Bab 6

Romance Series 8087

USAI solat maghrib, Safwan dan para pelajar lain di pondok Ustaz Razali mula mengaji al-quran dengan bimbingan dari Farhan. Selain memelihara dan menjual ikan keli, Farhan juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di pondok tersebut yang mengajar mengaji al-quran. Bacaan ayat suci itu bergema dari suara para penghuni pondok, mengisi kesunyian yang menyelubungi suasana malam dan berlanjutan sehingga ke waktu isyak. Setelah solat isyak berjemaah, mereka meneruskan pula pengajian dengan belajar tafsir al-quran dari Ustaz Razali. 

"Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami, maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Nabi Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya)..” Ustaz Razali membacakan terjemahan potongan ayat al-quran. Dia kemudian langsung menyambung kata-katanya.

“Maka setelah Nabi Ayub sembuh dari sakitnya dan isterinya kembali kepadanya, Nabi Ayub teringat akan sumpahnya untuk memukul isterinya seratus kali. Tapi dia jadi tak sanggup untuk memukul isterinya sebanyak itu kerana tidak mahu menyakiti isterinya. Oleh kerana itu, Allah memerintahkan Nabi Ayub untuk ambil seratus jerami yang diikat, lalu di pukul sekali sahaja kepada isterinya dan seratus jerami yang diikat itu sudah menyamai seratus pukulan sebagai menunaikan sumpahnya. Di sini kita dapat lihat, betapa pengasih dan penyayangnya Allah.. dan dari kisah Nabi Ayub ini, dapat kita ambil pengajaran, jika sudah bersumpah dengan nama Allah, maka wajib untuk kita tunaikan janji kita. Sebagaimana Nabi Ayub yang bersumpah untuk pukul isterinya, maka dia wajib tunaikan. Pengajaran terbesar dari kisah Nabi Ayub yang kita perlu pelajari adalah sifat sabar. Betapa besar ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada Nabi Ayub, namun baginda tetap sabar. Harta benda semua lenyap, anak-anak meninggal, diri pula di beri penyakit sehingga semua orang menjauh. Tapi baginda tetap sabar. Ujian kita, tidak seteruk yang dihadapi oleh Nabi Ayub.. Jadi janganlah kita mudah mengeluh jika di beri ujian. Setakat ini sajalah dulu untuk hari ini. Insyaallah, semoga apa yang kita belajar hari ini, dapat di jadikan iktibar dan di sampaikan kepada orang lain untuk sama-sama di amalkan.” Ustaz Razali mengakhiri sesi pengajarannya pada waktu itu.

“Insyaallah..” Bergema suara para penuntut ilmu di pondok tersebut melafazkan kalimah suci sebagai menyambut kata-kata dari Ustaz Razali. Setelah masing-masing bangkit berdiri dan bersalaman, semua pelajar segera meninggalkan ruang solat dan kembali menuju ke bilik tidur mereka. Kini yang tinggal di ruang berkenaan cumalah Safwan dan Ustaz Razali. Ustaz yang sudah berusia lebih separuh abad itu kehairanan melihat Safwan yang masih termenung di tempat duduknya. Lelaki tua itu segera menghampiri anak muda yang sudah menjadi anak muridnya sejak beberapa bulan yang lalu.

“Safwan.. Kenapa dengan awak ni? Awak ada masalah ke?”

“Takde apa ustaz..” Safwan segera menjawab dan memandang ke arah Ustaz Razali. Tangannya kemudian terus menyeluk saku pada jubah yang dipakainya dan mengeluarkan satu sampul. Sampul itu kemudian terus di hulurkan kepada Ustaz Razali.

“Apa benda ni?” Tanya Ustaz Razali sambil menyambut sampul yang di hulurkan oleh Safwan.

“Saya nak beri sedikit sumbangan kat pondok ni.. Ini sebahagian dari hasil yang saya dapat, saya infaqkan untuk pondok ini. Semoga dapat memudahkan urusan Ustaz untuk jalankan pondok ni. Lagipun saya sendiri pun tinggal kat sini, makan, minum semua ditanggung.. Sudilah Ustaz terima pemberian saya ni” Safwan memberi penjelasan.

“Alhamdulillah.. Al-quran itu menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang yang beriman kepada perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan, bersedekah sebahagian rezeki yang diberikan kepada mereka. Semoga rezekimu terus melimpah dan di gandakan oleh Allah Safwan. Pasal awak tinggal kat sini, tidak menjadi masalah pun.. Pelajar lain yang tinggal di sini pun, saya tak minta di bayar sebarang yuran, sebab kebanyakan dari mereka itu datangnya dari keluarga miskin. Dana untuk pondok ni, insyaallah, sentiasa ada dan mencukupi.”

“Sebenarnya dari awal saya di sini, saya dah fikir.. Kebun yang saya buat kat tanah Abang Farhan tu, saya nak infaq sebahagian hasilnya untuk pondok ini. Saya nak berdakwah tak pandai.. Jadi cuma dengan cara ini je saya mampu untuk menolong Ustaz lakukan dakwah. Budak-budak tu pun, saya tahu mereka dari keluarga susah. Saya pun macam mereka jugak. Sebab tu saya minta mereka tolong saya kat kebun, boleh la saya bagi sikit upah sebagai duit poket untuk mereka.”

“Alhamdulillah.. Sungguh baik niat awak.. Semoga Allah merahmati awak Safwan. Itulah sepatutnya yang kita lakukan sebagai manusia. Manusia yang baik adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Kita buat kerja pun, niat kerana Allah. Untuk bantu memudahkan urusan orang lain. Maka kerja kita itu juga adalah satu ibadah.” Ustaz Razali menepuk paha Safwan yang sedang duduk bertentangan muka dengannya.

“Insyaallah, saya akan ingat pesanan Ustaz tu.. Selama di sini, Ustaz dah banyak mengubah hidup saya.. Banyak yang saya belajar dari Ustaz.” Safwan terus memegang tangan Ustaz Razali untuk bersalam dan langsung mencium tangan lelaki tua itu.

“Safwan.. Allah tahu kita akan melakukan kesilapan.. Cuma Allah tunggu, bila kita akan bertaubat kepadaNya. Allah tak peduli dengan masa lalu kita.. Yang penting bagaimana kita sekarang.. Hidayah itu milik Allah, tapi kalau kita sendiri yang taknak berubah setelah mendapat hidayah, maka itu salah kita sendiri. Semoga kita tidak tersesat setelah di tunjukkan kepada jalan yang benar. Saya tahu, dulu awak diberi ujian oleh Allah. Alhamdulillah, awak sabar menghadapi. Ingatlah, seberat apapun ujian yang kita hadapi, takkan pernah seberat ujian yang ditimpakan kepada para nabi. Segala ujian yang diberikan adalah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah jika kita sabar.. Sebaliknya akan berlaku jika kita tidak sabar.. Nauzubillah..”

Setelah selesai berbicara dengan Ustaz Razali, Safwan langsung kembali ke bilik tidur yang terletak di tingkat atas. Setibanya di tingkat atas, telinganya menangkap bunyi alunan ayat suci al-quran yang dibacakan oleh beberapa orang remaja lelaki di sana. Beberapa orang dari mereka masih meneruskan pembacaan al-quran secara persendirian untuk menghafal kalam dari Allah itu. Walaupun keadaan itu sudah biasa berlaku hampir setiap hari, namun Safwan masih tetap merasa kagum dengan semangat kumpulan remaja berkenaan bagi menghafal setiap surah dari al-quran. Sambil mendengar bacaan ayat suci tersebut, Safwan melepaskan jubah yang pakainya dan segera menggantungkan jubah tersebut. Kemudian Safwan meletakkan punggung pada tilam tempat tidurnya. Dia sepertinya mengelamun jauh dan hanyut dalam fikirannya sendiri. 

Seketika kemudian, dia mula menyedari rasa sakit dan kepenatan pada tubuhnya. Safwan mula menggeliatkan badannya dan langsung merebahkan badannya pada tilam. Setelah kepalanya berada pada bantal, mata Safwan mula terasa berat. Sepertinya sudah sampai saatnya untuk tidur dan beristirehat setelah seharian kepenatan bekerja. Sementara menunggu untuk terlelap, matanya dipejam dan mindanya mula memikirkan segala nasihat dan pengajaran dari Ustaz Razali. Ustaz Razali benar-benar sudah mengubah hidupnya ke jalan yang dituntut oleh agama. Di hatinya, Safwan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mengenali ustaz pemilik pondok berkenaan. Sedang memikirkan tentang Ustaz Razali, tiba-tiba bayangan susuk Aisyah pula menjelma. Safwan yang sudah memejamkan matanya terpaksa mencelikkan semula deria penglihatannya itu. 

“Aisyah..” perlahan nama itu terpacul dari mulut Safwan. Dia mula bingung kenapa otaknya secara tiba-tiba terlintas memikirkan tentang gadis itu. Apakah dia mula menyukai anak Ustaz Razali itu? Tidak mungkin. Safwan cuba membuang bayangan gadis itu dari terus bermain di minda. 

“Aku takkan jatuh cinta! Aku takkan suka pada sesiapa!” Safwan berbicara pada hatinya sendiri. Matanya kembali di pejam. Akhirnya Safwan hanyut dalam lenanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience