SELEPAS solat isyak, Farhan dan Nadia pergi ke balai polis. Maryam dan Nazirah pula tidak di benarkan oleh Farhan untuk turut bersama. Awalnya, Nadia juga disuruh oleh abangnya itu untuk tunggu sahaja di rumah, namun Nadia tetap berkeras untuk pergi bersama ke balai polis bagi menemui suaminya. Oleh kerana tidak mampu melawan kehendak Nadia yang keras kepala, Farhan menuruti sahaja kemahuan adiknya itu. Mereka dengan yakin Safwan sama sekali tidak bersalah dan perlu dibebaskan dengan segera. Di balai polis, setelah menunggu lebih dari sejam, barulah Farhan dan Nadia dibenarkan untuk berjumpa dengan pegawai polis yang bertugas.
“Tolong lepaskan suami saya.. Saya yakin dia tak bersalah tuan..” Nadia merayu di hadapan pegawai polis yang berpangkat inspektor.
“Macam mana awak boleh yakin? Padahal dia bukan berasal dari sini kan?” Pegawai polis itu bertanya dengan sinis.
“Saya kenal suami saya.. Saya tahu dia orang yang baik.. Dia tahu halal dan haram.. Tak mungkin dia akan buat benda yang haram dan salah tuan..” Nadia cuba meyakini pegawai polis tersebut dengan kata-katanya.
Namun pegawai polis tersebut hanya tetap tersenyum sinis mendengar ucapan Nadia. Kata-kata sebegitu sudah biasa dia dengar dari ahli keluarga penjenayah dan orang yang ditahan. Kebanyakan ahli keluarga penjenayah mengakui kebaikan ahli keluarga mereka yang ditahan dan tidak tahu jenayah yang disembunyikan dari mereka.
“Jadi awak dah tahu suami awak tu pernah ada rekod, ditangkap dan dipenjarakan kerana kesalahan yang sama? Dari rekod kami, suami awak pernah di penjarakan dua kali kerana kesalahan dadah dan bergaduh.. Awak tahu semua tu?” Pegawai polis itu bertanya kepada Nadia. Nadia dan Farhan terkejut dan tidak mempercayai apa yang mereka dengar daripada pegawai polis tersebut. Lidah mereka tiba-tiba menjadi kelu untuk berkata-kata.
“Ya.. dia pernah ditangkap dan dipenjara sebanyak dua kali sebelum ni. Cuma kali ni, urine test suspek negatif walaupun memiliki methamphetamine. Berdasarkan jumlah bahan bukti yang kami dapat, kami percaya suspek sekarang menjadi pengedar pil kuda di kawasan setempat.” Pegawai polis itu menyampaikan pandangannya.
“Tidak! Tak mungkin dia akan buat macam tu..” Nadia masih ingin menafikan ucapan inspektor polis tersebut.
“Awak nak percaya atau tidak, terpulang.. realitinya tidak akan berubah.. Lagipun, bukti kami dah dapat..” Pegawai tersebut menyandarkan badannya ke kerusi dan menepuk meja dengan kedua belah tangannya.
“Saya tak tahu masa lepas dia.. Tapi untuk sekarang saya yakin, dia bukan orang yang macam tu.. barang yang pihak polis jumpa itu pun, bukan milik dia.” Farhan menegaskan pendapatnya.
“Jadi awak perlu buktikan kalau itu bukan barang milik dia. Lagipun barang tu di jumpai dalam kandang kambing milik dia.. Hanya dia yang dapat masuk ke dalam kandang tu kan?” Inspektor tersebut mengetuk mejanya menggunakan jari jemarinya secara berselang seli, sehingga menghasilkan irama seolah sedang bergendang.
“Saya ada buktinya.. Malam tadi, kandang kambingnya dipecah masuk oleh orang. Mangga yang diguna untuk mengunci pintu kandang pun dipecahkan. Petang tadi baru Safwan menggantikan mangga baru.. Saya juga tahu siapa pelaku yang nak mengenakan Safwan..” Farhan berkata dengan yakin sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada inspektor polis berkenaan.
FARHAN tersenyum sambil menyandarkan belakang badannya di sofa ruang tamu rumahnya. Semua mata memandang ke arahnya. Safwan yang duduk di sebelah abang iparnya itu menundukkan pandangan wajahnya sambil diam membisu. Farhan kemudian menepuk paha Safwan dan mengejutkan lelaki itu dari lamunan.
“Lepas kambing abang hilang hari tu, abang sempat pasang CCTV kat kandang tu sebelum jual kat kau. Nasib baik ada rakaman CCTV tu. Boleh jadi bukti kau tak bersalah.” Farhan tersenyum sambil memberi penerangan. Semua orang hanya diam mendengar kata-kata lelaki tersebut.
“Lepas tengok rakaman CCTV, abang tak sangka, rupanya Amir yang selalu mencuri kambing tu.. tapi sebab kau dah lepaskan dia, kau maafkan dia, sebab tu abang tak buat report dan tak tunjuk kat polis rakaman Amir pecah masuk kandang dan kau pukul Amir dengan kayu. Abang cuma beri kat polis, rakaman masa Azlan masuk letakkan pil kuda tu je.”
“Tak sangka sungguh, si Azlan tu tergamak buat macam tu..” Maryam meluahkan kekesalan dengan sikap anak lelaki Ustaz Razali itu.
“Tak sangka apanya.. Dia buat kat Nadia dulu pun lagi teruk.. Lepas tu fitnah Nadia dengan Abang Safwan pula.. Tak pelik la kalau setan tu akan terus fitnah keluarga kita. Dia takkan pernah puas hati dengan kami.” Nadia mula merungut.
“Lepas kau kena tangkap tu, abang baru teringat kat CCTV.. selama ni tak pernah guna, sebab tu tak terfikir awal-awal.. Abang tengok balik rakaman CCTV tu lepas tu abang pergi jumpa dengan Amir. Nasib baik dia ada kat rumah. Isteri dia baru lepas beranak, baru balik dari hospital. Amir ada bagitau, kau dah lepaskan dia dan tolong dia, bagi duit untuk bayaran wad isteri dia dan duit makan untuk anak-anak dia. Sekarang baru abang faham kenapa kau lepaskan dia.. Amir juga ada cerita, lepas kau lepaskan dia tu, dia balik dan jumpa dengan Azlan. Dia ceritakan tentang kau lepaskan dia kat Azlan. Jadi, mungkin dari situ la Azlan tahu kandang kambing kau tu tak berkunci. Masa subuh tu, orang duk sibuk solat, dia pulak datang kat kandang kambing tu untuk letakkan pil kuda. Lepas tu, dia call polis buat report. Kononnya bagi maklumat la kat polis untuk datang geledah, cari pil kuda tu. Sebab tu polis datang, terus tuju kat guni dedak tu. Sebab Azlan bagitau polis kau sorok pil kuda dalam guni dedak. Bila dah bagi bukti rakaman perbuatan si Azlan dan maklumat diri dia, rupanya memang dia tu dah jadi wanted polis pun. Dia kat KL selama ni rupanya jadi tokan dadah. Dia tahu polis duk cari dia, sebab tu dia lari balik kampung. Kesian pula keluarga Ustaz Li dapat anak macam tu.. burukkan nama baik keluarga je.. Duk canang kat orang, dia buat bisnes kat KL.. rupanya bisnes jual dadah.” Farhan menggelengkan kepalanya. Semua orang tercengang mendengarkan kisah yang di sampaikan oleh Farhan.
“Polis dah tangkap ke Azlan?” Maryam mulai bertanya apabila Farhan menghabiskan ceritanya.
“Rasanya dah kena tangkap kot.. Lepas mereka bebaskan Safwan, mereka terus kerahkan anggota untuk mencari Azlan. Masa kami balik tadi, nampak kereta polis baru keluar dari rumah Ustaz Li.” Farhan segera menjawab pertanyaan ibunya.
“Tapi.. inspektor polis tu cakap.. Abang pernah di penjarakan dua kali sebelum ni.. Kes dadah dan bergaduh.. Betul ke?” Nadia pula menyoal suaminya yang masih diam sejak dari tadi.
“Dah la Nadia.. Jangan duk ungkit cerita lama.. Mungkin dulu pun Safwan terkena fitnah macam ni juga..” Farhan cuba menghalang adiknya dari bercerita mengenai kisah silam Safwan.
“Tidak bang.. Kalian dah jadi keluarga saya. Saya tak patut sembunyikan kisah silam saya dan siapa diri saya yang sebenarnya. Selama ni saya cuba sembunyikan aib diri saya. Tapi kali ini biarlah saya ceritakan semuanya.. Saya nak abang, Nadia, mak dan kak Ira tahu siapa diri saya yang sebenarnya dan asal usul saya. Betul.. Dulu abang pernah masuk penjara dua kali..” Safwan mula bersuara setelah mendiamkan diri. Matanya terpaku ke arah Nadia, berharap agar isterinya itu dapat menerima hakikat mengenai latar belakang dirinya yang sebenar. Setiap orang di ruang tamu tersebut mula mendiamkan diri. Masing-masing fokus untuk mendengar kisah hidup Safwan yang selama ini di rahsiakan oleh lelaki itu.
Share this novel