SETELAH selesai menyusun bata yang akan dijadikan tapak reban ayam, Safwan berdiri sambil melihat hasil kerjanya. Esok simen yang mengikat bata itu pasti sudah keras. Safwan berencana untuk membuat tiang dan rangka reban ayamnya menggunakan besi mulai esok. Ketika sedang asyik melihat projek yang baru dimulainya itu, tiba-tiba Safwan dikejutkan oleh bunyi deruman enjin motosikal. Safwan segera berpaling dan melihat Farhan yang sedang mengenderai sebuah motosikal sambil membawa rumput yang di isi memenuhi gerabak yang di sambung pada belakang motosikalnya. Setelah menghentikan motosikal, Farhan segera turun dari tunggangannya tanpa mematikan enjin motosikal tersebut. Sebuah mesin rumput yang di pikulnya di letakkan ke tanah.
“Banyak dapat rumput hari ni bang..” Safwan menyapa sambil mendekati Farhan dan mematikan enjin motosikal milik lelaki tersebut.
“Ah.. dah panjang rumput kat kebun getah tu. Sempat juga mesin rumput hari ni sambil bagi makan ikan keli kat kolam. Bagi kambing tu makan banyak sikit hari ni, biar puas hati puak dia.” Farhan ketawa besar sambil menunjukkan ke arah kawanan kambing miliknya yang berada di dalam kandang. Safwan turut tertawa apabila mendengar celoteh Farhan tersebut.
“Oh, dah buat dah tapak reban ayam kau Saf?” Farhan mula bertanya apabila melihat susunan bata yang sudah tersusun di kawasan tersebut.
“Ah.. dah siap ikat bata tu. cukup la dulu besar tu. Saya nak try bela lima puluh, enam puluh ekor je dulu. Kalau nampak OK, ada rezeki, boleh la tambah lebih banyak nanti. Besarkan lagi reban tu.”
“Bagus..bagus.. Try bela dulu sikit-sikit.. Lima, enam puluh ekor tu rasanya dah OK la untuk permulaan. Sepuluh ekor sikit sangat pulak. Kiranya kalau dapat hasil nanti pun berbaloi la untuk di jual. Sehari boleh dapat dua papan telur pun dah OK la tu. asalkan buat je dulu.” Farhan mengangguk-anggukan kepalanya.
Tanpa membuang masa, Farhan segera mengambil rumput yang diisi memenuhi gerabak di belakang motosikalnya. Safwan yang tidak keberatan juga menolong Farhan untuk memunggah rumput-rumput yang di kumpul untuk di beri makan kepada kambing peliharaannya. Rumput-rumput itu dibawa oleh mereka ke kandang kambing milik Farhan dan mengisi rumput tersebut di dalam bekas yang di sediakan untuk makanan kambing pada bahagian luar kandang. Melihat kawanan kambing yang gelojoh berebut rumput yang di berikan menyebabkan Safwan dan Farhan tersenyum dengan karenah haiwan tersebut. Farhan kemudian berjalan menuju ke arah pintu masuk ke dalam kandang kambing tersebut.
“Eh, pecah pulak mangga kat pintu kandang ni. Ni mesti ada lagi kambing yang hilang ni.” Farhan menggelengkan kepalanya apabila menyedari mangga yang di kunci pada pintu masuk ke dalam kandang sudah pecah.
“La hawla wala quwwata illa billah.. Pencuri datang lagi ke?” Safwan mendekati Farhan apabila di beritahu kandang kambing lelaki itu di pecah masuk.
“Pasti ada la ni kalau mangga dah pecah ni..” Farhan segera masuk ke dalam kandang untuk melihat kambing-kambing peliharaannya. Matanya segera mengira dan mengenal pasti setiap ekor dari kambing miliknya. Walaupun kambingnya berjumlah puluhan ekor, Farhan tetap mengenal setiap ekor dari mereka.
“Dua ekor yang hilang. Kambing jantan seekor, kambing betina yang bunting seekor.” Farhan menggeleng lagi kepalanya beberapa kali setelah mengenal pasti kambingnya yang hilang. Sejak beberapa bulan lalu, kambingnya sering hilang apabila kandangnya di pecah masuk oleh seseorang.
“Tak boleh dibiarkan bang. Kita mesti kena cari siapa pencurinya. Makin dibiarkan, makin menjadi pula pencuri ni.” Safwan turut merasa geram dengan kecurian kambing milik Farhan.
“Sudah jadi rezeki dia Saf.. nak buat macam mana..”
“Rezeki apa macam tu.. tu mencuri namanya.. Rezeki haram.” Safwan cuba meningkah. Baginya Farhan terlalu baik sehingga membiarkan sahaja kehilangan kambingnya di dalam kandang.
“Rezeki haram pun, tetap rezeki dia Saf. Cuma tiadalah keberkatan dalam rezekinya dan menanggung dosalah dia dari perbuatannya. Kalau hasil haram tu dia buat bagi makan kat anak bini dia, lagi teruk.. Hidup anak isteri pun tak berkat. Anak pun akan jadi degil, susah nak belajar.. Nauzubillah..” Farhan masih bersikap tenang walau diberi ujian dengan kehilangan kambingnya yang sudah berulang beberapa kali. Seketika kemudian, Nadia yang keluar dari pintu dapur rumahnya yang bersebelahan dengan kandang kambing tersebut sedikit menjerit memanggil abangnya.
“Abang! Kak Ira panggil. Minum petang!”
“Ya.. Abang datang!” Farhan membalas sahutan adik perempuannya itu.
“Jom la Saf. kita minum petang dulu.” Farhan turut mempelawa Safwan untuk bersamanya minum pada petang di rumahnya.
“Eh, segan la saya..”
“Nak segan apanya.. Macam la tak biasa datang rumah abang. Jom..” Farhan segera membuka langkah kakinya seraya menarik tangan Safwan untuk ikut serta bersamanya. Safwan yang tidak mampu menolak ajakan Farhan hanya menurut langkah kaki lelaki itu. Mereka langsung menuju ke arah pintu dapur rumah Farhan yang tidak jauh letaknya dari kandang kambing. Sesampainya di muka pintu dapur, Safwan segera duduk di atas bangku yang terletak di bahagian luar rumah. Set meja batu yang terletak hampir dengan pintu dapur rumah Farhan sangat selesa untuk di buat tempat bersantai pada waktu petang. Kawasan tersebut juga teduh dari sinar matahari memandangkan terlindung oleh pohon rambutan dan manggis yang merimbun.
Nazirah, isteri kepada Farhan langsung menghulurkan dulang yang terisi dua cawan teh o panas dan beberapa biji karipap. Dulang itu di sambut oleh Farhan dan lelaki itu segera meletakkan dulang tersebut di meja batu yang di duduki oleh Safwan.
“Jemput minum Saf.” Farhan segera mempelawa Safwan yang menjadi tetamunya itu. Safwan hanya tersenyum sambil mencapai sebiji karipap. Perlahan-lahan karipap yang masih sedikit panas itu dikunyah oleh Safwan.
“Hmm.. sedap betul karipap ni. Buat sendiri ke?” Safwan memuji rasa karipap yang di makan olehnya.
“Intinya Kak Ira yang buatkan.. Aisyah yang goreng.. Sebab tu sedap.” Nadia dari dalam rumah menjawab soalan yang diajukan oleh Safwan. Gadis itu sengaja untuk mengusik Aisyah setelah dia tahu temannya itu tertarik kepada Safwan. Aisyah yang berada di sebelahnya segera mencubit lengan Nadia kerana geram dengan usikan temannya itu.
“Safwan, Aisyah kata kamu sedang buat reban ayam kat sebelah tu. Dah siap ke?” Maryam, emak kepada Farhan muncul dari pintu dapur sambil menyapa Safwan.
“Ya Mak.. baru ikat bata untuk buat tapak je.. Kena tunggu esok la pula untuk sambung. Bagi simen keras dulu.” Safwan segera menjawab pertanyaan yang diajukan oleh wanita separuh umur itu. Hubungan eratnya dengan Farhan sudah seperti adik beradik, menyebabkan Safwan tidak segan silu untuk memanggil Maryam dengan gelaran mak.
“Amboi.. Bagitau kat Aisyah dulu nak bela ayam. Kat orang lain tak bagitau pun.” Nadia masih cuba mengusik Safwan dan Aisyah. Aisyah yang semakin geram dengan usikan Nadia itu terus mencubit gadis itu dengan lebih kuat berbanding sebelumnya. Namun cubitan dari Aisyah itu cuma di sambut dengan gelak ketawa dari Nadia.
Safwan yang turut mendengar kata-kata Nadia mula terasa tersipu-sipu. Kata-kata Nadia itu ada benarnya. Selain Farhan, Safwan cuma memberitahu niatnya untuk memelihara ayam hanya kepada Aisyah sahaja apabila gadis berpurdah itu bertanya kepadanya tadi. Namun tindakannya itu bukanlah disengajakan. Dia hanya menyampaikan niat usahanya itu setelah ditanya oleh Aisyah sendiri.
Nazirah yang melihat tingkah laku Nadia dan tindak balas Aisyah segera memahami. Adik iparnya itu mengusik Aisyah sedemikian mungkin kerana gadis berpurdah itu menaruh perasaan kepada Safwan. Nadia sebagai teman baik Aisyah pasti mengetahui isi hati sahabatnya itu.
“Nadia.. Tak baik cakap macam tu.” Maryam cuba menegur anak gadisnya apabila perasan anaknya itu berkali-kali cuba mengusik Aisyah dan Safwan.
“Alah.. Nadia gurau je..” Nadia memegang tangan Aisyah yang berada di sisinya sebagai tanda memujuk temannya itu. Dia tersenyum sambil matanya menatap wajah Aisyah yang sedang menunduk menahan malu.
“Aisyah.. Makanlah karipap tu.” Nazirah mempelawa Aisyah sebagai ikhtiar untuk cuba menenangkan suasana hati anak gadis Ustaz Razali itu. Dia memahami situasi Aisyah apabila perasaan hatinya cuba di bongkar oleh Nadia sebentar tadi.
“Kak Ira pun makanlah sama..” Aisyah tersenyum di sebalik purdah yang menutupi wajahnya. Sebiji karipap di atas meja makan diambil dan dimasukkan ke bawah kain yang menutup wajahnya itu untuk dimakan. Nazirah dan Nadia turut sama mengambil karipap dan dimasukkan ke mulut mereka lalu dikunyah perlahan-lahan.
Di bahagian luar rumah, Safwan menatap wajah Farhan yang seakan mengelamun jauh. Dari tadi, lelaki itu cuma mendiamkan diri sambil mengunyah karipap di dalam mulutnya. Matanya tidak berkedip, asyik memandang ke arah kandang kambing miliknya.
“Bang.. kenapa abang termenung je?” Pertanyaan Safwan menghentikan lamunan Farhan.
“Abang fikir nak jual la semua kambing tu.. tak tahan la kalau terus macam ni.” Farhan menyampaikan hasratnya yang dari tadi bermain di fikirannya.
“Kenapa pulak? Sayang la kalau jual habis.. Dah lama abang bela kambing tu sampai beranak pinak.”
“Kenapa kau nak jual kambing tu? Ada yang hilang lagi ke?” Maryam mencelah di antara perbualan anak lelakinya dengan Safwan.
“Ah.. ada yang pecah masuk lagi.." Farhan menjawab pertanyaan ibunya. Lelaki itu selanjutnya menyambung bicara, membalas ucapan kepada Safwan.
"Abang tak larat la Saf.. Nak jaga ikan keli kat kolam sana lagi.. Nak kena jual kat pasar pulak.. Mengajar kat pondok tu lagi.. Nak jaga kambing.. Nasib baik kebun getah peninggalan arwah ayah abang tu, abang upah orang je tolong jagakan.. Bagi orang toreh.. Nak buat semua, memang tak sempat. Ikan keli abang tak boleh tinggalkan. Dah ramai regular customer.. Mengajar mengaji pulak dah jadi fardhu kifayah buat abang.. Baik abang lepaskan je kambing tu semua. Tak letih nak kena jaga lagi.. Pencuri pun tak datang dah.” Farhan meluahkan segala hal yang bermain di fikirannya. Safwan hanya diam mendengar luahan lelaki yang duduk semeja di hadapannya itu.
“Tak pun, kau je la ambik kambing tu semua Saf.. Abang jual kat kau je.” Farhan menyampaikan pendapatnya.
“Eh, saya pulak.. Mana la saya ada duit nak bayar semua kambing tu. Lagipun saya nak kena jaga kebun lagi.. Tu projek ayam lagi.. Mana sempat nak jaga kambing tu semua.” Safwan menolak.
“Hahaha.. Kalau macam tu abang cari orang lain je la untuk borong semua kambing tu. Macam mana pendapat mak?” Firdaus mengajukan soalan kepada emaknya.
“Entahlah Farhan.. Mak bukan reti bab-bab macam tu.. Kau buat la apa yang bagus untuk kau.. Baik bagi kau, baik la bagi mak.” balas Maryam.
Aisyah yang baru habis menghirup secawan teh o segera berdiri dari kerusi di meja makan dapur.
“Saya balik la dulu.. Assalamualaikum..” Aisyah meminta diri untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari situ.
“Waalaikumussalam..” Nazirah dan Nadia serentak menjawab salam suci dari Aisyah. Aisyah membongkokkan badannya apabila berjalan di hadapan Maryam yang berada di muka pintu dapur rumah tersebut sebagai tanda hormat kepada orang tua. Ketika menyarungkan selipar pada kakinya di muka pintu, Aisyah sempat mengerlingkan matanya, mencuri pandang ke arah Safwan. Gadis berpurdah itu tanpa berlengah terus berjalan meninggalkan pekarangan rumah Farhan.
“Saya pun nak minta diri dulu la.. Nak balik mandi dulu. Tak lama dah nak maghrib ni.” Safwan segera berdiri untuk turut pulang ke pondok yang menjadi kediamannya.
“Balik bersama ye.. Tolong tengok-tengokkan Aisyah ye.. Takut dia rebah kat tengah jalan..” Nadia masih ingin mengusik Safwan. Safwan terus tersipu malu mendengar usikan gadis itu. Dia sengaja melambatkan langkah kakinya meninggalkan pekarangan rumah tersebut supaya tidak terlalu dekat dengan Aisyah yang sudah mendahuluinya sebentar tadi.
“Ishh.. Nadia.. Tak baik la usik orang macam tu.” Nazirah bersuara perlahan menegur adik iparnya yang masih duduk semeja dengannya di bahagian dapur rumah. Nadia hanya tersengih kepada kakak iparnya itu.
“Diorang memang ada simpan perasaan ke? Aisyah suka kat Safwan?” Nazirah bertanya kepada Nadia dengan suara berbisik. Dia yang memahami usikan adik iparnya terhadap Safwan dan Aisyah tadi yakin Nadia mengetahui rahsia isi hati Aisyah.
“Akak rasa?” Nadia tersenyum sambil mengangkat keningnya memandang ke arah Nazirah. Senyuman nakal pada wajahnya itu membuatkan lesung pipitnya muncul, menambahkan seri pada wajahnya.
“Ishh.. janganlah nak berahsia..” Nazirah terlihat teruja untuk mengetahui jawapan dari mulut Nadia. Adik iparnya itu pula hanya tertawa apabila melihat reaksi Nazirah yang masih tertanya-tanya.
Share this novel