DALAM keadaan mamai, Nadia membuka matanya dari tidur. Kepalanya terasa berat dan pandangannya sedikit berpinar. Nadia cuba menggagahkan dirinya untuk bangkit berdiri. Setelah menggosok mata dan membetulkan rambutnya yang kusut, Nadia mula berjalan untuk keluar dari bilik tidurnya dengan langkah yang longlai. Di dapur, terdengar bunyi ketukan kuali tertangkap di cuping telinganya. Nadia tahu, itu pastilah kakak iparnya, Nazirah yang sedang menggoreng sesuatu untuk sarapan pagi.
Sambil menguap, Nadia terus melangkah dan menuruni anak tangga rumahnya untuk turun ke bahagian dapur. Sedang berjalan menginjak anak tangga, tiba-tiba kepalanya menjadi pening.
"Ahhh!!" Nadia menjerit apabila dirinya mula hilang keseimbangan tubuhnya lalu terjatuh, rebah di tangga.
Lebih malang lagi apabila kepalanya terhantuk pada anak tangga. Pandangan matanya yang kabur sejak dari tadi menjadi semakin gelap. Darah pekat memenuhi wajahnya dan Nadia mula kehilangan kesedaran.
“Ya Allah.. Nadia!” Suara ibunya, Maryam terdengar sayup pada deria pendengarannya. Kemudian, Nadia merasakan dunianya menjadi gelap sepenuhnya dan dia langsung pengsan, tidak sedarkan diri.
Maryam hanya mampu menangis apabila melihat keadaan anak bongsunya itu manakala Nazirah pula segera meninggalkan masakannya di atas dapur dan segera menuju ke arah Nadia yang sudah berlumuran darah.
“Ya Allah.. Kenapa boleh jadi macam ni Nadia?” Nazirah menangis sambil mengangkat tubuh Nadia yang sudah longlai ke pangkuannya. Darah adik iparnya yang masih mengalir deras turut menjadikan tangan dan pakaian Nazirah kemerahan.
SUARA alunan al-quran terdengar sayup apabila matanya di celikkan. Nadia bingung apabila menatap siling berwarna putih yang dihiasi cahaya lampu kalimantang. Kepalanya dirasakan berdenyut. Dia masih tidak tahu apa yang telah berlaku dan di mana dirinya berada ketika itu.
Nadia kemudian mengalihkan pandangan matanya ke sisi. Kelihatan Safwan sedang menundukkan kepalanya dengan mata yang terpejam sambil memegang tangan Nadia. Nadia baru menyedari bahawa bacaan ayat al-quran yang didengarinya itu datangnya daripada Safwan. Suaminya itu mengalunkan ayat suci al-quran secara hafazan dengan suara yang perlahan. Nadia kemudian melirikan matanya ke arah tangannya yang di pegang oleh Safwan. Dia dapat merasakan kehangatan dari telapak tangan suaminya itu. Jari jemari Safwan sesekali meramas lembut tangan isterinya.
Nadia terasa agak kekok diperlakukan sedemikian memandangkan dia tidak pernah disentuh sebegitu oleh mana-mana lelaki termasuk suaminya itu. Namun terselit sedikit rasa bahagia di hati Nadia apabila merasakan usapan jari-jemari Safwan pada kulit tangannya. Dia tidak ingin menarik tangannya kerana dia sedar mereka sudah halal untuk bersentuhan.
“Saf.. dimana saya sekarang?” Nadia mula bersuara dengan melontarkan pertanyaan kepada Safwan. Suaminya itu masih tidak menyedari Nadia sudah sedarkan diri dari pengsannya. Setelah mendengar suara Nadia, Safwan segera membuka mata dan mengangkat pandangannya kepada isterinya yang sedang terlantar di atas katil.
“Nadia.. Alhamdulillah.. Awak sedar juga akhirnya.. Awak kat hospital..” Safwan mengukirkan senyuman yang meleret.
“Hospital? Ke..kenapa?” Nadia terperanjat. Ingatannya pada ketika dia jatuh dari tangga langsung tidak terlintas di fikirannya. Dia cuba untuk bangkit dari pembaringan namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila badannya terasa sangat sakit dan kepalanya juga tidak mampu di angkat. Nadia kemudian menyentuh kepalanya apabila dirasakan kepalanya berdenyut dan sangat menyakitkan.
“Kenapa dengan saya? Kepala kepala saya sakit sampai berbalut?” Nadia menatap Safwan dengan penuh kehairanan yang bermain di benaknya.
“Jangan bergerak.. Baring je diam-diam.. Awak jatuh tangga kat dapur.. Kepala awak terhantuk kat anak tangga tu sampai berdarah.. Awak banyak kehilangan darah.” Safwan menceritakan kembali kejadian yang menimpa isterinya itu. Mendengarkan penjelasan suaminya, barulah ingatan Nadia kembali ketika mana dia hilang keseimbangan dan jatuh ketika sedang menuruni anak tangga di dapur rumahnya.
Dia mula ingat kembali, ketika sebelum kejadian berlaku, kepalanya sedikit pening dan pandangannya agak kabur. Nadia mula terfikir, mungkin itu balasan daripada Allah kerana malamnya itu dia sudah menyakiti suaminya dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Sejurus kemudian, air matanya mula bergenang dan tak dapat dibendung dari melimpah keluar dari kelopak mata. Nadia mula menyesal apabila kembali mengingati akan dosanya.
“Nadia.. Kenapa ni? Kenapa menangis?” Safwan menjadi bingung dengan isterinya. Tanpa berfikir panjang, tangan Safwan langsung bergerak untuk mengesat air jernih yang keluar dari mata isterinya.
“Maafkan saya.. Saya dah jadi isteri yang derhaka.. Saya dah sakitkan hati awak.. Mungkin inilah balasan Allah untuk saya. Ampunkan saya.. Semoga saya mendapat kifarah di dunia ini saja.. Janganlah saya di azab dalam neraka kerana menderhaka kepada suami..” Tangisan Nadia menjadi lebih kencang. Suaranya tersedu-sedan menahan sebak kerana takutkan kemurkaan Allah.
“Masyaallah.. Awak takde buat salah apapun kat saya.. Tak pernah sedikit pun saya rasa awak dah menderhaka.” Safwan memberikan penjelasan.
“Tolong.. Ampunkan saya.. Ampunkan dosa saya..” Tangisan Nadia semakin kencang dan suaranya semakin kuat merayu kepada Safwan sehingga beberapa orang pesakit lain dan jurujawat yang berada di ruang tersebut melihat ke arahnya. Safwan pula menjadi panik apabila isterinya itu berperilaku tidak ubah seperti orang yang sedang histeria. Bagaimana pun caranya, dia harus menenangkan Nadia agar tidak terus membuat kerusuhan di dalam wad hospital.
“Ya.. saya ampunkan awak.. Saya maafkan segala perbuatan awak.. Semoga awak akan menjadi isteri dan wanita yang solehah..” Safwan terpaksa memujuk isterinya. Walaupun dia tidak pernah menganggap isterinya itu menderhaka, namun dia terpaksa berkata begitu untuk menenangkan Nadia yang sedang meminta ampun seperti orang kerasukan. Jari tangannya menyeka air mata yang sedang tumpah dari mata Nadia seraya mengusap lembut pipi isterinya itu. Nadia yang masih merasa dirinya penuh dengan dosa segera memegang tangan Safwan dan mencium tangan lelaki itu.
“Kenapa encik? Ada apa-apa masalah dengan pesakit?” Seorang wanita muda yang bertugas sebagai jururawat menghampiri Safwan dengan pertanyaan kerana melihat Nadia yang menjerit sebentar tadi.
“Eh..tak.. Takde apa-apa.. Semuanya OK.” Safwan tersenyum sambil menggelengkan kepala kepada petugas kesihatan tersebut.
Tidak lama kemudian, Farhan, Nazirah dan Maryam datang ke ruang wad tersebut untuk melawat Nadia. Sejak dari pagi, Safwan sendirian yang berada di hospital bagi menjaga isterinya yang pengsan itu. Kerana hanya seorang penjaga sahaja yang dibenarkan untuk berada disitu, Farhan berserta ibu dan isterinya terpaksa pulang terlebih dahulu ke rumah mereka. Kini mereka kembali apabila waktu melawat telah dibuka untuk orang ramai memasuki wad di hospital tersebut.
“Macam mana dengan keadaan Nadia?” Farhan mula bertanya.
“Tadi doktor cakap, kalau takde masalah, insyaallah esok dah boleh discharge.. Dari X-ray, katanya takde yang serius.. Cuma nak buat CT scan tak boleh.. Kat hospital ni masih takde mesin.” Safwan menyampaikan khabar yang dia dapat daripada doktor.
“Safwan.. Lepas ni kamu balik la.. Kat wad perempuan ni, lelaki tak boleh jadi penjaga waktu malam. Biar Ira je yang temankan Nadia malam ni.. Lagipun kau dah seharian duk jaga Nadia hari ni.” Maryam menujukan kata-katanya kepada Safwan.
Safwan hanya mengangguk sebagai tanda memahami kata-kata ibu mertuanya itu. Nadia langsung memandang wajah Safwan yang sedang duduk di sisi katil pembaringannya. Hatinya terjentik lagi setelah mendengar ucapan ibunya. Kata-kata ibunya jelas menyatakan pengorbanan Safwan sebagai suami dengan menjaga dirinya selama tidak sedarkan diri. Rasa bahagia yang sedang menyelubungi hatinya memberi kekuatan kepada Nadia untuk menggerakkan tangannya dan memegang tangan Safwan. Tindakan Nadia itu menyebabkan Safwan sedikit terkejut. Lelaki itu segera membalas pegangan tangan Nadia dan mencium tangan isterinya. Farhan yang memerhatikan tingkah laku pasangan suami isteri itu mengukir senyuman di bibirnya. Dia yakin tindakannya menjodohkan mereka berdua adalah keputusan yang tepat.
Share this novel