Bab 19

Romance Series 8087

BEBERAPA hari kemudian, Safwan telah berhasil mendapatkan dua orang pembantu untuk diupah bagi  membantu di kedainya iaitu seorang wanita pertengahan umur dan seorang remaja lelaki yang baru tamat persekolahan. Dengan adanya tenaga kerja tambahan, beban kerja yang ditanggung oleh Safwan dan Aisyah dapat dikurangkan. Dengan pertambahan pekerja yang perlu dibayar gaji, Safwan akan mula melanjutkan waktu perniagaannya sehingga ke petang. Hal tersebut juga akan memudahkan para penduduk yang bekerja pada waktu pejabat untuk mendapatkan bekalan bahan makanan mentah memandangkan mereka hanya pulang kerja pada waktu petang. 

Ketika waktu senggang dari kehadiran pelanggan, Safwan memerhatikan barang jualannya. Matanya melihat tong-tong yang berisi pelbagai jenis ikan yang diambilnya dari pemborong di pasar. Ikan keli pula diambil dari abang iparnya, Farhan. Otaknya mula terfikir untuk menambah ikan dari jenis air tawar kerana beberapa orang pelanggannya pernah bertanyakan spesis ikan tersebut. Sekarang cuma ikan keli sahaja yang dijual oleh Safwan dari golongan ikan air tawar. 

“Ikan patin, leceh la pula..” Bicara hati Safwan. Dia melanjutkan dalam memeras otaknya. Selepas beberapa minit mundar mandir di dalam kedai, Safwan menghampiri Aisyah yang sedang duduk di kaunter pembayaran. 

“Aisyah, saya nak keluar dulu sekejap.. Awak tolong tengokkan kedai ya..” Safwan menyampaikan hasratnya kepada Aisyah. Gadis berpurdah itu hanya menganggukkan kepalanya. Safwan kemudian berpaling ke arah dua pekerja barunya seraya melanjutkan kata-katanya.

“Kak Yah, Fendi, saya nak keluar dulu.. Kalau ada apa-apa, tak faham apa-apa, boleh tanya kat Aisyah ya..” Safwan menyerahkan kepercayaan kepada anak gadis Ustaz Razali. Setelah memberikan pesan, Safwan langsung keluar dan meluncurkan motosikalnya menuju ke arah pekan. 

“Eh, dia bukan balik ke rumah.. Pergi kemana pulak masa ni?” Aisyah bermonolog, tertanya-tanya arah tujuan lelaki yang menjadi majikannya itu setelah melihat arah tujuan Safwan dari simpang tiga di depan kedai.

USAI solat asar, Safwan segera menuju ke arah reban ayamnya yang sudah memuatkan ratusan ekor ayam. Di sebelah reban ayam, terlihat beberapa buah tangki air. Dia menarik beberapa buah tangki air yang masih kosong tanpa isi itu sendirian. Tangki air itu baru dibelinya tadi ketika meninggalkan kedai buat seketika. Farhan yang melibat tingkah laku Safwan itu segera menghampiri adik iparnya itu. 

“Kau nak buat apa pula Saf dengan tangki-tangki ni semua?” Farhan tahu adik iparnya itu sudah mula mempunyai rencana baru namun masih tertanya-tanya perancangan lelaki muda tersebut.

“Ah, bang.. Saya fikir nak bela ikan talapia la sikit.. Duk nampak tepi reban ni pun masih ada ruang sikit. Muat la letak tangki air ni.” Safwan memberikan penjelasan.

“Oh, kau nak bela talapia dalam tangki ni?” 

“Ya bang.. Ramai juga orang duk tanya ikan air tawar kat kedai tu.. yang ada pun cuma ikan keli abang tu je la.. Yang lain semua ikan kembung, selar, selayang.. Kalau nak bela patin, leceh la pulak.. Lagipun orang kampung mana mau makan patin bela dalam kolam, dalam tong.. Patin orang nak yang bela sangkar kat sungai je. Sebab tu saya nak try bela talapia.. Jual talapia pula.” 

“Otak kau ni kan, tak pernah berhenti ke dari fikir nak buat macam-macam.. Hahaha.. Tapi kau baru nak try, dah nak buat sampai empat tangki terus?” 

“Takde la buat sekaligus bang.. Saya saja je sediakan awal-awal.. Malas dah nak ulang pergi beli lagi tangki nanti.. Sekarang saya nak masukkan anak talapia kat satu tangki dulu. Sebulan lagi baru masukkan tangki seterusnya. So, biar ikan tu nanti dah ada berperingkat. Kalau habis jual kat tangi pertama, so, kat tangki kedua nanti, ikan tu pun dah boleh jual. Takde la kena bela lama dari tangki seterusnya. Biar saiz sedang-sedang je nanti untuk di jual..” Safwan memberikan penerangan mengenai perancangannya dengan lebih teliti.

“Enjin pam air dah ada?” 

“Dah beli bang..” Safwan tersengih sambil menjawab pertanyaan Farhan. 

“Mai abang bantu kau.. Nak susun tangki ni memanjang kat sini?” Farhan menawarkan diri untuk membantu sambil tangannya menunjukkan ke arah ruang di antara reban ayam dan kebun sayur.

“Ah.. atur kat sini je la.. Guna ruang yang ada sebaik mungkin.” Safwan terus ketawa. Farhan turut tersenyum, bertambah kagum kepada lelaki muda tersebut yang tidak pernah berhenti berusaha.

HAMPIR pukul tiga pagi, Safwan terjaga dari tidurnya. Dia biasanya akan bangun sejam lebih lewat untuk menunaikan solat tahajud. Sejak tinggal di pondok Ustaz Razali, Safwan sama sekali tidak pernah meninggalkan munajat malam tersebut dan hal itu tetap menjadi rutin walau selepas berkahwin dan tinggal bersama isterinya. 

“Kenapa rasa macam tak sedap hati pulak.. hmm..” Safwan bermonolog di dalam hatinya. Dia mengalihkan pandangannya kepada Nadia yang sedang berbaring di sebelahnya. Isterinya itu masih nyenyak dibuai mimpi. Safwan tersenyum sendiri seraya mengucup pipi isterinya itu. Di hatinya, dia berharap semoga cinta yang bersemi di antara mereka itu menjadi sebab untuk Allah menghapuskan dosa-dosa mereka dan dilimpahkan dengan pahala. Nadia yang di ulit lena itu langsung tidak sedar akan perbuatan suaminya. Safwan kemudian bangkit berdiri dan cuba mencapai tuala untuk membersihkan diri sebelum bertahajud. Namun dia kemudian melepaskan kembali tualanya dan membatalkan hasratnya untuk mandi. 

Safwan langsung keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke ruang tamu. Setelah duduk di sofa, Safwan hanya termenung di dalam suasana yang kelam dan bertemankan suara nyaring cengkerik dari luar. Tiba-tiba hatinya terdetik untuk keluar dari rumah dan pergi ke kebun sayurnya. Tanpa membuang masa, Safwan segera mengikut kata hatinya. Dia segera mengambil kunci rumah dan mengunci pintu rumahnya dari luar sebelum menuju ke kebun. Melihat suasana malam itu, Safwan sedikit terpegun. Langit terlihat cerah dihiasi bintang-bintang yang berkedipan. 

“Subhanallah.. Indah sungguh kejadian alam ciptaan Tuhan..” Safwan berjalan sambil memuji Tuhan. Suasana malam itu benar-benar terlihat indah pada pandangan Safwan. Sampai di kebun, Safwan terus duduk di wakaf seketika sebelum beralih menuju ke arah banjaran pohon kacang panjang dan timun. Sedang asyik melihat hasil tanaman yang bakal dipetiknya selepas subuh nanti, tiba-tiba telinga Safwan mendengar bunyi derapan tapak kaki. Safwan yang berdiam diri cuba melihat ke arah punca bunyi tersebut.

Dari celahan pokok kacang panjang, Safwan dapat melihat susuk seorang lelaki sedang berjalan melintasi kebunnya dan menuju ke arah rumahnya. Lelaki itu langsung tidak menyedari kehadiran Safwan di situ yang terlindung dengan banjaran pokok kacang panjang dan timun malah terdapat pagar kebun yang dilapisi dengan jaring berwarna hitam. Safwan hanya memerhatikan arah tuju lelaki tersebut sambil menyembunyikan dirinya dari dikesan. Pendatang itu kemudian berhenti di hadapan kandang kambing Safwan sambil melihat ke sekeliling kawasan sebelum naik ke atas kandang yang sedikit tinggi dari aras tanah. 

“Jadi, dia la pencuri kambing abang Farhan selama ni..” getus hati Safwan. Dia segera berjalan perlahan-lahan menuju ke arah kandang kambingnya untuk menangkap pencuri tersebut. Langkah kakinya di jaga dan Safwan merapatkan badan ke banjaran pohon tanamannya supaya kehadirannya tidak disedari oleh pencuri. Sebelum naik ke atas kandang kambingnya, Safwan sempat menggapai sebatang kayu untuk dijadikan senjata. Dia perlu berwaspada kerana dia sendiri  tidak tahu jika pencuri tersebut juga memiliki senjata yang berbahaya. 

Ketika si pencuri sedang leka menarik salah seekor kambing, dia langsung di serang oleh Safwan dari arah belakang dengan menggunakan kayu. Saat sang pencuri sedang menggelupur kerana kesakitan di lantai, Safwan terus membuka lampu yang sudah tersedia di kandang kambing tersebut. Dia ingin melihat dengan jelas wajah si pencuri kambing tersebut. Hatinya sangat geram kerana selama ini sudah banyak kali kambing milik Farhan dicuri oleh pencuri tersebut. Safwan yakin, pencurinya pastilah orang yang sama.

Setelah lampu terpasang, Safwan segera mengenal pasti pencuri tersebut. Lelaki itu adalah Amir, teman Azlan yang selalu lepak bersama di warung Pak Daud. Lelaki itu juga pernah di pukul oleh Safwan sebelum ini di warung yang sama. 

“Kau rupanya.. Kau kawan si Azlan tu.. rupanya kau la yang duk mencuri kambing kat sini.. Bangsat!” Safwan menghayunkan tangannya untuk memukul lagi Amir yang sedang terbaring.

“Maaf..maafkan aku.. Tolong jangan apa-apakan aku.. Aku terpaksa buat macam ni.. Isteri aku dalam wad hospital sekarang..” Amir memohon belas kasihan sambil mengangkat tangannya. Safwan yang mendengar rayuan dan permohonan maaf dari Amir membatalkan serangannya.

“Astaghfirullah..” Safwan beristighfar seraya melemparkan kayu yang dipegangnya. Dia sedar dirinya terlalu mengikut emosi sebentar tadi. Dalam masa yang sama, Safwan bersyukur kerana dia tidak meneruskan serangannya ke atas Amir. Jika tidak, pencuri tu mungkin bakal kehilangan nyawa dan Safwan pula akan di sabit kesalahan membunuh. Di hatinya terdetik, mungkin Allah masih ingin menyelamatkannya dari meragut nyawa manusia lain. Pada waktu yang sama, mata Safwan masih menatap tajam ke arah Amir yang masih terbaring di lantai kandang kambingnya.

“Kenapa dengan isteri kau?” Safwan mula bertanya.

“Dia.. dalam wad.. Bersalin..”

“Bila dia beranak?”

“Lepas isyak tadi.. Esok mungkin dia akan keluar dari hospital.. Tapi aku takde duit.. Nak bayar bil hospital.. Anak-anak yang lain di rumah pun takde makanan.” Amir menjelaskan punca kenapa dia mencuri. Safwan mendiamkan diri. Mula timbul perasaan kasihan terhadap lelaki yang cuba mencuri kambingnya itu. Dia tahu, bila keadaan mendesak, manusia sanggup melakukan apa sahaja apatah lagi jika anak isteri sedang kelaparan dan tiada makanan. 

“Astaghfirullah alazim.. Ampunkan aku Ya Allah.. Rupanya masih ada orang di kampung ini yang kelaparan dan tiada makanan. Kau berikan aku rezeki yang melimpah, tapi aku tak bantu mereka.. Ya, Allah, ampunkanlah aku..” Safwan kesal dengan dirinya sendiri. Padahal dari awal dulu lagi dia sudah berniat untuk membantu orang yang memerlukan, namun masih ada di kalangan orang kampungnya sendiri yang masih susah dan kelaparan di luar pengetahuannya. 

“Anak kau berapa orang?” Safwan inginkan kepastian.

“Tiga orang, termasuk yang baru lahir..”

“Kau kerja apa?” Soalan bertalu-talu dari Safwan. Namun pertanyaan kali ini tidak dijawab oleh Amir. Lelaki itu masih terduduk di lantai sambil merenung lantai dan menggelengkan kepala. Dia malu untuk mengatakan jika dirinya tidak bekerja. 

“Habis, anak bini kau makan apa selama ni?” 

“Isteri aku ambil upah menjahit..” 

“Jadi selama ni isteri yang tanggung kau dan anak-anak? Jantan jenis apa kau ni.. Kau tahukan mencari nafkah itu tanggungjawab kau sebagai suami, sebagai ketua keluarga? Safwan menjadi geram. Amir pula tetap membisu dan menundukkan wajahnya. 

“Dah.. kau balik sekarang.. Kali ni aku lepaskan kau. Tapi ingat, kalau kau datang lagi, kau mencuri lagi, aku takkan teragak-agak lain kali untuk lapor kat polis.” Safwan bersuara tegas. Amir yang masih dibalut oleh rasa malu terhadap Safwan dengan perlahan bangkit berdiri dan menyapu lengan dan seluarnya. Walaupun masih marah, Safwan tetap merasa simpati dengan kesusahan yang di alami oleh pencuri itu. 

“Sebelum tengah hari nanti, kau datang ke kedai aku kat simpang tiga jalan besar depan sana.. Nanti aku bagi duit untuk bayaran wad isteri kau.. Beli juga makanan kat anak-anak kau  kat rumah tu. Jangan tak datang pulak.” Safwan  menawarkan bantuan kepada Amir walaupun kemarahan masih belum terpadam dari hatinya.

“Baik..baiklah.. Terima kasih..” Amir mengukirkan senyuman apabila Safwan menawarkan bantuan kepadanya.

“Tapi dengan syarat.. Kau jangan lagi mencuri.. Jangan bagi anak bini kau makan hasil dari duit haram lagi.” Safwan memberi peringatan.

“Baiklah.. Aku janji.. Terima kasih sebab sudi bantu aku..” 

“Dah.. kau pergi balik dulu.. Jangan lupa nanti datang ambil duit kat kedai.” 

“Ya..ya.. Terima kasih..” Amir berulang kali mengucapkan rasa terima kasihnya kepada Safwan kerana sudi membantunya. Dia benar-benar berharap Safwan akan mengotakan kata-katanya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience