Bab 8

Romance Series 8087

LANGIT petang terlihat dipenuhi awan mendung dan menjadikan suasana agak redup. Kelihatan Azlan sedang menunggang motosikal, merentasi jalan di kampung halamannya. Motosikalnya itu di bawa dengan agak laju, seolah dia sedang melepaskan kerinduan pada kampung halaman. Setibanya di sebuah warung, Azlan segera memberhentikan motosikal tunggangannya dan mendekati sekumpulan pemuda yang sedang melepak di warung tersebut.

“Woi bakal ahli neraka, tak habis-habis korang ni melepak, minum ketum, main judi.. Bila nak bertaubat?” Azlan menyergah kumpulan lelaki yang sedang duduk di meja warung. 

“Ciss.. tak guna kau Lan.. terkejut aku.. Weii.. bila kau balik? Langsung tak bagitau kitorang..” Salah seorang dari mereka berpaling dan berjabat tangan dengan Azlan. Beberapa lelaki lain di meja tersebut turut bersalaman dengan anak lelaki Ustaz Razali itu.

“Aku sampai tengah hari tadi.. Rehat sekejap kat rumah tadi. Ni yang aku keluar cari korang.. Nak bagitau yang aku dah balik la.” Azlan menghamburkan tawa seraya menarik satu kerusi untuk duduk bersama kawan-kawannya itu.

“Pak Daud.. Kopi ais satu!” Azlan menjerit kepada pemilik warung yang sedang berbual dengan beberapa orang lelaki yang sebaya dengannya di meja yang lain. Lelaki yang berusia lebih dari separuh abad itu segera berdiri dan melihat ke arah Azlan.

“Laa.. kau ke Lan? Baru balik kampung ke?” Pak Daud terus menegur anak muda yang baru tiba itu.

“Ahh.. baru balik tengah hari tadi.. Buat air dulu Pak Daud.. haus ni..” 

“Ye la.. Ye la.. Aku nak buat la ni.. Tak menyempat kau ni..”

“Kering tekak ni Pak Daud.. rindu la lama tak minum air kopi hasil tangan Pak Daud. Kopi kat KL tak sama dengan kopi Pak Daud..” 

“Pandai la kau..” Pak Daud ketawa terkekek-kekek setelah mendengar kata-kata Azlan.

“Wehh..korang ni.. Dah-dah la duk main spin kat telefon tu.. tak baik la.. Judi kau tau.. Judi tu.. haram! Berdosa!” Azlan cuba menasihati temannya yang sedang duduk semeja dengannya.

“Ahh.. mula dah ceramah ustaz ni.. Tahu la bapak kau tu ustaz.. Kau pun nak jadi ustaz jugak ke?” Amir mula merungut.

“Nak bagi nasihat, tak semestinya kena jadi ustaz.. Lagipun kau kawan aku.. Aku taknak la nanti tengok kau kena lempar dalam neraka.. Nanti jangan salahkan aku.. Aku dah nasihatkan. Dah lepas tanggungjawab aku..” 

“Perghh.. Ustaz Azlan! Dah..dah.. Jangan nak berceramah kat sini.” Amir segera meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dan terus bertentang mata dengan Azlan. 

“Kau azankan sikit kat telinga budak-budak ni Lan. Aku tak larat nak nasihat dah.. Berbuih dah mulut aku duk bagitau, jangan duk berjudi. Judi kat telefon pun sama je dengan judi tikam nombor ekor tu.. bukan diorang nak dengar..” Pak Daud pula membebel ketika meletakkan segelas air kepada Azlan.

“Budak-budak ni, azan pun tak jadi apa dah Pak Daud.. diorang ni dah tahap kena ruqyah dah ni.. Jin pun takut nak duk dekat ngan diorang.” Azlan langsung ketawa terbahak-bahak.

“Tak guna kau Lan..” Amir yang merasa tersindir lantas menumbuk perlahan pada lengan Azlan yang duduk di sebelahnya.

DI kebun sayur, beberapa orang remaja lelaki sedang memetik hasil sayuran. Safwan pula terlihat baru pulang dari mencari rumput untuk kambingnya. Setelah memberi makan kepada kambing, Safwan ke reban ayam pula untuk memberi makan anak ayam peliharaannya. Selesai urusan di reban, barulah dia menuju ke arah kebun sayurannya. Dia sangat teruja apabila melihat hasil sayur yang di petik pada petang itu lebih banyak dari kebiasaannya. Beberapa jenis sayur di longgokkan di lantai wakaf, tempat berteduh pada kebun tersebut.

“Wah, banyak betul hasil yang dikutip hari ni.. Biasanya tak sebanyak ni.” Farhan yang baru keluar dari pondok turut terkejut dengan hasil sayuran yang dipetik pada petang itu. 

“Alhamdulillah.. Rezeki dari Allah bang.” Safwan tidak lupa untuk mengucapkan kalimat syukur kepada Tuhan.

“Alhamdulillah.. Rezeki tak pernah salah alamat..”

“Abang baru datang dari pondok? Tak ke kolam ke hari ni?” 

“Ahh.. sekejap lagi abang pergi la bagi makan ikan keli tu.. baru habis bicang dengan Ustaz Li sebentar tadi.” 

“Bincang pasal apa? Pondok nak keluar tabligh ke?” Safwan melontarkan persoalan.

“Bukan kita yang nak keluar tabligh.. Orang yang nak datang tabligh kat sini.. Hahaha.. Ada kumpulan dari pondok lain yang nak datang berziarah kat sini minggu depan. Mudir pondok tu kenalan Ustaz Li.. kawan dia masa duk belajar sama-sama kat Mesir dulu.” Farhan memberikan penjelasan.

“Oh.. ramai ke yang nak datang tu?” 

“Entahlah.. Ada la lebih kurang dalam sepuluh ke lima belas orang macam tu. So, kita kena la standby untuk mereka tinggal kat sini nanti..” 

“Lama ke diorang nak tinggal kat sini? Berapa hari?”

“Abang pun tak pasti.. Mungkin dua tiga hari je kot. Jadi pondok kita kena buat persiapan la.. Makan minum diorang apa semua.. Kena raikan tetamu kita sehabis baik.”

“Insyaallah, semoga di permudahkan segala urusan.”

“Insyaallah.. Haa.. kau uruskanlah dulu sayur tu. Abang nak balik tukar baju dulu. Nanti nak ke kolam pula. Ni pun langit nampak nak gelap je.. Takut hujan pula nanti.. Abang pergi dulu ya..” Farhan segera berlalu pergi sambil menepuk bahu Safwan.

“Baiklah bang.. Hati-hati sikit.. Takut ditahan janda kat tengah jalan..” Safwan melepaskan tawanya. 

“Kau ni, ada-ada je la Saf..” Farhan tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Safwan segera duduk pada lantai wakaf yang penuh dengan sayur-sayuran. Beberapa jenis sayur di pegang dan di belek berkali-kali untuk memastikan sayurnya segar dan tidak buruk. Fikirannya kemudian mula mengingati Aisyah. Gadis itu tidak keluar ke kebun pada petang tersebut. Setelah meninjau sekeliling kawasan, pandangannya langsung tidak melihat kelibat gadis berpurdah itu. Safwan tanpa membuang masa terus menyambung kerjanya untuk mengikat dan membungkus sayur-sayurannya, tugas yang biasa di lakukan oleh Aisyah.

Tiba-tiba telefon bimbit Safwan mengeluarkan bunyi, menandakan ada pesanan yang masuk. Safwan segera melihat telefon bimbitnya. Sebuah pesanan masuk dari nombor yang tidak dikenali. Safwan segera membaca pesana tersebut.

“Assalamualaikum Safwan. Ini Aisyah. Aisyah minta maaf sebab tak dapat tolong awak kat kebun petang ni. Aisyah kena tolong mak masak kat rumah. Mak tak berapa sihat.”

Safwan terkejut apabila mendapat tahu pesanan yang di terima itu adalah daripada Aisyah. Persoalan yang mula bermain difikirannya, bagaimana Aisyah tahu nombor telefon bimbitnya. Padahal cuma beberapa orang sahaja yang tahu nombor peribadinya itu. 

“Mungkin dia ambil dari Nadia kot. Nadia ambil dari Abang Farhan..” Safwan bermonolog. Namun kini dia kembali ragu-ragu. Apakah dia perlu membalas pesanan tersebut? Atau di biarkan sahaja. Kalau di balas, di khuatiri pesanannya akan berpanjangan dengan saling membalas. Kalau tidak di balas, bimbang dikata sombong pula. Akhirnya Safwan mengambil keputusan untuk menggerakkan jari-jemarinya untuk menaip pesanan balas.

“Waalaikumussalam.. Takpelah kalau macam tu. Saya boleh uruskan urusan di kebun. Aisyah tolong la mak kat rumah hari ni. Jaga diri.” Safwan kemudian terus menekan butang hantar. Namun setelah itu dia mula menyesal apabila membaca kembali pesanannya. 

“Jaga diri? Kenapa aku taip macam tu pulak?” Safwan mula menepuk dahinya. Namun dalam masa yang sama dia merasa gembira. Dia sendiri tidak sedar, bibirnya sedang meleretkan sebuah senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience