LANGIT petang terlihat cerah walaupun mentari terlindung oleh awan yang redup. Suasana sekitar kampung agak sibuk dengan manusia yang lalu lalang merentas jalan, mengambil angin petang dengan kenderaan masing-masing terutamanya motosikal.
Di satu sudut kampung, terlihat beberapa orang lelaki sedang melepak di sebuah wakaf di tepi jalan. Di kalangan mereka, terdapat juga remaja yang masih dibangku sekolah. Kepulan asap rokok tidak terputus mencemarkan udara di sekitar wakaf tersebut. Tidak lama kemudian, salah seorang daripada mereka melihat ke arah lelaki yang sedang berjalan kaki menuju ke arah mereka. Susuk lelaki itu amat dikenali oleh mereka yang berada di wakaf tersebut.
“Wehh.. Mat Paku dah keluar la.. Dah habis buat ijazah.” Lelaki itu separa menjerit mengkhabarkan kehadiran lelaki itu kepada kawan-kawannya yang sedang melepak. Semua mata yang berada di situ segera melihat ke arah pendatang yang baru tiba itu. Lelaki yang baru hadir itu adalah Safwan. Dia hanya tersengih kepada kawan-kawannya yang sedang melepak di wakaf.
“Bila kau keluar Saf?”
“Tengah hari tadi.. Aku balik, duk kat rumah sekejap, terus keluar ke sini..” Safwan menjawab pertanyaan temannya.
“Kepala pun botak lagi.. Skema betul kau sekarang.” Temannya melepaskan ketawa setelah memerli kepala Safwan yang botak.
“Gila tak skema.. Mampus kena tibai dengan cikgu.” Safwan menggunakan gelaran cikgu untuk merujuk kepada wardar penjara.
“Legend bos, mat paku ni.. Antara otai masih berdosa kat kampung ni.” Mereka mentertawakan gelaran yang mereka berikan kepada Safwan.
“Weh, ayam berkokok di atas batang, pinjam rokok sebatang.. Dah lama aku tak hisap rokok.” Safwan meminta rokok dari salah seorang temannya sambil berpantun dua rangkap.
“Kenapa panggil dia mat paku?” Salah seorang remaja yang masih di bangku sekolah berbisik kepada temannya sambil menatap Safwan yang sedang menyalakan mancis untuk membakar rokok di mulutnya. Remaja itu baru sahaja berkenalan dan mula melepak dengan kumpulan lelaki tersebut beberapa minggu yang lalu dan masih tidak mengenal Safwan.
“Apik, Mat Lan tanya kepada kau panggil mat paku kat Safwan..” jerit remaja yang ditanya oleh temannya sebentar tadi.
“Oh, kau tak tahu lagi ke kenapa dia ni di gelar paku? Legend je tahu pasal ni.. Dia digelar paku sebab pernah tibai orang dengan kayu dulu.. Kayu tu pulak penuh dengan paku.. Berkicap budak tu makan kayu yang lekat paku. Berlubang kena tibai.. Sebab tu jugak la Safwan ni masuk ke dalam, buat diploma.. Nasib baik masa tu dia baru umur lapan belas. Baru cukup umur.. Kena berapa tahun je ke dalam. Kalau ikutkan, kes berat jugak.. Serangan bersenjata.” Apik mula bercerita asal usul nama gelaran yang dia berikan kepada Safwan.
“Lepas dua tahun keluar penjara, dia kantoi pula kat road block polis. Lekat urine.. Positif methamphetamine.. Sambung buat ijazah pula enam bulan. Ni baru keluar.. Eh, masa kena road block tu, kita baru lepas lari dari bong laga ayam kan? Tengah syok tengok jalak Husin kena tibai, polis datang serbu kat bong. Sempat lari dari kena serbu, tapi kena sekat kat tengah jalan pulak.. Nasib baik aku kat belakang masa tu, sempat lari. Safwan dengan Jali bawa motor kat depan, sangkut kat road block. Tak pasal ke dalam..” Apik ketawa keras sambil menepuk lantai wakaf.
“Jali la bodo.. Padahal aku dah cakap kat depan tu road block.. Aku dah suruh dia u-turn.. Tapi dia langgar juga. Tak pasal dengan aku kena test urine, sangkut..” Safwan menghembuskan asap rokok dari mulutnya sambil tersenyum mengenangkan peristiwa ketika dia ditangkap dan dipenjarakan.
“Jali macam mana? Dah keluar ke?” Safwan bertanya kepada Apik.
“Jali kena hantar ke Melaka.. Kes dia berat sikit sebab ada barang dalam poket. Kau nasib baik takde barang.. Positif urine je..” Apik menjawab dengan pantas. Safwan kemudian tiba-tiba merasa pening dan tidak mampu untuk terus berdiri. Dia segera menjatuhkan punggungnya ke lantai wakaf, bersebelahan dengan Apik.
“Dah lama tak hisap rokok, pening la baru kena balik..” Safwan memejamkan mata sambil menggelengkan kepala.
“Kau dah lama berhenti rokok tu, baik berhenti terus la.. Duk hisap balik buat apa.. Kat dalam takde rokok ke?” Apik menasihati Safwan seraya melontarkan pertanyaan.
“Ada je yang seludup.. Tapi mahal nak mampus.. Rela tak hisap rokok la aku.. Mana nak cekau duit kat dalam tu. Mak aku pun bukan peduli.. Sekali je dia datang melawat aku dulu. Tu pun bukan nak bagi duit.” Safwan merungut.
“Mak kau pun bukannya senang nak pergi selalu.. Lagipun buat apa selalu nak melawat anak setan macam kau.”
“Setan-setan aku pun, dah habis sepuluh juz quran masa duk kat dalam.. Yassin dah hafal.” Safwan pula melepaskan tawa.
Walaupun mendapat jolokan sebagai lelaki bermasalah dan jahat, Safwan sebenarnya sedikit bersyukur kerana di penjarakan. Walaupun kehidupannya terkongkong di dunia jeriji besi, setidaknya, ketika di dalam penjaralah dia mula belajar mengaji al-quran dan dididik untuk melakukan ibadat oleh ustaz yang bertugas di sana.
Setelah beberapa ketika melepak dan menghabiskan masa bersama kawan-kawannya, Safwan meminta diri untuk pulang memandangkan waktu senja kian tiba tidak lama lagi. Sesampainya dia di rumah, ibunya, Kartini mula membuka mulut.
“Baru keluar penjara, bukan nak duk diam-diam kat rumah.. Merayap lagi tak tentu hala.. Tu takde kerja lain, melepak je la tu.. bukannya dah keluar tu, duduk kat rumah, bantu orang tua, kemas-kemas rumah ke, basuh kain baju ke, tolong sapu depan tangga tu ke..siang malam melepak, melepak, melepak.. Tak habis-habis dengan kawan.. Masa kau duduk dalam penjara tu, takde sorang pun kawan kau tu datang jenguk.. Setakat tu je la kawan. Masa senang ye la.. Bila kau susah, takdenya orang nak peduli.. Orang kutuk lagi, ada la..”
“Ish, mak ni.. Bising betul la. Orang nak keluar sekejap pun tak boleh. Dah lama tak tengok kampung. Jenguk la dulu keadaan kampung, tanya khabar orang kampung.” Safwan membalas kata-kata ibunya.
“Tak payah nak baik sangat duk tanya khabar orang kampung. Orang kampung takde sorang pun peduli kat kau.. Ni, kalau orang kampung dah tahu kau keluar dari penjara, lagi orang mengata ada la.. Duduk je la dulu kat rumah ni..” Kartini meneruskan bebelannya.
“Dah la mak.. Saf nak mandi dulu..”
“Haa.. tu la perangainya.. Kita cakap elok-elok tak nak dengar.. Lepas tu jadi apa-apa, tak lepas dengan aku juga.. Menyusahkan orang tua.” Kartini geram dengan sikap Safwan yang tidak mengendahkan kata-katanya. Anak lelakinya itu langsung berjalan menuju ke biliknya dengan langkah yang laju. Safwan sebenarnya bergegas untuk mandi dan bersiap sedia untuk ke surau bagi menunaikan solat maghrib yang bakal tiba tak lama lagi. Kerana mengejar masa, dia terpaksa mengabaikan ibunya yang sedang membebel.
SETELAH selesai menunaikan solat maghrib dan Isyak secara berjemaah di surau, Safwan bersalaman dengan para jemaah dan imam. Kemudian dia dikejutkan dengan panggilan dari seorang lelaki.
“Oii Safwan.. Sejak bila kau keluar?”
“Oh, Paksu Nasir.. Baru tengah hari tadi Paksu..” Safwan tersenyum apabila di sapa oleh lelaki tua yang di gelarnya sebagai Paksu.
“Ni kau datang ke surau ni kenapa? Ke nak rembat tabung surau?” Paksu Nasir berburuk sangka.
“Astaghfirullah.. Saya datang untuk sembahyang la Paksu.. Ada pulak nak rembat tabung.. Jahat-jahat saya pun, tak pernah saya mencuri. Tadi tak nampak ke saya duk sembangyang kat sini?”
“Mana la aku tahu.. Banduan macam kau ni bukan boleh percaya..” Mulut Paksu Nasir lancar sekali membuat penghinaan terhadap anak muda yang baru keluar dari penjara itu.
“Saya banduan pun sebab kes pukul orang.. Bukan kes curi. Dari saya curi duit kat surau ni, baik saya hentak kepala Paksu.. Nak ke?” Safwan mula hilang sabar dalam melayan orang tua tersebut. Paksu Nasir mula terdiam, tidak berani meneruskan kata-katanya. Ustaz Adnan segera menghampiri mereka untuk meleraikan perang mulut tersebut.
“Dah..dah.. Tak baik cakap macam tu kat orang tua..” Ustaz Adnan yang berperanan sebagai imam di surau kampung itu menggosok dada Safwan supaya anak muda itu bersabar dan tidak berkasar terhadap orang yang lebih tua seperti Paksu Nasir.
“Takde la ustaz.. Saya tak kisah kalau nak panggil saya budak jahat ke, banduan ke.. Tapi jangan duk main tuduh macam tu.. saya datang sebab nak sembahyang.. Nak berjemaah.. Bertaubat..bukannya nak mencuri.” Safwan cuba membela diri.
“Ya.. saya tahu.. Bagus dah niat awak tu.. tapi janganlah berkasar dengan orang tua.” Ustaz Adnan masih lembut memberi nasihat. Safwan mula terpujuk dengan nasihat yang diberikan dan menarik nafas untuk menenangkan dirinya. Paksu Nasir yang sedikit takut apabila digertak oleh Safwan sebentar tadi dengan segera membuka langkah dan keluar dari surau tersebut.
“Saya tahu saya jahat ustaz.. Tapi bukan ke pintu taubat Allah sentiasa terbuka? Saya sangat hormat kat orang, lebih-lebih lagi orang tua. Takde niat pun saya nak kurang ajar. Tapi kalau orang yang kurang ajar dulu, saya pun takkan duk diam.. Ni dah la dah tua..tapi masih tak reti nak hormat orang. Kan nabi pun ada pesan, orang tua biar sayang pada orang muda dan orang muda biar hormat pada orang tua..” Safwan menyampaikan kembali ilmu agama yang dia dapatkan semasa di dalam penjara.
“Betul tu.. baguslah kalau awak dah faham benda macam tu.. takpe.. Biarkan je Paksu Nasir tu.. Awak buatlah yang terbaik. Tunjuk kat semua orang yang awak dah berubah. Buktikan perubahan diri awak.” Ustaz Adnan terus meniupkan api semangat kepada anak muda tersebut.
Share this novel