SEORANG wanita yang bercermin mata meleretkan senyuman sambil memandang ke arah Nadia. Wanita itu adalah doktor yang baru selesai memeriksa keadaan Nadia.
“Tahniah, puan dah mengandung.” Doktor wanita itu menyampaikan berita kepada Nadia.
Nazirah yang berada di sebelah Nadia tersenyum gembira dan memegang tangan adik iparnya itu. Nadia yang terkejut dengan khabar yang di maklumkan oleh doktor wanita itu hanya sedikit tersentak. Dia kemudiannya menundukkan pandangannya dan cuma mengukir sebuah senyuman yang hambar. Seolah perkhabaran yang diterimanya dari doktor sebentar tadi tidak membahagiakannya.
“Nadia.. Kenapa? Nadia tak suka untuk mendapat zuriat?” Nazirah bertanya kepada adik iparnya.
“Bukan begitu kak.. Tapi…” Nadia menggantungkan ayatnya tanpa di habiskan.
“Dah la.. Nanti kita jaga sama-sama anak ni..” Nazirah menguntumkan senyuman sambil menyentuh pipi Nadia dengan telapak tangannya.
“Puan Nadia cuma terlalu stress.. Takde apa-apa yang berbahaya.. Cuma saya harap, mulai sekarang, cubalah kawal emosi. Jangan terbiasa dengan stress sebab boleh membahayakan kandungan.
“Baiklah doktor..” Nazirah tersenyum sambil menganggukkan kepalanya kepada doktor wanita itu. Nadia pula tetap membisu sambil menundukkan wajahnya dengan pandangan mata yang kosong.
“OK, itu saja.. Kalau ada apa-apa masalah, boleh tanya saya sekarang.. Kalau tiada apa-apa, puan dah boleh pulang.. Tak perlu masuk wad dah.” Doktor itu tersenyum dengan wajah yang berseri. Walaupun kepenatan, doktor itu tetap bertindak secara profesional di dalam tugasnya dengan melayan pesakit sebaik mungkin dan menunjukkan wajah yang ceria.
“Kalau begitu, kami pergi dulu ya doktor..” Nazirah meminta diri untuk beredar sambil menuntun tangan Nadia. Nadia yang masih diam seribu bahasa hanya mengikut jejak langkah kaki kakak iparnya itu.
“Jomlah kita ke tempat abang Farhan. Kesian dia lama menunggu sorang-sorang.” Nazirah menatap wajah sugul Nadia kemudian mengalihkan semula pandangannya ke arah jalan yang akan dilaluinya di hospital itu.
Setelah berjalan di sekeliling hospital berkenaan, Nadia dan Nazirah akhirnya tiba di hadapan Farhan. Lelaki itu terlihat sedang melantunkan bacaan ayat al-quran dengan suara yang perlahan sambil memegang musyaf kitab suci tersebut. Setelah menyedari kehadiran isteri dan adiknya, Farhan segera menghentikan bacaan ayat suci dari mulutnya dan menutup lembaran musyaf di tangannya.
“Macam mana dengan Nadia?” Farhan mengajukan pertanyaan kepada dua wanita di hadapannya.
“Nadia tak apa-apa.. Dia cuma stress.. Doktor juga bagitahu, Nadia dah mengandung..” Nazirah meleretkan senyuman sambil memeluk badan Nadia apabila menyampaikan berita tersebut kepada suaminya.
“Alhamdulillah..” Farhan yang terkejut dan gembira dengan perkhabaran tersebut mengucapkan kalimah syukurnya kepada Illahi. Dia segera berdiri dari kerusi dan menarik tangan Nadia untuk duduk menggantikan tempatnya di kerusi tersebut.
“Kau kena jaga diri baik-baik mulai sekarang. Hargai rezeki pemberian Allah kepada kau itu. Tak sangka secepat itu Allah kurniakan rezeki kepada kamu dan Safwan.” Mata Farhan bersinar dan berkaca menahan air mata gembira yang cuba tumpah dari bendungan matanya.
“Tapi Safwan.. Dia..” Nadia bernada sayu.
“Insyaallah, Safwan takde apa-apa.. Doktor dah bagitahu tadi, mereka dah keluarkan peluru dari badan Safwan. Nasib baik peluru tu tak kena kat organ penting. Keadaan Safwan sekarang stabil.. Cuma dia masih belum sedarkan diri je sebab kehilangan banyak darah. Biarlah dia berehat dulu.” Farhan memandang ke arah Safwan yang masih koma di pembaringan. Lelaki itu memerlukan masa beberapa jam lagi untuk sedarkan diri selepas melakukan pembedahan membuang peluru dari tubuhnya. Nadia mula kembali menitiskan air mata apabila melihat keadaan suaminya yang sedang terlantar di atas katil hospital itu.
Fikiran Nadia mula mengenangkan tragedi yang berlaku sebelum mereka dimasukkan ke hospital. Nadia menyaksikan dari jauh bagaimana Azlan menembak suaminya dan suaminya itu tanpa menghiraukan luka pada badannya langsung memukul Azlan bertalu-talu menggunakan sebatang kayu.
Nadia benar-benar risau jika suaminya itu kehilangan nyawa dan meninggalkan dirinya yang baru berkahwin. Nadia sendiri bingung,entah bagaimana dirinya tiba-tiba sudah berada di hospital untuk menerima rawatan. Hasil pemeriksaan doktor pula mengesahkan bahawa dirinya sudah hamil. Nadia hampir kemurungan apabila mengenangkan anaknya itu nanti akan membesar tanpa seorang ayah jika Safwan meninggal dunia akibat tembakan yang diterima oleh lelaki tersebut. Kini hati Nadia mula merasa sedikit tenang apabila melihat keadaan Safwan dan mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Farhan.
Di hati Nadia, dia tidak putus berdoa agar suaminya itu cepat sedar dan kembali sihat seperti sedia kala. Tangan suaminya diramas dengan lembut, penuh kasih sayang. Nadia kemudian berdiri dari kerusi dan mengucup dahi Safwan yang terbaring kaku. Farhan dan Nazirah hanya berdiri diam menyaksikan Nadia mempamerkan cintanya kepada Safwan. Air mata sang isteri itu menitis lalu jatuh ke mata Safwan yang sedang terpejam. Tiba-tiba kelopak mata Safwan bergerak. Nadia yang menyaksikan kejadian tersebut menjadi sangat teruja.
“Abang.. Bangunlah bang..” Nadia menyeru suaminya supaya sedar.
“Nadia..” Farhan yang tidak perasan akan pergerakan kelopak mata Safwan cuba ingin menarik Nadia dari menindih lelaki yang sedang koma itu. Namun dia menghentikan niatnya itu apabila mendengar suara lemah Safwan.
“Sayang..” Safwan membuka matanya perlahan-lahan sambil menatap dan menyebut panggilan manja isterinya.
“Abang..” Nadia yang terlalu gembira segera memeluk badan suaminya yang sedang terbaring di katil hospital itu.
“Arghh..” Safwan mengerang menahan kesakitan.
“Maaf, sayang lupa abang sakit..” Nadia menyeka air matanya sambil menarik dirinya di belakang dan kembali duduk di kerusi.
“Apa yang dah berlaku? Di mana ni? Kenapa saya terbaring atas katil ni?” Safwan masih bingung dan belum mengingati kejadian yang menimpanya semalam.
“Kau ada kat hospital sekarang.. Semalam kau kehilangan banyak darah..” Farhan cuba memberi penjelasan kepada adik iparnya.
“Ah.. Azlan..” Safwan mula mengingati peristiwa dia dan Azlan berkelahi dan dirinya di tembak oleh Azlan sebelum dia memukul lelaki itu dengan teruk menggunakan kayu.
“Azlan masih selamat. Cuma kepalanya berdarah teruk dan menerima banyak jahitan. Sekarang dia pun masih dalam wad, di bawah pengawasan pihak polis. Selepas dia sembuh, dia akan didakwa dengan segera di mahkamah. Bukan setakat kes dadah, tapi kes serangan bersenjata dan cubaan membunuh. Menurut polis, kalau kes dia tu, paling ringan pun hukuman penjara seumur hidup. Tapi.. mungkin juga dia akan ke tali gantung sebab kes jenayah dia sebelum ni terlalu banyak.. Haa.. nanti polis pun akan ambil statement kau untuk lengkapkan siasatan bila kau dah sedar.” Farhan menyampaikan perkhabaran.
“Nauzubillahiminzalik..” Safwan merasa ngeri apabila mendengar hukuman yang bakal diterima oleh Azlan. Dia yang pernah merasa di penjara beberapa tahun sahaja pun sudah merasa terseksa di sana, apatah lagi jika di penjara dalam masa yang panjang. Lebih teruk lagi jika menerima hukuman gantung. Entah bagaimana penerimaan keluarga Ustaz Razali nanti di atas hukuman yang dikenakan terhadap anak lelakinya itu. Safwan terus mendiamkan diri dan termenung. Matanya tidak berkelip memandang siling dalam keadaan terbaring.
“Kenapa bang? Apa yang mengganggu fikiran abang? Bukankah bagus jika Azlan sudah ditangkap?” Nadia menyoal Safwan yang terlihat mengelamun jauh.
“Tak.. abang bukan fikirkan pasal Azlan.. Tapi..”
“Tapi apa?” Nadia semakin pelik apabila suaminya tidak meneruskan kata-katanya itu.
“Tadi, sepertinya abang bermimpi.. Tapi abang rasa keadaan tu benar-benar berlaku.. Tak rasa macam mimpi pun..”
“Abang mimpikan apa?” Nadia semakin tidak sabar. Farhan segera memegang bahu adiknya itu sebagai isyarat untuk bersabar dan tidak mendesak Safwan yang masih mengalami kecederaan dan baru sedar itu.
“Abang mimpi sedang berada dalam satu ruang yang gelap.. Dalam hati, abang berdoa kepada Allah, abang tak ingin mati lagi.. Kemudian muncul satu cahaya putih yang terang.. Cahaya itu datangnya dari seorang lelaki tua yang memakai jubah dan serban putih. Abang masih cam mukanya. Dia adalah lelaki yang abang temui di masjid dulu, sebelum berjumpa dengan abang Farhan. Dia tersenyum dan wajahnya nampak berseri. Dia kemudian bagitahu kat abang, Allah tak akan ambil lagi nyawamu, kerana amalan kau dalam bersedekah. Teruslah hidup untuk membantu orang lain. Sesungguhnya, sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya. Ingat, sentiasalah mencari Tuhanmu, maka insyaallah, Allah akan sentiasa bersamamu. Bangunlah Safwan.. Celiklah matamu. Itulah yang orang tua itu katakan dalam mimpi abang tu. Kemudian mata abang tiba-tiba rasa basah. Bila abang buka mata, terus nampak sayang di depan mata.” Safwan terlihat serius dalam menceritakan perihal mimpinya. Nadia, Farhan dan Nazirah terlopong mendengar kisah mimpi Safwan. Masing-masing terkebil-kebil apabila memikirkan kisah yang diceritakan oleh lelaki yang baru sedar daripada koma itu.
“Siapa sebenarnya orang tua tu?” Nadia mula tertanya-tanya.
“Entahlah..” Safwan menjawab dengan suara yang mendatar.
“Biar siapa pun dia, itu tak penting.. Tapi abang yakin, orang itu di hantar oleh Allah untuk menjentik hati Safwan dan menjadi asbab untuk menarik Safwan menuju ke arah jalan yang benar. Mungkin dia pun tak kenal Safwan tapi Allah gerakkan hati dan lidahnya untuk mendekati dan mengucapkan kalimat yang akan mendorong Safwan ke arah kebaikan. Hidayah Allah itu datang dalam bermacam cara. Kadang-kadang, Allah juga menghantar anak kecil untuk menegur dan membimbing kita. Cuma kita yang tak sedar.” Farhan memberikan pendapatnya. Safwan, Nadia dan Nazirah terangguk kecil mendengar kata-kata lelaki yang menjadi guru mengajar al-quran itu.
“Ntah-ntah malaikat tak? Ke nabi Khidir ke?” Nadia masih cuba meneka.
“Ishh.. ke situ pulak.. Jangan duk fikir lebih-lebih.. Tapi apa pun, semua itu tak mustahil.. Wallahuallam.. Biarlah hanya Allah yang tahu.” Farhan tertawa kecil dengan sikap Nadia yang masih berfikir secara berlebihan. Safwan dan Nazirah turut tersenyum sambil memandang ke arah Nadia.
“Ah.. Sayang ada berita gembira nak bagitahu kat abang..” Nadia mula tersenyum dan wajahnya mula bertukar menjadi ceria. Farhan dan Nazirah juga turut tersenyum kerana sudah mengetahui perkara yang ingin disampaikan oleh Nadia kepada Safwan.
“Berita gembira?”
“Abang akan jadi ayah tak lama lagi..” Nadia merapatkan mukanya ke arah muka suaminya yang sedang terbaring.
“Hah?? Ja..jadi ayah? Nadia.. Sayang.. Sayang dah..” Safwan yang terkejut dengan khabar tersebut menjadi kelam kabut dan tidak mampu menghabiskan kata-katanya.
“Emm.. sayang dah mengandung..” Nadia memegang tangan Safwan dan meletakkan tapak tangan suaminya itu ke perutnya.
“Alhamdulillah..” Safwan mengucapkan rasa syukurnya di atas pemberian rezeki berbentuk zuriat kepadanya. Hatinya benar-benar teruja dan tidak sabar untuk menimang cahaya matanya itu nanti. Sambil menyimpulkan senyuman, Safwan menatap perut isterinya yang sedang membawa benihnya itu.
“Ya Allah, berikanlah aku anak-anak yang soleh, yang taat pada perintahMu dan menjadi pejuang kepada agamaMu suatu hari nanti. Kurniakanlah kepada ku keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah..” Safwan mengucapkan doa di dalam hatinya.
Share this novel