Bab 43

Romance Series 8087

MAJLIS akad nikah selesai diadakan di rumah Ustaz Razali. Guru agama yang berperanan sebagai wali mujbir kepada Aisyah sendiri yang melakukan akad nikah anak perempuannya itu. Safwan dan Farhan yang memakai jubah putih bersalaman dengan Ustaz Razali. Begitu juga dengan ahli keluarga dikalangan wanita yang turut bersalaman dengan Aisyah sebagai ahli baru di keluarga mereka. Nadia tersenyum manis, menampakkan lesung pipitnya, memeluk Aisyah dengan linangan air mata bahagia. Dua sahabat sejak kecil itu akhirnya bersatu sebagai sebuah keluarga walaupun dahulu perkahwinan Nadia dan Azlan dibatalkan.

Safwan turut bersalaman dengan Farhan. Nadia kemudian menghampiri Safwan dan merangkul lengan suaminya itu. Alyaa yang turut berada di majlis tersebut turut mendekati abang dan kakak iparnya itu. Alyaa yang sukar untuk berenggang dengan Nadia sentiasa di sisi kakak iparnya.

Farhan kemudian mendekati Aisyah dan bersalaman dengan gadis tersebut yang sudah sah menjadi isterinya sebentar tadi. Tidak lama kemudian, Farhan mendekati pula Nazirah yang sedang berada di samping ibunya, Maryam. Nazirah yang tersenyum, bersalaman dengan Farhan sebelum merangkul tubuh suaminya itu. Farhan menatap wajah Nazirah dengan penuh kasih sayang. Dia sungguh terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Nazirah demi keluarganya. Air mata menitis keluar mengalir di wajah Nazirah yang sedang tersenyum kepada suaminya. Farhan yang melihat keadaan tersebut segera menyeka air mata isterinya itu. Dia mula terbayang kejadian pada malam dia dan Safwan berbincang soal poligami.

Imbas kembali…

SETELAH Safwan berkeras untuk menolak dari berpoligami, mereka kemudian pulang ke rumah untuk makan malam. Setelah pulang, Nadia menangis meminta ampun dari Safwan dengan tangisan yang kencang. Nadia benar-benar menyesali perbuatannya yang cuba menyakiti hati suaminya. Safwan yang tahu isterinya itu dikawal oleh emosi akibat perasaan cemburu langsung tidak menyalahkan Nadia. Safwan tahu Nadia menjadi cemburu kerana cintanya yang wujud kepada sang suami. Sebagai seorang lelaki yang menjadi pemimpin kepada wanita, Safwan harus sedar dan tidak menyalahkan seorang isteri yang terlalu menyintai suaminya. Perlakuan Nadia itu wajar bagi si isteri yang mempunyai cinta terhadap suaminya. Di hati seorang wanita, jika cemburu itu sudah tiada, maka itu bererti cinta juga sudah hilang selamanya.

Setelah Safwan dan Nadia berdamai, mereka sekeluarga kembali bergelak ketawa di ruang tamu. Namun dalam diam, Farhan sebenarnya masih memikirkan hal yang dia bincangkan bersama Safwan ketika dalam perjalan pulang ke rumah mereka tadi. Dia masih ingin mencari cara untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi. Dia tidak ingin Nadia terus kembali merajuk dengan cemburu butanya terhadap Safwan dan Aisyah suatu hari nanti.

Setelah masing-masing masuk ke bilik tidur, Farhan juga bersama Nazirah masuk ke bilik mereka. Farhan yang termenung dan mengelamun jauh menyebabkan Nazirah kehairanan.

“Abang ni kenapa? Duk mengelamun je?” Nazirah menegur suaminya.

“Hmm.. abang masih duk fikirkan pasal Nadia dan Safwan tu la.. Terkadang, abang pula yang rasa bersalah kepada Safwan sebab suruh dia kahwin dengan Nadia dulu.. Tak sangka pula Nadia tu kuat betul cemburunya..”

“Mana tak cemburunya bang.. Aisyah tu kan kawan baik Nadia.. Nadia tahu si Aisyah tu ada simpan perasaan kat Safwan. Sekarang ni pulak, Safwan tu dah jadi suami dia.. Mesti la dia cemburu kalau tengok Safwan duk bersama dengan Aisyah tu..”

“Itulah masalahnya.. Nadia tu bukan setakat kuat cemburu..tapi duk cemburu buta.. Langsung tak boleh nampak Safwan dan Aisyah tu muncul bersama kat mata dia. Padahal orang lain pun ada sama..tapi Nadia dah tak nampak kewujudan orang lain. Yang dia duk nampak hanya Safwan dengan Aisyah je.”

“Entahlah bang.. Ira pun tak tahu nak cakap apa..”

“Tadi abang ada bincang dengan Safwan untuk selesaikan masalah ni dari berulang lagi.. Kalau duk terus macam ni, nanti pasti Nadia tu cemburu lagi lain kali.”

“Dah tu macam mana?” Nazirah menjadi ingin tahu.

“Hanya ada satu jalan je.. Kahwinkan Safwan dengan Aisyah.. Selesai. Kalau Aisyah dah jadi isteri Safwan, Nadia nanti, awal-awal tu memang la akan mengamuk besar.. Tapi lama kelamaan, nanti OK la bila dia dah dapat terima suami dia tu dah ada isteri lain jugak.” Farhan memberi penjelasan. Nazirah terdiam seketika apabila mendengar buah fikiran suaminya itu.

“Jadi, abang dengan Safwan dah bincang la pasal ni? Dia terima la?”

“Itu la masalahnya lagi.. Si Safwan tu memang takde hati kat Aisyah.. Dia taknak pun kahwin dengan perempuan tu.. mati-mati duk ulang, dia hanya cintakan Nadia.. Takkan menduakan Nadia.. Taknak Nadia sakit hati..” Farhan menjadi geram apabila mengingatkan penolakan Safwan untuk berpoligami.

Nazirah pula menjadi kagum dengan pendirian Safwan. Lelaki yang menolak untuk berpoligami kerana hanya ingin mencintai seorang isteri sahaja itu sangat sukar untuk ditemui. Nadia sangat bertuah kerana mendapat suami seperti Safwan.

“Kalau macam tu, apa kata abang je yang kahwin dengan Aisyah tu.” Nazirah memberikan pendapatnya. Farhan tersentak dengan saranan isterinya yang tiba-tba itu.

“Apa awak mengarut ni.. Apa pula kaitan saya dengan rumah tangga Nadia.” 

“Kalau Aisyah dah kahwin, maka selesai la masalah kan? Takde la Nadia nak cemburu lagi dah kat Aisyah. Dia jadi cemburu sebab Aisyah tu masih anak dara je.. Pada fikiran Nadia, bila-bila masa je Safwan tu boleh menikah dengan Aisyah. Itu yang dia takutkan sebenarnya.. Tapi kalau Aisyah tu dah jadi isteri orang, takde sebab la Nadia nak cemburu.. Lebih-lebih lagi kalau abang yang kahwin dengan Aisyah. Nanti Aisyah pun akan jadi kakak ipar dia juga..” Nazirah memberikan penjelasan yang logik dan masuk akal. Namun kini, Farhan pula yang menolak cadangan isterinya itu.

“Mana boleh macam tu.. abang pun bukan ada hati kat budak Aisyah tu.. lagipun cukup la awak sorang je isteri saya.”

“Tadi bukan main geram kat Safwan sebab kata macam tu. Sekarang abang pun bagi alasan yang sama macam Safwan..” Nazirah tersenyum sinis. Farhan terpempan dengan kata-kata isterinya itu. Dia mula sedar, ada benarnya kata-kata Nazirah tersebut. 

“Tapi untuk apa je abang nak kahwin lagi.. Awak pun dah cukup terbaik bagi abang.. Tiada dah perempuan lain boleh lawan kehebatan awak sebagai isteri.” Farhan memuji isterinya.

Dia benar-benar ikhlas mengatakan perkara tersebut. Baginya Nazirah memang seorang isteri yang sangat baik dan taat kepadanya. Malah isterinya itu sudah sanggup berkorban untuk tinggal bersama mentuanya kerana ingin menolong dan menemani mentuanya itu.

“Ira tak boleh bagi abang anak.. Kalau abang kahwin lain, insyaallah abang boleh dapat zuriat abang sendiri..” Nazirah meluahkan perkara sebenar yang tersirat dihatinya.

“Kalau sebab anak, kita boleh je ambil anak angkat..”

“Anak angkat tak sama dengan anak sendiri bang.. Kalau la anak tu lelaki, bila dh besar, tetap jadi bukan mahram kepada Ira.. kalau anak tu perempuan, nanti tetap bukan mahram kepada abang. Tapi kalau anak abang sendiri dari isteri lain, anak tu dah jadi anak tiri Ira.. darah daging abang..” Nazirah masih memberikan hujahnya. Farhan mula terdiam dan tidak mampu untuk terus membalas hujah isterinya itu. Kata-kata Nazirah itu sangat benar dan tak mampu disangkal.

“Perempuan mana yang suka kalau suami dia poligami.. Ira pun bukanlah takde hati perasaan, suka-suka bagi suami kahwin lagi.. Tapi Ira juga taknak pentingkan diri Ira sendiri. Terlalu banyak kebaikan yang akan dapat jika abang berkahwin dengan Aisyah. Perempuan tu pun akan dapat suami yang baik macam abang.. Sepadan dah abang dengan keluarga dia.. Abang pun akan dapat anak sendiri nanti.. Ira sendiri pun akan ada anak tiri, anak dari suami Ira sendiri.. Dan paling penting, rumah tangga Nadia pun dapat diselamatkan. Malah hubungan Nadia dengan Aisyah pun akan kembali rapat macam dulu.. Ira harap abang terima la cadangan Ira ni..” Nazirah memegang kedua belah tangan Farhan dengan kemas. Matanya terlihat berkaca kerana cuba menguatkan hatinya untuk bersedia berkongsi suami. Farhan hanya terus diam membisu. Setelah beberapa minit, barulah Farhan membuka mulutnya.

“Kalau Ira dah cakap macam tu, nanti esok abang pergi jumpa Ustaz Li dan bincang dengan dia. Ya Allah, aku redha kepada isteriku ini.. Semoga Engkau juga redha kepadanya Ya Allah. Bukalah seluruh pintu syurgaMu kepadanya dan biarlah dia diberi pilihan sendiri untuk memasuki syurgaMu dari pintu yang dia suka.” Farhan mencium dahi Nazirah dengan penuh kasih sayang dan lantas memeluk isterinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience