PANDANGAN Noah begitu kosong merenung jalan raya di hadapan. Nadia yang sedang memandu sesekali melirik abangnya yang sedang duduk di sebelah. Keadaan lelaki itu semakin tak terurus. Rambut sudah panjang melepasi telinga. Jambang halus juga sudah tumbuh disekitar dagu.
"Aku dah cari merata tempat, Noah. Tapi tak jumpa. Sekarang ni aku minta tolong dengan kawan-kawan aku untuk cari dia," maklum Nadia.
"Kau tak payah keluar ke mana-mana. Biar aku yang cari dia," kata Nadia lagi. Pernah sekali Noah keluar mencari Maria kemudian tidak munculkan diri hampir seminggu.
"Dia mengandung, Nadia," tutur Noah, sebak. Air mata yang mengalir diseka dengan belakang tangan. Gayanya saat itu sudah serupa anak kecil.
"Ya, aku tahu. Aku pun tengah usaha sekarang ni, Noah," kata Nadia, juga bimbang.
"Aku risau dia tak boleh bertahan sendiri. Aku tak nak dia gugurkam kandungan dia. Aku sanggup jadi bapa pada anak dia. Aku sanggup..." Noah akhirnya menangis teresak-esak di sisi adiknya.
Nadia juga sudah mulai dilanda sebak. Seumur hidup, dia tidak pernah melihat abangnya menangis seperti ini. Apatah lagi disebabkan seorang wanita.
"Noah, kau kena faham. Anak tu bukan kerelaan dia. Apa-apa yang terjadi sekarang dan akan datang, dia yang tanggung. Ada sebab dia nak gugurkan kandungan tu." Nadia cuba meletak dirinya di posisi Maria. Dan jelas, dia juga akan melakukan perkara yang sama.
"Dia gugurkan kandungan pun, korang masih boleh bersama," tutur Nadia lagi.
"Kau tak payah bebankan fikiran dengan apa yang berlaku sekarang. Yang penting, kita cari Maria dulu. Apa pun keadaan dia nanti, aku tak nak kau tanya dia macam-macam. Dia ada hak untuk tentukan hidup dia sendiri."
Noah semakin tersedu-sedu di tempat duduknya. Dia cuma tidak mahu Maria semakin sakit kerana menggugurkan kandungan. Dan demi cinta pada gadis itu, Noah rela menanggung semuanya.
ARYAN juga tidak tinggal diam. Kini, dia sudah mengupah orang untuk mencari Maria. Dia harus mendapatkan Maria sebelum Noah menemui gadis itu. Baginya, Maria tidak boleh jatuh ke tangan sesiapa.
"Aku bagi korang masa 3 minggu untuk cari dia. Deposit 10 ribu dah masuk dalam akaun korang berdua. Selebihnya aku akan transfer kalau korang dah bawa Maria depan aku, hidup-hidup," tegas Aryan.
"Baik, encik." Serentak kedua-dua lelaki itu menjawab.
Walaupun sudah mengupah orang, Aryan tetap turun tangan mencari Maria. Setiap masa yang berjalan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
POTRET bersama Maria di dalam galeri telefon bimbit direnung dengan mata yang berkaca-kaca. Senyuman yang manis, dengan wajah yang polos. Siapa sangka di usia muda, Maria terpaksa menghadapi begitu besar ujian dalam hidupnya. Di usia yang sudah menginjak 21 tahun, pasti sukar untuk Maria bertahan hidup dengan perut yang kian membesar. Dan sudah pasti kudratnya juga akan terbatas.
"Noah," tegur Nadia seraya duduk di hadapan abangnya.
"Kawan aku bagi cadangan untuk kita cari Maria dekat pusat perlindungan wanita dan ibu-ibu hamil. Tempat tu memang ditubuhkan untuk melindungi wanita terutama wanita hamil macam Maria," jelas Nadia, serius.
Noah mengetap bibir seraya berfikir sejenak. Maria bukanlah orang yang suka bergaul atau pun berteman. Tempat seperti itu mustahil untuk Maria datangi.
"Tapi, aku kenal Maria. Dia tak sukar bergaul dengan orang ramai."
"Tapi, keadaan dia sekarang ni tak mustahil dia akna pergi sana. Dia dah tak ada sesiapa. Lagipun tempat tu tak memerlukan apa-apa bayaran untuk masuk. Jadi, aku pun yakin dia akan ke sana. Dengan perut yang dah membesar, dia dah tak larat nak kerja. Dia muda lagi, Noah. Dia tak tahu macam mana nak bawa diri dekat luar sana," jelas Nadia cuba menyedarkan abangnya.
Noah kembali diam. Ada benarnya kata-kata Nadia. Dengan usia yang begitu muda dan tanpa pengalaman, Maria pasti akan mencari tempat untuk berlindung.
Kini, mereka memulai misi mencari senarai pusat perlindungan wanita di dalam internet. Ada berpuluh-puluh pusat perlindungan di Malaysia. Tidak kira dalam dan luar negeri. Namun, mereka khusus mencari di kawasan terdekat dahulu.
Hari pertama pencarian, mereka hampa. Lebih 10 buah pusat penjagaan yang dikunjungi, namun Maria tidak ada di situ. Maka, mereka terpaksa menyambung esok hari.
Sebelum pulang ke rumah, Noah singgah tepat di hadapan rumah Maria. Cermin kereta diturunkan sepenuhnya. Pintu rumah yang tertutup rapat itu ditatap lama. Timbul perasaan simpati pada orang tua Maria. Entah apa reaksi kedua-dua orang tua itu jika mengetahui nasib anak mereka.
"Encik Noah?" Tegur Mak Ijah yang baru tiba dari pasar.
Noah sempat gelabah dengan kehadiran Mak Ijah di situ. Tidak sedar bila wanita tua itu muncul.
"Eh, mak cik," tegur Noah. Dia bingkas keluar dari kereta.
"Buat apa dekat sini?" Soal Mak Ijah. Tidak jauh di belakangnya terdapat bakul-bakul sayuran yang sudah kosong.
"Er, tadi saya lalu dekat sini. Saja singgah sekejap," katanya, gugup.
"Oh." Mak Ijah mengangguk perlahan.
"Tapi, Maria tak ada. Dia masih kerja. Dah lama dia tak balik," jelas Mak Ijah begitu polos.
Noah mengetap bibir seketika. Tidak mahu kegusarannya terlihat.
"Er, ya mak cik. Dia yang suruh saya datang sini tengok-tengokkan mak cik. Dah berapa kali dia suruh singgah sini, tapi saya busy. Hari ni kebetulan pula lalu sini. Sebab tu saya singgah," jelas Noah terpaksa menipu.
"Hm, budak tu. Adakah patut dia susahkan Encik Noah pulak." Mak Ijah menggeleng kepala. Kesal dengan sikap anaknya.
"Tak apa, mak cik. Saya pun dah janji dengan dia."
Tidak lama itu Noah mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Beberapa keping not RM100 dikeluarkan dari dompet itu.
"Ni, Maria suruh bagi. Untuk mak cik." Duit tersebut dihulur kepada Mak Ijah.
Dengan teragak-agak, Mak Ijah menerima duit tersebut. Selepas dikira, wajah Mak Ijah terus berubah.
"3 ribu? Biar betul budak tu," tutur Mak Ijah perlahan.
Noah tersenyum nipis. Sedaya upaya menyembunyi sebak di dada.
"Ya, mak cik. Semua tu dari Maria," tutur Noah lagi.
Walaupun sedikit berat, Mak Ijah tetap menerima duit tersebut.
Setelah berbual sebentar, Noah pun meminta diri untuk pulang. Senja juga sudah pun melabuh tirai.
Disebabkan kekangan kerja, Noah terpaksa mengharapkan Nadia untuk terus mencari Maria. Jika tidak terlalu sibuk di pejabat, barulah dia menyertai adiknya.
Perihal pencarian mereka akhirnya sampai ke pengetahuan Aryan. Untung sahaja lelaki itu tidak mengetahui sasaran lokasi pencarian Noah.
"Dia pun tak akan tinggal diam, Aryan," ujar Bella yang sedang duduk santai di atas sofa.
"Nadia, perempuan tu yang tolong Noah cari Maria," sambungnya lagi. Jelas kelihatan wajahnya jijik menyebut nama Maria.
"She would do anything for her brother," ujar Bella lagi.
Aryan mengangguk faham. Dia kenal benar dengan Nadia. Mereka memang biasa bertemu semenjak dia dengan Noah bersahabat. Sehinggalah Nadia melanjutkan pelajaran ke luar negara.
"Nadia ramai kawan dekat sini. Aku yakin, dia akan minta bantuan dari kawan-kawan dia untuk cari Maria." Aryan sudah mengetap gigi dengan rapat. Dia tidak boleh berlengah lagi. Jika tidak, Noah pasti akan mendahuluinya.
Share this novel