SELEPAS beberapa hari, Safwan sudah mulai sihat dan cergas. Walaupun bekas lukanya masih terasa sedikit sakit, namun lukanya itu sudah terlihat tertutup dan sudah sembuh walau bukan sepenuhnya. Safwan yang sudah kembali ke rumah sudah mula melakukan kembali aktiviti berkebun dan menternaknya di samping berniaga.
Dia sangat terhutang budi kepada abang iparnya, Farhan kerana lelaki tersebut sudi membantunya menguruskan ternakan dan kebunnya buat seketika. Urusan perniagaan di kedai pula terus diuruskan oleh Aisyah sepenuhnya dengan bantuan tenaga pembantu yang sudah diupah oleh Safwan sebelum ini.
Safwan sangat bersyukur kerana Aisyah dapat melaksanankan tugasnya dengan baik. Cuma lelaki itu sedikit serba salah terhadap Farhan kerana sudah menyusahkan abang iparnya itu, padahal Farhan sendiri sudah sibuk dengan urusan rutin hariannya.
Pagi itu, Safwan sudah mula mengambil alih semula segala urusan pekerjaannya. Hatinya sangat senang kerana dapat menghidu kembali udara segara di kebun sayurnya. Fikirnya, dia perlu bekerja lebih keras kerana bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Dia juga tidak lupa akan mimpinya ketika koma beberapa hari lepas. Dia akan lebih banyak bersedekah selepas ini dan tidak akan meninggalkan solat tahajud. Pada pemahaman Safwan, kata-kata lelaki tua yang mengingatkan dirinya untuk mencari tuhan itu sebagai sentiasa menjaga solat dan jangan meninggalkan solat tahajud pada waktu malam. Kerana ketika solat itulah waktunya seorang hamba berkomunikasi dengan Tuhannya dan tahajud malam itu adalah waktu dimana Allah paling hampir dengan hamba yang mencari keredhaanNya. Maka, jika kita sentiasa menjaga solat dan sering bertahajud, insyaallah, Allah akan sentiasa bersama kita. Safwan mengingati hal tersebut kerana pernah disebutkan oleh Ustaz Razali kepadanya suatu ketika dahulu.
Baru sahaja menguruskan sayuran di kebun dan ingin menuju ke arah kedainya, tiba-tiba telefon bimbit Safwan berdering. Dia lantas menyeluk saku seluarnya untuk mengambil telefon yang disematkan di situ. Layar telefon bimbitnya memaparkan nama adiknya, Alyaa yang sedang membuat panggilan. Tanpa membuang masa, Safwan terus menjawab panggilan tersebut.
“Assalamualaikum..” Safwan mula memberikan salam.
“Waalaikumussalam.. Abang! Abang duk kat mana? Adik baru call mak semalam, mak cakap abang dah lama tak balik ke rumah. Abang buat apa sebenarnya? Abang kat mana? Abang jangan buat benda bukan-bukan.. Abang dah janjikan takkan buat benda jahat lagi..” Suara Alyaa kedengaran cari telefon dengan mengajukan soalan yang bertalu-talu.
“Adik.. sabar la.. Cakap satu-satu..slow-slow boleh tak? Abang duk jauh dari mak sekarang. Abang kat Kedah. Nanti la abang ceritakan macam mana boleh sampai sini.. Sekarang abang dah lambat nak kerja ni..” Safwan tertawa mendengar suara Alyaa yang tidak berhenti menyoalnya.
“Kerja? Abang buat apa? Abang tak buat benda haram kan?”
“Astaghfirullah alazim.. Adik ni.. Abang dah janjikan dengan adik, abang takkan sentuh dah benda-benda haram, takkan buat dah benda-benda jahat.. Sekarang abang berniaga kat kedai.. Abang sampai ke sini pun, entah macam mana.. Dah takdir Allah.. Nanti abang call adik balik. Sekarang abang sibuk..”
“Hmm.. baiklah kalau macam tu.. tapikan.. Adik dapat rasa la perubahan abang sekarang. Abang sekarang ni suka sebut perkataan-perkataan baik.. Bercakap pasal agama.. Adik suka. Adik gembira sangat. Adik harap abang sentiasa sihat.”
“Alhamdulillah.. Kalau adik gembira, abang pun bahagia..”
“Haa.. tu kan.. Sebut alhamdulillah pulak..” kedengaran suara ketawa Alyaa.
“Hmm..adik..adik..” Safwan tersenyum dengan celoteh adiknya.
“Takpe la kalau abang busy.. Abang uruskan la dulu kerja abang. Nanti jangan lupa call adik balik.. Jangan lupa hantar duit sikit.. Poket adik dah kering la bang..”
“Hah.. ye la.. Nanti tengah hari nanti abang pergi bank in.. belajar elok-elok.”
“Adik dah nak balik kampung tak lama lagi.. Sekarang ni tengah final exam.. Habis exam ni adik balik la..ok la bang.. Jangan lupa call adik nanti. Adik sayang abang..muaahhh..”
“Ye la.. Abang pun sayang adik.. Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam..” Alyaa langsung mematikan panggilan.
Safwan tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Dia gembira apabila mendengar suara adik kesayangannya itu. Celoteh gadis itu juga sering menghiburkannya.
Safwan kembali mengimbau kenangan. Sejak keluar dari penjara, hanya Alyaa yang tidak memandang serong kepadanya malah adiknya itulah yang sering memberinya semangat untuk dia berubah.
Selama ini, Alyaa menjadi tempat untuk Safwan meluahkan perasaan dan kesedihannya. Teman-teman sekampung pula, hanya ada ketika untuk bergembira sahaja.
Kemudian, fikiran Safwan teringatkan Apik. Entah bagaimana keadaan temannya itu sekarang. Lelaki itu tidak memiliki telefon peribadi untuk di hubungi. Kali terakhir mereka bertemu, ketika mereka bersama melarikan diri daripada anak buah Tengku Badrul. Mereka berpisah setelah jatuh dari motor dan Apik melarikan diri ke dalam semak belukar manakala Safwan berlari mengikuti jalan.
Safwan terpaksa memisahkan dirinya dari Apik ketika itu kerana tidak ingin temannya itu turut dibelasah jika mereka tertangkap bersama. Walaupun ketika itu Safwan sedar, melarikan diri di jalan akan lebih mudah tertangkap oleh pengejar yang memandu kereta, namun dia terpaksa memilih keputusan itu untuk menyelamatkan Apik dari terlibat sama.
Safwan menghembuskan nafas berat setelah mengenangkan sahabatnya itu. Dia kemudian terus menghidupkan enjin motosikalnya dan segera menuju ke kedainya di simpang tiga jalan utama.
Setelah tiba waktu tengah hari, Safwan meninggalkan kedainya untuk menuju ke bank di pekan bagi memasukkan duit ke dalam akaun bank adiknya. Setelah selesai urusannya memberikan wang kepada adiknya, Safwan segera menghantar satu pesanan mesej kepada Alyaa.
“Kepada tuan puteri yang paling cantik di alam semesta, kakandamu telah selesai mengirim ufti untuk kegunaanmu. Gunakanlah untuk keperluanmu dan dapatkanlah makanan yang berkhasiat. Jangan duk makan mee segera je.” Safwan tersenyum membaca mesej yang dihantarnya kepada adik kesayangannya itu. Beberapa saat kemudian, mesej balasan dari Alyaa segera diterima oleh Safwan.
“Terima kasih kakandaku yang baik hati lagi hensem.. I love you.” Safwan yang tersenyum sendirian membaca mesej dari Alyaa tidak lagi membalas mesej dari adiknya itu.
Telefonnya segera di simpan di dalam saku seluar dan Safwan mula melangkah meninggalkan bank untuk menuju ke motosikalnya. Semasa ingin beredar, Safwan tiba-tiba melihat beberapa orang lelaki sedang mengerumuni seorang individu. Mereka sepertinya sedang mengugut lelaki terbabit.
Safwan kemudian mengenal pasti lelaki yang sedang di ugut itu. Lelaki itu adalah Amir, teman Azlan dan juga penceroboh yang cuba mencuri kambingnya dahulu. Menyedari Amir sedang berada di dalam masalah, Safwan cuba menghampiri sekumpulan lelaki terbabit.
“Assalamualaikum.. Kenapa ni? Ada apa masalah?” Safwan memberikan salam dan mengajukan pertanyaan.
“Kau siapa? Kau jangan nak masuk campur dalam hal ni..” Salah seorang lelaki dari kumpulan terbabit memberi amaran kepada Safwan tanpa menjawab salam yang diberikan.
“Saya bukan sesiapa.. Tapi saya kenal si Amir ni.. Kamu semua ada masalah apa dengan dia sampai ramai-ramai begini duk kerumun dia.”
“Dia ni ada hutang dengan bos kami.. Dah berhutang, taknak bayar.. Lepas tu lari pula.”
“Berapa yang dia berhutang? Banyak ke?” Safwan bertanya lagi.
“Tak.. yang kau sibuk duk banyak tanya ni apahal? Kau nak tolong bayar ke?”
“Saya nak tahu la berapa jumlah hutang dia tu.. kalau saya mampu tolong, saya boleh tolong bayarkan..” Safwan tersenyum. Walaupun bekas luka tembakan di perutnya masih belum sembuh sepenuhnya, namun Safwan langsung tidak gentar untuk berhadapan dengan gerombolan lelaki itu. Wajah tenang Safwan yang di susuli dengan kata-kata sebegitu membuatkan kumpulan lelaki itu terdiam seketika.
“Dia hutang kami tiga ribu.” Lelaki yang sedang memegang kolar baju Amir menjawab sambil memandang ke arah Safwan.
“Mana ada tiga ribu.. Kan aku pinjam dua ribu je hari tu.. aku dah bayar lima ratus.. Patut tinggal seribu setengah je la lagi..” Amir menjawab dengan suara yang tersekat-sekat.
“Diam la kau.. Dah berhutang, banyak bunyi pula.. Yang kau pinjam tu hutang pokok.. Kau dah lari, berapa lama kau tak bayar.. Memang kena bunga la sekali.. Siapa suruh kau lambat bayar.” Lelaki itu menampar muka Amir. Amir yang sedang ketakutan itu langsung tidak berani untuk melawan.
“Dah..dah.. Jangan duk main pukul orang .. Lepaskan dia.. Hutang dia tu takpe, aku akan bayarkan..” Safwan menunjukkan telapak tangannya kepada lelaki tersebut agar menghentikan perbuatan ganasnya itu. Semua orang di situ termasuk Amir tercengang mendengar kata-kata Safwan.
“Biar betul kau nak bayar hutang dia.. Dah la lahanat ni hutang buat berjudi.. Kau nak habiskan duit kau untuk tahi judi ni?”
“Dah.. kan aku dah cakap aku akan bayarkan.. Tak peduli la dia kaki apa sekali pun, jangan duk pukul dia lagi.. Tunggu sini sekejap, aku pergi ambil duit kat bank.” Safwan segera berpaling punggung dan kembali menuju ke arah bank yang dia keluar tadi. Gerombolan lelaki itu pula masing-masing berpandangan sama sendiri. Semua orang masih bingung dengan kemurahan hati Safwan untuk menolong kaki judi yang malas bekerja seperti Amir.
Tidak lama kemudian, Safwan kembali dan menghulurkan sejumlah wang kepada ketumbukan pengutip hutang tersebut. Selepas mereka mengira jumlah wang yang diberikan oleh Safwan, mereka segera melepaskan Amir dan mula beredar dari kawasan tersebut.
“Ke..kenapa kau tolong aku? Aku takde duit untuk bayar balik kat kau..” Amir bersuara perlahan sambil melihat ke arah lantai bumi.
“Aku tolong sebab kesiankan anak bini kau.. Kalau jadi apa-apa kat kau, macam mana dengan mereka? Ada kau fikir apa akan jadi kat anak bini kau dengan perbuatan kau ni?” Safwan bersuara tegas. Amir menjatuhkan pandangannya lebih rendah. Dia tersangat malu mendengar kata-kata Safwan itu.
“Kau dah cari kerja?” Safwan meneruskan pertanyaan.
“Aku dah cuba cari.. Tapi belum dapat lagi..” Amir bersuara perlahan menjawab soalan dari lelaki yang telah menolongnya itu.
“Hmm.. macam ni la.. Kau kerja dengan aku.. Kau nak?”
“Be..betul ke? Betul ke Safwan? Kalau kau betul-betul nak bagi aku kerja, aku terima je..” Amir mula tersenyum dan wajahnya bertukar menjadi ceria.
“Ahh.. sebab kau selalu curi kambing dulu.. Aku nak upah kau jaga kambing aku tu.. kau nak?”
“Kalau kau betul nak upah aku, aku sanggup terima je.. Apa kerja pun tak pe.. Aku betul-betul nak berubah. Nak cari kerja untuk sara anak bini aku.”
“Kalau begitu, kau tolong jaga kambing, ayam dengan ikan talapia aku boleh? Cuma bagi makan je pun.. Kambing je la, kau kena cari rumput, daun kayu untuk bagi makan. Boleh?” Safwan tersenyum.
Dia gembira kerana dapat menolong seorang lagi manusia yang sedang kesempitan. Safwan sedar, rezeki yang Allah berikan kepadanya adalah untuk dikongsi dan dikeluarkan untuk membantu orang lain.
“Ya.. aku boleh buat.. Aku sanggup.. Terima kasih Safwan.. Terima kasih..”
“Kau tak perlu terima kasih kepada aku.. Sebaiknya kau berterima kasih kepada Allah.. Sebab Dia yang dah tolong kau sebenarnya.. Aku ni cuma asbab je.. Allah hantarkan aku untuk jadi perantara bagi menyelesaikan masalah kau.
“Baiklah.. Alhamdulillah, aku bersyukur Ya Allah..” Amir menadah kedua tangannya sambil mendongakkan kepalanya.
“Hmm.. kau dah ada anak bini.. Macam ni la.. Kalau kau nak upah lebih, kau tolong juga kerja kat kedai aku tu.. Upah kat kedai aku kira gaji lain.. Kerja kat kedai waktu pagi.. Petang kau bagi kambing, ayam, ikan makan, aku upah lain lagi.. So, kau buat dua kerja, dapat dua gaji.. Sesuai la dengan tanggungan kau.. Macam mana?”
“Boleh..boleh.. Aku sanggup.. Jadi bila aku boleh start kerja?” Amir terangguk-angguk mendengar saranan Safwan sambil bersemangat untuk memulakan tugasnya.
“Suka hati kau nak masuk bila.. Pagi esok pun boleh.. Sekarang pun boleh.”
“Sekarang?”
“Ah, petang ni la kau start cari makan untuk kambing tu, boleh? Pagi esok start keja kat kedai.” Safwan mula menetapkan masa permulaan kerja untuk Amir.
“Tapi ingat.. Syaratnya kau kena kerja betul-betul.. Jangan main-main, jangan malas-malas, jangan ponteng.. Kalau tak, aku potong gaji kau..” Safwan memberi peringatan. Padahal dia cuma ingin bergurau, namun Amir yang sudah terhutang budi dengan lelaki itu menganggap Safwan benar-benar memaksudkan kata-katanya itu.
Safwan langsung tertawa apabila melihat reaksi wajah yang serius di pamerkan oleh Amir. Bahu Amir kemudian ditepuk lembut berkali-kali oleh majikan barunya itu.
“Dah lah.. Jom la kita minum dulu. Haus la pulak.. Haa.. tu kedai cendol. Jom pekena cendol dulu tengah hari ni.” Safwan mengajak Amir untuk bersamanya ke kedai menjual air cendol. Amir hanya membuntuti arah tujuan Safwan dengan patuh.
Share this novel