SEKUMPULAN anak ayam penuh dalam bekas yang terbuat dari pada kayu ditatap oleh Safwan. Dia tersenyum gembira apabila berjaya melaksanakan langkah pertamanya untuk memelihara ayam penelur. Anak ayam yang dibelinya dari pasar tadi dimuatkan ke dalam sebuah wadah berupa kotak kayu dan di letakkan ke dalam reban yang telah siap dibina. Anak-anak ayam tersebut tidak dilepaskan di dalam reban terlebih dahulu kerana masih terlalu kecil. Beberapa biji mentol juga di pasang dengan janaan tenaga elektrik dari bateri untuk menghangatkan anak-anak ayam tersebut.
Safwan kemudian keluar dari reban ayamnya dan meninjau ke sekitar kandang kambing Farhan yang bersebelahan reban ayam tersebut. Matanya tertancap pada susunan batang kayu pelbagai saiz yang terletak di belakang kandang kambing. Fikirnya, mungkin itu kayu lebihan dari membina kandang kambing milik Farhan. Seketika kemudian, terlihat kelibat Farhan yang keluar dari pintu rumahnya dan segera berjalan menuju ke arah Safwan.
“Bang, ini kayu lebih dari buat kandang kambing ke?” Safwan langsung bertanya apabila menyedari Farhan mendekatinya.
“Ha’ah.. Ambil la kalau kau nak guna.”
“Eh, takde la.. Saya tanya je..”
“Kalau kau nak guna kayu tu ambil je la.. Abang memang dah tak guna pun kayu tu semua.”
“Saya takde nak guna lagi bang.. Nanti kalau saya perlukan kayu, saya ambil je la ye..” Safwan langsung tertawa kecil.
“Ah.. Abang dah jumpa orang yang nak beli kambing ni semua.. Tapi masih tinggal empat lima ekor yang masih tak terjual..”
“Bagus la kalau macam tu.. tapi kenapa masih tinggal empat lima ekor lagi?”
“Dah orang yang beli, sebanyak tu je yang dia nak je.. Takkan la abang nak bagi semua pulak.” Giliran Farhan pula tertawa. Kemudian Farhan melanjutkan kata-katanya.
“Masih ada seekor kambing jantan, tiga ekor betina dan dua ekor anak. Yang betina seekor tu dah bunting.. Macam ni la Saf.. Kalau abang jual semua pun, nanti kosong pulak kandang ni.. Sayang pulak kalau kandang ni jadi terbiar.. Apa kata kau je ambil kambing yang berbaki tu.. Abang jual tiga ribu je kat kau sekali dengan kandang, dengan dedak yang ada lagi tu.. sekali dengan motor abang tu.. senang sikit kau nak cari rumput nanti. Kalau kau takde duit lagi, nanti kau bayar je sikit-sikit kat abang.. Ansuran pun boleh..”
“Eh, murah sangat tu bang.. Dah la ni kambing boi.. Seekor pun dah seribu lebih harga dia.”
“Laa.. dah abang nak bagi kat kau harga tu, suka hati abang la.. Kalau kau nak bayar lapan belas ribu pun takpe.. Abang terima je..” Farhan terus menghamburkan tawa yang terbahak-bahak.
“Kalau setakat tiga ribu tu, saya terima je la.. Minggu depan la saya bayar cash.. Sekarang duit dah habis banyak buat reban, beli anak ayam tu..”
“Takpe la kalau macam tu.. kau nak bayar bila-bila pun suka hati kau la Saf.. abang pun bukan terdesak nak pakai duit pun.. Mulai sekarang kau ambil alih la kambing dan kandang ni.. Sekali dengan motor tu..” Farhan yang terasa senang hati langsung menepuk lembut bahu Safwan. Dia sebenarnya berat hati untuk menjual semua kambingnya dan membiarkan kandang kambing tersebut terbiar kosong dan terbengkalai. Oleh kerana Safwan sudah bersetuju dengan permintaannya untuk mengambil alih kambing-kambing yang berbaki, setidaknya kandang kambingnya masih terisi dan terus digunakan.
Mereka berdua kemudian beriringan berjalan menuju ke arah kebun Safwan setelah melihat beberapa orang lelaki mendatangi kebun tersebut. Mereka adalah para remaja yang menetap di pondok dan diupah oleh Safwan untuk memetik hasil dari sayuran yang sudah matang dan sesuai untuk dituai. Hasil kebun perlu dipetik dua kali sehari iaitu waktu pagi dan petang. Disebabkan tidak mampu melakukan kerjanya sendirian, maka Safwan perlu mengupah para remaja tersebut selain bertujuan untuk para pelajar pondok tersebut mendapat wang saku untuk perbelanjaan dan simpanan mereka.
Setelah Safwan dan Farhan tiba di kebun, kelibat Aisyah juga terlihat mendekati mereka. Gadis itu turut diberikan upah oleh Safwan kerana membantunya membungkus sayur-sayurannya walaupun Aisyah hanya berniat menolong lelaki tersebut tanpa mengharapkan ganjaran. Tidak lama kemudian, Ustaz Razali, pemilik pondok yang menjadi tempat Safwan menetap dan belajar ilmu agama juga mendatangi kawasan kebun.
“Banyak betul hasil kebun Safwan..” Ustaz Razali menyapa sebagai pembuka bicara.
“Alhamdulillah.. Rezeki dari Allah ustaz..”
“Alhamdulillah.. Kita usaha, kita dapat hasilnya. Bertani juga satu ibadah. Itulah tujuan kita di jadikan sebagai khalifah di atas muka bumi. Untuk memakmurkan bumi ini.. Bertani adalah salah satu cara kita memakmurkan muka bumi. Kita berbudi pada tanah, tanah juga tidak akan lupa untuk memberi balasan kembali. Kita suburkan tanah, tanah bagi kita sayur-sayur, buah-buahan yang segar dan sedap untuk dimakan. Subhanallah.. Begitu cantik aturan yang ditetapkan oleh Allah. Haa… katanya kamu dah mula menternak ayam pulak.. Macam mana dengan projek tu?” Ustaz Razali memanjangkan lehernya, cuba menjengah pandangannya ke hujung kebun untuk melihat reban ayam dari jauh.
“Dah selesai ustaz.. Tadi saya baru beli anak ayam.. Dah letak dalam reban tu. Semoga berjalan lancar la nanti..” Safwan tersenyum kepada lelaki pemilik pondok yang memberinya tumpang berteduh dan mengajarkannya ilmu agama di situ.
“Insyaallah.. Kalau kita usaha, akan dapat hasilnya.”
“Kebun sayur lagi.. Ayam telur pula.. Tambah kambing lagi satu.. Kaya budak ni nanti ustaz..” Farhan berseloroh sambil ketawa. Ustaz Razali tersenyum seraya menampakkan barisan giginya yang masih tersusun walaupun sudah berusia.
“Takde lah kaya bang.. Selagi boleh usaha, kita usahakan je. Boleh juga berbagi rezeki dengan orang lain.” Safwan turut tersenyum. Aisyah yang sedang mengikat kangkung memasang telinga mendengar perbualan tiga orang lelaki di hadapannya. Sesekali matanya mengerling ke arah Safwan yang sedang berhadapan dengan ayahnya itu.
“Alhamdulillah.. Bagus niat kamu Safwan. Itulah yang terbaik. Selagi boleh ikhtiar, ada kemampuan, teruslah berusaha.. Sepertimana sabda nabi, beribadahlah seperti kamu akan mati esok, dan berusahalah seperti kamu akan hidup seribu tahun lagi.. Walaupun esok berlakunya kiamat, kalau ada benih di tangan, tanamlah benih tu.. Maksudnya, sentiasalah berusaha dan jangan sesekali mudah mengalah. Rahmat dan rezeki Allah itu luas. Benar, setiap orang sudah ditentukan rezekinya oleh Allah, tapi kita tak tahu pun sebanyak mana rezeki Allah dah tetapkan untuk kita. Kalau dah di tentukan rezeki kita secupak, takkan jadi segantang. Kita usaha sebanyak mana pun, rezeki kita tetap secupak. Tapi kalau rezeki untuk kita tu sebenarnya segantang tapi kita tak berusaha dapatkan, usaha kita sekadar sekadar secupak, maka secupak itu je la yang akan kita dapat. Rugilah kita yang segantang tu.. Kalau untuk sekadar hidup, setiap makhluk juga sudah dijamin rezekinya oleh Allah. Tapi sebagai khalifah, hidup kita ini ada tujuan. Seperti kata Buya Hamka, Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar kerja, kerbau di sawah juga bekerja.” Panjang lebar ucapan Ustaz Razali.
“Insyaallah, semoga kita mendapat pedoman.” Farhan tersenyum mendengar kata-kata lelaki tua pemilik pondok agama itu.
“Insyaallah..” Safwan turut mengucapkan kalimat suci tersebut. Dia kemudian langsung melanjutkan pembicaraannya kepada Farhan.
“Ah.. bang. Saya fikir nanti nak jual sendiri je la sayur-sayur tu semua.”
“Maksud kau?” Farhan masih kurang jelas dengan penyataan Safwan.
“Saya rasa lebih baik saya jual sendiri je sayur-sayur tu kat pembeli. Tak perlu jual kat pemborong di pasar dah. Kayu abang kat kandang kambing tu pun banyak lagi yang lebih. Saya ingat nak buat gerai je la kat jalan besar depan sana. Jual sendiri je kat orang kampung. Untung pun lebih besar. Contoh macam timun sekarang, pemborong beli dari saya cuma harga dua ringgit je sekilo. Tapi jual kat orang sampai enam ringgit.. Kalau macam tu, baik saya jual sendiri je.. Boleh jual harga empat ringgit ke sekilo. Saya pun untung lebih, pembeli pun dapat jimat.. Lagipun hasil dari kebun saya pun takde la banyak sangat. Ada serba sedikit je setiap jenis sayuran.. Pemborong pun tak rugi kalau tak ambil sayur saya. Lagipun saya takde la ganggu harga pasaran kat pekan tu. Saya jual kat sini, orang kampung ni je yang akan beli. Orang kampung pun untung, tak perlu pergi jauh ke pekan sana dan dapat beli harga lebih murah kat sini.” Safwan memberikan penjelasan dengan panjang lebar.
“Elok la kalau macam tu.. Abang pun sokong keputusan kau tu.” Farhan menyetujui buah fikiran Safwan. Ustaz Razali juga mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai tanda turut menyokong kata-kata anak muda tersebut.
“Cumanya, saya tak tahu la sempat ke tak kalau nak jual sendiri. Kalau ada orang yang nak tolong jaga gerai sayur tu, saya boleh upah je.. Selain tu, saya boleh la menjaja sayur kat sekeliling kampung, hantar ke kedai-kedai makan ke.. Ada tak orang yang nak kerja, jual sayur kat gerai tu nanti?” Safwan yang berfikiran jauh menyampaikan hasrat yang tersirat di hatinya. Farhan dan Ustaz Razali masing-masing mendiamkan diri, tidak menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Safwan, menjadikan suasana sepi seketika.
“Kalau nak orang yang jaga gerai, Aisyah boleh tolong jagakan.. Aisyah pun bukan ada kerja lagi.” Tiba-tiba Aisyah yang sejak dari tadi memasang telinga, menyuarakan hasratnya untuk membantu Safwan. Ketiga-tiga orang lelaki yang sedang berbual tadi lantas mengalihkan pandangan mereka kepada gadis berpurdah yang sedang mengikat kangkung di wakaf. Masing-masing hanya memandang tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata ke arah gadis tersebut.
“Boleh tak ayah, kalau Aisyah nak kerja jaga gerai tu dengan Safwan?” Aisyah cuba meminta izin dari ayahnya yang merupakan guru pondok itu.
“Kalau kamu sanggup, tak apa la.. Ayah izinkan.. Ayah tak akan halang niat kamu selagi kamu tidak melanggar syariat.” Ustaz Razali tersenyum kepada anak gadisnya itu sambil menitipkan kata-kata nasihat. Aisyah terus teruja dan gembira dengan keputusan ayahnya itu.
“Alhamdulillah.. Kalau macam tu, boleh la saya bina gerai kat jalan besar depan sana. Boleh saya guna kayu abang tu?” Safwan turut gembira.
“Kan abang dah bagitau, ambil guna je la kayu tu semua.. Lagipun kandang tu pun dah jadi milik kau Saf.. buat la apa yang kau nak buat. Geran tanah je abang tak bagi kat kau lagi. Setakat nak guna tu, guna je la..” Farhan melepaskan ketawa besar. Safwan dan Ustaz Razali turut tertawa dengan ucapan seloroh Farhan itu.
Share this novel