CAHAYA mentari pagi menerangi seantero alam namun segan silu menjamah permukaan tanah. Titisan embun jernih pula masih membasahi permukaan daun dan rumput yang terlihat segar ditemani angin nirmala. Kicauan suara merdu sang unggas menambahkan lagi suasana yang tenang dan mendamaikan. Terlihat seorang lelaki sedang berdiri memandang pelbagai jenis sayur-sayuran di kebunnya. Safwan tersenyum apabila melihat sayur-sayuran yang ditanamnya subur dan mengeluarkan hasil yang memuaskan.
Safwan kemudian mengambil baldi yang penuh terisi dengan air dan mencedok air di dalam baldi tersebut menggunakan sebuah bekas plastik yang di tebuk beberapa lubang kecil. Air yang keluar dari lubang bekas itu digunakan oleh Safwan untuk menyirami sayur-sayuran tanamannya di kebunnya itu. Sudah hampir lima bulan Safwan mengusahakan kebunnya itu secara tradisional. Walaupun serba kekurangan, namun Safwan tetap gigih dan tekun dalam melakukan pekerjaannya. Dalam masa hampir lima bulan ini, kebunnya sudah semakin luas dan penuhi dengan pelbagai jenis sayuran. Hasil jualan sayur-sayurannya sebelum ini digunakan untuk menambah lagi jenis tanaman. Padahal dia hanya bermula dengan menanam kangkung sahaja, namun kini kebunnya di penuhi dengan pelbagai jenis sayuran.
Setelah air di baldi sudah kehabisan, Safwan mengulangi mengisi air bagi memastikan semua sayuran tanamannya disiram pada pagi itu sebelum matahari mula memancar terik. Dia terpaksa mengulangi mengisi air di baldi dan diangkut ke sana sini beberapa kali namun Safwan tetap terlihat girang dan senang hati dalam melakukan pekerjaannya itu. Selesai sahaja Safwan menyiram semua tanamannya, kelihatan beberapa orang remaja lelaki yang memakai jubah putih mendatangi kebunnya itu.
“Ha.. baru datang korang.” Safwan mula menyapa para remaja tersebut sambil tersenyum. Para remaja yang baru tiba itu masing-masing tersengih menampakkan barisan gigi mereka.
“Ustaz baru habis mengajar la bang. Abang tu yang ponteng belajar kitab. Habis kuliah subuh terus lari ke kebun.” Salah seorang remaja lelaki itu menjawab sambil tertawa.
“Hahaha.. Hari ni kena kejar masa sikit. Bukan selalu pun abang skip kelas. Yang korang, dengan jubah lagi ni. Nanti kotor pula jubah tu.”
“Ala.. setakat kutip sayur je pun. Petik cili, kacang panjang, bendi, timun tu takdenya sampai kotor baju ni. Habis je belajar kitab, kami terus datang sini. Tak sempat nak tukar baju. Lambat nanti, abang marah pula.”
“Takdenya abang nak marah. Abang potong gaji korang je nanti. Cepatlah kutip. Nanti abang nak pergi jual pulak.” Safwan tertawa mendengar alasan remaja tersebut.
Para remaja yang berjubah itu masing-masing segera mengambil bekas dan mula mengutip sayur-sayuran di kebun tersebut. Hasil yang di petik, diisi di dalam bekas yang dipegang oleh mereka. Safwan kemudian menghempaskan punggungnya di lantai sebuah wakaf yang didirikan pada suatu sudut di kebun tersebut. Sambil tersenyum sendiri, matanya memerhatikan para remaja yang sedang memetik hasil sayuran di kebunnya itu. Safwan sengaja mengupah para remaja tersebut untuk membantunya mengutip hasil di kebunnya.
Mereka adalah pelajar pondok yang sedang menuntut ilmu agama. Safwan hanya berniat untuk memberikan para pelajar tersebut wang saku selama menuntut ilmu di pondok yang berhampiran kebunnya itu. Safwan sendiri juga merupakan penuntut ilmu agama yang tinggal di pondok tersebut. Kebanyakan dari pelajar di situ merupakan anak dari keluarga miskin. Maka kerana itulah Safwan ingin membantu mereka dengan memberikan wang saku buat perbelajaan mereka. Safwan meminta mereka untuk menolongnya memetik hasil kebun dan sebahagian hasil jualannya nanti akan diberikan sebagai upah kepada para remaja tersebut.
Tidak lama Safwan dihanyutkan oleh lamunan, seorang lelaki lain pula mendatangi Safwan yang sedang berada di wakaf. Safwan yang masih setia memerhatikan para remaja yang sedang memetik sayuran langsung tidak menyedari kehadiran lelaki tersebut.
“Jauh mengelamun.. Apa yang kau fikir Saf?” Lelaki yang baru hadir itu menegur. Safwan sedikit terkejut dengan suara lelaki yang tiba-tiba muncul dan menyapanya itu.
“Oh, abang Farhan.. Takde apalah.. Saya cuma tengok keadaan kebun ni je. Saya sendiri tak sangka, hasil tanaman ni akan penuh kat tanah ni.”
“Hmm.. kau yang rajin usahakan.. Hasil takkan mengkhianati usaha. Sudah menjadi adat, sunnatullah. Apa yang kita usahakan, dengan izin Allah, insyaallah kita akan mendapatkan hasil dari setiap perbuatan dan tindakan kita.” Farhan menepuk lembut bahu Safwan dan lelaki itu turut melabuhkan punggungnya di wakaf tersebut, bersebelahan dengan Safwan.
“Terima kasih jugak kat abang, sebab dah izinkan saya gunakan tanah abang ni.”
“Takde apalah.. Lagipun tanah ni pun selama ni terbiar je. Dari penuh dengan semak, elok jugak kau usahakan dengan tanaman. Dapat jugak hasil. Abang pun betul-betul kagum dengan kau.. Dari mula tanam kangkung je, sekarang kebun kau ni dah penuh dengan macam-macam sayuran.”
“Kalau ada modal, saya fikir, nanti saya nak buat tanaman secara hidroponik dan fertigasi la pulak bang.. Senang sikit nak urus.” Safwan menyampaikan hasratnya sambil matanya memandang ke arah kebun yang menghijau di hadapannya itu.
“Hidroponik yang tanam dalam air.. Fertigasi tu pulak macam mana? Yang tanam gantung tu ke?” Farhan meluahkan persoalan yang bermain di fikirannya.
“Ah.. tanaman yang tergantung tu la. Tapi tak semestinya kena gantung. Boleh juga tanam kat bawah. Cuma tak boleh la tanam dalam tanah. Kena pakai polybag dan guna cocopeat atau sekam untuk kurangkan risiko penyakit dan serangan serangga perosak dari tanah. Kalau tanam cara fertigasi, senang la sikit. Takde la nak kena siram hari-hari pokok tu. Siram auto je air baja pakai enjin pam air. Tapi modal besar la.” Safwan memberikan penjelasan ringkas.
“Cuba la minta bantuan dari jabatan pertanian ke..” Farhan cuba menyampaikan pendapat.
“Saya dah pergi tanya kat pejabat pertanian hari tu.. Memang diorang boleh bantu. Kerajaan ada sediakan geran untuk buat tanaman fertigasi tu. Tapi syaratnya kena mulakan dulu pertanian fertigasi tu. Diorang cuma akan bagi bantuan untuk tambah modal, besarkan lagi projek je.. Macam saya yang tanam secara tradisional macam ni, tak boleh.”
“Hmm.. Mereka buat macam tu, mungkin untuk elakkan pembaziran kalau bagi kat orang yang tiada ilmu. Nak buat tanaman macam tu, mesti kena ada pengetahuan khusus. Ni kalau dah beri bantuan, tapi petani tak tahu cara pengurusan pertanian cara fertigasi tu, sia-sia juga. Hasil tak dapat, modal pun hangus. Sebab tu mereka nak orang yang dah biasa uruskan teknik pertanian macam tu. Dah mahir, baru layak diberi modal bantuan untuk besarkan lagi kebun mereka.”
“Betul juga bang.. Saya sendiri pun dengar-dengar je orang cakap pasal pertanian fertigasi tu. Tapi saya sendiri tak pernah buat lagi. Entah menjadi ke tak kalau saya buat.” Safwan langsung ketawa sambil menggaru-garu kepalanya.
“Takpelah.. Kau usaha je dulu. Insyaallah, suatu hari kau pasti akan berjaya.” Farhan meletakkan telapak tangannya di bahu Safwan sambil menyemangati lelaki muda itu. Berdasarkan kegigihan Safwan yang di lihatnya selama ini, Farhan yakin Safwan pasti mampu mencapai impiannya itu.
Seketika kemudian, dua orang wanita bertudung labuh mendatangi mereka. Salah seorang daripada mereka berpakaian hitam dan memakai purdah, menutupi wajahnya.
“Abang kat sini rupanya.” Nadia menyapa Farhan. Gadis bertudung labuh dan berlesung pipit itu adalah adik perempuan Farhan. Manakala perempuan yang berpurdah itu pula teman sebayanya, Aisyah.
“Ha, Nadia.. Kenapa sampai ke sini pulak?” Farhan melontarkan soalan kepada adik perempuannya itu.
“Saja temankan Aisyah ke sini.. Dah agak abang mesti duk kat sini. Mak duk tunggu untuk sarapan tu.”
“Oh, kalau begitu jom la balik.. Safwan, jom la ke rumah abang. Kita sarapan bersama.” Farhan cuba bermanis mulut dengan mempelawa Safwan yang duduk di sebelahnya untuk sarapan bersama.
“Takpe la bang. Saya nak siapkan packing sayur-sayur ni dulu.” Safwan memberikan alasan.
“Kalau macam tu, abang balik dulu la.. Jom la Nadia.”
“Abang pergilah sarapan dulu. Nadia nak temankan Aisyah dulu kat sini. Tolong Safwan siapkan packing sayur tu semua.”
“Hmm..baiklah kalau macam tu. Ramai yang tolong buat, cepat sikit siap.” Farhan seraya bangkit dari duduknya.
Perbuatan Farhan itu diikuti oleh Safwan yang berada di sebelahnya. Farhan tanpa berlengah terus berlalu meninggalkan kawasan kebun tersebut. Safwan juga berundur beberapa langkah ke belakang dari wakaf tempatnya duduk tadi bagi memberi ruang kepada dua gadis yang baru datang itu untuk duduk di sana.
“Duduklah kat situ.” Safwan mengisyaratkan kepada Nadia dan Aisyah supaya duduk di wakaf tempatnya duduk tadi bersama Farhan. Kedua gadis itu segera duduk di tempat yang dimaksudkan oleh Safwan dengan masing-masing menundukkan pandangan mereka. Safwan kemudian membuka satu kotak dan mengeluarkan plastik bungkusan yang pelbagai saiz dan sebuah alat penimbang. Barang yang dikeluarkannya dari kotak itu kemudian diletakkan di lantai wakaf, tempat Nadia dan Aisyah sedang duduk. Ketika itu juga dua orang remaja lelaki yang memetik sayur-sayuran tadi menghampiri mereka dan meletakkan hasil sayuran yang dipetik oleh mereka di wakaf tersebut sebelum mereka kembali ke arah tanaman untuk terus menuai hasil sayuran yang lain.
Nadia dan Aisyah tanpa berlengah terus mencapai plastik yang diberikan oleh Safwan sebentar tadi, lalu langsung mengisi sayuran ke dalam plastik tersebut. Safwan pula tanpa membuang masa lantas mencapai satu bakul dan segera menuju ke arah pohon cili untuk memetik buah cili yang sudah kemerahan memenuhi pohonnya.
Sambil mengisi sayuran di dalam plastik, mata Aisyah sesekali menjeling, memerhatikan Safwan yang berdiri tidak jauh dari wakaf. Wanita berpurdah itu langsung tidak menyedari perbuatannya itu di sedari oleh sahabatnya, Nadia. Nadia hanya tersenyum sambil memerhatikan tindak tanduk Aisyah itu. Dia menyedari, sahabatnya itu sudah tertarik kepada lelaki di hadapan mereka itu. Namun sebagai gadis yang berpengetahuan agama, malah anak kepada guru pondok, Nadia tahu sahabatnya itu mempunyai rasa malu dan menitik beratkan soal maruah sebagai wanita dalam menjaga perhubungan dengan lelaki.
“Amboi.. Aku baru tahu anak Ustaz Razali ni suka curi pandang kat lelaki.” Nadia menegur dengan suara yang perlahan, cuba mengusik temannya itu. Aisyah yang menyedari perbuatannya diketahui oleh Nadia tiba-tiba tersentak dan menggelabah lalu segera mengalihkan pandangannya ke arah sayur-sayuran di tangannya.
“Kau suka kat Safwan ke?” Nadia masih cuba mengusik sambil berusaha mengorek rahsia hati sahabatnya itu.
“Astaghfirullah.. Apa kau ni.. Tak baik cakap macam tu.” Aisyah cuba berdalih. Walaupun wajahnya yang sudah mula merona kemerahan tidak terlihat di sebalik purdah yang dipakai, namun Nadia tahu isi hati sahabatnya itu melalui gerakan mata Aisyah yang jelas tidak keruan.
“Icah.. dengan aku pun kau berahsia ke?”
“Ish.. kau ni mengarutlah..” Aisyah masih cuba merahsiakan soal hatinya daripada Nadia walaupun rahsia itu sudah diterbongkar.
“Icah.. Perasaan tu kita tak boleh kawal.. Perasaan yang hadir dalam hati tu pemberian dari Allah. Cuma kita mampu mengawal tindakan kita. Memiliki perasaan tertarik dan sayang pada ajnabi itu bukan kesalahan. Tapi kita perlu jaga ikhtilat kita agar jangan melampaui batas. Sejak kita kenal dia kat pekan dulu pun, kita tahu dia lelaki yang baik. Dia yang dah tolong aku masa tu.. Lepas tu tiba-tiba dia muncul kat pondok ayah kau dan tinggal kat sini. Mungkin Allah dah takdirkan dia jodoh kau.”
“Ish kau ni.. Melalut sampai ke jodoh pulak. Jodoh tu kan rahsia Allah.. Mana la kita tahu siapa jodoh kita, sampailah saat kita di ijab qabul. Entah-entah dia jodoh kau. Kan dia tolong kau dulu.” Aisyah cuba menyanggah walaupun dia sedar kata-kata Nadia itu mungkin ada benarnya.
“Eh, aku kan dah bertunang dengan abang kau. Tak lama dah kitorang nak kahwin.. Nanti aku jadi kakak ipar kau. Jangan lupa panggil aku kakak.” Nadia tertawa sambil berseloroh. Aisyah yang tidak tahan di usik oleh Nadia segera mencubit lembut paha sahabatnya itu.
"Apa cubit-cubit ni.. hormat sikit aku sebagai kakak ipar kau." Nadia masih meneruskan tawanya.
"Belum kahwin dengan abang aku, maknanya belum jadi kakak ipar la.." balas Aisyah dengan sinis sambil mata hitamnya dinaikkan ke atas. Memek mukanya dengan bibir yang terjuih pula tidak terlihat kerana terlindung dengan kain yang menutupi wajahnya.
"Oh, okey.. takpe.. kau tunggu.. nanti aku dah jadi kakak ipar kau, siap kau.." ancam Nadia sambil berseloroh. Tatkala bibirnya meleretkan senyuman, lesung pipit di pipinya semakin jelas kelihatan.
"Huh, kau nak buat apa?" Aisyah mendengus kecil sambil meneruskan tugasnya mengisi sayur ke dalam plastik.
"Aku bagitau Safwan, kau suka kat dia." Nadia berbisik perlahan.
"Eh, kau jangan buat gila! Jangan fitnah!.." Aisyah yang terkejut langsung terjerit kecil dan memukul-mukul lengan Nadia. Dia kemudian segera memandang ke arah Safwan. Risau jika lelaki tersebut mendengar perbualan mereka. Nadia pula menghamburkan tawa. Gadis itu benar-benar geli hati apabila berjaya menyakat Aisyah dan melihat temannya itu menjadi kelam-kabut.
"Tau takut..." Sindir Nadia. Aisyah pula hanya mendiamkan diri seraya menjeling ke arah sahabatnya itu.
Share this novel