Setelah agak lama termenung, Safwan pun mula meninggalkan kawasan kebunnya. Dia berjalan kaki, menuju ke arah kedainya memandangkan motosikalnya tadi sudah digunakan oleh Amir untuk mengangkut sayuran dari kebun ke kedai tersebut. Di pertengahan jalan, Safwan melihat ke arah sebuah kedai makan di tepi jalan. Dia yang sedang bergundah hati kemudian tiba-tiba terfikir untuk singgah sebentar di kedai itu.
“Kak Ti, teh ais satu..” Safwan memesan minuman kepada pemilik kedai tersebut seraya menarik satu kerusi untuk duduk di situ. Seketika kemudian, tuan empunya kedai makan itu kembali dengan membawa segelas air yang dipesan oleh Safwan. Setelah menerima air pesanannya, Safwan tidak segera meminumnya namun memegang penyedut minuman yang berada di dalam gelas dan memusingkan penyedut minuman itu seolah sedang mengadukkan air minuman yang diletakkan ais itu. Otak Safwan masih sedang memikirkan keadaan ibunya. Hatinya berharap agar ayah tirinya tidak tahu bahawa dirinya yang menghubungi ibunya tadi.
Kemudian, mata Safwan teralih ke arah pemilik kedai makan itu. Wanita itu kelihatan hampir sebaya dengan ibunya. Wanita yang digelarnya sebagai Kak Ti itu terlihat sedang bermenung sendirian.
“Kak Ti, kenapa termenung jauh tu?” Safwan menegur untuk memulakan perbicaraan.
“Ahh.. Entahlah Safwan.. Kak Ti tengah bingung sekarang ni..” Pemilik kedai itu tersenyum kelat sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa pulak? Kak Ti ada masalah apa?”
“Nak kata masalah besar sangat tu, tak la.. Tapi entahlah.. Ni, Kak Ti duk fikir pasal kedai ni..” Wanita itu mula membuka cerita yang sedang mengganggu fikirannya.
“Kenapa dengan kedai ni?” Safwan semakin ingin tahu.
“Kedai ni Kak Ti sewa dengan Maksu Lah Pak Deris. Dah dekat Dua belas tahun dah Kak Ti duk meniaga kat kedai ni. Sekarang ni, suami Kak Ti, abang Roslan tu.. dia kan orang Sabah. Sekarang dia dah tak bertugas dah.. Nak balik kampung dia la kat Sabah. Kak Ti pun kena la ikut sama. Jadi, masalahnya sekarang kedai ni la.. Macam mana Kak Ti nak bawa pergi sama semua barang-barang ni.. Nak jual, takde orang nak beli.. Kalau tak boleh buat apa, Kak Ti kena tinggal je la barang-barang ni semua kat sini.. Nak jual kat Maksu Lah pun dia taknak bayar.. Itu yang duk termenung Kak Ti ni.” Suriati berwajah sugul dengan mengukir senyuman yang hambar.
“Hmm.. susah juga kalau macam tu.. tapi kedai ni pun elok je sebenarnya. Lokasi cantik, orang ramai datang..” Safwan pula yang turut menggaru kepala setelah mendengar penjelasan Suriati.
“Kalau takde orang, takkan la Kak Ti boleh bertahan sampai dua belas tahun kat kedai ni.. Saf.. apa kata kau je bayar semua barang kedai ni? Kak Ti bagi murah-murah je kat kau..”
“Hah?” Safwan sedikit terkejut.
“Alah.. Kak Ti bagi harga empat ribu je kat kau.. Tolong la Kak Ti Saf.. Kerusi, meja, periuk, kuali, pinggan, gelas, dapur, tong gas, TV tu, semua.. Semua dalam barang dalam kedai ni, Kak Ti bagi empat ribu je.. Kalau kau nak sambung berniaga kat kedai ni pun, terserah kat kau Saf.. kau sambung je bayar sewa kedai ni kat Maksu Lah Pak Deris tu.” Suriati cuba memujuk rayu kepada Safwan.
“Empat ribu? Memang murah sangat dah tu Kak Ti..”
“Dekat engkau je Saf Kak Ti bagi harga tu..”
“Tapi… saya mana ada duit sebanyak tu sekarang.. Saya baru je balik dari Langkawi malam tadi. Banyak habis duit kat sana.. Lagipun saya baru je lepas tambah ayam penelur dengan ikan talapia baru ni. Ni pun ingat nak tambah lagi sehari dua lagi..”
“Hmm.. kalau macam tu takpe la.. Kak Ti pun bukan nak paksa kau beli semua barang ni.”
“Bila Kak Ti nak pindah?”
“Dalam dua minggu lagi kot.. Tu yang pening duk fikir nak jual barang-barang kedai ni secepat mungkin.”
“Nanti kita tengok la sehari dua lagi macam mana.. Insyaallah saya akan usahakan. Murah sangat dah Kak Ti nak jual tu.. saya pun rugi kalau tak beli. Saya akan cuba cari duit sebanyak tu secepat mungkin. Nanti saya confirmkan balik dengan Kak Ti.” Safwan cuba memberi harapan.
Dia sendiri sebenarnya tidak ingin melepaskan peluang keemasan seperti itu. Untuk memiliki sebuah kedai makan cuma dengan harga serendah itu, peluang tidak selalu hadir dan Safwan tidak ingin sia-siakan peluang yang ada. Tambahan pula kedai makan tersebut berkedudukan di lokasi yang menarik dan berdekatan dengan kedainya yang sedia ada. Kini Safwan harus memikirkan cara untuk mendapatkan wang secepat mungkin memandangkan wang simpanannya sudah semakin menyusut.
PADA sebelah malamnya, Safwan asyik termenung. Fikirannya sering terganggu kerana memikirkan cara untuk mencari wang bagi mendapatkan kedai makan yang ditawarkan oleh Suriati. Selepas makan malam, dia cuba untuk berbincang dengan Farhan untuk meminjam wang dari abang iparnya itu, namun dia terpaksa membatalkan hasratnya tersebut kerana malu jika permintaannya itu didengari oleh orang lain yang berada bersama di dalam rumah mereka.
Kini dia membaringkan badannya di atas katil sambil menatap siling rumah manakala sebelah lengannya diletakkan di atas dahi. Otaknya mula berserabut kerana memikirkan hal yang tidak mampu diselesaikan. Nadia yang menjejakkan kakinya ke bilik tidur kehairanan melihat keadaan suaminya itu.
“Abang ada masalah apa? Dari tadi sayang tengok asyik duk termenung je..” Nadia mula menegur.
“Ah.. takde apa la..” Safwan tersenyum kearah isterinya seraya mengalihkan posisi baringnya yang terlentang kepada mengiring.
“Abang.. Jangan nak berahsia dengan sayang.. Kita kan sudah jadi suami isteri. Kalau ada apa-apa masalah, abang kena la bagitau.. Kita bincang sama-sama.. Selesaikan sama-sama..” Nadia berdiri di sisi katil, menghadap ke arah suaminya yang sedang berbaring secara mengiring. Safwan kemudian bangkit dari pembaringannya dan duduk di hujung katil dengan kakinya diturunkan ke lantai. Nadia pula meletakkan punggungnya di sebelah suaminya sambil memegang tangan lelaki itu.
“Abang dari siang tadi asyik termenung.. Mesti ada apa-apa..” Nadia menatap wajah Safwan. Suaminya itu kemudian menghembuskan sebuah nafas kasar sebelum berbicara.
“Tadi masa abang nak pergi kedai, abang singgah la kedai makan Kak Ti yang dekat kedai tu.. Lepas tu, Kak Ti tu bagitau, dia nak pindah ke Sabah sebab nak ikut suami dia, abang Roslan tu balik kampung, menetap kat sana. Jadi Kak Ti nak jual la semua barang kat kedai makan dia tu. Dia offer kat abang harga empat ribu je untuk semua, seluruh kedai tu.. Kedai tu pula dia suruh sambung bayar sewa je la kat Mak Su Lah Pak Deris. Maknanya dengan empat ribu, dah boleh dapat sebuah kedai makan yang lengkap, dah boleh mula meniaga terus.. Murah gila la. Abang memang berminat nak ambil.. Tapi masalahnya sekarang duit abang pun ada seribu lebih je.. Tu nanti nak tambah beli ayam dengan ikan lagi..” Safwan meluahkan kekusutan yang sedang bermain di mindanya.
“Empat ribu murah sangat la.. Abang ambil je la.” Nadia menjadi teruja.
“Memang la murah.. Tapi kan abang dah cakap, abang takde duit.. Kalau ada, siang tadi lagi abang dah bayar kat Kak Ti.”
“Itulah pentingnya kena bagitau isteri kalau ada apa-apa.. Takpe la.. Nanti sayang bagi kat abang duit tu.. duit sayang ada je..” Nadia senyum apabila cuba menolong suaminya itu menyelesaikan masalah.
“Ish.. mana boleh abang guna duit isteri.. Duit sayang tu hak sayang la.. Abang mana boleh usik.”
“Abang.. Duit isteri memang la hak isteri.. Tapi kan sekarang ni sayang nak bagi kat abang.. Baik sayang bagi kat suami sendiri kan, dari bagi kat orang lain?”
“Tapi malu la abang kalau guna duit isteri.. Dikata orang, jadi lelaki dayus pula..” Safwan cuba menjaga maruah dirinya sebagai seorang lelaki.
“Siapa nak kata? Siapa yang tahu pasal ni? Cuma abang dengan sayang je yang tahu.. Orang lain tak perlu tahu urusan kita berdua.” Nadia merangkul lengan Safwan dan meletakkan kepalanya di bahu sang suami. Beberapa saat kemudian, Nadia kembali mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Safwan.
“Tapi siapa yang nak masak? Pekerja yang nak bantu kat kedai nanti macam mana? Takkan abang nak buat sendiri semua kerja..”
“Tukang masak tu nanti kita cari la.. Pekerja Kak Ti dah ada dua orang.. Boleh je terus upah mereka je. Dah kalau Kak Ti dah tak meniaga, mesti dua orang tu takde kerja.. Boleh je minta mereka terus kerja je kat kedai tu.. cuma tukar majikan je..” Safwan memberi penerangan.
“Hmm.. upah Kak Ira la jadi tukang masak.. Dia kan pandai masak. Lagipun dulu Kak Ira pernah bagitau, dia nak juga meniaga makanan. Tapi.. dia taknak duk kat kedai makan sebab dia nak teman mak kat rumah.”
“Kalau macam tu, kita jual nasi, lauk dah siap je la.. Tak payah jual masakan panas. Buat beberapa jenis lauk je.. Kak Ira masak je kat rumah. Lepas tu kita angkut je la lauk yang dah siap masak tu ke kedai..” Safwan memberikan pendapatnya.
“Hmm.. bagus juga macam tu..” Nadia menyatakan persetujuan.
“Abang fikir, untuk lebih mudah,baik buat satu jenis menu je.. Buat nasi kukus.. Nama kedai, boleh letak kedai Nasi Kukus Nafas contohnya.. Boleh buat branding.. Senang sikit untuk marketing.. Kak Ira masak kuah gulai dan daging kerutuk je kat rumah.. Pastu perap ayam.. Ayam tu goreng kat kedai, panas-panas..”
“Wah, menarik betul.. Sayang suka idea abang tu.. Kak Ira pun boleh duduk kat rumah je.. Nanti sayang duk kat kedai pun takpe untuk tanak nasi, goreng ayam.. Untuk serve pelanggan, bagi pekerja buat.. Sayang jaga kaunter, kira duit..” Nadia mengangkat kedua keningnya berkali kali sambil tersenyum melihat ke arah Safwan.
“Jauh betul khayalan.. Padahal barang kedai pun tak beli lagi.” Safwan tertawa dan disertai dengan hilaian Nadia. Safwan kemudiannya memeluk isterinya itu dengan penuh kasih sayang. Kini fikirannya mula tenang dan hatinya menjadi damai kerana masalah yang membelenggu otaknya sejak siang tadi sudah terlerai bantuan dari Nadia. Safwan mula mengerti peranan seorang isteri. Walaupun seorang suami perlu menjadi kuat untuk mencari nafkah demi keluarga, namun isteri juga mempunyai peranan untuk menjadi penolong dan penasihat kepada sang suami. Sekuat apa pun seorang suami, suatu saat pasti akan tetap memerlukan sokongan moral dari seorang isteri setidaknya untuk dia kembali membangkitkan semangatnya.
Share this novel