Bab 18 (part 1)

Romance Series 8087

“CUKUP!” Nadia mula membentak. Safwan tetap bersikap tenang di hadapan isterinya itu.

“Abang tak perlu nak bagi alasan.. Nadia tengok dengan mata kepala Nadia sendiri. Kemain mesra, berbual.. Berdua-duaan, duduk rapat-rapat.. Sampai nak panggil Nadia pun sebut nama je.. Mentang-mentang depan skandal.” Nadia menzahirkan api cemburunya melalui kata-kata. 

“Astaghfirullah.. Awak jangan merepek yang bukan-bukan.. Kan Aisyah tu kerja dengan saya.. Dah masa tu takde pelanggan, kami pun sedang kemas kedai untuk tutup dah..” Safwan tetap memberikan penjelasan.

“Haa.. tengok la.. Sejak dah kantoi berskandal ni, takde dah nak panggil elok-elok.. Dah main saya, awak je..” Kecemburuan yang meluap menyebabkan Nadia mula hilang pertimbangan.

“Ya Allah.. OK, abang minta maaf.. Bukan begitu maksud abang.. Sayang kena la faham, Aisyah tu kan kerja dengan abang.. Abang pun memang nak cari lagi pembantu kat kedai tu supaya kami tak la duduk berdua je untuk elak fitnah. Sayang sendiri pun tak nak kan duk kat kedai tu. Bila abang ajak hari tu, sayang kata nak duduk kat rumah je dengan mak. Lagipun sayang nak fokus kat perniagaan online.” Safwan tetap berlembut dalam tutur katanya.

“Oh, jadi salah Nadia la ye? Sebab Nadia yang taknak bantu kat kedai tu, sebab tu, boleh la korang berdua-duaan, bermadu kasih..” Nadia tetap tidak ingin mengalah. Emosinya yang terbit dari cemburu telah menelan akal warasnya.

“Takdenya abang salahkan sayang.. Jangan duk tuduh macam tu.. abang takde sikit perasaan pun kat Aisyah tu..” Safwan mulai lemah dengan tuduhan tidak berasas isterinya. Lelaki itu menggelengkan kepala kerana fikirannya sudah mula berserabut apabila dituduh sedemikian.

“Mana la Nadia tahu perasaan abang betul, ada ke tiada kat Aisyah tu.. Tapi yang pastinya, Aisyah tu memang ada hati kat abang.. Dah lama dia suka kat abang.. Sekarang boleh duduk berdua pulak, lagi la.. Dah macam orang mengantuk disorong bantal.”

“Astaghfirullah.. Tak baik tuduh Aisyah macam tu..” Safwan cuba mempertahankan anak ustaz Razali dari terus dituduh oleh isterinya.

“Tuduh apa pula.. Nadia tahu la.. Dari dulu lagi Aisyah tu sukakan abang.. Takkan abang ni buta sangat sampai tak boleh nak nampak.” Nadia mempertahankan tuduhannya.

“Astaghfirullah alazim.. Nadia.. Tak baik cakap macam tu. Jaga kata-kata kau kat suami. Jangan jadi isteri yang melawan suami.. Lagi pula, Aisyah tu kan kawan baik kau.. Kenapa kau nak tuduh dia macam tu.” Suara Maryam kedengaran dari luar bilik. Ibu itu sebenarnya tidak ingin masuk campur dengan masalah rumah tangga anaknya itu. Namun kata-kata Nadia yang dianggapnya melampau dan kedengaran sehingga luar dari bilik tidur mereka, menyebabkan ibu itu terpaksa menegur anak bongsunya itu.

Nadia yang mendengar suara ibunya dari luar bilik langsung mendiamkan diri, namun api cemburu masih meluap-luap dalam dirinya. Safwan yang merasa malu kepada ibu mertuanya kerana masalah rumah tangganya segera beredar dari bilik mereka. Di luar bilik, Safwan menundukkan kepalanya apabila berjalan melintasi ibu mertuanya. Maryam pula melihat Safwan dengan perasaan penuh kasihan. Dia turut merasa malu kepada menantunya itu kerana ulah anak perempuannya yang sudah melampaui batas.

“Saf keluar dulu mak..” Safwan sempat menyapa ibu mertuanya itu.

“Ye la.. Pergilah tenangkan diri kau dulu.. Kalau makin di layan si Nadia tu, takut makin menjadi pula..” Maryam memahami keadaan menantunya itu. Safwan segera segera keluar dari rumah dan terserempak pula dengan Farhan yang baru sahaja pulang.

“Kau nak kemana Saf?” Farhan bertanya.

“Nak keluar sekejap bang..” Safwan menjawab tanpa memandang ke arah Farhan. Dia langsung menghidupkan enjin motosikalnya dan segera meninggalkan pekarangan rumah mereka. Farhan yang mengenali sikap Safwan sedar, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan adik iparnya itu kerana sikap Safwan sebentar tadi bukanlah perangai sebenar lelaki tersebut. Setelah Safwan hilang dari pandangan matanya, Farhan segera memasuki rumahnya dengan memberi salam. 

“Ah.. mak, kenapa dengan Safwan tu? Tak pernah dia jadi macam tu..” Farhan mula bertanya kepada ibunya memandangkan wanita tua itu berada di depannya.

Maryam menghembuskan nafas yang berisi keluhan seraya mendekati anak lelakinya itu. Dia mula bercerita mengenai hal yang sudah berlaku di antara Nadia dan Safwan sebentar tadi. Mendengarkan penjelasan ibunya, Farhan segera mengetuk pintu bilik Nadia. Dari luar bilik, dia mula berbicara kepada adiknya.

“Nadia.. Kau jangan berburuk sangka macam tu.. Abang tahu kau cemburu melihat Safwan dengan Aisyah kat kedai.. Tapi nak buat macam mana, mereka tu kan kerja bersama.. Apa pun, Safwan sendiri dah minta kat abang untuk carikan orang, dua, tiga orang lagi untuk bantu dia kat kedai tu.. selain tak cukup tangan, dia perlukan beberapa orang pekerja sebab nak elak benda macam ni la. Dia taknak orang fitnah dia berdua dengan Aisyah kat kedai tu. Tak sangka pula, benda yang dia nak elak tu betul-betul dah terjadi.. Kat kau sendiri pulak tu. Patutnya sebagai isteri, kau yang kena bantu dia, bagi sokongan kat dia.. Bukan duk tuduh dia macam tu. Lagipun macam la kau tak kenal mereka tu.. Safwan tu suami kau.. Aisyah tu kawan baik kau.. Takkan kau boleh fikir mereka akan buat benda tak elok. Mereka pun bukannya jahil sangat.” Farhan memberi penjelasan dengan panjang lebar. Nadia yang mendengar kata-kata abangnya dari luar bilik tidurnya hanya tetap mendiamkan diri.

“Sekarang kau dah fitnah Suami kau dengan Aisyah. Cuba kau fikir, apa yang kau dah kata kat mereka sekarang. Apa perasaan mereka sekarang? Kau sendiri pun tahu kan perasaan bila di fitnah oleh orang.. Ingat balik ketika orang fitnah kau dengan Safwan dulu.. Apa yang kau rasa dulu, itulah yang Safwan dan Aisyah rasakan sekarang.” Farhan meneruskan kata-katanya. Mendengarkan kata-kata abangnya itu, minda Nadia baru tersedar. Api cemburunya yang tadinya meluap, kini semakin terpadam. 

“Astaghfirullah alazim..” Nadia berbisik di dalam hatinya. Penyesalan mula timbul dan dia menjadi sedar akan kesalahannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience