PERNIAGAAN Safwan semakin berkembang dengan pembukaan kedai keperluan asas. Kini dia tidak lagi menjaja sayur-sayuran mengelilingi kampung dan tidak lagi menjalankan operasi perniagaan di gerai lamanya. Semua urusniaga hanya dijalankan di kedai barunya yang terletak di simpang tiga yang menjadi laluan utama orang ramai. Safwan sangat gembira apabila kedainya yang baru sahaja memulakan operasi itu mendapat sambutan daripada orang kampung dan kawasan sekitar. Namun, pengurusannya menjadi kelam kabut memandangkan Safwan kekurangan tenaga pekerja. Hanya dia dan Aisyah sahaja yang menguruskan perniagaan tersebut walaupun barang jualannya sudah bertambah dan bukan hanya sekadar sayur-sayuran sahaja.
Tiba waktu tengah hari, Safwan dan Aisyah sudah mula mengemas dan menutup kedai.
“Saya rasa kena cari orang lagi untuk tolong uruskan kedai ni.. Tak sempat kalau cuma kita berdua.” Safwan menyampaikan pendapatnya kepada Aisyah.
“Saya pun rasa macam tu jugak.. Dulu takpe la cuma jual sayur je.. Sekarang dengan ikan, udang, sotong.. Barang runcit lagi.. Jadi kalut, kena berkejar nak selesaikan urusan sorang-sorang pembeli.” Aisyah mempunyai pendapat yang sama.
“Itulah.. Makin banyak benda kita jual, makin ramai pula customer.. Rasanya kena cari sekurangnya dua atau tiga orang lagi untuk bantu manage kedai ni.”
“Eh.. nanti ramai sangat pulak, ambil dua, tiga orang.. Sempat ke nak bayar gaji nanti?”
“Insyaallah boleh kot.. Tapi kena panjangkan la waktu perniagaan. Tak boleh la tutup sampai tengah hari macam biasa. Mungkin kena buka kedai ni sampai petang.. Kalau rasa takut penat sangat, kita buat shift je.. Boleh buat dua shift.. Pagi sampai tengah hari.. Lepas tu tengah hari sampai petang. Nak kerja satu shift pun boleh, nak kerja dua shift pun boleh.. Atas kesanggupan sendiri.”
“Hmm.. bagus juga kalau macam tu.” Aisyah sepertinya bersetuju dengan cadangan Safwan.
“Kalau ada orang lain bantu, Aisyah boleh la jaga untuk cashier je nanti.. Tak perlu la ke sana sini ambil barang yang orang nak.. Duduk je kat kaunter tu.” Safwan ingin memudahkan pekerjaan pembantunya itu. Aisyah hanya mendiamkan diri dan terharu dengan niat Safwan yang tidak ingin membebankannya. Setelah diam seketika, barulah Aisyah membuka mulutnya.
“Nak ambil budak-budak pondok tu ke kerja kat sini?”
“Eh, mana boleh.. Tugas budak-budak tu datang kat pondok untuk belajar, menuntut ilmu.. Bukan untuk bekerja, cari duit. Cukuplah sekadar mereka bantu petik sayur kat kebun tu je. Saya pun cuma nak bantu mereka dapat duit poket je. Bukan nak gunakan mereka untuk menyenangkan kerja saya.” Safwan memberikan penjelasan. Aisyah tersenyum di sebalik purdah yang dipakainya. Dia benar-benar kagum dengan pemikiran Safwan yang ingin membantu pelajar di pondok milik ayahnya itu memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah daripada keluarga yang miskin.
“Nanti saya cuba tanyakan abang Farhan je la.. Kot la dia tahu ada orang kampung yang perlukan kerja. Saya sendiri bukan kenal sangat orang kampung ni.” Safwan yang baru beberapa bulan tinggal di kawasan tersebut hanya mampu memikirkan abang iparnya itu untuk meminta bantuan.
“Baguslah kalau begitu. Abang Farhan kenal ramai orang kampung ni. Mungkin dia boleh tolong.” Aisyah turut bersetuju dengan pendapat Safwan.
“Hmm.. Maaf kalau saya tanya, Azlan masih ada kat kampung ke dah balik KL?” Tiba-tiba nama lelaki itu terlintas di fikiran Safwan.
“Ah.. dia masih ada je.. Tapi tengah malam baru balik rumah. Tengah hari dia dah keluar. Tak tahu la di kemana.. Duk dengan kawan-kawan dia kot. Entahlah.. Perniagaan dia kat KL pun tak tahu la macam mana.. Ayah tanya pun dia tak jawab.” Aisyah menundukkan pandangan wajahnya. Dia agak malu dengan perbuatan abangnya itu terhadap Safwan dan Nadia suatu ketika dahulu. Apatah lagi perangai abangnya sekarang semakin menjadi-jadi.
“Biarlah dia.. Lagipun dia bukan lagi budak kecil. Pandai-pandai la dia bezakan sendiri apa yang baik dan apa yang buruk.” Safwan tidak ingin mengaitkan Aisyah dengan perilaku buruk abangnya itu.
“Tapi Aisyah malu dengan perbuatan Azlan.” Aisyah menyatakan perasaannya.
“Sudah la Aisyah.. Awak tak perlu rasa malu atau bersalah. Perbuatan dia, tingkah laku dia, biar dia sendiri yang akan menanggung akibatnya. Bukan menjadi salah keluarga seluruhnya.. Ingat kisah Nabi Nuh, kisah Nabi Luth? Mereka adalah nabi dan rasul yang dilantik oleh Allah. Tapi ahli keluarga mereka sendiri termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah. Begitu juga dengan Nabi Muhammad. Yang begitu kuat menentang dakwah Rasulullah adalah bapa saudara baginda sendiri, Abu Lahab. Sampaikan Allah melaknat Abu Lahab dan sebuah surah khas diturunkan dalam al-quran untuk mencela Abu Lahab. Tanggungjawab Rasulullah adalah untuk berdakwah, bukan untuk menanggung dosa Abu Lahab.” Safwan cuba menasihati dan menyemangati Aisyah. Dia tidak ingin Aisyah terus rasa bersalah dan malu kerana perbuatan abangnya. Apa pun hubungan mereka, perbuatan seseorang harus menjadi tanggungjawab masing-masing dan tidak harus menuding jari kepada ahli keluarga mereka. Apalagi keluarga Azlan adalah dari golongan yang baik dan dihormati oleh masyarakat.
“Terima kasih atas nasihat dan ingatan awak Safwan..” Aisyah mengukir senyuman di sebalik hijab dan tidak terlihat oleh Safwan.
PAGI esoknya, setelah siap bersarapan, Safwan segera menuju ke biliknya untuk menukar pakaian sebelum turun ke kebun. Farhan juga sedang bersiap untuk berangkat ke pasar borong bagi menjual ikan kelinya. Nadia, Nazirah dan Maryam pula masih sibuk di dapur untuk mengemas sambil berbual. Setelah siap menukar pakaian, tiba-tiba telefon bimbit Nadia yang ditinggalkan di dalam bilik mengeluarkan bunyi. Safwan yang sudah terbiasa dengan bunyi dari telefon isterinya itu tahu bahawa itu adalah bunyi pemberitahuan ada mesej yang diterima. Tanpa sebarang niat, Safwan terpandang paparan skrin telefon bimbit Nadia dan darahnya tiba-tiba berderau apabila melihat paparan pemberitahuan mesej dari Azlan.
“Abang rindukan Nadia.”
Secara mendadak kepala Safwan terasa panas dan degupan jantungnya menjadi semakin kencang. Apa lagi yang dimahukan oleh lelaki tersebut dari isterinya. Di saat itu jugalah syaitan datang menghasut dan cuba membangkitkan prasangka Safwan terhadap isterinya.
“Nadia masih berhubungan lagi ke dengan Azlan? Tak pelik kalau dia masih teringatkan lelaki itu. Mereka sudah kenal sejak dari kecil dah sudah bertunangan. Mana mungkin Nadia boleh lupakan tunangnya itu dalam sekelip mata. Lagipun aku hanyalah pengganti yang baru hadir dalam hidup dia.” Safwan bermonolog sendirian. Safwan cuba mengawal emosinya dengan menarik nafas yang dalam. Nafasnya ditahan beberapa saat sebelum dihembuskan kembali dengan kasar. Tidak mahu pekerjaannya pada pagi itu tergendala, Safwan segera melupakan hal tersebut dan mula melangkah untuk menuju ke kebun sayurnya sebelum membuka kedai perniagaannya.
Setelah kedai di buka dan pelanggan mula datang, Safwan baru menyedari telefon bimbitnya tertinggal di rumah. Kerana menahan kemarahan setelah membaca mesej dari Azlan kepada Nadia, Safwan yang terburu-buru keluar tadi terlupa untuk membawa telefon bimbitnya. Walaupun jarak kedainya dengan rumah tidaklah terlalu jauh, namun Safwan enggan untuk kembali ke rumah bagi mengambil telefonnya memandangkan tiada keperluan penting untuk dia berbuat demikian. Safwan jarang menggunakan telefon selain urusan perniagaan, di mana para pelanggannya dari kedai makan yang ingin memesan barang yang mereka perlukan. Oleh kerana Safwan sudah menerima pesanan dari mereka sejak malam tadi, dan Safwan masih mampu mengingati setiap pesanan, maka sudah tiada keperluan untuknya membawa telefon pada pagi itu.
Perniagaannya pada hari itu berjalan dengan lancar seperti biasa sehingga tengah hari. Memandangkan sudah tiada pelanggan yang datang, Safwan dan Aisyah mula mengemas kedai untuk menghentikan operasi mereka. Ketika mengemas, tiba-tiba fikiran Safwan kembali teringat mesej yang dibacanya dari Azlan kepada Nadia. Hal itu sangat mengganggu jiwa Safwan. Dia kemudian melihat ke arah Aisyah yang masih sibuk dengan kerjanya mengemas kedai. Terdetik di hati Safwan untuk berkongsi masalahnya dengan perempuan tersebut namun dia membatalkan hasratnya itu kerana tidak ingin menceritakan masalah rumah tangganya kepada orang lain. Namun kerana fikirannya berkecamuk, Safwan tidak dapat menahan dirinya dari mendekati Aisyah.
“Aisyah..” Nama wanita itu terpacul dari mulut Safwan. Aisyah yang menyedari Safwan mendekatinya segera berpaling ke arah lelaki tersebut.
“Ya.. kenapa Safwan?” Aisyah tidak tahu kenapa Safwan memanggil namanya.
“Emm.. saya.. Ahh.. agak-agak awak, Azlan dan Nadia masih berhubungan ke?” Safwan meluahkan pertanyaan dengan berat hati.
“Eh.. kenapa awak tanya macam tu? Ada apa-apa masalah ke? Manalah saya tahu kalau mereka masih berhubungan.. Tapi rasanya tak mungkinlah..” Aisyah sendiri tidak pasti dengan jawapan yang diinginkan oleh Safwan.
“Tak..takde apalah.. Saja tanya.. kot Aisyah ada tahu sesuatu..” Safwan tergagap untuk menjawab. Kini dia mula menyesal kerana bertanyakan hal sebegitu kepada Aisyah. Sebentar tadi dia gagal mengawal dirinya dan terlepas cakap mengenai hal tersebut.
“Saya bukan nak masuk campur hal rumah tangga awak, tapi kalau awak ada masalah dengan Nadia, cubalah berbincang dulu dengan dia. Selesaikan masalah elok-elok.” Aisyah cuba memberikan nasihat. Walaupun tidak diceritakan oleh Safwan, namun Aisyah mula berpendapat rumahtangga lelaki itu sedang bergelora berdasarkan pertanyaan Safwan sebentar tadi.
“Walaupun Nadia tu nampak macam keras kepala, tapi dia sebenarnya mudah dibawa berbincang. Lagipun saya yakin, Nadia tu jenis wanita yang akan patuh kepada suami.. Dia tahu hukum hakam agama..” Aisyah melanjutkan kata-katanya sambil mendekati Safwan. Dia menatap wajah sugul Safwan yang berada di hadapannya. Lelaki itu hanya tersenyum hambar sambil menganggukkan kepalanya setelah mendengar kata-kata Aisyah.
“Saya tahu, awak juga lelaki yang baik dan cekal.. Apa pun masalah di antara korang, pasti itu bukan masalah yang serius sebenarnya. Cuma masalah komunikasi sahaja.. Awak orang baik, Nadia pun orang baik.. Berusahalah untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah..” Aisyah meneruskan nasihatnya.
“Abang..” Nadia tiba-tiba muncul di muka pintu kedai tersebut dan mengejutkan Safwan dan Aisyah. Menyedari kehadiran Nadia, Aisyah segera mengundurkan kakinya beberapa langkah ke belakang, menjauhi Safwan. Dia tidak ingin mereka terfitnah atau membuat Nadia cemburu dan sakit hati apabila melihat dirinya sedang berbual dengan suami wanita tersebut.
“Kenapa Nadia ke sini?” Safwan segera bertanya kepada isterinya. Dia terpaksa memanggil isterinya itu dengan nama kerana segan untuk memanggil panggilan manja di tempat umum apatah lagi di hadapan Aisyah.
“Mak pesan nak ikan kering dengan telur masin.. Nadia call abang tapi tak berjawab. Rupanya telefon tinggal kat rumah.. Sebab tu Nadia ke sini.. Tak sangka pula dah ganggu orang bercengkerama..” Nadia segera berpaling punggung dan pergi dari kedai tersebut.
“Astaghfirullah alazim..” Safwan dan Aisyah masing-masing terkejut dengan tuduhan Nadia. Safwan segera berlari mengejar langkah isterinya namun menghentikan langkahnya di muka pintu kedai. Dia hanya memerhatikan Nadia yang sedang berjalan dengan laju dan semakin menjauh dari pandangannya. Aisyah pula menarik nafas yang dalam dan menghembuskan keluhannya. Akhirnya apa yang dia khawatirkan sebentar tadi benar-benar sudah terjadi. Nadia sudah salah faham dan menuduh dirinya sedang bermesra dengan suami wanita tersebut.
“Saya minta maaf dengan kata-kata Nadia tadi.. Dah la, awak balik la dulu.. Biar saya tutup kedai.” Safwan berasa kesal terhadap tuduhan isterinya dan meminta maaf kepada anak gadis Ustaz Razali yang bekerja dengannya itu. Aisyah yang memahami keadaan tersebut tidak ingin melanjutkan lagi masalah dan patuh kepada permintaan Safwan. Gadis itu segera membuka apron yang dipakainya dan segera berjalan untuk kembali ke rumahnya. Safwan pula bergegas mengambil ikan kering dan telur masin yang di pesan ibu mentuanya sepertimana kata isterinya tadi dan mengemas kedainya dengan gopoh gapah.
Share this novel