Missing

Drama Series 9753

SUDAH sebulan Noah ke hulu ke hilir mencari Maria, namun hampa. Bayang gadis itu pun tidak pernah terlihat di mana-mana. Kali ini, Maria benar-benar menyembunyikan diri. Bukan sahaja dari Aryan tetapi dari Noah juga.

Ada beberapa kali Noah ke kampung Maria dan menunggu dari jauh dengan harapan, Maria akan muncul di situ. Dia tidak berani menemui orang tua Maria kerana pasti kedua-dua orang tua itu bimbang jika mengetahui tentang anaknya.

     Semakin hari, Noah semakin tak keruan. Kadang, dia lebih rela tak masuk ke pejabat semata-mata untuk mencari Maria. Hinggakan ayahnya terpaksa turun tangan.

     Noah juga sudah jarang pulang ke rumah orang tuanya. Dia lebih suka menyendiri di rumah sendiri. Rumah yang pernah menjadi tempat Maria berlindung dahulu.

     Nadia, adik perempuan Noah yang baru pulang dari Australia. Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya di sana. Wanita itulah yang selalu datang untuk menjenguk Noah di situ.

MAKANAN yang dimasak semalam belum juga disentuh. Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi dan Noah belum juga menjamah apa-apa.

Dengan keluhan panjang, Nadia menuju ke bilik tamu. Bilik yang pernah Maria tempati. Sebaik masuk, lelaki itu masih membungkus diri dengan selimut. Jendela dibiarkan tertutup rapat sehingga udara tidak masuk atau keluar.

Nadia segera membuka tirai jendela. Serta merta cahaya matahari memenuhi ruangan bilik itu. Noah masih dengan keadaannya. Tidak peduli pada kehadiran adiknya.

     "Noah, bangun. Aku ada beli nasi lemak tadi. Kuih pun ada." Selimut yang menutupi kepala abangnya diselak perlahan.

Noah masih menutup mata walaupun tidak tidur. Sehingga saat ini, tiada siapa yang tahu kenapa Noah berkelakuan begitu. Dia tidak pernah menceritakan apa yang berlaku pada ahli keluarganya.

     "Noah," panggil Nadia lagi. Dia sudah duduk di sisi abangnya. Wajah lesu lelaki itu ditatap penuh simpati.

     "Kau ni kenapa? Dah berapa hari kau macam ni. Kalau ada masalah, cakap. Mommy dengan daddy dah risau, tahu tak." Keluhan Nadia semakin panjang. Dia juga bimbang dengan keadaan abangnya.

     Noah akhirnya bangun dari baringnya. Kepala disandarkan pada kepala katil sebelum kembali termenung.

     "Pergilah makan. Aku ada beli sarapan tadi." Nadia bangun seraya memegang tangan abangnya.

     Akhirnya Noah akur. Setelah membasuh muka barulah dia menuju ke dapur.

     Nadia ralit memerhati abangnya yang senyap menjamah sarapan pagi. Pandangannya kosong merenung makanan di hadapannya.

     Nadia rapatkan tubuh ke meja.

     "Kau ni kenapa? Dah macam orang putus cinta aku tengok."

     Noah mengangkat kepala. Lama wajah adiknya ditatap sebelum kembali tunduk.

     "Hm, putus cintalah ni," tutur Nadia perlahan.

     "Siapa perempuan tu?" Soal Nadia ingin tahu.

     Selama hidupnya, Noah tidak pernah bercinta. Lelaki itu juga tidak pernah membawa mana-mana wanita bertemu keluarga mereka.

     "Cakaplah. Siapa perempuan yang dah buat anang aku angau macam ni?" Soal Nadia lagi. Dia ingin tahu wanita mana yang sudah membuat abangnya tak tentu arah.

"Maria," tutur Noah, perlahan.

"Maria? Hm." Nadia mengangguk perlahan. Benarlah telahannya. Noah jadi begini kerana seorang wanita.

"Korang putus atau..." Nadia menggantung bicaranya dan serentak itu Noah meletak sudu di atas pinggan.

Noah mulai menceritakan semuanya pada Nadia. Tak ada satu pun yang dia rahsiakan dari adik satu-satunya itu. Sejak dari dulu lagi mereka berdua selalu berkongsi cerita.

Nadia tersandar pada kerusi. Dia mulai termenung jauh ke hadapan. Masalah yang dihadapi Noah bukanlah kecil. Ianya melibatkan maruah. Walaupun Noah mencintai Maria setulus hati, belum tentu keluarga mereka menerima Maria sepenuhnya.

"Kau biar betul, Noah." Nadia tak habis fikir. Sedalam itukah cinta abangnya pada gadis itu?

Noah tak lagi bersuara. Apa yang diceritakan sudah cukup mengambarkan isi hatinya.

BELLA terbaring di atas sofa selepas ditampar oleh Aryan. Lelaki itu berang kerana Bella merahsiakan keberadaan Maria sebelum ini.

"Jadi, kau memang tahu Maria dekat mana waktu tu?!" Wajah Aryan begitu bengis. Bagaikan singa mahu menerkam mangsanya.

"A... aku minta maaf, Aryan! Aku... terpaksa!" Bella cuba bangun namun Aryan menolaknya hingga terduduk semula.

     "Terpaksa?! Kau tahukan aku cari dia dah berbula-bulan!" Kepala Bella ditunjal berkali-kali.

     "Noah pun tahu dia dekat situ dan kau masih tak terus terang dengan aku!" Kini, penumbuk dihayun dan serentak itu Bella melindungi kepala dengan kedua-dua tangannya.

     "Aryan! Sudah!" Teriak Yana yang baru muncul di  ruang tamu.

     "Sudah-sudahlah, Aryan. Sampai bila kau nak macam ni? Maria tak akan munculkan diri lagi depan kau," suara Yana kedengaran begitu sayu. Kecewa melihat suaminya masih berharap pada Maria.

     "Jangan masuk campur, sayang," tegah Aryan. Dia cuba mengawal emosinya. Tidak mahu dilampiaskan pada isterinya.

     "Saya penat, Aryan. Saya penat nak hadap perangai awak. Saya ni dah macam tak ada harga di mata awak. Saya isteri awak tapi awak masih sibuk dengan perempuan lain." Suara Yana sudah mulai bergetar.
  
     "Kekecewaan saya sewaktu awak curang dengan Bella belum pudar lagi. Dan sekarang awak tambah luka dengan menodai pembantu saya." Air mata Yana akhirnya mengalir.

     "Apa yang tak cukup, Aryan? Kalau memang kekurangan saya jadi punca, kenapa tak cakap terus terang? Kenapa nak seksa saya macam ni?"

     Bella sudah menjeling tajam. Terasa meluat mendengar bicara kakaknya. Sudah pasti wanita itu hanya mahu menarik simpati Aryan.

     "Patutnya, kau sedar dari dulu, Yana." Bella pula menyampuk.

     "Dah berapa kali aku cakap, lepaskan Aryan. Tapi kau degil. Bila benda ni dah terjadi, baru kau nak meratap macam ni," tutur Bella, sinis.

     "Diam, Bella." Aryan sudah memberi amaran.

     Yana menggenggam jari jemari dek amarah yang mulai terpancing. Jika dia mampu, Bella pasti sudah mendapat habuan darinya.

     "Awak tak serikkah, Aryan? Dulu, Maria dah tikam awak dengan pemutar skru. Baru aje bulan lepas awak kena belasah separuh mati oleh Noah. Cukuplah, Aryan. Jangan ganggu Maria lagi. Kita dah banyak dosa pada dia." Yana benar-benar menyesali perbuatannya.

     Namun, apa yang dia lakukan dulu bukanlah hal kecil. Dia hampir membuatkan Maria dinodai oleh suaminya buat kali kedua.

     Aryan mendengus kasar seraya meraup wajah. Semakin tertekan mendengar bebelan isterinya.

     "Saya keluar dulu. Pembantu baru akan sampai petang nanti. Sementara tu, Bella yang temakan awak dekat sini."

     Bella pantas menoleh ke arah Aryan.

     "Kenapa aku pulak nak jaga dia?! Aku ada kerja dekat spa!" Bella bingkas bangun dari duduknya. Serentak itu, Aryan menoleh dengan tatapan tajam.

     "Kau sendiri yang datang sini, kan. Maknanya kau tak sibuk," tempelak Aryan.

     "Jangan keluar selagi pembantu baru Yana tak sampai. Faham?" Pesan Aryan, tegas.

     Bella hanya mampu mendiamkan diri saat Aryan sudah memberi amaran. Penumbuknya sudah digenggam erat. Sakit hati bila dirinya terpaksa menemani Yana di situ.

KERTAS kerja di atas meja direnung kosong. Semakin hari, kerja-kerja Noah mulai terbengkalai. Fikirannya dipenuhi oleh kebimbangan terhadap nasib Maria di luar sana.

     Kini, Nadia sudah terpalit dengan masalah abangnya. Dia terpaksa turut mencari Maria. Dengan berbekalkan gambar gadis itu, Nadia memulakan pencariannya. Walaupun tipis harapan untuk Maria ditemui namun, dia tidak sanggup menghampakan abangnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience