Bab 23 (part 1)

Romance Series 8087

KANGKUNG yang hidup subur di dalam parit menarik perhatian Safwan. Matanya tertancap tepat ke arah rimbunan spesis sayur tersebut.Sayuran itu masih berupaya hidup di antara celah-celah semak samun yang tebal. Walaupun dapat dimakan, namun tiada sesiapa yang ingin memetik kangkung yang hidup di dalam parit tersebut. Mungkin kerana merasa jijik kerana kangkung tersebut hidup dan bergantung kepada air parit berkenaan. 

“Hmm.. kalau tanam elok-elok kat tanah, boleh jual nanti kangkung ni. Benda ni sekejap je membiak, senang nak hidup..” Safwan berbicara di dalam hatinya. Tanpa berfikir lebih panjang, Safwan segera turun ke dalam parit dan menarik rimbunan kangkung yang terselit di celahan semak itu. Setelah mengutip beberapa cekak spesis sayuran tersebut, Safwan langsung pulang ke rumahnya dengan membawa kangkung yang diambilnya dari parit itu.

Di bahagian tepi rumahnya, masih terdapat kawasan lapang. Safwan meletakkan kangkung yang dibawanya dari parit kemudian terus mengambil cangkul yang terletak di belakang rumah. Kawasan yang sedikit lapang di tepi rumahnya di cangkul oleh Safwan untuk menggemburkan tanah dan membina batas untuk tanaman. Setelah siap membina batas, Safwan terus menanam kangkung yang dikutipnya dari parit tadi. Sedang asyik menanam, Safwan tidak menyedari ibunya yang keluar ke halaman rumah sambil membawa sebakul pakaian yang ingin dijemurnya.

“Tu kau buat apa pulak?” Tanam kangkung? Dah takde benda nak makan ke? Aku tak bagi kau makan cukup ke selama ni? Susah-susah aku pun, takde la sampai tak mampu nak beli kangkung tu. Kalau nak tanam, baik tanam benda mahal. Biar boleh buat duit.. Tanam durian musang king ke.. Ni kangkung yang kau tanam.. Baik kau tolong aku jemur kain ni. Ni nak minta tolong buat kerja rumah pun payah.” Kartini memulakan leteran sambil mengibas kain yang masih basah untuk dijemur pada ampaian. Safwan yang berdiam diri hanya menghembuskan sebuah nafas berat yang berisi keluhan. Padahal dia baru sahaja mendapat semangat untuk berubah dan berusaha untuk bertani, namun ibunya langsung tidak memberikannya galakan malah diperkecilkan pula usahanya.

“Cuba-cubalah kau pergi ke bandar tu, cari kerja.. Ni umur dah berapa, masih nak mak tanggung makan minum.” 

“Mak.. Saf kan baru keluar penjara.. nanti la.. Tu pun, entah nak cari kerja kat mana.. Orang bukan nak ambil bekas banduan jadi pekerja.. SPM pun Saf takde..” 

“Ha.. tahu pun.. Dah tu, dulu mak suruh kau sekolah kau tak mahu.. Kau ponteng.. Berhenti sekolah.. Lepas tu duk berkawan dengan budak liar, bergaduh, hisap dadah siang malam sampai masuk penjara.. Sampai dua kali kau masuk penjara.. Kau tak malu ke dengan orang kampung? Mak malu tahu..” Kartini terus berleter kepada anak lelakinya itu. Safwan terus menggaru kepalanya yang tidak gatal seraya menghembuskan keluhan buat kesekian kalinya. Dia sendiri sedar akan kesilapan yang telah dia lakukan dahulu. Kali ini dia tidak menyalahkan kata-kata ibunya itu kerana ada benarnya ucapan Kartini. Kemudian Safwan mengalihkan pandangannya ke arah sebuah kereta yang masuk ke halaman rumahnya dan parkir di situ. Kereta usang yang kuat bunyinya itu dikenali oleh Safwan akan pemiliknya.

“Tu kereta Pakchu.. Kenapa dia ke mari?” 

“Dia nak ambil adik kau tu la.. Nak hantar pergi stesen bas. Kan si Alyaa tu dah kena pergi universiti dia.. Habis dah cuti sem dia.” Kartini menjawab pertanyaan Safwan.

Lelaki tua yang digelar Pakchu itu adalah pemandu kereta prebet yang mengambil upah untuk mengangkut orang dengan kenderaan tuanya itu. Seketika kemudian, adik perempuan Safwan, Alyaa keluar dari pintu rumah sambil membawa sebuah beg galas dan sebuah beg besar yang boleh ditarik. Safwan segera ke tangga hadapan rumahnya untuk membantu adiknya itu mengangkat beg untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta buruk Pakchu.

“Adik pergi dulu la bang..” Alyaa menghulurkan tangan untuk menyalami Safwan.

“Ishh.. kotor tangan abang ni..” Safwan mengelap tapak tangan ke baju yang dipakai olehnya. Tangannya sedikit kotor akibat sisa tanah dari menanam kangkung sebentar tadi. Setelah mengelap tangannya, barulah Safwan menyambut tangan untuk bersalam dengan Alyaa. Adiknya itu tanpa segan mencium tangan Safwan yang kotor itu. 

“Jaga diri elok-elok kat tempat orang.. Belajar betul-betul.. Jangan jadi macam abang.” Safwan menasihati adiknya itu dengan tatapan yang penuh kasih sayang.

“Ye lah.. Abang pun, jaga mak baik-baik kat rumah.. Jangan duk buat macam-macam sampai masuk ke dalam lagi.. Kesian mak. Susah hati dia duk fikirkan abang.” Alyaa kembali memberi nasihat kepada abangnya itu. Safwan tersenyum mendengarkan kata-kata adik kesayangannya itu. Dia bertekad untuk menunaikan permintaan adiknya sebentar tadi. 

“Abang janji, takkan ambil benda-benda terlarang lagi.. Abang tak nak masuk penjara sekali lagi.” Safwan menyatakan ayat janjinya kepada Alyaa.

Adik perempuannya itu tersenyum dengan wajah yang berseri. Bagi Alyaa, Safwan adalah seorang abang yang baik walaupun orang kampung sering menghina abangnya itu. Bahkan Alyaa sendiri masih tidak percaya keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap Safwan. Dia tidak percaya abangnya yang bersikap baik itu akan memukul orang dengan kejam dan mengambil bahan terlarang.

“Mak, adik pergi dulu..” Alyaa turut bersalam dan mencium tangan Kartini sebelum mencium kedua belah pipi ibunya itu. Kemudian Safwan dan Kartini hanya melihat Alyaa memasuki kereta Pakchu dan meninggalkan pekarangan rumah mereka sebelum hilang dari pandangan mata.

“Nasib baik la ada jugak sorang anak aku yang pandai, belajar tinggi.. Nak harapkan si abang.. Huhhh..” Kartini menyindir anak lelakinya. Safwan langsung tidak mengendahkan kata-kata ibunya itu seraya berjalan menuju ke arah batas yang dibuatnya untuk menanam kangkung sebentar tadi.

“Ah.. Ayah Engku tak balik ke?” Safwan bertanya Kartini tentang ayah tirinya.

“Entahlah orang tua tu.. balik tak balik sama je.. Baik dia tak balik terus, lagi mak suka.. Duk sibuk dengan pertubuhan dia tu la.. Melayan anak buah.. Tak pun, balik rumah bini tua dia tu..” Kartini mula berleter perihal suaminya. Safwan hanya diam mendengar bebelan ibunya. Padahal dia pernah tidak bersetuju untuk ibunya berkahwin dengan lelaki yang dia gelar sebagai Ayah Engku itu.  Tetapi sebagai anak, Safwan tidak mampu menghalang keinginan ibunya. Mahu atau tidak, dia terpaksa bersetuju dengan pilihan ibunya itu. 

PETANG itu, Safwan yang kebosanan hanya menatap skrin telefon bimbitnya sambil berbaring di atas sofa rumahnya. Jarinya sesekali menyentuh papan layar telefon tersebut semasa membuka aplikasi media sosial. Sesekali dia turut membaca komen dari orang ramai yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Mutakhir ini, ramai sekali yang tidak berpuas hati dengan pihak kerajaan lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu kenaikan harga barang di pasaran. Safwan muak untuk mengambil tahu perihal politik negara. Dia bosan melayan karenah ahli politik dan berpendapat semua ahli politik adalah sama. Semuanya hanya ingin menjaga kedudukan masing-masing sahaja tanpa memikirkan nasib rakyat. Safwan melihat pula keratan video pendek dari kuliah seorang ustaz selebriti. 

“Janganlah kita menjadi orang yang suka berangan-angan. Duk rasa dalam hati kita ni, macam yakin je untuk dimasukkan ke dalam syurga. Tapi diri kita langsung tidak solat, tidak beribadat..tiada usaha yang melayakkan diri untuk masuk ke dalam syurga. Itulah orang yang suka berangan-angan dan orang-orang yang rugi. Betul.. Kita masuk syurga kerana rahmat Allah, bukan sebab kita solat.. Bukan sebab kita puasa.. Tapi solat tu perintah Allah.. Agak-agak kita, Allah nak bagi ke rahmat kalau yang Dia suruh pun kita tak buat, yang Dia larang, kita duk buat.. Ibarat seorang raja atau orang kaya yang ada banyak syarikat. Dia nak lantik C.E.O kat syarikat dia dari kalangan pekerja yang ada. Dia ada kuasa penuh untuk lantik sesiapa pun untuk jadi C.E.O. Tapi agak-agak kita, dia nak lantik pekerja yang rajin bekerja, selalu datang kerja awal, jujur dalam bekerja untuk jadi C.E.O atau dia akan pilih orang yang selalu datang kerja lewat, pecah amanah, pemalas? Dia boleh je lantik sesiapa saja yang dia suka.. Tapi logiknya, takkan la nak ambil yang pemalas, pecah amanah untuk jadi C.E.O kan? Macam tu juga nak masuk syurga. Takkan Allah nak ambil yang malas solat, suka judi, berzina untuk masuk syurga.. Jangan kita duk rasa, aku jahat sikit je.. Orang lain lagi jahat.. Tak pakai tudung pun takpe.. Orang lain duk pakai seksi.. Jangan rasa diri kita baik dan bandingkan dengan orang lain. Suka berangan masuk syurga tanpa buat perintah Allah, tinggalkan larangannya tu adalah orang gila.. Sakit mental, sakit jiwa..” Cuplikan video pendek kuliah ustaz tersebut menjentik hati Safwan. Dia kemudian membuka ruangan komen untuk melihat reaksi masyarakat. Tanpa disangka, begitu ramai orang yang mengutuk dan menghina ustaz tersebut. Safwan segera keluar dari aplikasi media sosial berkenaan.

Dia melihat jam di dinding rumahnya. Safwan kemudian bangkit berdiri dan mula berniat untuk keluar dari rumah bagi menemui kawan-kawannya. Dia tahu mereka pasti sedang melepak di wakaf seperti biasa. Baru sahaja menapakkan kakinya beberapa langkah, Kartini mula memanggil anak lelakinya itu.

“Saf.. tu kau nak kemana pulak?”

“Saf nak keluar sekejap..”

“Tak payah la.. Kau keluar pun duk melepak, buang masa je.. Baik kau tolong mak, picitkan kepala mak ni.. Mak sakit kepala.” Kartini cuba melarang Safwan dari keluar sambil melabuhkan punggungnya di lantai rumah. Dia yang duduk menghadap ke arah televisyen sekali lagi memanggil Safwan untuk mengurut badan dan memicit kepalanya yang sedang berdenyut. Safwan segera membatalkan niatnya untuk keluar memandangkan ibunya memerlukan pertolongan. Walaupun sering di gelar sebagai anak tidak berguna dan memalukan keluarga, namun Safwan sentiasa patuh kepada ibunya apatahlagi ketika ibunya meminta bantuan.

Kartini kemudian membuka bajunya dan hanya berkemban dengan memakai kain sarung untuk memudahkan Safwan mengurut bahu dan belakang badannya. Apabila Safwan duduk di belakang Kartini, ibunya itu memberikan sebiji botol kaca kepada anak lelakinya itu.

“Pakai minyak ni buat urut.. Mak suka pakai minyak ni.. Cepat rasa lega bila sapu kat badan.”

“Minyak apa ni?”

“Minyak burung gut-gut..Mak beli dari Maksu Timah. Dia je ejen minyak ni kat sini.. Minyak ni Ustaz Rasdi yang keluarkan.. Ala, ustaz yang selalu masuk TV tu.. Elok minyak ni.. Siap dah di ruqyah.. Ni kalau budak-budak kena sampuk pun elok.. Sapu je kat badan, terus diam, tak menangis..” 

“Entah la mak.. Zaman sekarang ni macam-macam.. Ustaz pun dah berniaga produk.. Siap claim macam-macam, boleh buat itu, boleh buat ini.. Cuma yang dah mati je belum ada yang boleh buat hidup balik.”

“Ish.. tak baik cakap macam tu. Ustaz Rasdi tu bukan macam orang lain.. Siap masuk TV. Ada hari tu, dia pulihkan perempuan histeria dari telefon je kat TV. Masa tu dia tengah duk bersiaran kat TV, ada perempuan call.. Tiba-tiba pemanggil tu histeria, menjerit.. Dia baca ayat dari telefon tu je, terus elok perempuan tu.. katanya saka perempuan tu..”

“Ala, benda macam tu, entah-entah orang dia jugak yang duk call tu.. pastu buat-buat kena rasuk.. Jangan duk mudah percaya sangat la..” Safwan masih cuba menyangkal kata-kata ibunya. Matanya kemudian melihat beberapa kesan lebam di belakang badan ibunya itu. 

“Ini lebam kenapa? Mak kena apa?” Safwan segera bertanya dan mula risau akan keadaan ibunya.

“Takde apa la.. Mak jatuh kat tangga baru ni..” Suara Kartini tiba-tiba mendatar.

Safwan langsung diam sambil memerhatikan kesan lebam yang dijangka sudah beberapa hari di miliki ibunya itu. Kesan itu sudah hampir hilang namun tetap meresahkan Safwan. Tanpa berlengah, Safwan menyapu minyak yang diberikan oleh Kartini dan mula mengurut bahu ibunya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience