Sesi pujuk memujuk masih lagi berjalan. Aku tidak tahu mahu beri apa alasan lagi. Macam-macam alasan aku beri, semua dengan mudah di jawab Sharil. Ishh! Payahnya nak tolak.
"Bila semi final tu?"
"Sebulan dari sekarang,"
"Hah! Cepatnya,"
"Aah. Itulah masalahnya,"
"Kau sempat ke nak buat design baru untuk semi final nanti?"
Saja aku berbasi-basi.
"Sempat je. Sebab aku dah ada satu baju tu. Tapi tu lah. Bukan itu masalahnya,"
Aku mengeluh panjang.
"Berapa hari nanti pergi sana?"
"Kalau untuk semi final dua hari. Tapi kalau aku tercalon sampai ke final diorang extended lagi tiga hari. Jadi total lima hari,"
"Kau ni macam yakin je sampai ke final,"
Aku sengaja menduga tahap mana keyakinan lelaki itu.
"Aku yakin kalau kau yang peragakan rekaan aku,"
Huh! Lemah betul dengar ayat ni.
"Kalau sampai ke final lima hari. Kita nak duduk mana? Bukan setakat final. Untuk semi final tu. Kau ada tempah hotel ke atau apa-apa tempat penginapan?"
"Yang tu semua kau jangan risau. Pihak penganjur dah sediakan semua. Kau jangan risau tentang tu. Yang penting sekarang kau nak tak terima tawaran aku,"
Huh! Aku tersepit sebenarnya.
"Aku tak pandailah Shah. Mesti kena naik atas stage kan? Jalan catwalk bagai. Pakai high heels lagi. Aku mana pandai semua tu. Kau tau kan pakaian aku macam mana. Jeans, t-shirt, kasut converse. Mana pakai dress bagai ni,"
Aku cuba mengelak sehabis mungkin.
"Itu kau jangan risau. Majlis tu lagi sebulan okey. Kita ada masa 30 hari lagi untuk berlatih. Aku sendiri akan ajar kau dari A sampai Z. So aku boleh train kau semua tu. Okey. Deal?"
Aku sudah mati kutu untuk beri alasan apa lagi. Lelaki di hujung talian ini benar-benar berusaha dan tidak main-main dengan tawarannya. Aku buntu. Benar-benar buntu.
*****
"Mia! Betul ke kau nak tolong Shah?"
Diana bertanya. Ketika itu aku, Sharil, Diana dan Alia sedang lepak santai di rumah sewa milik Alia dan Diana. Begitulah kami. Jika tidak di restoran, sama ada di butik Sharil atau di studio photo ataupun dirumah sewa milik Alia dan Diana kami mengadakan pertemuan. Hari ini Alia masak menu istimewa dan mengundang aku serta Sharil datang bersama. Emma dan Aina tidak dapat sertai kerana Emma ada urusan keluarga manakala Aina pula ada kerja di luar kawasan.
"Tolong apa? Maksud kau?"
"Alaaa kau ni. Kura-kura dalam perahu betul,"
Aku bingung. Aku memandang Sharil yang sedang duduk santai di sofa. Aku mengambil satu bantal sofa yang agak kecil lantas membaling ke arah Sharil. Dia sepertinya tidak mendengar soalan Diana tadi.
"Oh mak kau jatuh meletup!"
Aku tidak tahu pula si Sharil ni melatah. Habis satu rumah ketawa mendengar dia melatah teruk.
"Aku tak tahu pula yang kau ni melatah,"
Kata aku dalam tawa yang masih bersisa. Terasa tegang urat perut ketika ini. Air mata yang tiba-tiba terbit dek kerana ketawa teruk itu aku kesat.
"Aah. Tapi tak lah teruk. Janji jangan ada orang kacau aku. Kau ni kan Mia! Tak pasal-pasal diorang tahu sisi gelap aku tau,"
Sharil menjeling tajam ke arah aku. Aku tahu dia hanya bergurau.
"Kenapa kau baling aku bantal ni? Aku buat serangan balas nanti baru kau tau. Orang sedap-sedap tengah layan movie ni, kacau je,"
Di kaca TV sedang menayangkan movie The Matrix. Seronok juga sambil duduk-duduk santai ramai-ramai macam ni, layan movie, makan kerepek dan makanan junk food. Minum pula air bikarbonat, ais. Perh! Boleh layan beb.
"Tak aku tak faham soalan Diana tu. Tu minta penjelasan kau. Kau cerita apa kat dia?"
Aku sengaja menjengket-jengketkan kening.
"Oh! Pasal pertandingan tu lah. Diorang semua dah tau. Kau ni pun Diana, pecah lobang kenapa?"
"Aku saja je tanya Mia. Sebab aku tengok korang relaks je. Macam tak ada apa-apa yang nak dirisaukan,"
"Relaks kau cakap? Dah dua minggu aku ulang alik dari rumah aku ke sini semata-mata nak belajar bermacam-macam teknik dengan si Shah ni. Penat weh! Mana nak jumpa client. Kejar masa jumpa Shah. Buat editing lagi. Lari semua jadual aku gara-gara lelaki bertuah ni la,"
Aku membebel dengan panjang lebar. Jika tidak kerana tawaran bayaran yang lumayan berserta pakej tidur hotel yang di taja, aku sendiri tak nak susahkan diri aku seperti ini. Plus duit minyak selama tempoh aku ulang-alik ni pun di bayar Sharil. Penat yang berbaloi orang kata.
Diana dan Alia hanya ketawa mendengar leteran aku. Sharil juga ikut tersengeh seperti kerang busuk.
"So semua on track lah ye,"
Alia pula mencelah. Aku memang akui Alia memang pandai memasak. Buktinya kini aku, Sharil dan Diana seperti ular kekenyangan yang sedang duduk menjalar. Benar-benar sedap masakan Alia walaupun hanya sekadar nasi ayam berempah, namun menu tersebut benar-benar membuat anak-anak cacing dalam perut aku kekenyangan.
Aku sekadar mengangguk sebagai balasan membalas soalan Alia. Perut aku benar-benar terasa ketat kerana berpinggan-pinggan juga makanan aku makan tadi. Dengan makanan ringan dan air ni lagi. Huh!
"Mesti seronokkan? Arissa Damia berada di atas pentas sebaris dengan model-terkenal di seluruh Malaysia. Entah-entah model-model seluruh Asia. Wow!"
Berangan je si Alia ni. Namun ada benar juga kata-kata Alia. Aku sendiri tidak terfikir tentang itu kerana hati aku lagi berdebar akan perkara yang bakal terjadi setelah sekian lama aku tidak menjejak kaki ke Kuala Lumpur.
"Shah! Aku dengan Diana nak join sekali boleh. Selain perserta, orang lain boleh join tak majlis tu nanti?"
"Boleh je. Contoh macam ahli keluarga terdekat. Aku ada tiga tiket VVIP. Setiap peserta akan diberikan satu meja yang diduduki oleh ahli keluarga terdekat atau kenalan dalam empat ke lima orang macam tu,"
Sharil menerangkan. Aku pun baru tahu tentang itu.
"Oh ye ke! Best lah kalau macam tu. Maknanya nanti kitaorang akan satu table dengan kau dan Mia lah kan?"
"Ye! Tapi pihak penganjur tidak sediakan penginapan untuk korang. Hanya peserta je di taja. So kalau korang nak join, kena sediakan duit siap-siaplah. Tapi.. korang boleh ke cuti sampai lima hari?"
Aku hanya diam sahaja mendengar sesi perbincangan Alia dan Sharil. Diana juga hanya menjadi pendengar. Kami berdua tekun melihat ke arah dua tubuh yang sedang rancak berbincang.
"What's? Lima hari? Bapak lama,"
Diana yang sedari tadi senyap akhirnya bersuara.
"Aah. Mamat ni lah. Pasang angan-angan tinggi sangat nak sampai ke final katanya. Semi final pun aku tak rasa lepas, lagi nak ke final. Tinggi harapan dia ni. Takut aku,"
Giliran aku pula bersuara.
"Tak apalah. Berangan tu kan free. Lagipun kata-kata tu kan satu doa juga. So korang doakan lah aku sampai ke final. Tak menang pun tak apa. Janji aku tahu design aku setanding pereka-pereka yang terkenal kat luar sana. Aku ni kan ikan bilis je. Kat luar sana kebanyakkannya ikan-ikan jerung. So bagilah peluang ikan bilis ni mara ke hadapan pula. Asik kena makan dengan ikan jerung je kan?"
Aku, Alia dan Diana mengangguk-angguk tanda faham.
"Amin. Minta-minta kawan aku ni sampai ke final,"
Kami sama-sama mengaminkan doa Alia.
"So korang boleh ke cuti lima hari? Kalau boleh, nanti kita pergi sekali jalan. Duit minyak.. tol.. kita tong-tong. Apa macam?"
"Aku tak ada masalah kot. Sebab anual leave aku ada banyak lagi. Kau macam mana Diana?"
Mata kami semua tertumpu pada Diana pula.
"Err... Rasanya annual leave aku pun banyak,"
"So kira jadilah ni ea,"
Semua menganggukkan kepala dengan pertanyaan Sharil.
"Kau kata ada tiga tiket kan? Aku dan Diana dah dua, lagi satu siapa?"
Aku nampak Sharil hanya tersenyum dengan soalan Diana.
"Jeng.. jeng.. jeng. Korang tunggu je lah nanti. Surprise!"
Segaris senyuman terlihat di bibir lelaki lembut itu. Siapa agaknya gerangan pemilik lagi satu tiket tu ea?
*****
Hati aku berdebar-debar hebat ketika ini. Lagi tiga hari majlis itu akan diadakan. Aku bukan risau apa yang akan jadi nanti tetapi aku risau aku tidak dapat mengawal perasaan aku setelah aku menjejak kaki ke Kuala Lumpur. Minta-minta tiada siapa tahu aku ke sana. Sama ada abang Danish ataupun keluarga aku. Malah bertemu Dahlia juga aku minta di jauhkan.
Untuk ke Kuala Lumpur nanti kami akan menaiki satu kereta sahaja milik Sharil jenis Toyota Estima. Jangan tak tahu. Sharil memiliki tiga jenis kenderaan dari harga yang murah, sama brand kereta aku hinggalah paling mahal iaitu Mazda CX-5 2.5 Turbo.
Diana dan Alia pula menaiki kereta yang berasingan kerana memandangkan banyak barang yang perlu Sharil bawa untuk sesi peragaan nanti. Jadi tidak muat jika ramai-ramai menaiki satu kenderaan sahaja.
Segala persiapan telah pun aku dan Sharil siapkan lebih awal. Menurut Sharil untuk semi final aku akan gayakan busana pengantin jenis ball gown yang bertemakan songket. Semua ini adalah hasil idea kreatifnya sendiri. Dan aku orang pertama yang akan menyarung design eksklusif tersebut.
Seperti sebuah penghargaan terbesar pula aku rasa bila aku sendiri akan peragakan rekaan kawan sendiri. Untuk final pula jika diberikan rezeki, aku akan menggayakan hasil rekaan specialnya pula. Tema apa, itu rahsia katanya. Nak tahu. Kena doa banyak-banyak supaya sampai ke final. Boleh macam tu ea?
Segala teknik di atas pentas telah pun aku pelajari sepenuhnya malah aku sendiri sudah mahir berjalan menggunakan high heels tujuh inci. Malah jika suruh aku berlari pun aku mampu dengan ketinggian kasut seperti itu.
Cara teknik naik tangga, turun tangga hinggalah berjalan catwalk sudah pun aku mahir sepenuhnya. Malah cara memek muka juga aku turut belajar. Bagaimana cara berinteraksi dengan penonton di bawah pentas. Cara pandangan mata dan macam-macam lagi. Aku juga pening untuk mengingati satu persatu.
Segalanya aku belajar dari Sharil dan contoh-contoh video peragaan juga ditunjukkan kepada aku. Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu sahaja aku mahir keseluruhannya.
Share this novel