SENJA telah pun berlalu. Safwan masih belum juga pulang ke rumah. Alyaa dan semua orang sudah puas memujuk Nadia namun wanita itu tetap tidak berhenti dari menangis.
“Sudahlah Nadia.. Jangan diikutkan perasaan. Bangun solat maghrib dulu.” Maryam menasihati anaknya itu yang masih menangis di dalam biliknya yang gelap. Maryam kemudian masuk ke bilik anaknya itu dan menekan suis lampu untuk menerangi ruang bilik berkenaan.
“Bangunlah solat dulu.. Dah maghrib ni.. Safwan pun sampai sekarang masih tak balik ke rumah lagi..” Maryam sedikit mengeluh dengan keadaan rumah tangga anaknya itu. Ibu itu kemudian berjalan keluar dari bilik Nadia untuk menunaikan solat maghribnya. Seketika kemudian, Alyaa pula mendatangi Nadia. Alyaa mendekati Nadia yang masih menyembamkan mukanya ke bantal sejak dari petang tadi. Belakang badan kakak iparnya itu di usap perlahan.
“Kak, bangunlah.. Jangan la terus macam ni.. Ayuhlah solat maghrib dulu.” Alyaa memegang lengan Nadia dan menarik lengan kakak iparnya itu untuk mendorong wanita itu bangkit mengangkat muka dari katil. Nadia perlahan-lahan mengangkat badannya dan tangisannya juga mula berhenti.
“Kak.. jangan la macam ni.. Adik yakin, abang takkan ada apa-apa dengan perempuan lain selain akak..seumur hidupnya, dia tak pernah bercinta selain dengan kakak. Itupun bermula selepas kahwin kan? Jangan la akak salahkan abang kalau pun ada perempuan lain yang sukakan abang. Itu bukan salah abang pun kan? Ke akak masih tak percayakan abang?” Alyaa cuba membela abangnya dan memberi penerangan kepada kakak iparnya agar tidak terus dikawal oleh cemburu buta.
“Abang Safwan lelaki yang baik.. Tapi akak ni yang jahat..” Nadia mula menyalahkan dirinya sendiri.
“Jangan la cakap macam tu kak.. Akak pun orang baik.. Adik tahu, kakak dan abang saling menyintai. Tiada orang lain diantara kalian..” Alyaa masih memujuk.
“Akak jahat.. Akak isteri derhaka.. Akak dah tuduh abang Safwan sebab cemburu buta.. Akak dah sakitkan hati suami akak.. Akak takut.. Akak taknak masuk neraka kerana derhaka kepada suami.. Tapi sekarang akak dah jadi isteri yang derhaka dik..” Nadia kembali menangis kencang dan memeluk Alyaa.
Alyaa tersentak mendengar kata-kata kakak iparnya itu. Apakah kakak iparnya itu menangis kerana cemburu dan sakit hatinya atau kerana dia takut kerana sudah menderhaka kepada suaminya. Alyaa benar-benar bingung.
“Sudah la kak.. Adik yakin abang takkan biarkan dirinya sakit hati kepada akak.. Dia benar-benar sayangkan akak.. Maka sudah pasti dia nak akak jadi isteri solehah dan bersama dengannya menuju ke syurga.”
“Tapi akak tak layak masuk syurga.. Akak dah jadi isteri derhaka..”
“Isteri itu menjadi derhaka atau tidak, bergantung kepada keredhaan suaminya. Sudah pasti abang akan redha dengan akak.. Mana mungkin abang nak biarkan orang kesayangan dia masuk neraka.” Alyaa tetap berusaha menenangkan Nadia.
Kakak iparnya itu dipeluk dengan erat dan Alyaa mengusap belakang isteri kepada abangnya itu perlahan-lahan. Dihati Alyaa, dia juga risau dengan keadaan abangnya. Sampai sekarang abangnya masih belum pulang sejak keluar dari rumah petang tadi. Entah kemana abangnya itu pergi membawa diri.
Di pondok pengajian agama Ustaz Razali, kuliah dimulai setelah usai solat maghrib berjemaah. Di bahagian paling belakang, Safwan duduk termenung sambil menyandarkan badannya ke dinding. Farhan mendekati adik iparnya itu dan duduk di sebelahnya. Farhan menepuk lembut paha Safwan beberapa kali. Safwan hanya diam dan menundukkan pandangan wajahnya. Dia sebenarnya malu kepada abang iparnya itu. Sudah sering rumah tangganya bergolak dan di saksikan oleh keluarga mereka. Safwan menganggap dirinya sebagai pendatang yang cuba mengganggu keharmonian keluarga tersebut yang selama ini bahagia dan aman.
“Kenapa kau tak balik ke rumah Saf? Semua orang risaukan kau..” Farhan memulai perbualan apabila melihat keadaan Safwan yang diam menundukkan wajah.
“Saya malu bang.. Tak habis-habis masalah datang ke rumah tu sejak saya masuk ke sana.. Saya ni pembawa sial agaknya.. Kemana pun saya pergi, pasti akan timbul masalah.” Safwan memandang Farhan dengan pandangan yang lemah dan menyedihkan.
“Astaghfirullah.. Jangan kata macam tu Saf.. mana ada manusia membawa sial. Semua yang berlaku semua dengan kehendakNya. Dah di takdirkan.. Lagipun kau mana ada mendatangkan masalah. Sepatutnya abang yang malu sebab perangai adik abang. Nadia yang selalu bagi kau masalah..” Farhan membetulkan tanggapan salah Safwan.
“Saya pun gagal jadi suami yang baik.. Kalau pun Nadia yang memulakan, tapi saya sebagai suami gagal mendidik dia.”
“Saf..Saf.. kau kahwin dengan Nadia pun baru berapa hari.. Mana mungkin kita dapat ubah seseorang dalam masa sekejap.. Masalah ni berlaku pun sebab abang yang minta kau kahwin dengan Nadia.. Dan abang yang gagal didik Nadia selama ni untuk persiapkan diri dia sebagai isteri yang baik kepada orang. Sepatutnya kalau nak salahkan sesiapa, abang la yang patut dipersalahkan..” Farhan tersenyum.
Safwan mendiamkan diri setelah mendengar kata-kata abang iparnya. Dia tidak akan pernah menyalahkan Farhan dalam hal yang sudah berlaku.
“Tapi saya pun tak boleh salahkan Nadia sepenuhnya.. Semua ini berpunca dari saya juga. Padahal saya sudah tahu Nadia itu kuat cemburu.. Tapi saya sendiri masih tidak menjaga jarak di antara saya dengan Aisyah. Nadia tu perempuan yang baik. Abang dah didik dia dengan betul..Tadi baru saya sedar, cemburu Nadia tu kan maknanya dia betul-betul sayang kat suami dia.. Cuma saya je la yang kena jaga tingkah laku saya agar tidak membangkitkan rasa cemburu dia tu.” Safwan ikhlas dalam pengakuannya.
“Abang doakan yang terbaik untuk kau dan Nadia.” Farhan memegang bahu Safwan, mencuba untuk memberi semangat kepada adik iparnya itu. Mereka kemudian menghentikan perbualan dan mula memberi perhatian kepada kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Razali.
“Arrijalu qawwamuna alannisa.. Ertinya orang lelaki itu pemimpin ke atas orang perempuan. Untuk memahami makna kepada pemimpin ini, kita lihat ayat ke tiga puluh empat dalam surah Annisa ini. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” Ustaz Razali membacakan makna potongan dari ayat suci al-Quran. Safwan termangu mendengar petikan ayat tersebut. Sepertinya kuliah maghrib Ustaz Razali ketika itu sedang ditujukan kepadanya. Safwan yakin, ketika itu Allah cuba untuk menegur dirinya melalui kuliah yang disampaikan. Safwan segera bermuhasabah dirinya sendiri. Dia perlu menjadi suami yang lebih baik.
Setelah selesai melaksanakan solat isyak dan mengaji al-Quran, Farhan dan Safwan pun berjalan pulang bersama. Di pertengahan jalan, Safwan tiba-tiba bersuara.
“Entahlah sampai bila keadaan macam ni akan berlanjutan.. Saya tak tahu la bang macam mana nak buat Nadia berhenti cemburu. Setiap kali dia tengok saya dengan Aisyah, dia pasti mengamuk. Habis saya nak buat macam mana lagi? Aisyah kerja dengan saya.. Kami duk kat kedai sama-sama.. Dulu kata sebab kami berdua di kedai.. Sekarang dah ramai pekerja pun masih tetap sama pada pandangan Nadia..” Safwan menghentikan langkah kakinya. Farhan turut sama berhenti di samping adik iparnya itu.
“Hmm..itulah.. Sekali merajuk, sekali pujuk.. Sampai bila pun tak berkesudahan.. Lagipun dia tahu, dulu Aisyah suka kat kau Saf.. itu yang buat Nadia rasa insecure sikit, lagi-lagi bila kau kerja bersama Aisyah di belakang dia.” Farhan bersetuju pada pendapat Safwan.
“Jadi apa yang harus saya buat untuk elakkan kejadian macam ni berulang lagi?” Safwan cuba meminta pendapat Farhan.
“Hmm.. abang rasa ada satu jalan je Saf..”
“Apa dia jalannya bang?”
“Kau kahwin je dengan Aisyah.. Awal-awal memang Nadia akan mengamuk gila-gila.. Itu sudah pasti.. Tapi lama kelamaan, pasti dia akan menerima keadaan tu. Nak tak nak, Aisyah masa tu dah jadi madu dia.. Dah jadi isteri kau.. Masing-masing ada hak yang sama.. So, takdelah nanti Nadia akan menuntut sesuatu yang lebih dari apa yang Aisyah dapat.. Kau berlaku adil je kat kedua-dua. Macam sekarang, memang la Nadia akan menuntut kau untuk sayang dia sorang je sebab dia je isteri kau.. Tapi kalau Aisyah pun dah jadi isteri kau, Nadia akan faham dengan sendiri suatu hari nanti.” Farhan memberikan pendapatnya. Safwan terlopong mulutnya mendengar saranan dari abang iparnya itu.
“Abang dah gila ke? Memang tak la saya nak buat macam tu.. lagipun saya pun bukannya ada perasaan kat Aisyah tu.”
“Masa kau kahwin dengan Nadia dulu pun, kau takde perasaan juga kat dia kan? Jadi apa masalahnya? Sama je kan? Lagipun poligami tu dibenarkan oleh syara’. Berkahwinlah dengan perempuan yang kamu sukai, dua, tiga atau empat. Tapi jika khawatir dirimu tidak mampu berlaku adil, maka cukuplah seorang sahaja.. Kunci utama kepada poligami adalah adil.. Dan abang yakin kau mampu untuk berlaku adil.” Farhan cuba memberikan hujah.
“Abang je yang yakin.. Saya sendiri pun tak yakin akan berlaku adil bang. Lagipun jujur saya katakan, saya tak berniat pun untuk berpoligami.. Tiada dah perempuan lain di hati saya selain Nadia. Kalau fahamkan baik-baik ayat quran yang abang bacakan tu, Islam pun menganjurkan kita untuk berkahwin satu je.. tapi kalau nak poligami, itu dibenarkan.. berkahwinlah dua, tiga atau empat orang perempuan.. tapi.. kalau tak boleh berlaku adil, cukuplah seorang saja.. jelas ada penekanan kat ayat tu, cukuplah seorang sahaja! Saya pun tahu, saya tak mampu nak berlaku adil bang, lagi-lagi dengan isteri yang macam Nadia tu..”
“Sebab kau tak kahwin lagi la kau duk kata macam tu.. cuba kau dah kahwin dua. Nanti kau kata cukup dua orang tu je..taknak dah yang ketiga.. Tapi kalau kau kahwin tiga, kau akan kata cukup tiga tu je pula nanti. Lepas tu kau kahwin empat pula..” Farhan ketawa setelah mengatakan ayat jenaka. Safwan pula tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
“Sekarang ni kau nak kahwin tak dengan Aisyah untuk selesaikan masalah kau ni dari terus berlanjutan? Abang rasa tu je jalan yang terbaik sekarang ni.. Apa kata kau?” Farhan tiba-tiba berubah wajahnya kembali menjadi serius selepas berjenaka sebentar tadi.
Safwan terkebil-kebil memandang wajah Farhan yang sedang berhadapan dengannya. Sebentar tadi dia sudah memberikan jawapan, namun Farhan sepertinya masih tetap dengan saranannya apabila mengulangi pertanyaan yang sama. Safwan sudah tidak tahu untuk memberikan jawapan di atas pertanyaan yang diajukan oleh abang iparnya itu.
Share this novel