Bab 2

Romance Series 8087

SAFWAN baru selesai menghabiskan sepinggan nasi sebagai sarapan paginya. Sarapan di gerai dalam kawasan pekarangan pasar itu benar-benar memenuhi seleranya. Sebelum makan tadi, dia baru selesai menjual hasil sayur-sayuran tanamannya kepada peniaga di pasar. Sambil menepuk-nepuk perutnya yang sudah kekenyangan, mata Safwan mencari-cari kelibat Farhan. Dia tadinya datang ke pasar bersama Farhan kerana menumpang kenderaan lelaki tersebut. Safwan sendiri yang masih tidak memiliki kenderaan, terpaksa menumpang Farhan untuk mengangkut sayur-sayurannya memandangkan Farhan juga akan turut ke pasar tersebut untuk menjual ikan keli peliharaannya.

Menyedari Farhan masih rancak berniaga, Safwan mengambil peluang untuk berjalan di sekitar kawasan pasar tersebut. Sambil berjalan, dia melihat-lihat jualan para peniaga di pasar itu satu persatu. Keadaan di pasar tersebut sudah semakin lenggang dari pengunjung memandangkan waktu sudah hampir ke tengah hari namun para peniaga masih setia memperdagangkan hasil jualan mereka. Apabila tiba di hujung pasar, Safwan memberhentikan langkah kakinya. Matanya tertumpu kepada sekumpulan anak ayam yang dijual oleh peniaga di situ. Bunyi ciapan anak-anak ayam di situ menarik perhatian Safwan.

“Anak ayam apa ni bang?” Safwan mula bertanya kepada penjual anak ayam di hadapannya.

“Ni anak ayam penelur. Baka lohmann brown.” 

“Ayam penelur? Ayam yang hasilkan telur yang orang duk jual tu ke?”

“Ah.. telur yang orang duk jual kat kedai tu la.”

“Susah tak nak jaga ayam ni?” Safwan tidak putus bertanyakan soalan. Dia sebenarnya mula menaruh minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tugas pemeliharaan ternakan tersebut.

“Takdelah susah pun.. Bagi makan dedak je dan pastikan reban sentiasa bersih. Nak ayam sihat dan reban tak berbau, sembur je EM4 kat sekitar reban, dalam air minum dan makanan ayam. Ni ha.. Effective Microorganism four.” Jawab lelaki yang menjual sambil menunjukkan sebotol cecair di tangannya. Safwan terus mengambil botol yang di tunjukkan dari tangan lelaki tersebut dan langsung memusing-musingkan botol tersebut untuk membaca label pada botol.

“Bagus juga kalau bela ayam. Telur nanti boleh jual. Tahi ayam pun boleh di buat baja untuk tanaman.” Safwan bermonolog. Seketika kemudian, dia menghulurkan kembali botol di tangannya kepada lelaki penjual ayam di hadapannya.

“Berapa seekor harga anak ayam ni?” 

“Yang ni dah hampir sebulan umur. Saya jual sepuluh ringgit je seekor. Bagi murah-murah je. Kalau anak yang umur seminggu dalam tujuh ringgit. Yang sebulan ni jimat sikit masa kalau nak bela. Dalam tiga bulan lagi bertelur dah ni. Biasanya, ayam ni start bertelur dalam umur tujuh belas minggu macam tu.” Penjual ayam itu masih tidak jemu untuk menjawab pertanyaan dari Safwan. Safwan mendiamkan diri apabila mendapat tahu harga bagi seekor anak ayam tersebut. Mindanya mula mengira-ngira kos bagi beberapa ekor ayam. 

“Takpelah bang. Nanti lain kali saya datang lagi. Nak try kira anggaran kos keseluruhan dulu.” Safwan seraya berlalu dari peniaga tersebut. Otaknya masih di kerahkan untuk mengira segala kos yang terlibat jika ingin memelihara ayam tersebut. Setelah berlegar sekeliling pasar, Safwan akhirnya menuju ke arah Farhan yang sedang menjual ikan keli. 

“Banyak lagi ke bang?” Safwan menegur Farhan yang sedang membersihkan kawasan gerai miliknya. 

“Takde dah.. Abang nak bersihkan kawasan ni sikit.” Jawab Farhan sambil menyiram air di lantai kawasan perniagaannya.

Safwan tanpa di suruh segera mengambil berus penyapu dan membantu membersihkan tapak perniagaan milik Farhan itu. Penyapu di tangannya ditekan pada lantai yang basah untuk membersihkan kotoran yang melekat pada lantai. Farhan menyiram lagi air ke lantai untuk membilas dan Safwan menolak air tersebut menggunakan penyapu ke arah longkang kecil bagi melancarkan aliran air. Setelah selesai membersihkan kawasan perniagaan Farhan, mereka berdua mula mengangkat tong kosong yang menjadi bekas untuk mengisi ikan jualan Farhan, menuju ke arah van untuk pulang. 

“Bang, nanti kita singgah kedai hardware sekejap. Saya nak order barang sikit kat sana.” Safwan menyampaikan hasratnya kepada Farhan. Memandangkan dia menumpang van milik Farhan, maka seharusnya dia mengatakan hasratnya kepada lelaki yang akan memandu itu nanti.

“Eh, kau nak beli apa kat kedai hardware? Kau nak buat rumah ke?” Farhan berseloroh sambil tertawa.

“Baru jual sayur tiga empat bulan.. Mana la saya ada duit nak buat rumah.. Saya nak beli bata, simen skit, atap zink, jaring BRC dengan besi C-channel. Saya fikir nak buat reban ayam la bang. Bela ayam penelur.. Boleh juga tambah income sikit.” Safwan dengan jujur menyatakan keinginannya.

“Wah, bagus betul idea kau Saf. Okey la kalau macam tu. Lagipun, kebun kau pun budak-budak tu boleh tolong jagakan. Kau boleh jaga ayam pulak.” Farhan teruja mendengar penjelasan daripada Safwan. Dia yang yakin pada ketekunan anak muda itu, cuba memberikan sokongan secara moral bagi menyemangati Safwan. Safwan yang berada di sebelah Farhan hanya tersenyum kepada lelaki tersebut. Dia sangat bersyukur apabila mendapat sokongan dari Farhan memandangkan kebunnya dan reban ayam yang bakal di binanya nanti menggunakan tanah milik lelaki tersebut.

USAI solat asar secara berjemaah di pondok, Ustaz Razali membacakan satu hadis sebagai pedoman buat pelajar di pondok tersebut. Begitulah rutin mereka di sana. Setiap kali selesai melaksanakan solat fardhu, mereka akan dibacakan sepotong hadis oleh Ustaz Razali, pemilik pondok tersebut.

"Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya. Hadith riwayat at-Tabarani. Begitulah bagaimana Islam menitik beratkan umatnya agar berusaha. Kita dituntut untuk bertawakal kepada Allah. Namun dalam masa yang sama, kita juga dituntut agar bekerja dan berusaha. Benar, rezeki itu dari Allah.. Namun apa tujuan kita dihidupkan di atas dunia ini jika langsung tidak berusaha? Bukankah Allah menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini untuk beribadat kepadanya dan memakmurkan bumi ini? Beribadat bukan solat, puasa, berzikir semata-mata.. Kita bekerja, niat kerana Allah untuk memakmurkan dunia, membantu sesama manusia dan makhluk, itu juga adalah satu ibadat.. Kita menyampaikan ilmu agama, kerana Allah.. Untuk memberikan ilmu kepada orang lain.. Kita bertukang, buat rumah, niat kerana Allah, untuk membantu orang lain memiliki rumah untuk berteduh.. Kita bercucuk tanam, kerana Allah untuk membantu orang lain mendapatkan makanan.. Hasil yang kita dapat dari pekerjaan kita itu, kita infaq pula ke jalan Allah. Derma, sedekahkan kepada masjid, kepada golongan asnaf.. bantu orang lain, haiwan-haiwan terbiar.. Itu semua ibadah. Gunakan rezeki yang kita dapat untuk di kongsikan kepada orang lain dan mempermudahkan urusan agama Allah.. Insyaallah, Allah akan menambahkan lagi rezeki kita dengan melimpah ruah.”

Kata-kata Ustaz Razali itu benar-benar menjentik hati Safwan. Dia hanya menundukkan pandangan mukanya. Berfikir tentang hadith yang dibacakan oleh lelaki tua di hadapannya itu. Safwan mula menyimpan tekad di hatinya untuk terus berusaha dan mencari wang untuk mempermudahkan urusan orang lain dan urusan agama. Seketika kemudian, Ustaz Razali selesai memberikan ucapannya dan para pelajar di pondok tersebut lantas berdiri dan saling bersalaman di antara satu sama lain.

Selesai bersalaman, Safwan segera bergegas menuju ke bilik untuk menggantikan pakaiannya. Dia kini bersemangat untuk membina reban ayam yang akan dipeliharanya nanti. Barang-barang untuk membina reban ayam yang dipesannya tadi, sudah pun di hantar oleh pihak kedai ke tempatnya sebelum waktu asar menjelang.

Setelah selesai menggantikan pakaiannya, Safwan segera bergegas menuju ke arah kebun sayurnya yang terletak bersebelahan dengan pondok milik Ustaz Razali. Di pondok pengajian itulah yang menjadi tempat dia tinggal dan menuntut ilmu agama. Di sebelah kebun sayurnya pula, terdapat kandang kambing milik Farhan. Tidak jauh dari kandang kambing tersebut, terletaknya rumah Farhan yang tinggal bersama ibu, isteri dan adik perempuannya Nadia.

Safwan berjalan melalui kawasan kebun sayurnya dan menuju ke arah kandang kambing milik Farhan. Di antara kebun sayur dan kandang kambing, masih terdapat sedikit ruang hampir dua puluh kaki. Safwan berencana untuk mendirikan reban ayamnya nanti di kawasan tersebut. Setelah mendapat izin daripada Farhan untuk menggunakan tanahnya tadi, Safwan kini semakin berkobar-kobar semangatnya. 

Tanpa berlengah, Safwan mula mengaduk simen untuk mendirikan lapisan bata bagi tapak reban ayamnya. Tidak lama kemudian, Aisyah yang melalui kawasan tersebut melihat Safwan yang sedang bertukang sendirian. Anak perempuan Ustaz Razali itu mula tertanya-tanya sendirian akan perbuatan Safwan. Untuk mendapatkan jawapan, Aisyah kemudiannya menghampiri Safwan yang sedang menyusun batu-bata. 

“Safwan, awak nak buat apa ni?” Suara lembut Aisyah tertangkap di cuping telinga Safwan. Lelaki itu segera menghentikan pekerjaan, lalu berpaling melihat ke arah Aisyah yang sedang berdiri di belakangnya.

“Oh, Aisyah.. Takde apalah.. Saya cuma nak buat reban ayam je.” Safwan menjawab ringkas sebelum kembali meneruskan pekerjaannya.

“Reban ayam? Awak nak bela ayam pulak?” 

“Ah.. hajatnya begitulah.. Semoga di permudahkanlah urusan saya.”

“Insyaallah.. Jika ada kemahuan, awak pasti boleh buat.” Aisyah tidak sedar dirinya sedang mengukirkan sebuah senyuman yang terlindung di sebalik hijab yang dipakai pada wajahnya. Dia kagum dengan semangat dan usaha lelaki di depannya itu. Pada fikirannya, Safwan bukan sahaja seorang lelaki yang rajin, malah penuh dengan wawasan untuk memajukan diri.

“Aisyah nak kemana?” Safwan menyoal sambil menyusun bata di tangannya tanpa melihat ke arah gadis yang berdiri di belakangnya itu.

“Saya nak ke rumah Nadia sekejap.. Nampak awak duk kat sini, saya nak tahu la awak duk buat apa.”

“Eh, awak ambil berat jugak kat saya rupanya.. Ke awak rindu kat saya sampai datang ke sini?” Safwan cuba untuk bergurau. Namun sesaat kemudian dia mula menyedari kekhilafannya itu. Dia tidak sepatutnya mengucapkan kata-kata sebegitu kepada anak perempuan Ustaz Razali yang bertutup litup memakai purdah itu. Gadis itu pasti akan tersinggung jika diberi ucapan sebegitu pada fikiran Safwan. Dia kini benar-benar menyesali ucapan gurauannya itu.

“Eh.. bu..bukan macam tu.. takdela macam tu..” Aisyah mula tergagap untuk menjawab. Dia sebenarnya terkejut dengan pertanyaan Safwan kepadanya. Dia tidaklah tersinggung sebagaimana yang difikirkan oleh Safwan, tetapi Aisyah sebenarnya amat malu. Gadis itu terkejut apabila mendengar pertanyaan Safwan, seolah-olah lelaki di hadapannya itu tahu akan isi hatinya. Di sebalik purdah yang menutupi wajahnya, Aisyah mula mengetap bibir kerana rasa malunya. Jantungnya terasa berdebar dan gadis itu mula menundukkan pandangan matanya dari terus menatap Safwan.

“Saya minta maaf kalau Aisyah terasa hati.. Saya cuma bergurau je.” Safwan tidak kekok untuk meminta maaf di atas kekhilafannya sebentar tadi.

“Tak..takde la.. Saya tak rasa apa pun.. Maaf dah ganggu. Sambung la kerja awak. Saya pergi dulu.. Assalamualaikum.” Aisyah segera membuka langkah kakinya meninggalkan Safwan dan mula menuju ke arah rumah Nadia.

“Aduh.. matilah aku..mesti dia fikir aku ni lelaki gatal.. Kalau dia bagitahu kat Ustaz Razali, mampus aku nanti.” Safwan masih merasa menyesal dengan kata-katanya tadi sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya masih memerhatikan Aisyah yang semakin menjauh itu dari arah belakang.

Tanpa disangka, Aisyah tiba-tiba berpaling ke arah belakang dan melihat Safwan yang sedang memerhatikannya. Kedua mereka sama-sama tersentak apabila pandangan mereka saling bertemu dan seraya itu juga mereka berdua masing-masing mengalihkan pandangan ke arah lain. Rasa malu semakin menebal di dalam diri masing-masing. Safwan mula menepuk-nepuk dahinya, kesal terhadap dirinya yang tadi memerhatikan Aisyah.

Manakala Aisyah pula terus mengulum tersenyum. Gadis itu sepertinya gembira walaupun terasa malu. Aisyah segera meneruskan langkahnya dengan lebih laju. Dia ingin menjauh secepat mungkin agar rasa malunya terhadap Safwan segera terbuang.

"Astaghfirullah.. Aisyah, kawal perasaanmu.." Aisyah berbicara sendiri, cuba menegur kekhilafan dirinya yang tadi terbuai oleh perasaan. Fikirnya, dia sudah melebih-lebihkan keinginan nafsunya sehingga hanyut memikirkan Safwan. Padahal mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan. Dia tidak sepatutnya menegur Safwan yang bukan mahramnya sebentar tadi. Jika dia terus bersama lelaki itu berlama-lamaan, pasti syaitan akan hadir untuk menjadi pihak ketiga dan menghasut nafsunya untuk bangkit dari peraduan. Jika nafsu sudah beraja, maka akal pasti akan terbantut dan imannya pasti akan hilang. Aisyah tidak ingin dirinya menjadi tercela kerana terlalu mengikutkan perasaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience