“SAYANGG!!.” ruang dapur yang bertemakan moden minimalist itu dipenuhi dengan teriakan daripada Danish dan gelak ketawa daripada Allesya.
Terbatuk-batuk Danish dibuatnya apabila serbuk tepung yang sudah memenuhi wajah tampannya itu termasuk ke dalam mulutnya.
Makin kuat Allesya menertawakan suaminya.
“Stop laughing, Allesya!,” tegas Danish menegur isterinya. Matanya kini terpejam rapat kerana khuatir jika serbuk tepung itu masuk ke dalam matanya mahu pedih nanti.
Danish yang tidak tahan mendengar gelak ketawa isterinya itu terus melangkah menghampiri ruang singki yang tidak jauh.
Dalam dia berjalan, Danish terus mengerang sakit apabila pinggangnya terlanggar bucu meja. Terus terundur beberapa kakinya ke belakang dan tangan sebelahnya mengurut pinggangnya.
Sakit.
Allesya yang melihat itu makin menguatkan gelaknya.
“Awak ni kelakar lah!,”
“Allesya, stop laughing!,” sekali lagi Danish menegur isterinya. Hatinya sakit tiap kali mendengar Allesya menertawakannya. Entah kenapa fikirannya tiba-tiba mengimbas kejadian dia dibuli teruk oleh Allesya dan Adam.
Cukup sakit jiwanya apabila mengenangkan.
Sungguh, dia benci Allesya ketika itu. Amat benci sekali.
Tangannya yang dia genggam kuat lalu terus dia berlalu menuju ke singki.
Pili air dia buka.
Cepat sahaja dia mencuci wajahnya. Turun naik nafas Danish apabila dapat bernafas dengan baik. Kedua-dua matanya juga lega dapat terbuka.
Allesya yang masih dengan gelak ketawanya itu terus mendapatkan tuala bersih dan dia berjalan menghampiri suaminya. Pili air itu dia tutup lalu dia menarik perlahan bahu Danish agar menghadapnya.
Tuala bersih itu dia angkat dan mengelap wajah basah suaminya. Danish hanya membiarkan namun hatinya makin sakit apabila mendengar gelak ketawa Allesya.
“Itulah nak kenakan orang lagi, sekali dia yang kena,” ujar Allesya diselangi dengan ketawa kecilnya. Sungguh dia cukup terhibur dengan suaminya hari ini.
Baru sahaja jarinya ingin naik menyentuh kening suaminya, tiba-tiba sahaja Danish menepisnya kasar.
Terkejut Allesya dibuatnya.
Allesya membalas pandangan tajam sang suami.
“You know what, I really hate you now,” ujar Danish cukup tegas. Berkerut dahi Allesya dibuatnya. Dah kenapa tiba-tiba nak benci ni?
“Awak kenapa ni? Awak marahkan saya sebab saya gelakkan awak ke, Danish?,” cepat sahaja Allesya menyoal sambil tangannya ingin naik sekali lagi untuk menyentuh wajah suaminya namun cepat ditepis oleh Danish.
Tersentak Allesya.
Pandangan suaminya itu dia balas. Reaksi dan pandangan yang Danish tunjukkan itu penuh dengan kebencian dan dendam. Cukup membuatkan Allesya rasa bersalah.
“I’m not in the mood,” Danish bersuara lalu terus mengangkat kaki pergi.
Sempat bahu Allesya itu dia langgar. Allesya yang masih tidak mengerti itu hanya memandang langkah yang diaturkan oleh suaminya itu.
Lalu dia kalihkan pandangannya ke ruang meja yang sudah dipenuhi dengan barang-barang untuk membuat kek.
Lantai dapur juga sudah berselerak dengan serbuk tepung. Takkan nak bergurau sedikitpun tak boleh? Kenapa sampai nak benci aku?
Allesya terkilan.
Danish yang baru melangkah masuk ke dalam biliknya lalu pintu bilik dikunci. Dia tidak ingin Allesya menganggunya. Jiwanya bercelaru. Hatinya sakit.
Beberapa peristiwa ketika dia dibuli dahulu, satu persatu dia ingat.
Peristiwa pertama…
“Muka macam kau ni memang layak! Ambik kau!,” wajah Danish terus ditepek dengan sebuah kek coklat yang dibawa untuk diberikan kepada Allesya sempena hari jadi.
Terdorong Danish ke belakang.
Cermin matanya pun sudah melurut ke batang hidungnya.
Wajahnya juga sudah penuh dengan kek coklat itu.
“Ada hati nak bagi Allesya makan kek murah kau ni! Tolonglah, jijik!,” tempelak Adam penuh dengan perasaan cemburunya. Panas hatinya apabila sudah berulang kali dia melihat Danish ingin mendapat perhatian daripada Allesya. Pelbagai hadiah, buku dan bunga Danish berikan untuk Allesya.
Namun semua itu dibuang oleh Allesya.
Allesya yang melihat itu tersenyum puas sambil berpeluk tubuh.
“Kek murah apanya Adam? Tu secret recipe kot! Kalau ye pun tak nak bagi Danielle makan, bagi aku makan lain kali. Tu rezeki lah!,” Badrul yang juga menyaksikan kejadian itu terus bersuara sambil menahan geram.
Pantang dia kalau rezeki dibuang begitu sahaja! Adam terus mencerlung tajam ke arah kawan sekelasnya itu.
“Kau diam lah!,” bentak Adam tidak puas hati.
“Dah dah lah tu korang, balik je lah! Buang masa layan budak selekeh ni!,” sempat Allesya mengutuk Danish yang sedang berusaha membuang lebihan kek yang menempel di wajah. Sakit hati Danish apabila mendengar kata-kata Allesya itu.
Peristiwa kedua…
Kedengaran gelak ketawa Allesya, Adam dan Badrul memenuhi kawasan sunyi yang berada di belakang sekolah itu. Danish yang sudah kotor bajunya dengan air longkang itu cepat bangun keluar.
Dia menahan sakit badannya apabila ditolak masuk ke dalam longkang busuk itu.
Kakinya yang juga sakit itu cuba menghampiri Adam.
Dia ingin mengambil kembali surat cinta yang dia tulis untuk Allesya. Malu dia apabila Adam membaca kuat isi kandungan surat itu di hadapan semua orang.
“Bluekk!,” Allesya segera menutup lubang hidunya. Dia sungguh tidak dapat menahan bau longkang itu.
Adam yang juga tidak sanggup menahan bau busuk itu segera menendang perut Danish sehingga Danish jatuh terbaring di atas tanah.
Danish mengerang sakit.
“Alah alah kesiannya dia, meh sini abang urutkan,” sengaja Badrul mengejek sambil tapak kaki kasutnya mula naik dan memijak kedua-dua tumit kaki Danish. Danish makin mengerang sakit.
Allesya sudah tergelak kuat. Suka dia melihat kesengsaraan Danish. Apabila sudah puas, Badrul menjauhkan tapak kaki kasutnya.
Danish yang tidak berhenti menangis sambil menahan kesakitan itu memandang ke arah Allesya. Allesya masih menertawakannya.
Sampainya hati awak, Allesya.
“Ambik surat cinta kau ni! Macam budak-budak!,” Adam terus mengoyakkan surat itu lalu dia campak ke wajah Danish. Adam dan Badrul terus melangkah pergi.
Allesya yang cuba mengawal geli hatinya itu terus berjalan menghampiri Danish.
“Kau ni tak penat ke, Danish? Kau suka eh kena pukul, kena buli?,”
“Allesya..,”
“Omagadd, geli tahu aku dengar kau panggil nama aku macam tu! ‘Allesya’ tu hanya ibu dan ayah aku je boleh panggil!,” beritahu Allesya dengan mimik muka menyampah.
“Lepas ni kau jangan berangan nak dapatkan aku, kau ingat tu!,” sudah berulang-ulang kali Allesya mengingatkan Danish tentang perkara itu. Tapi Danish degil.
“Allesya, sakit!,” gadu Danish cuba mendapat simpati daripada Allesya.
Allesya tergelak kecil.
“Padan muka kau!,” puas hati Allesya mengatakan itu. Sebelum dia mengangkat kaki pergi meninggalkan Danish, sempat Allesya memijak cermin mata milik Danish sehingga terbelah dua.
“Opps, sorry. Tak sengaja,” Allesya menyambung gelaknya.
“Danielle, cepatlah!,” dari jauh Adam memanggil Allesya. Cepat Allesya sahut lalu berlari mendapatkan Adam dan Badrul yang sudah ke depan.
Danish yang melihat itu terus menangis menahan kesakitan.
“Mummy..,” bibirnya terketar-ketir memanggil.
Peristiwa ketiga…
Sebaik bunyi loceng rehat dibunyikan, semua pelajar di kelas itu mula melangkah keluar dari kelas dan segera menuju ke kantin sekolah.
Begitu juga dengan Danish. Hari ni, Danish membawa bekal sandwich, air tangan tokwannya.
Kerana sering menjadi mangsa buli, Danish selalu makan di ruang sudut tangga. Disitu sunyi dan jarang dilalui oleh para pelajar. Dalam bekalnya, dia kerap meninggalkan sepotong roti sandwich setiap hari untuk dia berikan kepada seorang juniornya.
Juniornya itu orang susah, tiada duit makan. Jadi, ada rezeki lebih Danish akan berkongsi apa yang dia ada walaupun hanya sepotong roti.
Danish menutup kembali bekalnya lalu dia mengatur langkah untuk menuju ke kelas juniornya itu yang berada di tingkat 3.
Sebaik tiba di sana, Danish mengerutkan dahi. Tiada seorang pun ada dalam kelas itu. Selalunya juniornya itu akan menunggunya. Danish melangkah masuk ke dalam kelas itu dan mula membaca nama pelajar yang tidak hadir.
Nama juniornya tertulis disitu. Jadi, juniornya itu tidak hadir pada hari ini. Danish mengerling jam tangannya. Ada lagi 10 minit sebelum waktu rehat habis. Danish mula membuka langkah untuk menuju ke kelasnya.
Sebaik sudah melangkah masuk ke dalam kelasnya, terhenti langkahnya apabila melihat Allesya seorang diri tidur di dalam kelas.
Danish pandang sekeliling kelasnya yang hanya ada dirinya sendiri dan Allesya.
Perlahan-lahan dia mengatur langkah menghampiri Allesya.
“Allesya..,” Danish teragak-agak untuk memanggil Allesya. Allesya masih sama tidak bergerak.
Danish diam sekejap lalu dia mula menarik kerusi yang berada di sebelah Allesya. Dia duduk dan matanya tidak lepas memandang kecantikan wajah Allesya.
“Subahanallah, cantiknya awak,” puji Danish lembut.
Jarinya mula ingin naik menyentuh wajah jelita Allesya namun terhenti di udara apabila Allesya mula meracau.
“Ibu… Ibu,” dengan kedua-dua matanya terpejam rapat, Allesya memanggil ibunya.
Danish yang mendengar itu mengerutkan dahinya.
“Ibu… Ibu jangan tinggalkan Allesya,”
“Ibu, jangan tinggalkan Allesya. Allesya sayangkan ibu,”
“Ibu jangan,” Allesya mula menangis.
Danish mula khuatir.
Cepat bahu Allesya itu dia usap perlahan cuba menenangkan Allesya. Lalu tangannya mula beralih ke belakang badan Allesya. Dia usap lembut.
Sebak mula menyelubungi dirinya apabila melihat air mata mula jatuh mengalir membasahi pipi Allesya. Mungkin Allesya merindukan arwah ibunya.
Danish juga tahu bahawa Allesya baru sahaja kehilangan ibu kerana barah otak. Ibunya itu tidak dapat diselamatkan kerana sudah kritikal tahap keempat. Tapak tangannya tidak berhenti mengusap badan belakang Allesya.
“I will not leave you alone, Allesya,” ujar Danish perlahan.
Allesya kini sudah tenang tidur. Danish tersenyum lega.
Lama mereka berkeadaan seperti itu sehinggalah loceng sekolah dibunyikan menandakan waktu rehat sudah habis.
Dan itu membuatkan Allesya tersedar.
Terkejut Allesya apabila melihat Danish sudah berada disebelahnya.
“Apa kau buat ni?,” Allesya cepat menolak tapak tangan Danish. Tegak terus tubuh Allesya. Danish yang disoal tegas itu mula terkelu lidah.
Cepat Danish bangun berdiri.
“Eh aku tanya kau kan? Apa kau dah buat?,” Allesya masih tidak berpuas hati.
Tertunduk pandangan Danish ke bawah. Tidak sanggup bertentangan mata dengan Allesya. Allesya yang masih menunggu jawapan itu terus bangun berdiri dan dia melangkah menghampiri Danish.
Rapat.
Dagu Danish itu Allesya sentuh dan tolak sedikit ke atas sehingga mereka bertentang mata. Danish terkaku. Tubuhnya mengigil.
Lidahnya terus kelu.
“Terima kasih sebab tenangkan aku, Danish,” ucap Allesya lembut.
Danish terkejut mendengar itu. Tidak pernah dia menyangka atas ucapan Allesya itu.
“Saya… Saya..,”
“Dah dah aku tak nak dengar. Sebelum Adam nampak, baik kau jauh dari aku,” Allesya mengingatkan Danish. Danish mula memandang sekeliling. Masih tiada seorang pun masuk ke dalam kelas.
Hanya mereka berdua berada di dalam kelas.
Allesya mula menjauh.
“Allesya..,”
Mendengar namanya dipanggil, Allesya menoleh ke arah Danish.
“Apa lagi kau nak? Kau nak ke kena belasah dengan Adam?,” soal Allesya hairan.
Danish tertunduk lalu terus dia menyerahkan bekal makanannya. Allesya yang sudah berkerut dahinya itu memandang bekal makanan itu. Jelas kelihatan di dalam isi bekal itu ada sepotong sandwich.
“Awak tak makan lagi, jadi saya bagi awak sandwich ni,” ujar Danish lembut.
Allesya yang baru ingin membuka mulut untuk menolak itu terhenti apabila Danish kembali bersuara “Awak makanlah walaupun sikit jadilah. Janji perut awak tu tak lapar sangat. Nanti awak sakit, saya sedih. Arwah ibu awak pun sedih dan tak suka kalau tengok awak tak makan,” beritahu Danish lalu mengangkat pandangan perlahan-lahan.
Allesya yang membalas pandangan Danish itu. Tiada reaksi. Cuma sebak di dada mula menyelubungi diri.
Ya, dia masih sedih dengan kematian arwah ibunya.
Bekal makanan itu mula bertukar tangan. Ke genggaman Allesya. Danish tersenyum lebar.
Baru sahaja Allesya ingin membuka bekal itu, terhenti apabila Danish bersuara lagi.
“Ni tokwan saya buatkan.” beritahu Danish benar-benar membuatkan Allesya sakit hati. Sakit hatinya apabila mendengar perkataan ‘tokwan’.
Allesya yang tidak jadi membuka bekal itu membuatkan Danish kehairanan.
“Kenapa, awak tak nak makan eh?,” soal Danish ingin tahu.
“Aku tak nak!,” Allesya lekas membaling bekal itu ke lantai kelas. Terkejut Danish.
“Allesya..,” Danish lekas membalas pandangan Allesya.
“Stop calling by that name, Danish! Kau tak faham bahasa ke apa?! Aku jijik kau panggil aku dengan panggilan tu! Tolonglah!,” tempelak Allesya menahan geram.
Danish terdiam.
“Dan lagi satu stop ada perasaan pada aku! Aku takkan suka pada kau!,”
“Salah ke saya suka pada awak, Allesya?,” soal Danish tidak puas hati.
“Salah!,” cepat Allesya memangkah penuh tegas dan menyampah. Danish terdiam sekali lagi.
Allesya melangkah mendekati Danish.
“Kau sedar diri kau sikit! Kau dengan aku tak akan pernah bersama! Kau dengan aku bagai enggang dengan pipit! Sedar diri!,” penuh hina Allesya mengutuk Danish sambil dahi Danish itu dia tonjol kuat.
“Allesya..,” Danish panggil lagi sekali dengan air mata sudah berjuraian. Sungguh hatinya sakit mendengar kata-kata yang terkeluar dari mulut Allesya. Sakit sangat.
Dia tak sanggup dengar lagi.
“Danielle, kenapa ni?,” tegur Adam yang bersama dengan gengnya melangkah masuk ke dalam kelas. Berjalan menghampiri Allesya. Allesya yang melihat Adam segera menangis yang dibuat-buat.
Sengaja ingin membarakan api cemburu Adam.
Dia ingin Danish dibelasah cukup-cukup dan keinginannya itu dipenuhi oleh Adam. Danish teruk dipukul sebaik sahaja habis waktu persekolahan. Kawasan belakang sekolah menjadi saksi peristiwa hitam Danish.
Adam sedikitpun tidak memberinya peluang untuk bangun berdiri menjelaskan apa yang berlaku. Ini bukan kali pertama Danish menjadi tempat Adam melepaskan kepuasan barannya.
Boleh dikatakan setiap hari, tubuh Danish kelihatan lebam dan bengkak.
“Adam, aku boleh jelaskan!,” Danish cuba bersuara sebaik kolar kemeja sekolahnya itu sudah dicekak kuat oleh Adam. Adam merengus geram.
“Kau nak jelaskan aku apa lagi! Terang-terang Danielle bagitahu aku..,”
“Aku tak buat apa-apa dekat dia lah!,” Danish cuba membela dirinya sendiri.
“Tak, kau tipu! Kau sentuh aku! Kau cuba nak buat sesuatu pada aku!,” sengaja Allesya menabur fitnah tentang Danish. Danish yang mendengar itu terkejut.
“Apa yang awak cakap ni, Allesya?,” Danish agak terkilan.
“Menyampah aku lah dengar kau panggil aku dengan nama tu! Dahlah aku nak balik! Adam aku nak kau belasah budak tak guna ni cukup-cukup kalau tak kau bukan kawan aku!,” sempat lagi Allesya mengingatkan Adam.
Allesya cukup menyampah melihat wajah Adam yang sudah lebam dan bengkak kerana dipukul tadi.
Hanya melihat mata kiri Danish bengkak kebiruan masih tidak cukup membuatkan Allesya puas hati.
Allesya terus mencapai beg sekolahnya dan mengangkat kaki pergi.
Terukir senyuman di bibir Allesya apabila mendengar pukulan daripada Adam dan suara Danish merintih kesakitan. Puas hatinya apabila Adam mengikut kata-katanya.
“Aku benci kau! Aku benci seluruh keluarga kau! Kau tahu tak!,” tempelak Adam dengan rasa tidak puas hatinya sambil tangannya yang kuat digenggam tidak berhenti menumbuk wajah dan memijak perut Danish.
Guruh di dada langit mula kedengaran.
Danish yang sudah tidak bermaya dan hampir tidak sedarkan diri itu hanya membiarkan. Badrul yang perasan dengan keadaan Danish itu mula cuak.
Dia melihat Adam masih tidak berhenti memukul Danish. Ni kalau dibiarkan boleh mati budak ni!
“Adam, dah-dah lah tu!,” tubuh Adam dia tarik agar jauh dengan Danish.
Adam yang masih lagi tidak puas itu terus menolak kuat Badrul.
“Apa masalah kau ni! Aku tak habis lagi dengan dia!,” Adam memberontak kuat lalu dia kembali kepada Danish yang sudah terbaring di atas tanah itu. Perut Danish itu terus dia tendang kuat. Berkali-kali tidak berhenti.
Badrul melihat Danish sudah tidak sedarkan diri. Dia cuak. Sekali lagi dia menolak kuat tubuh Adam jauh daripada Danish.
“Kau ni kenapa Adam?! Kau tak nampak ke dah tak bernyawa budak ni kau kerjakan?! Dah dah jom balik!,” kuat suara Badrul cuba untuk menyedarkan Adam.
Hujan mula turun membasahi bumi.
Dada Adam turun naik cuba mengawal pernafasannya. Lalu matanya melihat Danish yang sudah berlumuran darah tidak sedarkan diri.
Dia sendiri tidak kisah jika Danish mati sekalipun!
Janji dia puas!
“Jom balik, Adam! Kau tak nampak ke dah hujan ni?,” Badrul terus mencapai beg sekolah Adam lalu dia menarik Adam untuk beredar jauh dari tempat itu. Adam yang tidak suka dipegang itu terus menepis kuat tangan Badrul.
“Aku boleh jalan sendiri!,” tegas Adam lalu mengambil beg sekolahnya di pegangan Badrul. Lalu mereka berdua terus melangkah pergi meninggalkan Danish.
Keesokan paginya, Danish dijumpai tidak sedarkan diri di kawasan belakang sekolah oleh seorang tukang sapu.
Sejak itu, Danish dimasukkan ke dalam hospital Doktor juga mengesahkan, Danish mengalami kecederaan yang teruk. Doktor juga telah membuat laporan polis kerana kecederaan yang dialami oleh Danish sangat teruk.
Danish juga koma beberapa bulan.
Tan Sri Megat Idruz dan Puan Sri Misha yang berada di luar negara segera pulang ke Malaysia. Polis telah membuat siasatan di sekolah namun sedikitpun tidak menemui bukti yang Danish dibuli.
Mungkin kerana ketika itu hujan dan mampu menghilangkan bukti seperti cap jari. Polis juga memaklumkan tiada sesiapa menjadi saksi.
Kata mereka, dia tidak pernah melihat Danish dibuli. Kerana itu membuatkan siasatan polis itu tergendala dan hanya menanti Danish sedar dari koma.
Setelah 5 bulan, Danish akhirnya sedar dari koma. Siasatan polis terhadap kes buli itu dibuka kembali. Namun, Danish sedikitpun tidak mahu membuka mulut untuk menceritakan hal yang sebenar.
Doktor mengesahkan Danish mengalami trauma yang teruk sehingga tidak mahu bercakap dengan sesiapa termasuk keluarganya sendiri.
Danish juga sering kelihatan cemas apabila didekati oleh orang lain terutama pada orang yang tidak dia kenali.
Akhirnya, keluarga Danish memutuskan untuk menutup kes. Siasatan polis itu sedikitpun tidak membantu keadaan Danish yang makin lama makin teruk.
Keluarga Danish mengambil keputusan untuk menghantar Danish ke luar negara. Dapatkan rawatan kaunseling dan terapi di sana. Memandangkan keluarga Danish juga menetap di sana sambil menguruskan beberapa jenis perniagaan.
Sehinggalah Danish menginjak usia ke 23 tahun, mereka sekeluarga pulang ke Malaysia dan mula membina satu syarikat pembinaan. Iaitu Megat Trading.
Namun, Danish tidak ikut pulang ke Malaysia kerana dia perlu menghabiskan pengajiannya di Universiti British Columbia, Canada.
Di tahun akhir pengajian, Danish diberikan tugasan untuk mengkaji salah satu universiti yang berada di bumi Arab. Universiti Umm Al Qura menjadi pilihan Danish.
Ketika itulah, dia menemukan seorang wanita yang bernama Zaara. Jujur, Danish jatuh cinta pada Zaara hanya dengan pandangan kali pertama. Danish ingin sekali mengenali wanita berniqab itu.
Pada awal perkenalan, semua kelihatan biasa.
Cinta mula mekar dan dia mula mencintai Zaara. Danish ingin meluahkan perasaannya terhadap Zaara ketika itu namun setelah mendapat tahu tentang latar belakang Zaara.
Danish terkejut.
Dengan hanya mengetahui nama sebenar Zaara adalah Allesya Danielle cukup membuatkan hati Danish hancur berkecai. Hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati dan perasaannya.
Dia tidak sanggup berhadapan dengan Allesya semula.
Hatinya akan makin sakit. Kerana itulah, Danish meninggalkan Allesya.
Share this novel