Bab 44 (part 1)

Romance Series 8087

MOTOSIKAL Safwan bergerak menuju ke rumah setelah selesai menutup dan mengunci pintu kedainya. Lorong ke kiri dimasukinya dengan hati-hati dan melalui kawasan hadapan rumah Ustaz Razali. Dia mengambil selekoh di tepi rumah guru agamanya itu melewati pondok pengajian agama yang berada di belakang rumah Ustaz Razali.

Safwan tersenyum memandang ke arah pondok yang sudah mengubah hidupnya itu. Di sanalah dia belajar mendalami ilmu agama dan guru pondok itulah yang mengajari dirinya tentang erti hidup di dunia sebagai seorang hamba. Dia bersyukur dengan takdir yang mempertemukannya dengan Farhan dan membawanya ke tempat tersebut. 

Berhadapan dengan pondok pengajian agama, terlihat pula kebun sayur yang luas milik Safwan sendiri. Kebun itulah yang menjadi sumber utama punca rezekinya. Mengubah status ekonomi dirinya dari seorang yang tiada apa-apa sehinggalah berjaya membuka kedai dan membantu orang ramai. Melepasi kawasan kebun, ada pula barisan tangki air yang berisi ikan talapia, disusuli reban ayam dan kandang kambing. Safwan memanjatkan kesyukurannya kehadrat Illahi kerana melimpahkannya dengan rezeki sebanyak itu dalam sekejap masa. Jika Allah berkehendak, Dia mampu memberikan rezekiNya kepada sesiapa sahaja dalam sekelip mata. Begitu juga sebaliknya, Allah mampu menarik nikmatNya dari sesiapa pun dalam sekelip mata. 

Safwan menghentikan motosikalnya di hadapan rumah keluarga isterinya. Petang itu, suasana terasa mendamaikan hati. Safwan yang tidak terus naik ke rumah, berjalan menuju ke arah kandang kambingnya terlebih dahulu. Dia tersenyum apabila mengimbau kenangan disaat ketika Farhan ingin menjualkan semua kambing itu termasuk dengan kandangnya sekali. Fikiran Safwan jauh menerawang, mengingati satu persatu peristiwa yang berlaku dalam hidupnya.

Tiba-tiba lamunan Safwan terhenti apabila dikejutkan dengan kehadiran beberapa buah biji kereta. Kereta-kereta tersebut berhenti di hadapan rumah ibu mertuanya. Safwan yang kehairanan kerana rumah keluarga isterinya itu jarang dikunjungi oleh tetamu yang ramai. Dia tertanya-tanya gerangan rombongan yang mendatangi rumah keluarga isterinya itu.

Kemudian beberapa orang lelaki keluar dari kereta, berdiri menjejakkan kaki mereka ke tanah. Beberapa orang dari mereka pernah dilihat oleh Safwan sebelum ini. Mereka adalah orang yang mengejar Safwan sehingga ke pasar borong dan menyebabkan Safwan menaiki lori penghantar ikan dan dibawa sehingga ke tempatnya berkelana sekarang. Salah seorang dari mereka amat di kenali oleh Safwan iaitu Tengku Badrul, ayah tiri Safwan sendiri. Safwan terkejut besar apabila melihat kehadiran para tetamu yang tidak diundang itu.

“Kau ingat kau boleh lari dari aku? Aku dah bersumpah, sampai lubang cacing pun aku akan cari kau..” Tengku Badrul tersenyum sinis.

“Aa..ayah.. ayah Engku buat apa.. kat sini?” Safwan yang masih dihantuk oleh kejutan tergagap suaranya. 

“Buat apa? Aku cari kau la budak bedebah! Kau nak tujuk hero, kau pukul muka aku.. Lepas tu kau cabut lari.. Kau ingat aku akan duduk diam? Sampai ke Kedah rupanya kau lari dari aku ye..” Tengku Badrul mulai geram. Syaitan mula bersorak gembira apabila hasutan mereka telah berjaya menyalakan api kemarahan dalam diri lelaki tua tersebut.

“Saf lari bukan sebab takut.. Saf lari sebab mak yang suruh.” Safwan berterus terang menyatakan kejadian yang berlaku berdasarkan sudut pandangnya. Namun bagi Tengku Badrul dan anak buahnya, mereka menganggap Safwan melarikan diri kerana ketakutan.

“Pandai la kau konar.. Apa pun alasan kau, hari ni kau takkan terlepas lagi.. Aku akan siat-siatkan kulit kau..” Tengku Badrul mengancam sambil menyeringai. Safwan tetap berdiri tenang di tempatnya. Dia tiada hasrat untuk melawan ayah tirinya itu. Safwan sudah berjanji kepada dirinya untuk berubah dan tidak lagi bergaduh sebagaimana janjinya kepada Alyaa sebelum ini. 

“Ajar dia!” Tengku Badrul memberikan arahan kepada anak buahnya. Beberapa orang dari mereka kemudian menerpa ke arah Safwan seraya melancarkan serangan dengan menumbuk dan menendang Safwan sekuat hati mereka. Safwan dikeroyok tanpa membalas. Dia membiarkan sahaja dirinya dipukul oleh ketumbukan ayah tirinya itu. Darah mula mengalir keluar dari muka dan tubuh badan Safwan. 

“Abang!” Alyaa menjerit seraya berlari menuju ke arah abangnya yang sedang di keroyok dengan kejam.

“Berhenti!” Tengku Badrul memberikan arahan kepada anak buahnya untuk menghentikan serangan ke atas Safwan. Ketumbukan itu patuh kepada arahan yang dikeluarkan. Serangan segera dihentikan.

Sebahagian daripada mereka mula berundur beberapa langkah ke belakang. Tangan Safwan kedua-duanya dipegang oleh dua orang lelaki. Alyaa yang mendekat kemudian menempis tangan lelaki yang sedang membelenggu pergerakan Safwan namun tenaga seorang gadis seperti Alyaa tidak mampu melawan lelaki yang gasar itu. Alyaa kemudian memeluk badan Safwan yang berlumuran darah. Dia tidak mahu abangnya itu terus dipukul lagi.

“Jadi kau pun ada kat sini rupanya ya..” Tengku Badrul menyapa Alyaa apabila menyedari anak tirinya itu turut berada bersama abangnya pada ketika itu. Lelaki itu kemudian merentap tangan Alyaa dan menarik Alyaa dari pangkuan Safwan.

“Kau dua beradik ni betul-betul buat aku meluat!” Tengku Badrul menyeringai.

“Ayah Engku.. Macam mana Ayah Engku boleh ada kat sini?” Alyaa ketakutan apabila melihat wajah ayah tirinya yang sudah seperti kerasukan. 

“Macam mana aku boleh ada kat sini? Sebab abang kau yang tak guna ni la!” Tengku Badrul menengking sambil mencengkam pipi Alyaa dengan sebelah tangannya.

Imbas kembali…

“WAALAIKUMUSSALAM..” Kartini tersenyum selepas menjawab salam dan menamatkan perbualannya dengan Safwan. Panggilan dari anak lelakinya itu menyenangkan hati Kartini. Kini dia sudah tahu Safwan berada dalam keadaan selamat dan sihat. Anaknya itu telah menceritakan apa yang sudah berlaku kepada dirinya dan dimana anak itu berada sekarang.

Kartini bersyukur kerana Safwan sudah berubah dan telah berumah tangga. Jika bukan kerana suaminya, Kartini pasti sudah meminta Safwan untuk pulang ke rumahnya atau dia akan pergi ke tempat anaknya itu untuk berjumpa dan mengenali menantunya.

Tiba-tiba Tengku Badrul memunculkan diri di hadapan Kartini. Melihat kehadiran suaminya itu, Kartini langsung berubah riak wajahnya. Dia khawatir jika suaminya itu mendengar perbualannya bersama Safwan sejenak tadi. Padahal suaminya itu baru sahaja keluar dari rumah mereka. Kartini langsung tidak menyangka suaminya itu akan kembali secepat itu.

“A..abang.. Kenapa balik semula?” Kartini menanyakan suaminya.

“Aku tertinggal dompet.. Aku nak ambil dompet aku la..” Tengku Badrul menjawab. Namun tiba-tiba Kartini dikejutkan apabila suaminya itu menyambar pergelangan tangannya. Genggaman kasar dari Tengku Badrul menyakitkan tangan Kartini yang masih sedang memegang telefon bimbit. Perlahan-lahan Tengku Badrul mengambil telefon dari tangan isterinya itu.

“Oh.. kat belakang aku, bukan main kau melayan anak jantan kau ye.. Bila aku tanya, kau jawab tak tahu.. Tak pernah berhubung.. Betina tak guna..” Satu tamparan keras hinggap ke muka Kartini. Pandangan mata wanita itu terus berpinar setelah menerima pukulan dari suaminya. 

“Bagitau aku, kat mana budak tu sekarang!” Tengku Badrul mendesak.

“Saya tak tahu..” Kartini cuba berbohong demi keselamatan anaknya.

“Kau ingat aku pekak, tak dengar apa yang kau cakap tadi?” Sekali lagi tamparan Tengku Badrul singgah ke mukanya isterinya. 

“Cakap la..” Tamparan ketiga pula menyusul. Kartini sudah tidak sanggup menahan kesakitan akibat kekejaman suaminya itu.

“Maafkan saya bang..”

“Aku tak suruh kau minta maaf.. Aku nak kau bagitau kat mana anak jantan kau tu sekarang! Tadi aku dengar kau cakap dia kat Kedah.. Konon duk sembunyi kat pondok.. Kawasan mana? Pondok mana dia duduk? Cepat bagitau aku!” Tengku Badrul mencekik leher Kartini dengan keras. Kerana isterinya itu lambat memberikan jawapan, lelaki gasar itu langsung menumbuk wajah isterinya sehingga wanita itu rebah ke belakang. Darah mula meleleh keluar dari hidung Kartini. 

“Cepat bagitau aku kalau kau nak nyawa kau selamat!” Tengku Badrul kemudian mencampakkan telefon bimbit milik Kartini yang dirampasnya tadi ke dinding rumah dengan kuat.

Satu-satunya telefon milik isterinya itu hancur berderai. Sama hancurnya hati Kartini yang melihat keadaan tersebut. Oleh kerana telefonnya sudah pecah dan rosak, Kartini sudah tiada cara lain untuk berhubungan dengan anak-anaknya nanti. Sudahlah selama ini dia tidak pernah menghubungi anak-anaknya kerana takut kepada Tengku Badrul. Dia hanya menunggu sahaja panggilan dari anak-anaknya. Kini, telefon yang setia menanti panggilan dari anak-anaknya itu juga sudah dihancurkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience