TENGKU Badrul membuntangkan matanya ke arah Alyaa. Hatinya penuh dengan kebencian apabila melihat wajah anak-anak tirinya. Bagi Tengku Badrul, mereka itu sama menyebalkan seperti ibu mereka. Dari pintu dapur rumah, Nazirah dan Maryam memegang erat tangan Nadia untuk menghalang perempuan itu mendekati ketumbukan manusia yang tidak diundang ke sana. Nadia sudah meronta untuk melepaskan diri dan tidak sanggup melihat suaminya dikeroyok sebentar tadi.
“Dasar budak-budak bodoh! Sama tak guna macam mak korang.. Perempuan jalang!” Tengkul Badrul menolak Alyaa sehingga gadis itu rebah ke tanah. Melihat perbuatan kasar terhadap adiknya dan menggelarkan perkataan tidak elok kepada ibu dan adiknya itu menyebabkan darah Safwan mula mendidih.
“Arghhh!!!” Safwan menjerit seraya menendang kedua orang lelaki yang sedang memegang tangannya. Dua orang lelaki yang ditendang pada selangkangan mereka oleh Safwan segera melepaskan pegangan mereka pada tangan Safwan seraya rebah melutut ke bumi.
“Tak guna.. Mampuslah kau!” Safwan menerpa ke arah Tengku Badrul dan melepaskan tumbukan yang bertubi-tubi ke arah muka ayah tirinya itu.
Beberapa orang anak buah Tengku Badrul cuba masuk campur namun mereka sukar untuk menghentikan Safwan yang terlihat sudah seperti kerasukan. Safwan membelasah teruk orang tua yang menghina dan menyakiti ibu serta adik perempuannya. Beberapa orang anak buah Tengku Badrul turut menerima pukulan dari Safwan. Lelaki yang hilang kawalan terhadap dirinya sendiri itu sudah tidak mampu dihentikan.
Setelah cemas melihatkan keadaan ayahanda mereka dipukul, beberapa orang lelaki kemudian kembali ke kereta mereka dan mengambil senjata berupa batang kayu. Mereka yang mengalami kesukaran untuk mendekati Safwan yang sedang mengamuk terpaksa mengambil keputusan untuk menyerang lelaki itu menggunakan senjata bagi menghentikan amukannya.
Beberapa pukulan dari hayunan kayu singgap ke tubuh Safwan, namun lelaki itu tetap tidak memberi sebarang tindak balas selain dari terus menyerang Tengku Badrul. Kemudian, satu pukulan mula disasarkan ke kepala Safwan. Safwan langsung rebah apabila menerima pukulan tersebut di kepalanya. Penglihatan Safwan tiba-tiba menjadi berbinar. Darah pekat dan hangat membasahi muka lelaki itu.
“Abang!..” Alyaa menjerit sambil menangis kencang. Hatinya remuk apabila melihat keadaan abangnya yang sedemikian.
Lelaki yang paling di sayangi dalam hidupnya itu terlihat terkulai lemah kerana ingin mempertahankan adiknya dari di sakiti. Sejak dari mula, Safwan langsung tidak membalas serangan yang ditujukan kepadanya. Namun dia mula mengamuk apabila adik dan ibunya dihina. Safwan tidak akan membiarkan orang berbuat sesuka hati mereka terhadap keluarganya.
Ketika itu juga, Farhan yang baru pulang ke rumah, segera mendekati setelah turun dari van yang dipandunya. Dia langsung tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku di pekarangan rumahnya pada ketika itu.
“Apa semua ni? Apa yang dah berlaku? Siapa kalian semua?” Farhan kebingungan.
Dia kemudian terkejut apabila melihat Safwan sudah rebah, tertiarap berlumuran darah manakala Alyaa pula sedang menangis sambil terjelepok di atas tanah.
Dari kejauhan, terlihat pula Maryam dan Nazirah yang sedang memegang tangan Nadia yang sedang meraung dan meronta.
“Kau jangan nak masuk campur.. Blah kau dari sini..” salah seorang lelaki menolak badan Farhan, menyebabkan abang ipar Safwan itu terundur ke belakang beberapa tapak.
“Tapi ini rumah aku.. Kenapa aku yang kena pergi? Korang la yang harus pergi dari sini..” Farhan kelam-kabut membalas kata-kata lelaki yang menolaknya.
“Kau ni banyak cakap pulak!” Satu tamparan mengenai pipi Farhan. Sebagai lelaki yang bersopan santun, Farhan hanya terdiam, tidak berani membalas pukulan yang diterima olehnya.
Dua orang lelaki mengangkat Safwan dengan memapah lelaki itu disisi kanan dan kirinya. Tengku Badrul yang turut mengalami kecederaan akibat di serang bertali arus oleh Safwan berjalan mendekati penyerangnya itu. Orang tua itu benar-benar liat dan gasar. Walaupun sudah berusia, namun egonya masih menggunung. Dia terpaksa berlagak kuat di hadapan para anak buahnya.
“Tak guna.. Budak kurang ajar.” Tengku Badrul mengeluarkan sepucuk pistol dari pinggangnya. Dia sudah berniat untuk menawatkan riwayat Safwan pada ketika itu juga. Dia benar-benar meluat dan benci melihat anak tirinya itu.
“Jangan.. Jangan apa-apakan abang.. Tolonglah..” Alyaa menangis kencang apabila melihat ayah tirinya sedang memegang sepucuk pistol dan menatap tajam ke arah Safwan.
“Paangg!” Tiba-tiba bunyi kaca pecah bertaburan. Bunyi itu berulang lagi.
Tengku Badrul dan ketumbukannya segera berpaling ke arah belakang mereka. Mereka melihat seorang lelaki sedang melarikan diri ke dalam semak belukar. Lelaki itu adalah Amir. Kemudian baru Tengku Badrul dan anak buahnya menyedari, cermin kereta mereka sudah dipecahkan oleh lelaki itu.
Rupa-rupanya Amir telah membaling batu ke arah cermin kereta ketumbukan tetamu yang gasar itu untuk mengalihkan perhatian mereka. Amir menyedari nyawa Safwan dalam bahaya. Dia bertindak untuk mengalihkan perhatian Tengku Badrul agar lelaki tua itu tertangguh hasratnya untuk menyerang Safwan.
“Tak guna! Kejar bedebah tu.. ajar dia cukup-cukup!” Tengku Badrul menyeringai buat kesekian kalinya. Kemudian tanpa disangka, beberapa buah kereta peronda polis pun tiba.
“Polis! Jangan bergerak! Sesiapa pun tidak dibenarkan bergerak.” Beberapa anggota polis keluar dari kereta dengan mengacukan pistol di tangan mereka.
Tengku Badrul segera menyimpan kembali pistol di tangannya ke pinggangnya di bahagian belakang badan. Beberapa orang anak buah Tengku Badrul yang memegang batang kayu juga melepaskan senjata mereka ke tanah. Beberapa anggota polis memeriksa badan setiap orang yang berada di situ termasuklah Farhan.
“Dia ini yang pukul saya encik.. Sila tangkap dia.” Tengku Badrul menunjukkan Safwan kepada anggota polis yang menghampiri mereka.
“Awak ni Tengku Badrul bin Tengku Alaudin?” Anggota polis itu bertanya.
“Ya, saya..” Tengku Badrul mengakui namanya. Dia yakin anggota polis itu sedang merujuk kepada laporan polis yang dia lakukan terhadap Safwan suatu ketika dahulu kerana Safwan telah memukulnya.
“Kami terpaksa menahan awak kerana kes pukul yang mendatangkan kecederaan, penyiksaan, ugut bunuh, merampas harta benda orang dan merosakkan harta benda. Tangkap dia!” Anggota polis itu berkata kepada Tengku Badrul seraya memberikan arahan kepada anggota bawahannya untuk menahan Tengku Badrul.
“Ini satu kesilapan encik.. Kenapa tangkap saya pulak? Padahal saya yang buat laporan kena pukul dengan budak ni..” Tengku Badrul tidak berpuas hati.
“Kami telah mendapat laporan dari balai polis Tanah Merah, Kelantan. Pengadu, Kartini binti Hasyim iaitu isteri kamu telah membuat laporan terhadap kamu berserta bukti dan laporan perubatan.”
“Tuan, kami menjumpai satu bungkusan dadah dipercayai methamphetamine di dalam kereta ini.” Salah seorang anggota polis yang membuat pemeriksaan ke atas kereta Tengku Badrul yang sudah pecah cerminnya itu menyampaikan laporannya kepada pegawai atasannya.
“Sarjan, bawa dia ke balai.” Pegawai polis yang bertugas memberikan arahan kepada bawahannya untuk menangkap Tengku Badrul.
“Itu bukan saya punya.. Saya tak pernah sentuh benda macam tu.. ini semua salah..” Tengku Badrul menafikan penemuan sebungkus pil kuda di dalam kereta adalah miliknya. Anggota polis yang menggarikan tangannya hanya memekakkan telinga dan mendorong lelaki tua itu untuk menuju ke kereta peronda penguat kuasa.
NADIA memeluk Safwan dengan erat apabila suaminya itu membuka mata, sedar dari pengsannya. Air matanya tumpah kerana kegembiraan melihat suaminya yang terbaring di atas katil hospital. Alyaa yang berada di sebelah sisi lain Safwan pula memegang tangan abangnya itu sambil mencium dan meletakkan telapak tangan Safwan di pipinya. Safwan menatap wajah adik kesayangannya itu dengan pandangan mata mereka saling bertemu. Di hadapan Safwan juga terlihat Maryam, Farhan, Nazirah dan Aisyah sedang berdiri melihat ke arah lelaki yang baru sedar itu.Kepala Safwan masih dirasakan sakit dan berdenyut. Ini kerana kepala Safwan telah menerima beberapa belas jahitan akibat pukulan yang menimpa di kepalanya sebelum ini.
“Apa yang dah berlaku kat Ayah Engku?” Safwan memandang ke arah Alyaa.
“Dia dah kena tangkap.. Rupa-rupanya mak yang buat laporan polis kerana dipukul oleh Ayah Engku. Mak siap pergi hospital untuk dapatkan laporan perubatan. Segala bukti mak dah bagi kat polis. Bila mak terpaksa bagitau tempat abang duduk, Ayah Engku segera kumpul anak buah dia untuk datang ke sini cari abang.. Sebab risaukan keselamatan abang la, mak pergi buat laporan polis.. Mak bagitau polis, lokasi tempat yang Ayah Engku sedang tuju iaitu tempat abang duduk.”Alyaa memberi penerangan.
“Tapi.. tak tahu la macam mana polis ada jumpa dadah dalam kereta Ayah Engku. Setahu adik, walaupun dia jahat, dia tak main dadah.. Dia suka minum arak, bergaduh, berjudi, main perempuan.. Dia anti betul dengan dadah.. Sebab tu dia tak suka sangat dengan abang bila tahu abang ada kes dadah dulu..” Alyaa meluahkan persoalan yang bermain di mindanya.
“Sebenarnya, Amir ada bagitau abang.. Masa tu dia nak pergi ke kandang kambing untuk beri makan kambing. Lepas tu dia nampak Safwan kena pukul beramai-ramai. Dia tak berani nak masuk tolong. Dia tahu kalau kes bergaduh beramai macam tu, nanti akan jadi kes polis. Sebab nak mengenakan puak-puak yang duk pukul Safwan tu, Amir la yang pergi letak pil kuda tu dalam kereta, masa diorang tengah berkalut sebab Safwan tengah mengamuk masa tu. Lepas tu, dia nampak Safwan dah longlai dan dia nampak pistol cuba di acukan kearah Safwan. Dia segera ambil batu dan baling ke arah cermin kereta mereka untuk mengalihkan perhatian mereka tu. Setidaknya dia dapat menangguhkan dari tembakan dilepaskan ke arah Safwan.. Dan, tindakan dia tu memang betul tepat pada masanya. Kemudian polis pun terus tiba.” Farhan cuba menyampaikan cerita yang dia dapat dari Amir sendiri pada sebelum ini.
“Tapi dari mana Amir dapat pil kuda tu?” Aisyah bertanya kepada suami barunya itu.
“Pil kuda tu milik Azlan dulu.. Lepas tahu polis cari dia malam tu, Azlan lari ke rumah Amir. Azlan takut kalau dia tertangkap nanti, polis akan dapat dengan barang tu sekali. So, Azlan minta Amir yang tolong jagakan barang dia tu. Amir yang dah bertaubat, dah berubah, taknak sentuh dah benda macam tu.. selama ni dia sendiri tak tahu macam mana nak selesaikan pil kuda tu.. nak jual, dia tak sanggup sebab dia dah bertaubat.. Nak terus simpan pun, dia risau kalau diketahui orang.. Sebab taknak terlibat dah dengan dadah, Amir ambil peluang tu la untuk buang semua barang Azlan yang ada kat dia tu. dia letak je dalam kereta geng tu.” Farhan tersenyum sambil menggelengkan kepalanya kerana mengingatkan telatah Amir. Semua orang yang mendengar kisah yang disampaikan oleh Farhan terlopong.
Jika difikirkan sekali, agak kejam juga perbuatan Amir kepada Ayah Engku. Namun jika di fikirkan kembali, mungkin itulah cara terbaik untuk Amir melepaskan dirinya dan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada lelaki tua yang gasar itu.
Share this novel