BEBERAPA hari kemudian, Safwan terperanjat apabila melihat kangkung tanamannya yang sudah mula subur beberapa hari lepas namun kini habis musnah. Terlihat seperti diragut oleh haiwan. Safwan merasa sangat kecewa apabila usahanya dimusnahkan dalam sekelip mata oleh ternakan orang kampung yang dibiar bebas berkeliaran. Dalam kekecewaan, terselit juga kemarahan yang membara di hati anak muda itu. Tidak jauh dari rumahnya, terlihat sekumpulan lembu yang sedang berkeliaran, meragut rumput di tepi jalan. Safwan yakin, lembu-lembu itulah yang telah meragut tanamannya.
Safwan kemudiannya segera menuju ke arah kawanan lembu tersebut. Matanya tertumpu kepada salah seekor lembu yang dicucuk tali pada hidungnya. Kebanyakan lembu di kawanan tersebut tidak mempunyai tali. Safwan perlahan-lahan mendekati lembu yang di cucuk hidungnya itu dan berjaya menggapai hujung tali lembu tersebut. Sambil tersenyum, Safwan lantas menarik tali lembu tersebut. Haiwan yang tidak berakal itu langsung mengikut arah langkah Safwan memandangkan tali di hidungnya sedang ditarik oleh lelaki itu. Safwan menarik lembu tersebut menuju ke tempat penyembelihan oleh peniaga daging di kampungnya.
“Abang Li, saya nak jual lembu ni..” Safwan mengatakan tujuan kedatangannya kepada penjual daging segar yang berada di tempat penyembelihan lembu.
“Lembu siapa kau nak jual ni?” Peniaga daging yang di gelar Abang Li itu bertanya.
“Lembu saya la.. Orang bagi.. Tapi saya tak nak bela.. Sebab tu saya nak jual..”
“Berapa kau nak jual? Abang pun takde duit sangat ni..” Abang Li cuba berhelah.
“Ikut suka Abang Li la nak bayar berapa.. Kalau kena harga, saya lepaskan je..”
“Seribu tujuh boleh la..” Peniaga itu cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang terlalu murah bagi seekor lembu.
“Boleh la.. Deal..” Safwan bersetuju. Dia langsung tidak peduli berapa harga yang akan dibayar oleh peniaga daging tersebut asalkan lembu itu terjual. Lelaki yang dikenali sebagai Abang Li segera mengeluarkan wang sebanyak seribu tujuh ratus untuk membeli lembu itu dari Safwan. Dia begitu senang hati kerana berjaya mendapatkan lembu dengan harga yang murah. Keuntungannya pasti berlipat kali ganda apabila daging lembu itu terjual nanti. Safwan juga turut gembira apabila perancangannya berjaya terlaksana. Setelah menerima wang dari hasil menjual lembu tersebut, Safwan segera beredar untuk pulang ke rumahnya.
Di pertengahan jalan pulang, Safwan melalui hadapan surau kampungnya. Melihatkan keadaan surau yang agak usang dan catnya juga sudah luntur, Safwan mula berencana untuk menjadikan surau tersebut lebih berseri. Dia cuba untuk menuju ke surau berkenaan, namun membatalkan niatnya. Dia tidak ingin menghampiri surau itu kerana tidak ingin menimbulkan fitnah ke atas dirinya sekali lagi. Dia khawatir jika ada barang di surau yang hilang atau tabung surau dipecahkan lagi, pasti orang kampung akan menuduhnya sebagai pencuri jika dia menghampiri surau berkenaan. Safwan kemudian meneruskan langkah kakinya menuju ke arah rumah. Tidak jauh dari surau, Safwan menatap rumah milik Ustaz Adnan, imam di surau tersebut. Dia segera memasuki halaman rumah Ustaz Adnan dan memberi salam. Ustaz Adnan segera keluar menjengukkan kepalanya dari muka pintu rumah sambil menjawab salam yang diberikan oleh Safwan.
“Ha.. Safwan, ada apa datang ke mari?” Ustaz Adnan kehairanan dengan kehadiran Safwan ke rumahnya.
“Saya ada hajat sikit Ustaz..”
“Hajat apa pulak kamu ni..”
“Saya nak ke surau tadi, tapi terpaksa cancel.. Saya taknak la nanti hilang apa-apa kat surau tu, orang tuduh saya pulak. Ni saya bagi kat Ustaz je la..”Safwan menghulurkan satu bungkusan plastik kepada Ustaz Adnan.
“Apa ni? Ya Allah, dari mana kamu dapat duit ni Safwan?” Ustaz Adnan terkejut apabila melihat sejumlah wang yang banyak diberikan oleh Safwan kepadanya.
“Saya nak sedekahkan duit ni kat surau tu.. nanti Ustaz guna la duit tu buat beli cat dan apa-apa lagi untuk cantikkan balik surau tu. tukar cat baru.. Duit tu seribu enam ratus. Buat je la setakat yang cukup.” Safwan menyerahkan wang hasil jualan lembu yang dicurinya tadi untuk disedekahkan kepada surau. Dia telah mengambil seratus ringgit dari jumlah wang tersebut yang dianggapnya sebagai ganti rugi terhadap tanamannya yang dimusnahkan dan selebihnya dia berikan kepada Ustaz Adnan. Pada fikiran Safwan, lembu tersebut telah memakan tanaman orang kampung, maka seharusnya wang jualan lembu itu digunakan untuk keperluan surau yang menjadi kegunaan orang kampung.
“Tapi dari mana kau dapat duit ni? Kamu jangan kata ni duit curi atau hasil judi..”
“Astaghfirullah ustaz.. Jahat-jahat saya pun, saya tak mencuri duit orang, saya tak main judi.. Arak, zina pun saya tak buat ustaz..”
“Habis tu, dari mana kamu dapat duit ni?”
“Tu duit orang ramai juga ustaz.. Saya tolong kumpulkan je..”
“Biar betul kau ni..” Ustaz Adnan yang ragu-ragu tidak mempercayai kata-kata anak muda yang baru keluar penjara itu. Namun dia kagum dengan niat Safwan yang baik. Padahal, manusia itu ramai yang mempunyai sifat kedekut dan tak ingin menghabiskan wang mereka. Namun anak muda yang terkenal sebagai bekas banduan itu masih mampu untuk memberikan wang berjumlah sebanyak itu walaupun Ustaz Adnan tidak tahu punca wang yang di dapatkan oleh Safwan. Samada wang itu dari hasil yang halal atau haram, namun Safwan sanggup memberikan wang tersebut untuk kegunaan orang ramai. Padahal dia boleh sahaja membelanjakan wang tersebut untuk dirinya sendiri. Tindakan Safwan itu mengubah pandangan Ustaz Adnan terhadap lelaki bekas banduan tersebut.
“Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya. Alhamdulillah, syukur atas pemberian kamu ni Safwan. Semoga Allah membalas segala kebaikan kamu berlipat kali ganda.” Ustaz Adnan memuji tindakan Safwan sambil membacakan petikan ayat al-quran dalam surah al-baqarah.
“Saya balik dulu la ustaz.. Assalamualaikum..” Safwan segera berpaling dan melangkah meninggalkan rumah Ustaz Adnan.
“Waalaikumussalam..” Ustaz Adnan menjawab salam anak muda itu sambil melihat lelaki itu yang sedang meninggalkan halaman rumahnya.
Ustaz Adnan dalam diam mengambil iktibar untuk dirinya sendiri agar tidak berprasangka buruk kepada manusia. Walaupun di gelar sebagai budak jahat dan telah dua kali di penjarakan, namun tiada yang menyangka Safwan sebenarnya mempunyai hati yang tulus.
Bahkan, ramai orang yang berkata buruk kepada anak muda itu sebenarnya diri mereka sendiri masih tidak sebaik bekas banduan itu hatinya. Ustaz Adnan sedar, darah muda dalam diri Safwan yang sedang mendidih, di tambah dengan keadaan keluarga yang kucar-kacir, itulah punca Safwan berbuat khilaf.
Malah pandangan serong masyarakat sendiri menyebabkan anak muda seperti Safwan tersalah langkah dalam memilih kawan dan mencari jalan mudah untuk mencari kebahagiaan mereka. Imam surau itu berdoa, semoga Safwan diberi hidayah dan menjadi manusia yang berjaya suatu hari nanti. Semoga jiwa anak muda itu mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah, Tuhan seluruh alam.
Share this novel