Bab 5 (part 2)

Romance Series 8087

BERDEKATAN sebuah simpang jalan, Safwan sedang bertukang bersama Farhan. Mereka sedang membina sebuah gerai pada pinggir jalan tersebut. Gerai yang didirikan cukup sederhana, dengan empat tiang dan bumbung sahaja. Sebuah meja panjang sesuai dengan ukuran gerai turut dibuat bagi tujuan meletak hasil sayuran yang bakal dijual nanti. 

“Sekeping lagi zink, siap la bang.” Wajah Safwan tersenyum girang walaupun dirinya kepenatan. Dirinya yang sedang berada di atas meminta di hulurkan atap dari Farhan yang berdiri dibawahnya. Tanpa berlengah, Farhan segera mengambil kepingan atap yang diminta oleh Safwan lalu menghulurkan kepada lelaki yang berada di bahagian atas gerai tersebut. Setelah meletakkan kepingan atap sesuai pada kedudukannya, Safwan segera memaku atap tersebut. Selesai melakukan pekerjaan, lelaki muda itu segera turun ke bawah dan berdiri di samping Farhan yang sejak dari tadi membantunya. 

“Alhamdulillah.. Siap juga akhirnya kerja hari ni.” Safwan mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan.

“Alhamdulillah.. Semoga perniagaan kau maju nanti.” Farhan memberikan kata-kata yang berupa doa kepada lelaki yang di anggap seperti adiknya itu.

“Insyaallah bang.. Terima kasih kat abang yang banyak bantu saya.. Kalau bukan kerana abang, saya takkan berada di sini..” 

“Abang cuma mampu bantu sikit-sikit je Saf.. selebihnya berkat usaha kau sendiri..” Farhan menepuk lembut bahu Safwan yang berada di sampingnya. Safwan kemudian berjalan menuju ke jalan raya dan menghadap ke arah gerai yang baru di binanya itu.

“Kat sini, kita letak sayur-sayuran tu semua.. Susun biar cantik atas meja ni, baru menarik orang tengok. Lagipun sini jalan lurus, senang orang nak nampak gerai ni nanti. Tepi jalan ni pun luas lagi. Senang orang nak parking kalau nak membeli nanti.” Safwan melihat ke kawasan sekelilingnya sambil di perhatikan oleh Farhan. Farhan kemudian turut bergerak menuju ke arah Safwan.

“Lokasi ni memang cantik kalau buat gerai.. Pandai kau pilih lokasi.” Farhan sedikit memuji.

“Lokasi penting juga untuk berniaga.. Lagipun sini dekat je dengan kebun. Senang nak angkut sayur-sayur tu nanti. Aisyah pun senang nak ke mari. Nasib baik Ustaz Li bagi Aisyah tolong saya berniaga kat sini.” 

“Yang penting kau jangan macam-macam dengan Aisyah tu nanti.. Jaga perhubungan.. Kalau nak mudah, kau kahwin je terus dengan dia. Takde la timbul cerita tak enak nanti.” Farhan melepaskan ketawa setelah mengusik Safwan.

“Astagfirullah.. Ke situ pula abang ni. Takde la saya nak buat benda-benda pelik dengan Aisyah.”

“Abang bergurau je.. Abang tahu la kau orang baik.. Takkan buat benda-benda tak elok.. Tapi Ustaz Li tu memang suka kat kau Saf. Sebab tu dia sendiri yang ajak kau tinggal kat pondok dia tu.. Mana la tahu, nanti dia nak buat kau jadi menantu dia ke..” Farhan masih cuba untuk mengusik. Safwan pula hanya mendiamkan diri. Matanya langsung memandang ke tanah dan otaknya seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Saya ni bukan orang baik bang.. Nak jadi menantu Ustaz Li, langsung tak layak.. Nak kahwin dengan wanita sebaik Aisyah tu pun, jauh panggang dari api.. Jujurnya, saya malu berada di sini bang. Orang di sini semua baik-baik. Abang sendiri pun, terlalu banyak abang dah bantu saya. Saya pula bukannya baik macam orang kat sini. Saya pun tak nak la buka aib saya sendiri. Yang jahat saya tu, biarlah Allah saja yang tahu.”

“Saf.. semua orang pun ada kesalahan.. Selain nabi, setiap orang tak terlepas dari berbuat dosa. Apa pun kesalahan kita, sentiasalah bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani..” Farhan memandang anak muda di hadapannya itu dengan sebuah senyuman. Baginya, Safwan itu pemuda yang baik dan suka merendah diri. Kerajinan dan kesungguhan pemuda itu dirasa amat mengagumkan. Walaupun keperibadiannya jelas menyenangkan orang di sekitarnya, namun Safwan masih tetap merendah diri dengan menganggap dirinya tidak sebagaimana yang diperkatakan oleh orang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience