Bab 11

Romance Series 8087

FARHAN segera bangkit berdiri dan mendekati Safwan. Dia mula berubah fikiran setelah mendengar cerita yang dikatakan oleh Safwan. Farhan menatap wajah lelaki yang ditumbuk olehnya tadi. Kini kekesalan mula menyelubungi hatinya kerana bertindak terburu-buru sebelum menyelidiki terlebih dahulu kisah yang disampaikan oleh Azlan. Namun dia juga tidak sepenuhnya percaya kepada cerita Safwan, begitu juga dengan cerita dari Azlan. Farhan perlu bertindak secara neutral untuk menyiasat hal yang sebenarnya. Dia tahu, apa yang di lihatnya belum tentu itu adalah benar seperti sangkaannya. Seketika kemudian, Nadia muncul di muka pintu sambil menyeka air matanya yang masih tersisa di pipi. 

“Azlan tu memang syaitan.. Abang jangan salahkan Safwan.. Kalau takde Safwan tadi, mungkin Azlan dah ragut kesucian Nadia. Demi Allah, di saat Nadia sudah tidak berdaya untuk melawan, Nadia hanya berdoa kepada Allah untuk di selamatkan. Allah maha mendengar. Dia hantarkan Safwan untuk tolong Nadia..” Air mata Nadia mula gugur kembali membasahi kelopak matanya yang masih belum kering sejak dari tadi. Nazirah yang melihat keadaan Nadia segera memeluk adik iparnya itu. Maryam turut mengusap belakang badan anak daranya itu supaya lebih bertenang. 

“Mak tak sangka Azlan akan buat lagu tu.. padahal perkahwinan hangpa dah dekat sangat pun.. Esok lusa dah nak kahwin..”Maryam meluahkan rasa kesalnya.

“Mungkin Allah nak tunjukkan, siapa sebenarnya Azlan tu sebelum jadi suami Nadia.. Allah nak selamatkan Nadia dari dapat suami macam tu..” Nazirah yang masih memeluk tubuh Nadia menggosok belakang adik iparnya itu. Maryam juga menganggukkan kepala sebagai bersetuju dengan kata-kata menantunya.

“Sekali lagi abang minta maaf kat kau Saf sebab dah tumbuk muka kau tadi.” Farhan mengulangi permintaan maafnya kepada Safwan. Anak muda itu kemudian di peluk oleh Farhan dengan penuh rasa penyesalan. Dia sangat menyesal memperlakukan penyelamat adiknya dengan kasar malah meragukan kebaikan Safwan kerana mendengar fitnah dari Azlan. 

“Saya juga nak minta maaf.. Kerana saya, Nadia terpaksa putus tunang dan tak jadi kahwin..” Safwan bersuara perlahan.

“Masyaallah.. Itu bukan salah kau Saf. Kalau kau tidak selamatkan Nadia, mungkin keadaan Nadia lebih teruk dari sekarang. Bahkan perkahwinan tu tetap akan terbatal. Abang yakin, Nadia sendiri pun takkan menerima Azlan sebagai suami dia. Mana mungkin Nadia akan bersuamikan lelaki yang dah meragut kesucian dia.” Farhan cuba meyakinkan Safwan agar lelaki itu tidak menyalahkan dirinya sendiri.

“Tapi macam mana dengan keluarga Ustaz Razali? Takkan kita nak putuskan pertunangan dan batalkan perkahwinan macam tu je?” Nazirah bertanyakan suaminya.

“Tadi, Azlan sendiri yang nak putuskan pertunangan dan batalkan perkahwinan mereka. Takpe la.. Nanti abang bincang semula dengan Ustaz Li macam mana.. Kalau Nadia dan Azlan nak teruskan perkahwinan ni pun, terserah kepada mereka..” Farhan menyuarakan pendapatnya.

“Tidak! Nadia taknak kahwin dengan syaitan durjana tu.. dia tu syaitan bertopengkan manusia!” Nadia berkeras dengan keputusannya.

“Tapi tak semudah tu untuk batalkan perkahwinan.. Sedangkan kita dah hantar kad jemputan kat semua orang.. Malu besar kita kalau majlis tu dibatalkan nanti..” Farhan meluahkan pemikirannya. Apa pun keputusan yang bakal di ambil, mereka harus pertimbangkan dari segala sudut. Lagipula, keputusan untuk membatalkan perkahwinan itu melibatkan dua buah keluarga di pihak lelaki dan perempuan. Maka keputusan harus diambil dari hasil perbincangan kedua belah pihak keluarga.

“Betul tu.. biarlah abang kau bincang dulu dengan keluarga si Azlan tu.. kita tak boleh buat keputusan terburu-buru.” Maryam menyokong kata-kata anak lelakinya.

“Nadia dah putuskan, Nadia taknak kahwin dengan Azlan. Kalau mak nak sangat, mak la kahwin dengan dia..” Nadia membentak seraya melepaskan diri dari pelukan Nazirah dan segera berlari menuju ke biliknya.

“Ish..ish..ish.. Mak pula yang kena kahwin.. Takkan la mak yang kena kahwin dengan budak Azlan tu.. baik kahwin dengan bapak dia..” Maryam masih sempat berseloroh di dalam suasana tegang itu.

“Ish.. mak ni..” Nazirah tertawa kecil sambil menepuk lengan Maryam setelah mendengar celoteh ibu mertuanya itu.

“Pening betul.. Kalau keluarga pihak lelaki tu orang lain takpe la.. Ni jiran sebelah rumah.. Dah kenal puluhan tahun.. Keluarga Ustaz Li pulak tu..” Farhan menggelengkan kepalanya. Farhan kembali melabuhkan punggungnya ke anak tangga yang dia duduk tadi. Segala yang berlaku sangat mengusutkan fikiran Farhan.

Apapun yang terjadi, dia yakin perkahwinan Nadia dan Azlan sudah pasti akan terbatal. Namun yang mengganggu fikirannya, kad jemputan sudah pun diedarkan kepada seluruh orang kampung dan sanak saudara. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada mereka bahawa perkahwinan tersebut akan di batalkan. Tindakan itu pasti akan menjadi buah mulut orang ramai dan menconteng arang di muka kedua belah keluarga lebih-lebih lagi keluarga Ustaz Razali yang dikenali ramai orang.

"Kad jemputan dah edar.. Kalau majlis dibatalkan, malu besar keluarga kita.." Farhan meluahkan perasaan.

“Apa kata kita teruskan je kenduri tu..” Nazirah mula memberikan pendapat.

“Dah tu siapa yang nak kahwin?” Farhan bertanya kembali kepada isterinya.

“Takde orang berkahwin pun takpe la.. Kita buat kenduri je.. Sedekah bagi makan saja kat orang..” Nazirah kembali meluahkan pendapatnya.

“Ishh..awak ni.. Tak pernah di buat orang macam tu.. habis tu kalau orang tanya mana pengantin? Orang nak tengok pengantin.. Kita nak cakap apa?” Farhan mempersoalkan buah fikiran isterinya itu.

“Tak payah nak serabutkan kepala kau duk fikir sorang-sorang Farhan.. Nanti esok kau jumpa je Ustaz Li.. bincang dengan dia macam mana.. Capai kata sepakat dengan dia. Keputusan ni kena buat bersama..” Maryam menasihati Farhan. 

“Kesian pula orang tua tu.. dah la sekarang dia sedang terima rombongan tetamu.. Jadi pula benda macam ni depan tetamu dia..” Farhan kembali memicit dahinya dan termenung menatap lantai. Suasana mula menjadi sepi kerana tiada sesiapa yang bersuara.

KEESOKAN paginya, selepas selesai kuliah subuh, Safwan segera menuju ke kebunnya dan meninggalkan para tetamu dan pelajar lain yang meneruskan pengajian kitab dan kuliah dhuha. Dia yang belum tidur sejak malam tadi terpaksa meneruskan rutinnya menuai dan menjual sayur-sayurannya. Jika terlambat dipetik dan dijual, dikhuatiri sayur-sayurannya akan buruk dan membusuk. Tugasnya pada pagi itu terpaksa dilakukan sendirian memandangkan para pelajar lain perlu bersama para tetamu di pondok mereka. Safwan juga perlu berniaga sendiri menjaga gerainya kerana dia menerima mesej dari Aisyah, gadis itu menyatakan dirinya tidak sihat dan perlu berehat.

Setelah sayur-sayurannya dipetik dan di bersihkan, semua hasil tuaiannya termasuk sayur yang di petik petang kelmarin di isi di dalam gerabak pada belakang motosikalnya dan langsung dibawa ke gerai jualannya. Sebelum memulakan perniagaan di gerai, Safwan terlebih dahulu pergi menghantar sayur-sayuran yang sudah ditempah oleh beberapa buah kedai makan yang berdekatan. Setelah selesai menghantar semua pesanan dari kedai makan yang menjadi pelanggan tetapnya, barulah Safwan kembali ke gerai untuk memulakan operasi perniagaannya. Pada hari tersebut, dia tidak mampu untuk keluar menjaja kerana bersendirian menguruskan gerainya.

Selama berada di gerai dan menjual sayuran dari kebunnya, fikiran Safwan masih melayang mengingatkan peristiwa yang terjadi pada malam tadi. Mukanya sendiri masih terasa sakit akibat tumbukan dari Farhan. Namun begitu, Safwan tidak sedikit pun menyalahkan lelaki tersebut. Dia sangat memahami tindakan Farhan terhadapnya itu. Sesiapa pun pasti akan mengambil tindakan yang sama seperti Farhan apabila melihat adik perempuannya berduaan dengan lelaki bukan mahram di dalam gelap malam apatah lagi mereka dibesarkan dengan didikan agama.

Apabila menjelang tengah hari, sayur jualannya juga sudah habis terjual. Safwan tidak menunggu lama, dengan segera mengemas gerainya. Ketika sedang mengemas, tanpa disangka oleh Safwan, Firdaus mendatangi gerainya dengan wajah masam mencuka. Dia tahu lelaki itu masih berkecamuk fikirannya kerana memikirkan masalah pernikahan adiknya yang akan di batalkan.

“Abang dari mana?” Safwan berbasa basi menyapa.

“Abang dari rumah Ustaz Li..” Farhan menjawab pendek. Safwan menjadi serba salah untuk terus bersoal jawab. Dia tidak ingin menambahkan serabut di otak Farhan yang sedang termenung dan langsung meneruskan kerjanya mengemas gerai. 

“Abang baru bincang dengan Ustaz Li.. kami setuju untuk tidak memanjangkan hal ni.. Kedua pihak takkan buat report polis pasal kejadian malam tadi demi menjaga nama baik kedua belah pihak. Pasal pertunangan dan perkahwinan Nadia tu pun, kami terpaksa batalkan. Lagipun Azlan masih tak pulang ke rumah sejak malam tadi.” Farhan menyampaikan khabar berita. Safwan tekun mendengar bicara lelaki tersebut sambil tangannya masih bergerak menjalankan kerja.

“Tapi abang benar-benar buntu.. Tak tahu macam mana nak maklumkan pada orang ramai.. Malu kalau majlis kenduri tu terpaksa dibatalkan. Sebolehnya abang nak majlis tu tetap berjalan agar tak menjadi buah mulut orang.” Farhan melanjutkan kata-katanya. 

“Jadi, apa keputusan abang? Kalau saya, bagus juga kalau ikut cadangan kak ira malam tadi. Buat je kenduri tu walaupun tiada pengantin..” Safwan memberikan pendapatnya.

“Kalau buat begitu, sama je keadaannya.. Orang tetap akan mengata..” Farhan masih berkeluh kesah. Setelah mendiamkan diri sejenak, Farhan melanjutkan kata-katanya.

“Kau boleh tolong abang tak?”

“Kalau untuk abang, apa pun saya sanggup lakukan.. Abang nak saya buat apa?” Safwan benar-benar ikhlas ingin membantu Farhan yang sudah di anggap seperti abangnya sendiri.

“Kau kahwin dengan Nadia..” Farhan menyampaikan hasratnya. Permintaannya itu membuatkan Safwan terkesima dan terkejut besar. Lidahnya menjadi kelu untuk memberikan jawapan. Dia ingin sahaja menolak permintaan Farhan yang dianggap tidak masuk akal itu. 

“Ta..tapi..tapi.. Saya..” Safwan tergagap-gagap dan tidak sanggup untuk memberi penolakan kepada permintaan tersebut walaupun dia ingin sahaja menolaknya. Farhan yang memahami keadaan Safwan dikala itu langsung menghela sebuah nafas yang berat.

“Kalau kau taknak takpe la.. Abang bukan nak paksa kau.. Lagipun dalam berkahwin, mana boleh ada paksaan.. Bahkan bukan tanggungjawab kau untuk terlibat dalam hal ni.. Abang minta maaf kalau dah buat kau serba salah.” Farhan tersenyum kelat. Mendengarkan kata-kata tersebut, Safwan semakin serba salah. 

“Sa..saya sebenarnya tak kisah bang.. Kalau abang sanggup nak jadikan orang yang abang tak tahu asal usul ni sebagai sebahagian ahli keluarga abang, terserahlah.. Tapi.. mahu ke Nadia berkahwin dengan saya?” Safwan tetap merendahkan dirinya dalam berbasa basi. Dia sebenarnya menganggap dirinya tidak layak untuk bersama gadis sebaik Nadia dan menjadi sebahagian dari keluarga Farhan yang merupakan keluarga orang baik.

“Pasal Nadia tu, biar abang yang uruskan.. Abang adalah wali mujbir dia.. Soal pernikahan dia adalah urusan abang sepenuhnya. Pandai la abang untuk pujuk Nadia tu nanti. Asalkan kau sanggup je terima dia dan selamatkan maruah keluarga abang.” Farhan mula terlihat ceria pada wajahnya.

“Tapi saya ni jahil bang.. Bukan pandai bab agama.. Apalagi nak jadi ketua keluarga.. Tak layak bagi saya untuk bersama gadis sebaik Nadia..” Safwan masih tetap memandang rendah terhadap dirinya sendiri.

“Orang yang merasa dirinya jahil tu la sebenarnya orang yang berilmu.. Sedangkan orang yang betul-betul jahil akan merasakan dirinya serba bijak dalam segala hal. Nadia pun bukannya perempuan yang tak tahu pasal agama.. Dia tak perlukan lagi bimbingan dari suami dari orang yang alim, warak, dari golongan ulama. Cukuplah sekadar lelaki yang berhati nurani dan bertanggungjawab. Ye la.. Kalau dapat suami orang yang alim, lagi la bagus.. Tapi setidaknya, dapat cari suami yang bertanggungjawab tu sudah cukup baik.. Dan abang tahu, kau lelaki yang bertanggungjawab.. Sebab tu abang pilih kau..” Farhan berbicara panjang lebar.

“Abang terlalu pandang tinggi kat saya.. Sebenarnya saya bukan macam yang abang sangkakan..”

“Walaupun baru kenal kau beberapa bulan, abang tahu.. Kau orang baik. Sekarang ni kau nak terima tak Nadia jadi isteri kau?” Farhan memandang Safwan dengan penuh pengharapan. Safwan pula hanya terkebil-kebil matanya. Dia masih keliru untuk memberikan jawapan. Permintaan Farhan itu benar-benar diluar dugaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience