NADIA tidak lekang dengan senyuman. Sambil membuat air kopi, dia terlihat sangat gembira sambil menggumam nada lagu tradisional rakyat, suriram di mulutnya. Maryam sejak dari tadi memerhatikan kelakuan anak bongsunya itu. Dia dapat rasakan Nadia sedang bersenang hati dan gembira akan sesuatu hal. Menantunya, Nazirah pula sedang menggoreng nasi untuk di jadikan juadah sarapan mereka sekeluarga pada pagi itu.
“Kau dah kenapa Nadia? Mak tengok kau macam gembira semacam je.. Ada apa-apa ke?” Maryam mula ingin tahu kenapa anaknya itu bertingkah sedemikian pada pagi itu.
“Eh, takde apa la mak..” Nadia melihat ke arah ibunya dan senyumannya semakin meleret.
“Macam la mak tak kenal kau.. Pasti ada apa-apa kau ni.. Benda gembira pun taknak bagitau mak ke?” Maryam masih ingin mencungkil.
“Mak ni ada-ada je la.. Mana ada orang sembunyi apa-apa.” Nadia tersengih. Air kopi di dalam teko selesai dikacau dan Nadia meletakkan teko tersebut ke atas dulang dan menyusun beberapa cawan di dalam dulang itu sebelum mengangkatnya, seraya berjalan menuju ke meja makan.
“Mak pula yang ada-ada.. Padahal kau yang duk tersengih sorang-sorang sejak tadi.”
“Entah la mak.. Sejak dah berkahwin ni, dia suka sangat berahsia dengan kita ni kan..” Nazirah yang sedang menggoreng nasi sempat mengusik adik iparnya itu sambil berpaling melihat ke arah ibu mertuanya yang sedang duduk di meja makan.
“Ish.. Kak Ira ni kan..” Nadia ketawa seraya berpaling melihat ke arah kakak iparnya itu selepas meletakkan dulang berisi teko air di atas meja makan.
“Ha.. tengok tu.. duk ketawa tu. Mesti ada sembunyikan apa-apa ni.” Maryam mencubit manja anak perempuannya itu.
“Mak dengan Kak Ira ni sama je.. Suka fikir yang bukan-bukan..” Nadia semakin galak ketawa dan mengundurkan badannya untuk mengelakkan cubitan ibunya.
“Assalamualaikum..” Farhan dan Safwan muncul di muka pintu dapur rumah sambil memberi salam bersama.
“Waalaikumussalam..” Salam dijawab oleh ketiga-tiga wanita yang berada di dalam rumah.
“Apa yang meriah sangat pagi-pagi ni?” Farhan kehairanan.
“Takde apa.. Ni adik kau ni, kena sampuk ke apa ntah.. Dari tadi tersengih sorang-sorang..” Maryam menjawab pertanyaan anak lelakinya.
“Mak ni tak habis-habis la..” Nadia memuncungkan bibir mulutnya sambil senyuman masih tidak hilang dari wajahnya. Farhan dan Safwan hanya melihat celoteh dua beranak itu sambil berjalan menuju ke arah meja makan. Nazirah yang sudah siap menggoreng nasi pula memasukkan masakannya itu dari kuali ke dalam sebuah mangkuk besar untuk di hidangkan di meja makan. Baru sahaja Farhan dan Safwan melabuhkan punggung mereka di kerusi masing-masing, Nadia segera memegang kedua belah bahu Safwan dari arah belakang.
“Abang nak pergi ke kedai lepas ni kan.. Pukul berapa abang nak balik?” Nadia bertanya soalan yang agak menghairankan semua orang. Padahal setiap hari Safwan akan pulang tengah hari, sebelum solat zohor dan akan pergi semula ke kedainya selepas selesai berjemaah di pondok Ustaz Razali. Sebelum asar Safwan akan pulang ke rumah setelah menutup kedainya. Semua orang sudah maklum akan rutin harian Safwan itu.
“Sayang ni kenapa? Kan setiap hari pun sama je waktu abang balik.” Safwan bertanya kembali apabila merasakan suatu keanehan pada isterinya itu.
“Haa.. kan mak dah cakap, Nadia ni dah kena sampuk.. Tadi tersengih sorang-sorang.. Sekarang duk tanya bila laki dia balik pulak dah..”
“Ishh..mak ni.. Ada la benda orang nak cakap nanti..”
“Haa.. tadi mak tanya ada apa, kau kata takde apa-apa.. Kan sekarang dah mengaku ada benda yang kau tak bagitahu.. Budak bertuah ni..” Maryam menampar punggung Nadia yang sedang menompang di belakang kerusi Safwan. Nadia tertawa dengan tindakan ibunya yang terlihat geram itu.
“Sayang ada apa nak bagitau?” Safwan ingin tahu perkara yang dirahsiakan oleh isterinya itu.
“Adalah.. Tunggu la petang nanti sayang bagitau.. Surprise..” Nadia segera beralih dan menarik kerusi di sebelah Safwan untuk duduk di sebelah suaminya itu.
“Surprise apa pulak ni?”
“Dah nama pun surprise.. Takkan la nak bagitau.. Nanti tak jadi surprise la pulak.. Tunggu je la nanti.”
“Ada-ada je la sayang ni..” Safwan menggelengkan kepala dengan celoteh isterinya itu. Entah apa yang dirahsiakan wanita itu untuk mengejutkannya. Nadia pula terus tersenyum sambil menuangkan air kopi yang dibuatnya tadi ke dalam cawan. Nazirah pula berdiri di samping Farhan dan mencedok nasi goreng buatannya ke dalam pinggan untuk hidangan setiap orang.
Share this novel