dulu.. Dengar dulu penjelasan dari Safwan.” Farhan menegur ibunya. 

“Saf.. tolong.. Ceritakan kat abang dengan jujur.. Kalau betul kau buat benda salah pun, mengaku je.. Abang janji takkan marah..” Farhan masih memujuk Safwan dengan suara yang mendatar. Dia sudah bersedia untuk mendengar apa jua cerita dari Safwan. 

“Abang.. Saya.. minta maaf..” Safwan bersuara perlahan dan tersekat-sekat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience