WAJAH Maria terpaling ke sisi. Dia tak berdaya lagi melawan Noah. Melihat kemarahan lelaki itu dia tahu, kejadian dahulu akan berulang sekali lagi.
"Aryan... dia rogol aku, Noah," tutur Maria perlahan.
Serta merta, Noah menghentikan perbuatannya. Tubuh diangkat dari terus menindih tubuh kurus Maria. Gadis itu tak menangis. Hanya air mata yang mengalir deras membasahi tempat tidurnya.
Tangan Noah masih kemas mencengkam pergelangan tangan Maria. Sisi wajah Maria direnung lama. Gadis itu sedang memejam mata sambil menahan tangisan.
"Aryan... dia... rogol aku..." kini, esakan Maria mulai terdengar. Betapa jijiknya dia menyebut perkataan itu.
Noah mulai bangun dari tubuh Maria. Serentak itu Maria berpaling ke sisi kemudian merapikan baju yang sudah terkoyak agar menutupi dadanya.
Noah akhirnya duduk membelakangi Maria yang sedang menangis tersedu-sedu. Lelaki itu masih cuba untuk menenangkan dirinya. Jika diikutkan hati, pasti dia sudah menodai Maria.
Maria mulai bangun kemudian menjauhi Noah. Dia semakin gerun dengan lelaki itu. Tangan semakin kemas memeluk tubuh sendiri.
"Kau cuba nak selamatkan diri dengan alasan, Aryan rogol kau?" Akhirnya Noah bersuara kembali.
"Aryan, rogol aku..." ayat tersebut diulang kembali. Tiada perkataan lain yang mampu diucapkan.
Noah memejam mata seraya mencengkam rambut sendiri. Mustahil. Yana sendiri yang mengakui perbuatan Maria dengan Aryan atas dasar suka sama suka.
"Habis tu, kau nak cakap Yana menipu?" Noah masih tak percaya. Baginya, Maria hanya mahu menyelamatkan diri sendiri.
"Yana sendiri yang cakap, kau dengan Aryan ada hubungan!" Noah bangkit dari duduknya lalu menoleh ke belakang. Maria sudah memeluk kedua-dua lututnya rapat ke dada. Bahu gadis itu terdedah dek baju yang terkoyak.
Noah mulai dihimpit penyesalan. Hampir sahaja dia menodai gadis itu angkara emosi.
Tidak lama itu, Maria bangun dari duduknya kemudian menuju ke arah beg pakaian di sudut bilik. Sesekali wajahnya berkerut menahan sakit di bahagian perutnya. Sesaat, beg pakaian tersebut dibuka. Sehelai baju dikeluarkan lalu diletak di atas lantai.
Noah amati baju itu. Terlihat kesan merah pada baju tersebut.
"Sebelum lari, aku... sempat tikam Aryan... dengan pemutar skru," tuturnya terputus-putus.
"Darah tu... darah Aryan," sambung Maria lagi.
Perlahan-lahan, Noah duduk berlutut kemudian mencapai baju tersebut. Setelah diangkat, semakin terlihat jelas tompokan darah pada baju itu. Akhirnya dia tertunduk. Tangan yang memegang baju jatuh di atas pahanya.
Lelaki itu mulai bingung. Entah yang mana satu harus dipercaya.
"Kau nak tipu aku lagi? Aryan sendiri yang cakap, dia accident. Yana pun ada waktu tu! Takkan dia nak menipu pulak?!" Noah masih memilih mempercayai kedua-dua pasangan itu.
Maria membenam wajah di antara dua lutut. Dia tak mempunyai bukti bahawa Aryan menodainya.
Akhirnya, Maria sandarkan tubuh pada dinding. Tangisannya semakin pecah. Tiada apa lagi yang mampu dia buktikan kepada Noah itu.
Melihat keadaan Maria membuatkan Noah semakin berbelah bagi. Jiwa lelakinya benar-benar tercabik mendengar tangisan gadis itu. Akhirnya, Noah bangun lalu mencapai tuala yang tergantung di dinding. Dia terus mendekati Maria kemudian duduk di hadapan gadis itu. Dengan cermat, tubuh Maria dibalut dengan tuala itu.
Noah cuba menyentuh pipi Maria namun gadis itu mengalihkan wajah. Tidak mahu disentuh oleh Noah. Baginya, Noah sudah berniat mahu melakukan perbuatan terkutuk itu pada dirinya.
"Keluar," halau Maria, perlahan.
"Saya... minta maaf," ucap Noah. Rasa bersalah semakin menampar dirinya.
"Saya minta maaf, Maria." Noah duduk berlutut di hadapan Maria.
Gadis itu akhirnya berdiri lalu berjalan menuju ke pintu kemudian membukanya.
"Keluar," arah Maria tanpa memandang Noah.
Noah pasrah saat dihalau. Dia tahu, Maria kecewa dengan perbuatannya. Akhirnya dia keluar bersama baju milik Maria yang dikotori darah itu.
Setelah menutup pintu, Maria kembali terduduk di atas lantai sambil bersandar pada pintu. Teringat kejadian yang hampir membuat dirinya ternoda untuk kali kedua.
PEDAL minyak ditekan kuat. Dengusan nafas Noah semakin kasar diiringi dada yang berombak laju. Dia tidak sabar mahu menemui Aryan.
Sebaik tiba di hadapan rumah lelaki itu, loceng ditekan berkali-kali.
"Aryan! Yana!" Teriak Noah. Pagar besi itu sigoncang sekuat hati.
"Aryan! Kau keluar sekarang!" Teriaknya lagi. Namun sudah hampir beberapa minit, tiada jawapan dari dalam.
Dengan perasaan membara, Noah beredar dari situ. Sepanjang perjalanan, dia terus cuba memghubungi Aryan namun tidak disambut. Akhirnya, dia pergi menemui Bella. Dia yakin, pasti wanita itu mengetahui sesuatu.
Setibanya di spa kecantikan milik Bella, Noah terus meluru masuk. Tidak peduli langsung pada pelanggan yang sedang menjalani rawatan kecantikan.
"Bella!" Sergah Noah sebaik memasuki pejabat Bella. Wanita itu sedang sibuk di meja kerjanya.
"Noah?" Bella bangun dari duduknya dan serentak itu Noah meluru ke arahnya.
"Kau cakap dengan aku sekarang! Apa yang Aryan dah buat pada Maria?!" Leher baju Bella dicengkam kemudian ditarik agar mendekatinya.
Wajah Bella sudah pucat lesi. Tidak sangka Noah akan bertindak sebegitu.
"A... apa kau cakap ni?! Aku tak faham!" Bella masih cuba berdalih.
"Kau jangan cabar aku, Bella! Kau cakap sekarang!" Tengking Noah. Semakin kuat cengkamannya di leher baju Bella.
"Aku tak tahu!" Teriak Bella kembali.
Sekelip mata, Bella terduduk di atas kerusi selepas ditampar oleh Noah. Wanita itu terdiam sejenak. Tidak menyangka Noah akan bertindak menyakitinya.
"Kau cakap sekarang! Sebelum aku belasah kau dekat sini!" Dagu Bella dicengkam kuat. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menghancurkan tulang pipi wanita itu.
"Aku!... aku tak tahu, Noah! Aku tak terlibat! Aku dapat tahu pun lepas semua tu dah berlaku!" Bella terpaksa membuka mulut demi keselamatannya. Melihat wajah bengis Noah, dia tahu lelaki itu tidak akan teragak-agak untuk menamatkan riwayatnya.
"Apa yang jadi?! Cakap! Apa yang Aryan dah buat!" Tangannya beralih mencengkam rambut Bella kemudian ditarik agar wanita itu berdiri.
"Dia!..." Bella tergagap. Jika dia menceritakan hal sebenar, pasti dia akan mendapat habuan dari Aryan. Tapi jika dia terus berdiam diri, Noah pula yang akan menyakitinya.
"Cakap, Bella!" Kini, tangan Noah mulai mencengkam leher Bella.
Wanita itu mulai terbatuk-batuk.
"Aryan!... dia, ro... rogol Maria!..."
Serentak itu Noah menolak Bella hingga terduduk di atas lantai.
Wajah diraup kasar. Rupanya, Maria tak menipu. Dia semakin kesal kerana sudah menyakiti gadis itu dengan kata-kata dan perbuatannya.
Bella bangun sambil merapikan rambutnya. Kadang terbatuk kerana kerongkangnya sakit akibat dicekik sebentar tadi.
"Aryan di mana sekarang?!" Soal Noah. Matanya begitu tajam menatap Bella.
"Aku... tak tahu. Mungkin, dia dekat rumah mommy dia," jelas Bella, gugup. Bimbang Noah akan naik tangan padanya lagi.
"Kalau dia tak ada, kau siap! Kau jangan bagitahu dia yang aku datang sini!" Kata Noah memberi amaran.
"Kau jangan cuba-cuba lari, Bella! Aku akan pastikan korang semua meringkuk dalam penjara! Tak kira sesiapa pun yang terlibat!" Ugutnya lagi.
"Kenapa kau nak libatkan aku?! Aku sendiri pun tak tahu yang Aryan dah rogol Maria!" Bella cuba pertahankan dirinya.
"Masalah ni berpunca daripada kaulah, betina! Kalau kau tak sundal nak kacau suami orang, Maria tu akan korban diri untuk pastikan kau tak kacau suami dia!" Noah kembali maju namun Bella lebih cepat berlari ke hujung meja.
"Kau dengar sini, kalau aku tak dapat Aryan... aku akan cari kau!" Ugut Noah lagi sebelum akhirnya beredar dari situ.
Kini, dia harus menemui Aryan. Kemarahan yang menggunung di dada tidak mampu dibendung lagi. Aryan harus mendapat hukuman yang setimpal.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik dicapai, tertera nama Aryan di skrin telefon bimbitnya.
"Hello, Noah. Sorry, aku ada meeting tadi. Kenapa call?"
Noah sudah mengetap bibir sebaik mendengar suara Aryan. Begitu tenang selepas menodai gadis yang dia cintai.
"Aku nak jumpa kau, di tempat biasa," kata Noah, cuba mengawal kemarahannya.
Setelah itu, panggilan ditamatkan. Baju milik Maria yang disimpan di kerusi sebelah ditatap seketika. Tidak sedar, air matanya mengalir. Tidak terbayang betapa tersiksanya gadis itu sewaktu Aryan menodainya.
Tidak sampai beberapa minit, Noah tiba di lokasi yang mereka janjikan. Kelihatan Aryan sudah tiba lebih dahulu di situ.
Noah segera turun sambil membawa baju tersebut. Sebaik tiba di hadapan Aryan, baju itu dihumban tepat ke wajah lelaki itu.
Belum sempat mengelak, Aryan terbaring selepas ditumbuk oleh Noah.
"Binatang!" Noah menaiki tubuh Aryan lalu melepaskan bertubi-tubi tumbukan ke wajah lelaki itu.
"Lepaslah, sial!" Aryan menahan penumbuk Noah. Mata mereka mulai merenung tajam sesama sendiri.
"Lepas?! Huh! Kau memang nak mati di tangan aku!" Noah kembali menghayun penumbuknya.
Aryan sempat mengelak. Serentak itu dia menahan tangan Noah sebelum penumbuknya hinggap di wajah Noah.
Aryan segera bangun sebaik Noah terbuang ke belakang.
"Kau nak marah apa lagi? Semua dah terjadi," kata Aryan sambil mengesat kesan darah yang ada di bibirnya.
Noah bangkit kembali sambil menyentuh pipi.
"Semua dah terjadi? Semudah itu kau bercakap?" Soal Noah tak habis fikir.
"Habis tu, kau nak aku buat apa? Aku sayangkan Maria tapi dia yang tak faham," tuturnya tanpa rasa bersalah.
"Sayang? Kalau kau sayang kau tak akan rosakkan dia, Aryan!" Teriak Noah sambil meluru dengan penumbuknya.
Aryan sempat mengelak. Dia pantas menghayun penumbuk tepat mengenai tulang rusuk Noah.
"Dia akan dianggap rosak kalau dia di tangan lelaki yang salah. Sebab itulah aku tak nak dia jatuh ke tangan lelaki lain. Aku yang lebih dulu sentuh dia. So, dia milik aku," tutur Aryan, tenang.
Noah yang sedang terduduk kini bangkit kembali. Semakin meluap-luap kemarahannya mendengar kata-kata Aryan.
"Kau rogol dia, Aryan! Rogol! Kau sedar tak apa yang kau buat?!"
Aryan tertawa kecil.
"Sedar. Aku sedar apa yang aku buat. Tapi sayangnya, Maria tak sedar waktu tu. Kalau dia rasa apa yang aku rasa..." Aryan sengaja menggantung bicaranya sambil tertawa.
"Kau memang nak mati, Aryan!" Noah kembali maju. Aryan juga sudah bersedia dengan sebarang serangan dari Noah.
"Kau tak puas hati sebab aku lebih dulu dapat tubuh dia, kan?" Aryan sengaja memprovokasi.
"She is so sweet, Noah," kata Aryan lalu tertawa besar.
"Her lips, her body, her..." Aryan terhumban ke belakang saat penumbuk Noah tepat mengenai wajahnya.
Tidak berhenti di situ, Noah menendang perut Aryan sehingga lelaki itu terbaring di atas rumput.
"Disebabkan kau, Maria menderita dekat luar sana! Patutlah dia mati-mati tak nak jumpa kau walaupun aku paksa!" Sebelah tangan mencengkam leher baju Aryan manakala sebelah lagi melepaskan penumbuk bertubi-tubi.
"Kau... dah jumpa... Maria?" Soal Aryan terputus-putus. Darah mulai membasahi wajahnya.
"Aku dah jumpa dia! Aku akan jaga dia dan aku akan pastikan kau tak akan jumpa dia sampai kau mati! Mati!" Noah semakin melampiaskan kemarahannya.
Aryan sudah mulai lemah. Dia tidak lagi mampu melawan Noah. Kemarahan lelaki itu benar-benar membuatkan dirinya di luar kawalan.
"Noah! Sudah!" Teriak Bella yang muncul di situ. Dia terus memukul tangan Noah namun lelaki itu tidak mahu berhenti memukul Aryan.
"Lepaskah dia, Noah!" Teriak Bella. Dia mulai bimbang dengan Aryan yang sudah semakin lemah.
"Kau diam, jalang!" Noah menyiku Bella hingga wanita itu terbuang ke belakang.
"Tolong!" Bella terpaksa meminta tolong. Dia semakin bimbang dengan Aryan sudah tak terkutik.
Akhirnya, Noah dileraikan oleh orang awam. Ada yang cuba menghubungi polis namun Bella melarang. Dia tidak mahu perkara tersebut sampai ke pihak berkuasa. Sudah pasti masalah akan semakin panjang.
Noah lebih dahulu beredar dari situ. Tiada sedikit pun penyesalan selepas membuat Aryan terbaring dan bermandi darah sendiri.
Kini, dia mahu menemui Maria. Dia mahu berlutut dan memohon ampun dari gadis itu. Terngiang kembali di telinga segala kata-kata kesat dan makian yang keluar dari mulut sendiri.
Sepanjang perjalanan ke bilik sewa Maria, wajah sendiri tak henti ditampar. Menyesal. Dia benar-benar menyesal. Stereng kereta juga menjadi tempat dia melampiaskan penyesalan.
Setibanya di hadapan bilik sewa Maria, Noah mengetuk pintu itu bertalu-talu. Namun sayangnya, tiada jawapan.
Hampir beberapa minit, pemilik bilik sewa itu muncul di situ. Noah terpaksa meminta tolong daripada pemilik tersebut untuk membuka pintu. Sebaik di buka, bilik itu sudah kosong. Beg pakaian serta barang-barang milik Maria juga sudah tiada.
Pemilik bilik sewa itu juga tidak tahu tentang kepergian Maria kerana gadis itu beredar tanpa pesan terlebih dahulu.
Noah semakin dihimpit penyesalan. Kini, dia tidak tahu ke mana gadis itu melarikan diri. Apa yang pasti, Maria tentu tidak mahu menemuinya selepas apa yang dia lakukan pada gadis itu.
TANGISAN Noah semakin bergema di dalam keretanya. Dahi sudah lentok di stereng kereta. Betapa bodohnya dia kerana terlalu percaya pada mata kasarnya. Seharusnya, keadaan Maria dulu sudah cukup membuktikan gadis itu sedang menderita.
"Mana kau pergi, Maria?" Tersedu-sedu dia menangis sendirian di dalam kereta. Wajah yang lebam akibat di tumbuk oleh Aryan sedikit pun tak dipeduli. Lebih sakit menjadi Maria. Terpaksa menghadapi semuanya sendirian.
Share this novel
tgglkan semua .hidup sendiri lg baik dari hidup dgn lelaki yg bangang. hahhaa.geram.moga jumpa dgn org yg lg baik dari mereka