Bab 18 (part 2)

Romance Series 8087

SAFWAN menghentikan motosikalnya di sebuah warung yang ketika itu agak lengang dari pelanggan. Safwan segera duduk pada meja di warung tersebut dan memesan teh o ais. Seketika kemudian, Pak Daud, pemilik warung tersebut menghantar minuman yang dipesan oleh Safwan. Dia menatap wajah sugul anak muda di hadapannya itu yang sedang bersendirian.

“Seorang je ke?” Pak Daud bertegur sapa, sekadar berbasa basi dengan pelanggannya itu.

“Ah.. sorang je la..” Safwan menjawab ala kadar seraya tersenyum.

“Kau ni adik ipar Farhan kan?” Yang jual sayur kat jalan besar depan sana kan?” Pak Daud menyoal selidik.

“Ya saya..”

“Pak Daud selalu tak sempat nak beli sayur kat gerai kau.. Pergi tengah hari, tengok dah tutup..” Pak Daud semakin rancak berbicara.

“Oh, tengah hari memang saya dah tutup.. Saya niaga sampai tengah hari je. Lagipun saya dah tak meniaga kat gerai.. Sekarang saya dah buka kedai kat simpang tiga depan tu. Ada kedai yang baru siap tu.. Saya pun selalu lalu kat sini pagi-pagi, menjaja sayur. Tapi tak nampak pula Pak Daud buka kedai.” Safwan juga mula melayan pemilik warung tersebut.

“Ooohh.. Dah pindah rupanya. Jadi kedai kat simpang tiga tu kau punya la.. Tak tahu pula Pak Daud.. Ah, Pak Daud start berniaga tengah hari..  Pagi pergi menoreh dulu..” 

“Patut la saya lalu pagi, tak pernah buka.. Eh, gagah lagi ye Pak Daud? Menoreh lagi, meniaga lagi..” Safwan kagum dengan kelebihan kudrat lelaki tua itu.

“Ala..menoreh pun sikit-sikit je.. Bukannya banyak.. Getah pun murah je sekarang.” 

“Takde la.. Dah umur macam ni, kiranya masih kuat la tu buat lebih dari satu kerja.” Safwan memuji pemilik warung tersebut.

“Hmm.. jual getah pun berapa sen je.. Meniaga warung ni pun, nak kata untung sangat pun tak juga.. Cuma harap orang kampung datang minum je.. Nak tak nak, kena juga cari duit.. Pak Daud ada tiga orang cucu lagi yang masih sekolah, nak kena jaga.. Mak bapak budak-budak tu dah meninggal, accident kereta dulu, mati dua-dua. Ada anak OKU lagi sorang. Isteri Pak Daud la yang duk jaga mereka kat rumah.” Pak Daud menceritakan perihal dirinya.

“Innalillahiwainna ilaihi rojiun..” Safwan terkejut dengan dugaan yang di alami oleh lelaki itu. Setelah diam sejenak, Safwan melanjutkan bicaranya.

“Pak Daud ada anak lain lagi?” 

“Anak lelaki sorang dulu pun dah meninggal sebab kanser. Dia tak sempat kahwin.. Sekarang ada anak perempuan dua orang. Dua-dua duk kat luar, ikut suami masing-masing.. Seorang kat KL, seorang lagi kat Penang. Suami mereka pun bukan orang senang juga. Hidup cukup-cukup makan je.” 

“Allahuakhbar.. Tabahnya Pak Daud..” Safwan bertambah kagum dengan Pak Daud yang tabah menghadapi ujian dalam hidupnya.

“Dah takdir Allah, terima je la dengan hati yang terbuka. Allah tahu apa yang terbaik buat kita.. Haa.. siapa nama kau?” tanya Pak Daud.

“Safwan..”

“Ah..Safwan.. Boleh tak kau hantar je sayur kat warung Pak Daud ni? Kalau datang pagi pun takpe la.. Kau tinggal je sayur tu kat atas meja sana tu. Nanti kau dah tutup kedai, kau datang la ke sini ambil duit.. Boleh tak?” 

“Insyaallah, boleh je Pak Daud. Kalau macam tu, bagi je nombor telefon Pak Daud. Nanti saya miss call.. Save nombor saya.. Kalau Pak Daud nak pesan apa-apa, mesej atau call je nombor saya.”

“Kau buat la macam mana.. Pak Daud tak reti nak save nombor orang ni..” Pak Daus lantas menghulurkan telefon bimbitnya kepada Safwan. Telefon itu di sambut Safwan dan dia segera memasukkan nombor telefonnya ke dalam senarai nama simpanan di telefon Pak Daud.

Pada waktu yang sama dua buah motosikal yang ditunggangi oleh tiga orang lelaki berhenti di warung tersebut. Orang yang baru tiba itu adalah Azlan dan teman-temannya. Azlan menjeling kepada Safwan yang sedang mengembalikan telefon bimbit Pak Daud. Safwan juga sedar akan kehadiran Azlan namun dia hanya berpura-pura untuk tidak melihat ke arah lelaki tersebut. 

Azlan tanpa rasa bersalah terhadap fitnah yang dia pernah lemparkan kepada Safwan, dengan lagak sombong duduk di meja bersebelahan dengan Safwan ketika itu. Matanya terus menatap Safwan. Hatinya penuh geram dan kebencian kepada Safwan yang pernah menumbuk mukanya dan telah berkahwin dengan Nadia, perempuan yang dia sukai. 

“Orang lain dah ada bini, masa ni duduk kat rumah, peluk bini.. Tapi ada orang tu, duk lepak sorang-sorang kat warung kopi.. Bergaduh dengan bini ke? Ke dah kena halau dengan mak mertua?” Azlan berlagak seolah sedang berbual dengan temannya.

Safwan menggengam kemas tangannya. Dia tahu Azlan sedang memerli dirinya, namun dia masih menahan rasa amarahnya. Namun tiba-tiba fikirannya terdetik, bagaimana Azlan tahu dia sedang bergaduh dengan Nadia? Apakah Nadia yang memberitahu hal tersebut kepada Azlan? Safwan cuba membuang prasangka buruk yang bermain di fikirannya. Tapi ingatannya segera mengembalikan peristiwa yang berlaku pagi tadi, ketika dia melihat mesej yang dihantar oleh Azlan kepada Nadia.

“Abang rindu Nadia.” 

“Memang sah mereka masih berhubung..” Monolog di hati Safwan. Dia mula mengikut hasutan syaitan. Amarahnya semakin menguasai diri sehingga menyebabkan Safwan mengetap bibir.

“Orang nak cari bini pun, cari yang elok sikit.. Ni ambil bekas orang.. Isshh.. Macam biawak la makan bekas orang. Baik aku la, dapat rasa free je perempuan tu sebelum jadi bini orang.  Yang manis-manis aku dah sedut.. Orang tu ambil sepah je la.. Makan sisa orang.. Best tak makan sisa? Ntah-ntah kalau dapat anak nanti, tu anak aku..” Azlan menghamburkan tawa sambil menepuk bahu temannya, Amir.

Safwan yang tidak tahan menerima penghinaan daripada Azlan itu segera bangkit berdiri dan menuju ke Azlan yang berada di meja sebelah. Satu tumbukan keras di lepaskan oleh Safwan, tepat mengenai muka Azlan sehingga menyebabkan lelaki itu terpelanting ke belakang dan menterbalikan kerusi dan meja  di situ. Amir cuba menyerang balas kepada Safwan, namun serangan itu mudah ditepis oleh Safwan dan satu tumbukan dari Safwan kembali hinggap ke dagu Amir. 

Melihatkan suasana kecoh dan kacau bilau itu, Pak Daud segera menarik Safwan daripada terus mengamuk. Dada bidang Safwan di tolak kuat oleh lelaki tua itu bagi menghentikan pergaduhan terus berlanjutan. Azlan yang sudah lemah dipapah oleh temannya. Darah pekat keluar dari hidungnya yang di tumbuk Safwan dan pandangannya masih berbinar.

Amir yang juga menerima satu pukulan dari Safwan langsung terbaring, tidak mampu untuk bangkit kembali. Safwan yang sedar dirinya sudah mengkucar-kacirkan warung Pak Daud segera meminta maaf kepada lelaki tua tersebut. Tidak mampu untuk terus berada di situ, Safwan segera menghulurkan dua keping not lima puluh ringgit kepada Pak Daud sebagai bayaran air minumannya dan ganti rugi terhadap kekacauan yang telah dia lakukan. Lelaki tua pemilik warung itu pula terpinga-pinga kerana diberikan wang sebanyak itu oleh Safwan yang cuma meminum segelas air teh o ais. Dia yang masih terpempan dengan keadaan yang berlaku hanya mampu mendiamkan diri dan melihat Safwan meninggalkan warungnya bersama motosikal milik lelaki tersebut.

Sekembalinya ke rumah, Safwan terus masuk ke bilik dan menemui Nadia. Amarahnya masih belum reda. Dadanya naik turun kerana menahan kemarahan yang di bangkitkan oleh Azlan di warung sebentar tadi. Matanya merenung Nadia dan telinganya masih terngiang-ngiang kata-kata Azlan. 

“Abang.. Sayang minta maaf.. Sebenarnya tadi..” Nadia yang sedar kesalahannya tadi mula meminta maaf dari Safwan. Namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, suaminya itu segera memintas dengan sebuah pertanyaan.

“Kau masih berhubung dengan Azlan?” 

“Aa..apa maksud abang?” Nadia bingung dengan pertanyaan yang tiba-tiba begitu dari suaminya. 

“Aku tanya.. Kau masih berhubungan dengan Azlan ke?! Kenapa kau masih berhubung dengan dia?!” Safwan mula meninggikan suara. Amarahnya sejak dari warung tadi tidak reda malah semakin marak membakar hatinya. Safwan benar-benar sudah hilang kewarasannya. Suaranya yang kuat itu mengejutkan seluruh isi rumah tersebut.

Farhan segera memasuki bilik dimana Safwan dan Nadia berada. Farhan bukanlah ingin masuk campur urusan rumah tangga adiknya itu namun dia benar-benar terkejut dengan perubahan sikap Safwan yang mendadak itu. Tidak pernah sama sekali dia mendengar Safwan meninggikan suara selama ini. Pasti sesuatu yang di luar kawalan telah menyebabkan adik iparnya bertindak sedemikian.

“Astaghfirullah alazim.. Saf.. sabar Saf.. kenapa kau ni? Mengucap Saf.. mengucap..” Farhan menggosok dada Safwan untuk meredakan kemarahan adik iparnya itu.

“Mana ada sayang berhubung dengan Azlan..” Nadia bercucuran air mata. Dia sangat tekejut dengan perubahan suaminya itu.

“Habis yang mesej rindu rindu tu apa? Patut la kau tuduh aku macam-macam.. Rupanya sebab nak tutup perbuatan kau yang macam-macam..” Safwan masih di rasuk amarah.

“Astaghfirullah.. Mana ada sayang mesej macam tu dengan Azlan.. Ya.. dia ada mesej sayang macam tu. tapi sayang tak balas pun.. Nah.. ambil telefon ni, check sendiri..” Nadia menghulurkan telefon bimbit di tangannya kepada Safwan, namun huluran tersebut tidak di sambut oleh suaminya itu.

“Habis yang dia tahu segala masalah kita dari mana kalau bukan dari kau? Katanya kau dah bersama dia.. Kau dah tidur dengan dia?” Safwan belum berpuas hati. Kata-kata Azlan tadi benar-benar melekat di benaknya. Tiba-tiba Nadia melepaskan satu tamparan ke muka Safwan. Safwan langsung terkesima. Farhan yang menyaksikan kejadian tersebut turut terpempan, tidak tahu dirinya harus bertindak bagaimana. 

“Sampai hati abang tuduh sayang macam tu.. abang tahukan apa Azlan dah buat kat kita? Kenapa abang perlu percaya kata-kata dia? Bagaimana mungkin sayang pernah berbuat apa-apa dengan dia.. Kalau betul, kenapa malam tu abang selamatkan sayang? Kenapa Azlan sampai perlu koyakkan baju sayang kalau betul sayang nak bersama dia? Kenapa bang? Kenapa?” Kata-kata Nadia yang diiringi air mata yang mencurah itu menyedarkan Safwan. Akal sihatnya mula kembali dan menangkis semua amarah yang tadinya sedang marak membakar hati.

Setelah dirinya beransur tenang sedikit, Safwan segera menjatuhkan punggungnya ke hujung katil dan meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan. Perlahan-lahan tangannya dilurutkan naik ke atas kepala, menyentuh rambutnya yang hitam pekat. Kata-kata isterinya sebentar tadi akhirnya mengembalikan kesedarannya dan Safwan mulai menyesal dengan tindakannya yang terburu-buru. Farhan hanya diam membatu melihat keadaan pasangan suami isteri tersebut. 

“Abang minta maaf.. Abang terlalu ikutkan emosi bila dengar kata-kata Azlan tadi..” Safwan menundukkan pandangannya ke lantai. Hatinya dipenuhi rasa penyesalan di atas perbuatannya dan kesal dengan tindakan Azlan.

Nadia kemudian terus mendekati suaminya dan merebahkan dirinya ke lantai seraya membenamkan mukanya ke paha Safwan. Dia sendiri kesal dengan apa yang telah berlaku. Semua masalah itu berlaku kerana keegoannya sendiri yang menuduh suaminya sehingga lelaki itu keluar dari rumah dan terjebak dengan Azlan. 

“Sayang juga minta maaf.. Semua ini berlaku sebab sayang.. Ampunkanlah dosa-dosa sayang..” Nadia masih menutup mukanya sambil memeluk paha Safwan. Badannya turun naik menahan tangis. Safwan membelai lembut kepala isterinya dan menolak ke atas dagu Nadia untuk mengangkat pandangan wajah wanita itu. Pandangan mata mereka bertembung dan Safwan segera melontarkan sebuah senyuman kepada isterinya. Farhan yang merasakan dirinya tidak patut untuk melihat semua adegan suami isteri itu langsung mengundurkan dirinya dan keluar dari bilik tersebut. Di bahagian luar pintu bilik, Maryam dan Nazirah sedang terpacak menunggu untuk melihat situasi. 

“Dah.. semuanya dah selesai..” Farhan menarik lengan Nazirah untuk menjauhi bilik tidur adiknya. Dia tidak ingin mereka menghendap dan mencuri dengar perbualan suami isteri itu. Maryam turut mengikut arah langkah Farhan yang menuju ke arah ruang tamu rumah mereka. Di dalam bilik, Safwan mengelus lembut pipi mulus Nadia dan menyeka air mata isterinya. 

“Abang benar-benar minta maaf.. Abang tak sepatutnya dengar dan percaya kata-kata Azlan tadi.”  Safwan meluahkan penyesalannya.

“Sayang juga minta maaf sebab dah tuduh abang dengan Aisyah tadi. Sayang tak dapat kawal diri dari cemburu sebab sayang tahu, Aisyah sukakan abang..” Nadia juga mula berterus terang.

“ Lailahaillallah.. Demi Allah.. Wallahi, abang takde apa-apa perasaan pun kat Aisyah. Kami cuma buat kerja bersama je.. Cukuplah sayang seorang di hati abang.” Safwan meluahkan isi hatinya.

“Hmm.. sayang juga dah takde apa-apa dengan Azlan.. Harap abang percayakan sayang. Sekarang sayang hanya milik abang, suami sayang yang sah. Tiada lagi lelaki lain selain abang.” Nadia memandang Safwan dengan matanya yang masih berkaca digenangi air mata.

“Allahuma salli ala muhammad, waala alihi wasahbihi wasallim.” Safwan mengucapkan selawat sejahtera kepada junjungan besar Nabi Muhammad untuk menenangkan lagi hatinya yang tadi ditimpa badai amarah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience