Episod 14

Romance Completed 26493

- Tahun 2016-

Waktu berlalu silih berganti. Aku kini menduduki tahun akhir Diploma Teknologi Multimedia. Ya! Aku masih setia bersama-sama Dahlia. Walaupun kini Dahlia dan keluarganya sudah tidak menetap di kampungku semenjak neneknya juga di jemput Illahi namun kami masih tetap berhubung. Sekali-sekala jika ada waktu, keluarga itu tetap mengunjungi keluarga aku di kampung. Hubungan kami seperti hubungan saudara.

Hubungan aku dan Dahlia bak kata pepatah seperti isi dengan kuku. Tidak boleh dipisahkan lagi.

Dahlia juga turut sama menyambung pengajian selepas tamat SPM - Sijil Pelajaran Malaysia. Cuma bidang yang dia ambil berlainan dari aku. Dahlia menyambung pengajian dalam Diploma Teknologi Keusahawanan. Walaupun berlainan bidang namun kami belajar dalam satu universiti yang sama. Malah kami juga duduk satu hostel yang sama, bilik yang sama.

Ramai yang menggelarkan kami belangkas kerana ke mana sahaja kami pergi pasti berdua. Aku dan Dahlia merupakan sahabat dan rakan sejati. Apa sahaja yang kami tidak kongsi? Malah ibu dan ayah Dahlia juga merupakan ayah dan ibu aku juga. Hebatkan kami? Persahabatan kami dari sekolah rendah hingga ke zaman universiti tetap utuh. Ramai yang beranggapan kami adalah adik beradik kembar. Adakalanya kami mengiyakan sahaja. Malas mahu menjelaskan.

Kakak dan abang aku, keduanya sudah pun berjaya. Mereka berdua sudahpun berkerjaya. Mereka mendapat peluang bekerja di satu syarikat gah di Kuala Lumpur. Kakak bekerja sebagai akauntan manakala abang bekerja di syarikat pembinaan kelas A yang masyhur di Kuala Lumpur sebagai arkitek pembinaan. Masa depan mereka begitu cerah. Alhamdulillah. Aku juga turut berbangga.

Ibu tidak bekerja. Duit perbelanjaan harian ibu sepenuhnya ditanggung oleh abang dan kakak. Aku pula, ada juga mereka menghulurkan sedikit duit belanja.

Kakak dan abang duduk menyewa di Kuala Lumpur tetapi berlainan daerah. Sesekali ada juga mereka balik menjenguk ibu. Untuk duduk sekali bersama ibu adalah sukar bagi mereka kerana jarak perjalanan dari rumah ibu ke tempat mereka bekerja mengambil masa lebih dua jam juga. Ibu pun tidak pernah membantah apabila mereka mengutarakan hasrat untuk duduk menyewa di Kuala Lumpur. Ibu sangat-sangat memahami anak-anaknya. Walaupun ibu sudah di mamah usia, tubuh ibu masih kuat. Mak Cik Mah jiran aku iaitu isteri kepada Cik Mat selalu juga menjenguk ibu bila ada kelapangan.

Mungkin kerana terlau mewah dan perjalanan hidup yang sukar dahulu membuat kakak semakin hanyut. Jika dahulu apa yang dia nak sukar untuk diperolehi tetapi sekarang apa sahaja yang dia nak semua dia boleh dapat dengan mudah. Gaji yang lumayan setiap bulan yang diperolehi membuat hidupnya semakin lupa asal usulnya. Malah kehidupannya di bandar sangat sosial. Mana kelab malam yang dia tidak pernah pergi. Aku pernah beberapa kali tidur di rumah kakak. Hampir setiap malam dia pulang lewat malam dan dalam keadaan mabuk. Malah pakaiannya juga adakalanya seperti tidak cukup kain. Aku malu dengan kakak.

Namun kakak sangat pandai menyembunyikan perlakuannya ketika di kampung. Apabila dia pulang ke kampung, pakaiannya tutup litup. Malah perangainya juga berubah menjadi baik, bantu ibu dan tidak lagi keluar rumah seperti dahulu. Ibu tidak tahu perangai kakak sebenarnya malah aku sendiri tidak pernah bercerita. Biarlah. Tetapi jauh dilubuk hati aku, aku selalu berdoa moga Allah memberi peluang kepada kakak untuk berubah.

Kringgg.... Kringg..

Telefon bimbitku berbunyi. Telefon bimbit ini adalah hadiah dari abang sempena gajinya yang pertama suatu ketika dahulu. Bukan aku sahaja. Malah kakak dan ibu juga dapat telefon yang sama. Namun apabila kakak sudah mendapat pekerjaan yang sekarang telefonnya sudah bertukar. Dia memakai telefon yang lebih canggih dan mahal setanding kariernya. Dia juga telah membeli kereta Honda Jazz sesuai untuk wanita bekerjaya zaman sekarang seperti dirinya.

Kringgg... Kringg...

Telefon berbunyi nyaring lagi... Dan minta di angkat.

Aku yang baru pulang dari kampus hanya menoleh seketika. Penat pun belum hilang lagi.

"Assalamualaikum," aku memberi salam seperti biasa walaupun salam aku tidak pernah di jawab.

"Eh! Kau ni kalau tak sakitkan hati aku tak boleh ke? Kenapa lambat sangat angkat,"

Aku yang malas mendengar bebelannya hanya memekakkan telinga. Sudah biasa begitu. Setiap kali menelefon, tak pernah tak gaduh. Ada saja yang dia tidak puas hati. Aku pun tidak faham.

"Adik baru balik dari kelas laaa.. penat pun tak habis lagi,"

"Penat kau je lah kau fikir? Penat aku yang tunggu kau lama kau tak kisah pulak?"

Huh! Aku tutup telefon ni karang baru padan muka. Hanya bebelan di dalam hati sahaja yang aku mampu.

"Adik. Minggu ni kau balik rumah ibu tak?"

Nadanya mulai rendah. Mesti ada sesuatu yang dia ingin minta tolong. Sudah faham dengan peel kakaknya. Kalau mahu minta tolong, lembut gigi dari lidah.

"Errmmmm. Tak kot. Minggu depan dah exam. Jadi duduk hostel je lah. Kenapa? Kakak tak nak balik? Ibu tu dah rindu separuh mati dengan kakak"

"Bagus! Nanti kakak jemput kau ea. Kau study kat rumah kakak je. Rumah kakak bukan ada orang. Nanti tenang sikit kau nak study. Pasal ibu tu nanti-nantilah aku telefon,"

Betul juga kata kakak. Dekat sini nama sahaja study week namun bising bagaikan pasar malam. Tidak selesa untuk dirinya mengulangkaji pelajaran.

"Okey. Jumpa nanti,"

Telefon kemudian dimatikan.

"Siapa?"

Dahlia yang sedari tadi memasang telinga bertanya.

"Kakak aku. Dia ajak datang rumah dia minggu ni. Dia datang jemput nanti,"

Aku melabuhkan punggung di atas katil Dahlia. Katil aku berada di atas. Katil kami dua tingkat. Jenis double decker. Malas aku memanjat ke atas. Letih badan hanya tuhan saja yang tahu.

"Oh! Baguslah. Minggu ni aku pun nak balik. Mummy dengan daddy jemput,"

"Okeylah kalau macam tu," aku hanya senyum.

Sebenarnya sudah berbulan aku tidak ketemu kakak. Sewaktu balik ke kampung berjumpa ibu, ibu juga kerap bertanyakan kakak. Namun aku tidak tahu untuk memberi alasan apa. Apabila aku hubungi kakak, kakak kerap memberi alasan dirinya sibuk. Hurmm.

Hari yang di tunggu tiba juga. Namun kakak tiba agak lewat. Ibu dan ayah Dahlia sudah datang lebih awal dan mereka pun sudah bergerak pulang. Hanya aku sahaja yang masih di situ menanti kakak. Pelajar-pelajar lain yang mahu pulang ke kediaman masing-masing juga beransur-ansur berkurangan. Huh! Mana kakak ni?

Untuk seminggu berada di rumah kakak, aku membawa beberapa beg. Satu beg luggage untuk pakaian dan satu beg biasa pula diisi dengan buku-buku dan nota-nota yang perlu di ulangkaji.

Beberapa jam menunggu akhirnya kakak tiba juga. Aku terkejut melihat perubahan diri kakak. Tubuh dan pakaiannya jauh berlainan. Jika dahulu tubuh kakak agak langsing sekarang aku nampak kakak sedikit berisi malah pipinya juga agak tembam. Aku hampir tidak mengenalinya. Jika tidak kerana aku kenal kereta Honda Jazz dan nombor flat kereta kakak, pasti aku ingat itu adalah orang lain.

Kakak mengenakan t-shirt yang besar, mungkin saiz L. Setahu aku kakak memakai sais S. Seluarnya pula dia memakai seluar jenis cotton slack. Aku memang berasa sedikit pelik namun aku ketepikan sahaja perasaan aku itu apabila melihat kakak menyambutku dengan senyuman lebar.

"Hai adikku sayang. Lama tunggu? Sorry jem lah,"

Lagi aku pelik. Dia tidak pernah sebaik ini dengan aku.

"Hurmmm. Lama jugalah berdiri dekat sini. Dahlia pun dah lama balik," aku hanya memuncungkan bibir.

Segala beg aku letakkan di tempat duduk belakang.

Setelah meletakkan segala macam beg, tempat duduk penumpang bahagian depan aku tuju. Pintu aku buka.

Kakak di sebelah hanya senyum. Aku pula buat tidak peduli. Malas mahu ambil pusing.

Kereta yang di pandu kakak akhirnya bergerak pergi.

"Adik lapar tak? Nak makan?"

"Boleh tahan la. Lapar juga. Ingat kakak ambil awal pagi tadi. Adik hanya makan roti je,"

"Alah kesiannya adik sayang kakak ni. Kita pergi makan dulu ea. Ermmm. Kita jalan dekat mall nak tak? Makan dekat area situ. Lepastu baru kita balik,"

Aku malas nak membantah. Elok-elok mood kakak sedang okey, disebabkan aku tidak setuju lain pula jadinya nanti. Aku hanya mengangguk.

"Okey. Cantik,"

Lokasi dan tempat makan hanya kakak yang tentukan. Aku tidak berapa mahir selok-belok Kuala Lumpur.

"Okey jom!"

Sebaik sahaja kereta di parking, kami pun turun dari kereta. Pintu masuk utama mall kami lalu. Memang besar dan gah. Kakak sedari dari berjalan memegang lengan aku. Aku agak kekok. Tidak pernah aku serapat itu dengan kakak. Biasanya kami seperti anjing dengan kucing.

Kakak memilih Restoran Kenny Rogers Roaster. Aku hanya mengikut memandangkan kakak yang belanja.

Setelah makan di oder, aku hanya diamkan diri. Tidak tahu mahu berbual apa dengan kakak.

"Adik sihat?"

Mungkin sekadar berbasi-basi.

"Sihat. Kakak?"

"Alhamdulillah. Sangat sihat. Tengoklah badan kakak yang besar ni,"

Oh! Sedar diri tu dah gemok. Hanya terluah di idalam hati.

Aku hanya senyum.

"Jelas sangat," luahku bersahaja.

"Adik macam tak selesa je?"

"Eh! Mana ada. Adik okey je,"

Memang aku tak selesa cara kakak layan aku. Nampak seperti berpura-pura. Lebih baik macam dulu. Kakak lebih jujur. Sekarang semuanya seperti lakonan. Apa yang kakak mahu sebenarnya.

Tidak lama kemudian, makanan yang kami pesan pun sampai. Aku makan dengan lahapnya. Ialah dari pagi hanya sempat menjamah roti kosong sahaja. Ini semua kakak punya angkara. Ingatkan datang awal. Hampir pukul 1 tengah hari juga baru kakak muncul.

betul ke tekaan damia? kakak dia ada agenda? korang rasa macam mana? pelikkan.. dari gaduh-gaduh tetiba layan baik jek... hurrmmm.. kalau betul ape agenda die?? cer korang teka... okey tak kalau satu hari satu chapter??? terima kasih korang sebab suruh ilham balik. terkejut ilham sampai waktu hujan turun lebat. habis lencun dia. nasib baik dia x demam... hahahaha...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience