MALAM yang damai itu diisi dengan pengajian kitab seperti biasa di pondok pengajian agama. Selesai majlis ilmu tersebut, Safwan segera mendekati Syafie, budak lelaki yang dia bawa ke pondok tersebut siang tadi. Anak muda itu terlihat gembira bergurau senda dengan pelajar lain.
“Macam mana duduk kat sini, OK tak?” Safwan menegur Syafie.
“OK bang.. Ramai kawan kat sini.. Terima kasih dah bawa saya ke sini.” Syafie meleretkan senyuman gembira dengan wajah yang ceria.
“Sama-sama.. Nanti belajar elok-elok. Jangan duk nakal-nakal..” Safwan turut gembira melihat kegirangan anak muda itu. Syafie menganggukkan kepalanya beberapa kali, Nasihat dari lelaki yang telah membantunya itu akan disemat di dalam sanubarinya.
“Nanti kalau perlukan apa-apa, bagitau je kat abang.. Jangan duk segan-segan. Buat abang ni macam abang kau sendiri.” Safwan sudah menganggap anak yang hidup sebatang kara itu sebagai saudaranya. Walaupun sudah mempunyai teman di sana, Safwan juga ingin Syafie merasakan dirinya mempunyai saudara dan tempat untuk mengadu dan bergantung.
“Baiklah bang..”
“Pi’e, marilah baca surah al-mulk sama-sama..” Salah seorang remaja yang juga pelajar di pondok tersebut memanggil Syafie.
“Saya.. saya tak pandai baca al-quran..” Syafie bersuara perlahan, mengadu kepada Safwan.
“Takpe.. Nanti belajar perlahan-lahan. Sekarang ni Pi’e ikut je dulu apa yang diorang baca..” Safwan tetap memberi semangat kepada anak muda itu.
“Baiklah bang.” Syafie segera meninggalkan Safwan dan berjalan menuju ke arah beberapa orang pelajar yang sedang menantinya untuk memulakan bacaan ayat suci al-quran bersama-sama. Farhan juga terlihat mula duduk bersama kumpulan pelajar tersebut untuk mengetuai bacaan. Pada waktu yang sama, Ustaz Razali pula mendekati Safwan.
“Alhamdulillah, budak tu nampaknya gembira tinggal kat sini.” Ustaz Razali bersuara sambil memegang bahu Safwan.
“Alhamdulillah.. Nampaknya begitulah. Syukurlah dia suka duduk kat sini. Dapat belajar, bersama kawan-kawan.” Safwan melihat Syafie yang sedang mengambil musyaf al-quran yang dihulurkan oleh temannya.
“Keadaan dia sama dengan kau dulu.. Semoga waktu senjanya pun berlalu..” Ustaz Razali tersenyum melihat ke arah Syafie sebelum mengalihkan pandangannya kepada Safwan. Safwan tersenyum apabila mendengar kata-kata gurunya itu. Ucapan itu pernah di sebut oleh Ustaz Razali kepadanya suatu ketika dahulu. Fikirannya kembali menerawang, mengingati kejadian masa lalu, ketika dia mula-mula tiba di pondok tersebut.
Imbas kembali..
JUBAH putih yang bersih dan berkain lembut itu sangat selesa di pakai oleh Safwan. Sesekali, Safwan memegang dan melihat jubah yang baru itu. Jubah itu dibelikan oleh Farhan kepadanya. Safwan benar-benar tidak menyangka akan dipertemukan dengan orang baik seperti Farhan. Padahal baru beberapa jam mengenali lelaki itu, namun lelaki tersebut sudi membelikan baju dan beberapa alat kelengkapan kepada Safwan untuk tinggal di pondok pengajian agama Ustaz Razali.
Selepas solat isyak dan pengajian kitab, para pelajar lain telah meninggalkan ruang solat di pondok tersebut dan kembali ke tempat tidur mereka di tingkat atas. Farhan juga telah pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari pondok tesebut dan meninggalkan Safwan seorang diri di ruang solat sambil termenung. Di tangannya masih terdapat sebuah kitab yang terbuka di ribaannya. Matanya menatap halaman kitab tersebut namun fikirannya menerawang jauh. Dia sedang memikirkan keadaan nasib dirinya dan kebaikan yang Farhan lakukan terhadap dirinya yang baru dikenali itu.
“Safwan.. Kenapa masih duduk di sini?” Ustaz Razali menegur anak muda yang baru tinggal di pondoknya itu. Safwan mula tersedar dari lamunannya akibat terkejut dengan suara sapaan guru agama tersebut.
“Takde apa-apa ustaz..” Safwan cuba berdalih. Dia segan untuk menceritakan kisah hidupnya yang jauh tersasar dari landasan agama selama ini. Kitab di tangannya seraya di tutup dan di letakkan di atas rak buku yang bersebelahan dengan tempat duduknya sambil punggungnya masih tetap tidak berganjak dari lantai. Ustaz Razali pula perlahan-lahan menundukkan badannya dan duduk di sebelah Safwan. Setelah membetulkan duduknya, guru agama itu menepuk lembut paha Safwan beberapa kali.
“Safwan.. Setiap orang ada masa silam mereka.. Ujian setiap orang tidak sama. Kalau kita rasa, ujian yang diberikan oleh Allah kepada kita itu berat, ingatlah, masih ada orang yang lebih teruk dan berat ujian kehidupannya berbanding kita. Tiada yang lebih berat ujiannya berbanding para nabi dan rasul. Bahkan di antara para nabi dan rasul, ujian paling berat pula dihadapi oleh rasul ulul azmi. Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan nabi kita Muhammad. Nabi Nuh berdakwah selama sembilan ratus tahun, tapi pengikutnya tak sampai seratus orang. Bayangkan betapa susah dia berdakwah. Bukan sekejap masa.. Sampai orang kata dia gila. Nabi Ibrahim sampai di lempar ke dalam api untuk di bakar hidup-hidup. Nabi Muhammad sendiri di pulau oleh ahli keluarga sendiri dan seluruh kota Mekah. Pergi ke Taif untuk berdakwah pun sampai kena baling batu, sampai berdarah kepala baginda. Hinggakan Malaikat nak hempas gunung ke atas penduduk Taif sebagai balasan penganiayaan kepada rasulullah. Tapi rasulullah yang halang dari bala diturunkan kepada umatnya. Baginda malah berdoa supaya anak cucu penduduk Taif suatu hari nanti akan menerima Islam. Allah perkenankan doa tersebut dan penduduk Taif kemudiannya semua memeluk Islam. Begitu besar hati Rasulullah.” Ustaz Razali menyampaikan sirah para nabi secara ringkas kepada Safwan.
“Nabi-nabi memang orang baik ustaz.. Tapi saya ni orang jahat..” Safwan menundukkan pandangannya.
“Allah ciptakan manusia berbeza dengan makhlukNya yang lain. Manusia itu makhluk yang sempurna kerana di berikan akal dan nafsu. Ingat Safwan, manusia yang hidup dengan mengikut hawa nafsunya, maka dia itu lebih hina dari haiwan. Haiwan ada nafsu tapi tiada akal.. Jadi kalau kita sebagai manusia taknak gunakan akal kita, dan hanya mengikut nafsu sahaja, bukankah kita lebih teruk dari dari haiwan? Bahkan manusia akan jadi lebih mulia dari para malaikat jika menggunakan akalnya dan mengawal nafsunya.. Ini kerana malaikat itu makhluk yang taat kepada Allah kerana mereka tidak diberikan nafsu. Mereka sepenuhnya taat kepada Allah. Jika kita dapat kawal nafsu kita, gunakan akal yang diberikan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan patuh kepada Allah, maka bukankah kita akan lebih baik dari malaikat?” Ustaz Razali tersenyum memberi penerangan. Safwan pula terdiam mendengar ucapan guru agama itu. Ustaz itu kemudian meneruskan kata-katanya sambil memegang lutut Safwan yang sedang duduk bersila di sebelahnya.
“Mungkin masa lalu kamu, kamu terbiar dan hanyut dengan keseronokan dunia kerana mengikutkan hawa nafsu. Allah tak hairan jika kita melakukan dosa dan kesilapan.. Cuma Allah hairan kalau kita masih taknak bertaubat dan mendekatkan diri kita kepadanya walau sudah diberi peluang. Saya percaya, Allah dah takdirkan kamu untuk datang ke sini dan beri kamu peluang untuk berubah. Saya juga percaya Allah dah jentik hati kamu dengan memberikan hidayahNya. Sebab tu kamu masih berada di sini.. Ingatlah Safwan, hidup kita ini sentiasa bergerak seperti pertukaran waktu siang dan malam. Sebagaimana petikan dari kalam Allah, Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab. Iaitu golongan yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, serta berbaring dan mereka memikirkan kepada penciptaan langit-langit dan juga bumi lalu mengatakan, wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menciptakan kesemuanya ini secara sia-sia, maha suci Kamu maka peliharalah kami dari azab api neraka. Dari ayat ni, Allah nak kita berfikir tentang kekuasaannya melalui kejadian pertukaran siang dan malam. Anggaplah hidup kita di dunia ini cuma ada satu hari saja.. Iaitu waktu siang dan malam saja.. Jadikanlah masa lalu mu itu sebagai waktu siang, iaitu masa muda yang sudah berlalu. Waktu kamu bersuka ria mencari nikmat dunia. Malam pula adalah waktu untuk kamu berubah dan meninggalkan waktu siangmu. Jadikanlah waktu malam itu untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan tahajud dan solat malam. Habiskanlah sisa hidupmu dengan waktu malam tersebut yang penuh dengan amal ibadat. Kamu sekarang ni masih di fasa senja iaitu waktu pertengahan diantara pertukaran di antara siang dan malam. Mulai sekarang, jangan fikirkan lagi keduniaan yang sudah kamu lakukakan pada waktu siang. Nanti senja pun berlalu dan kamu akan masuk ke fasa malam. Bersedialah untuk menjadikan hidupmu semata-mata kerana Allah.” Ustaz Razali menamatkan kata-katanya.
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah Taala..” Safwan bersuara perlahan sambil memejamkan matanya. Air matanya mengalir keluar dari kelopak matanya yang terpejam itu, membasahi pipi. Dia mula menyesali segala perbuatan dan dosa lalunya. Di hati Safwan, dia bertekad untuk meninggalkan segala perbuatan dosa dan akan mengabdikan dirinya semata-mata kerana Allah, Tuhan sekalian alam.
“SAFWAN..”
Suara Farhan mengejutkan Safwan dari lamunannya. Sawfan mula menyedari dirinya masih berdiri di ruang solat itu ketika bersama Ustaz Razali mendengarkan para pelajar di situ membacakan ayat suci al-quran yang di pimpin oleh Farhan. Rupa-rupanya mereka sudah pun menamatkan sesi pengajian dan mula beredar meninggalkan ruang solat tersebut. Farhan yang melihat Safwan sedang diam berdiri sejak dari tadi menyapa adik iparnya itu untuk di ajak pulang ke rumah mereka.
“Kau kenapa Saf? Dari tadi berdiri diam kat sini?” Farhan pelik dengan kelakuan Safwan.
“Takde apa bang..” Safwan tersengih sambil menggelengkan kepalanya seraya menggaru kepalanya.
“Jom la balik.. Lewat dah ni.. Kesian pula mereka duk menunggu kita kat rumah untuk makan malam.” Farhan merujuk kepada Maryam, Nadia dan Nazirah yang sedang berada di rumah. Sudah menjadi kebiasaan, mereka akan menunggu Farhan dan Safwan pulang dari pondok tersebut dahulu selepas solat isyak untuk makan makan bersama.
“Jom la bang..” Safwan mendorong belakang badan Farhan untuk mula berjalan bersamanya. Safwan kemudian memetik suis untuk mematikan lampu di ruang solat berkenaan apabila menyedari sudah tiada sesiapa yang berada di ruang tersebut. Suasana di ruang solat kelihatan berbalam, hanya disinari cahaya dari lampu luar yang berada di hadapan tangga pintu masuk ruang berkenaan. Safwan dan Farhan mula berjalan meninggalkan pekarangan pondok pengajian agama tersebut dan menuju ke arah rumah mereka, melintasi kawasan kebun dan kandang kambing milik Safwan.
Share this novel