“ASSALAMUALAIKUM..” Aisyah memberikan salam apabila sampai di tangga hadapan rumah Farhan. Dia yang tinggal berjiran, sering bertandang ke rumah tersebut untuk berjumpa dengan Nadia yang merupakan teman baiknya.
“Waalaikumussalam.. Haa.. Aisyah, naiklah.. Nadia ada kat dalam bilik dia tu.” Nazirah menjengukkan kepalanya dari muka pintu sambil menjawab salam suci dari Aisyah. Dia yang sudah tahu tujuan kedatangan anak gadis Ustaz Razali itu segera mempelawa Aisyah untuk masuk ke rumah bagi menemui Nadia. Aisyah yang sudah biasa bertandang ke rumah jirannya itu tanpa segan terus menjejakkan kaki menaiki anak tangga rumah tersebut. Setelah masuk ke dalam rumah, gadis itu segera menuju ke arah bilik Nadia, dimana temannya itu berada.
Mendengar pintu biliknya di ketuk dan suara Aisyah yang memberi salam, Nadia segera membuka pintu dan mengajak temannya itu untuk bersama di dalam bilik. Nadia kemudian langsung duduk di kerusi, menghadap komputer riba bagi menyambung kerjanya yang dilakukan sejak dari tadi. Aisyah pula menghempaskan punggungnya di atas tilam pada katil milik Nadia.
“Kau duk buat apa? Meniaga lagi ke?” Aisyah memulakan perbicaraan.
“Aku tengah edit video je.. Nak try jadi affiliate untuk produk sambal ni. pula.” Nadia tekun menghadap paparan skrin pada komputer ribanya.
“Sambal apa pulak?”
“Sambal serbaguna.. Macam sambal nyet Khairul Aming tu.. Hari tu aku dah try beli.. Memang sedap. Founder dia pun ada buka untuk affiliate. Tu yang aku join. Buat video untuk promote sambal tu la..”
“Kalau kau kata sedap tu, mesti sedap betul.. Kau kan cerewet bab makan ni..” Aisyah tertawa perlahan.
“Kalau kau nak buat duit tepi, kau pun join la.. Komisyen dia pun agak OK la jugak.”
“Eh, tak pandai la aku nak promote barang online ni.. Kau takpe la, pandai buat ayat untuk tarik minat orang.”
“Alah, kalau kau nak, aku boleh ajarkan.. Nak senang, kau copy paste je ayat aku.. Haa.. semudah ABC..lagipun, jadi affiliate ni, bahan marketing semua pihak seller dah sediakan. Kita tolong promote je guna bahan yang mereka bagi..” Nadia masih asyik memandang skrin komputer ribanya.
“Takpe la.. Lagipun mungkin aku takde masa dah lepas ni. Aku kena jaga gerai pulak nanti.” Aisyah memberikan alasan.
“Gerai? Gerai apa pulak? Kau dah dapat kerja ke?”
“Ah.. Safwan nak buka gerai sayur. Dia nak jual sendiri pula sayur dari kebun dia. Taknak dah jual kat pemborong. Dia perlukan orang untuk jaga gerai tu nanti.. Aku pun sanggup je la. Lagipun ayah aku pun dah izinkan.” Aisyah menceritakan hal yang sudah terjadi tadi sewaktu di kebun tadi. Nadia yang mendengar kata-kata sahabatnya itu langsung berhenti daripada pekerjaannya dan segera memandang ke arah Aisyah.
“Wah.. kerja dengan Safwan.. Patut la terus sanggup ye.. Boleh la lebih merapatkan hubungan nanti.” Nadia terus ketawa setelah mengusik temannya.
“Astaghfirullah.. Ke situ pula kau ni.. Aku ikhlas la nak tolong dia. Lagipun aku pun masih takde kerja. Dia pula perlukan pekerja. Gerai tu nanti dia nak buat kat jalan besar nak masuk simpang depan sana tu je.. Bukannya jauh. Sebab tu ayah aku pun izinkan.”
“Bagus la kalau macam tu.. ayah kau pun dah izinkan.. Minta-minta la nanti ayah kau izinkan pula Safwan tu jadi menantu dia.” Nadia ketawa sambil menepuk-nepuk pahanya.
“Ish.. kau ni kan..” Aisyah mengetap bibir, terasa sangat geram dengan temannya yang suka mengusik itu.
“Icah.. aku nak kau jujur dengan aku.. Apa pendapat kau pasal Safwan? Jujur! Jangan bohong.” Nadia memberi penegasan sambil cuba mencungkil isi hati Aisyah.
“Kenapa pula? Taknak la aku bagitau..” Aisyah mula tersipu malu.
“Maknanya kau betul la sukakan dia?”
“Ish..kau ni..” Aisyah mematikan kata-katanya. Pandangan matanya di jatuhkan menghadap ke arah lantai. Gadis itu sepertinya sedang memikirkan sesuatu. Nadia juga turut diam memerhatikan gelagat temannya itu.
“Safwan tu baik orangnya.. Rajin, bijak, suka berusaha.. Suka menolong orang..” Aisyah mula menyampaikan pendapatnya tentang lelaki yang menjadi murid ayahnya itu.
“Kau suka kat dia?” Nadia masih cuba menggali rahsia hati Aisyah.
“Hmm.. entahlah.. Aku pun tak tahu. Mungkin sikapnya yang baik itu menarik perhatian. Aku tak boleh nafikan, dia sangat baik.. Susah nak jumpa lelaki macam dia zaman sekarang ni. Tapi.. kalau untuk bersama dia tu, aku serahkan saja pada takdir. Jodoh itu rahsia Allah. Kita tak tahu apa yang akan berlaku di depan hari. Lagipun sebagai wanita, aku kena jaga kehormatan diri, jaga ikhtilat aku bersama lelaki ajnabi. Tentang perasaan, biarlah aku simpan sendiri perasaan aku. Aku taknak terlalu berharap dan menaruh perasaan kepada orang yang belum halal bagi aku. Biarlah cintaku hanya untuk suamiku yang sah saja nanti.” Aisyah merasakan dia sudah menyampaikan apa yang patut dia katakan seadanya kepada Nadia. Nadia pula segera bangkit dari kerusinya lalu menuju ke arah Aisyah dan langsung melabuhkan punggungnya di tilam, rapat di sebelah Aisyah. Kedua tangan Aisyah di genggam dengan kemas.
“Tak salah untuk menyimpan perasaan.. Perasaan ingin menyayangi dan ingin di sayangi tu fitrah, anugerah yang diberikan oleh Allah. Cuma kita harus mengawal perasaan kita agar jangan terlalu hanyut.” Nadia tersenyum dan menampakkan lesung pipit pada kedua belah pipinya yang putih kemerahan.
“Itulah maksud aku.. Aku cuma akan memendam perasaan aku sendiri. Perasaan cinta tu, biarlah aku luahkan kepada suami aku saja nanti. Jangan berharap pada yang tak pasti.”
“Semoga kau berjaya luahkan perasaan kau pada Safwan suatu hari nanti.” Nadia masih tidak berhenti untuk terus mengusik temannya itu.
“Ish.. kau ni kan.. Tak habis-habis lagi.. Sudah-sudahlah dengan Safwan tu. Sama ada dia atau orang lain yang akan jadi jodoh aku, wallahuallam.. Biarlah masa yang menentukan..”
“Tak salah juga untuk berdoakan? Semoga kau berjodoh dengan dia.. Aminn..”
“Dah..dah.. Cukup.. Enough is enough! Haa.. aku ke sini bukan sebab nak bercakap pasal Safwan. Aku nak cakap pasal kau.. Kau dah tahu ke, Abang Azlan akan balik esok?”
“Azlan akan balik esok? Aikk.. takde pula dia bagitau aku..” Nadia mengerutkan dahinya.
“Laa.. tunang pun tak tahu.” Aisyah menepuk lengan Nadia.
“Dah dia tak bagitau, macam mana aku nak tahu..?” Nadia mula mengomel. Hatinya sedikit geram kerana langsung tidak mendapat khabar daripada tunangnya yang juga merupakan abang kepada Aisyah.
“Adoii.. mungkin dia nak buat surprise kat kau kot.. Apa la korang ni, padahal sebulan je lagi dah nak kahwin, masih nak berahsia..”
“Eh, sebulan je ke lagi? Aku pun tak ingat.. Hahaha..” Nadia langsung ketawa besar. Dia benar-benar tidak terfikirkan tarikh pernikahannya yang sudah di tetapkan setahun yang lalu.
“Kau ni nak kahwin ke taknak sebenarnya? Sampai tarikh kahwin sendiri pun boleh lupa.”
“Ala.. takkan lari gunung di kejar.. Nak fikir apa sangat. Sampai masa untuk kahwin, kahwin je la..”
“Amboi.. Senangnya kau bercakap.. Nak kahwin pun kau nak buat macam sambut majlis hari jadi ke?”
“Aku nak kena buat apa je? Kad kahwin pun mak aku dah edarkan.. Majlis pun, kan dah setuju nak buat simple je. Tak perlu grand pun. Pakaian pun dah lama tempah. Abang kau je la kena ready untuk jawab akad nikah nanti.
“Goodies dah cari?”
“Dah.. aku beli borong dari shopee je. Senang kerja.. Eh, Abang kau tu nak balik duk kat kampung ni sampai kahwin ke? Takkan dah balik, pergi lagi.. Nanti balik lagi..”
“Entahlah.. Aku pun tak tanya. Rasanya dia balik terus kot sampai majlis kahwin nanti.. Entah-entah duduk kat kampung terus. Tak pergi dah KL tu. Ala.. apa susah.. Dia kan buat bisnes sendiri. Suka hati dia je la nak cuti bila, nak masuk kerja bila.”
Tiba-tiba mereka berdua di kejutkan dengan ketukan pada pintu bilik Nadia. Terdengar suara Nazirah dari luar bilik memanggil mereka untuk minum petang bersama. Tanpa berlengah, Nadia dan Aisyah segera keluar dari bilik dan menuju ke arah dapur rumah tersebut. Di meja makan, terlihat Maryam sedang menghirup air teh dari cawan.
“Abang kat mana?” Nadia bertanya kepada kakak iparnya yang baru menarik kerusi di sebelah Maryam.
“Abang Farhan tadi katanya nak ke simpang jalan sana.. Nak bantu Safwan buat gerai kat situ.” Nazirah segera menjawab pertanyaan adik iparnya.
“Haa.. dah siap nanti, boleh la kau jaga gerai tu..” Nadia tersengih kepada Aisyah yang masih berdiri di sebelahnya.
“Aisyah ke yang akan tolong Safwan jaga gerai tu nanti?” Maryam yang baru meletakkan cawan yang berisi teh panas ke atas piring melontarkan soalan kepada Aisyah.
“Ya.. Aisyah akan tolong jagakan gerai tu. Safwan nanti katanya nak menjaja sayur dia. Aisyah pula akan jual kat gerai tu.” balas Aisyah.
“Baguslah.. Pakat buat kerja, cari duit sikit sorang.” Maryam tersenyum kepada anak gadis yang menutup litup wajahnya itu.
“Ah.. mak.. Aisyah kata, esok Azlan dah balik ke sini. Nak buat persiapan kahwin kot.. Bersiap awal, takde la kalut sangat nanti. Mak dah edarkan semua kad kahwin?” Nadia langsung bertanya kepada Maryam.
“Oh, awalnya dia balik.. Baguslah buat persiapan awal. Kad tu, mak dah edarkan kat semua orang kampung, anak beranak kita.. Ada la sikit lagi tu berbaki. Kot la kau nak bagi kat kawan-kawan kau.. Jangan lupa pula jemput kawan-kawan kau sekali. Jangan duk buat sombong pula ngan orang. Nanti di kata orang.” Maryam sempat menasihati anak perempuannya.
“Ya la mak.. Nanti Nadia bagi la kat kawan-kawan. Mak letak kat mana kad tu semua?”
“Ada kat dalam almari tepi TV tu.. kau ni langsung tak ambil peduli pasal nak kawin. Semua mak yang kena uruskan. Sampai kad jemputan pun tak tahu duk kat mana.. Kau ni nak kahwin ke tak sebenarnya?”
“Itulah Maksu.. Icah pun dah marahkan dia tadi.. Macam tak nak kahwin je.. Semua benda dia tak ambil tahu.. Padahal majlis kahwin dia sendiri tu..” Aisyah tertawa kecil selepas turut memerli Nadia.
“Kau jadi adik ipar aku nanti, siap kau aku kerjakan..” Nadia berseloroh kepada Aisyah. Semua yang berada di dapur rumah tersebut tertawa bersama. Suasana bahagia jelas terlihat dari gelak ketawa dan gurau senda sesama mereka.
Share this novel