SEAWAL pukul 7 pagi lagi Nadia sudah bersedia untuk bertolak ke lapangan terbang. Jadual penerbangannya berbaki dua jam lagi. Noah mengarahkan Nadia untuk bertolak terlebih dahulu dengan menaiki kapal terbang. Noah pula akan menyusul dengan memandu sendiri ke Bandar Serra.
"Tapi, aku risaulah, Noah. Kau yakinkah dia nak ikut aku? Dahlah kitorang tak kenal. Kau pun sendiri cakap yang dia tu tak suka bergaul dengan orang yang dia tak kenal," luah Nadia, bimbang.
"Tak apa, kau pujuk aje dia. Kalau dia tak nak ikut pun, pastikan dia masih dalam rumah perlindungan tu. Jangan biarkan dia keluar dari situ selagi aku tak sampai," pesan Noah.
Nadia hanya mampu menurut. Beberapa minit kemudian barulah dia bertolak ke lapangan terbang. Selang sejam kemudian barulah Noah bertolak dengan memandu kereta sendiri. Sepanjang perjalanan, Noah tak henti memikirkan Maria, berharap semoga Maria mahu mengikuti Nadia keluar dari tempat itu.
Dia tahu, Aryan tidak akan berdiam diri selagi tidak menemui Maria. Itulah hal yang paling ditakuti oleh Noah. Entah apa lagi yang akan Aryan lakukan jika dia sudah menemui gadis itu.
MARIA yang baru mahu keluar dari pagar utama terus terhenti saat ditegur oleh Puan Raiha, pengurus Yayasan Arraudah. Wanita itu sedang menyiram tanaman di sekitar halaman Arraudah bersama beberapa penghuni yang lain.
"Maria nak pergi mana?" Soal Puan Raiha seraya mendekati Maria.
"Nak ke pekan kejap, umi. Ada barang nak beli," kata Maria.
"Oh, kejap. Umi panggilkan Pak Tam. Biar dia yang hantar kamu ke pekan." Puan Raiha sudah mahu beredar namun Maria menghalangnya.
"Tak payah, umi. Dekat aje pekan tu. Lagipun saya bukan nak beli banyak barang pun." Maria terpaksa menolak. Tidak mahu menyusahkan Pak Tam hanya kerana mahu menghantar dirinya.
"Betul ni? Atau umi suruh Mak Lang temankan Maria, nak?" Puan Raiha memberi cadangan lagi. Dia bimbang jika Maria keluar sendirian. Bukan sahaja Maria, mana-mana wanita hamil yang menumpang di rumah itu tidak akan digalakkan keluar sendirian tanpa berteman.
"Tak apa, umi. Saya boleh sendiri. Umi jangan risau, ya." Maria terus meraih tangan Puan Raiha kemudian dikucup lembut.
"Jangan apa-apakan cucu umi, tau," pesan Puan Raiha lembut namun begitu menyentak Maria. Gadis itu faham akan maksud Puan Raiha. Masakan tidak, Maria pernah ketahuan mahu menggugurkan kandungan saat bertanya tentang klinik yang menyediakan khidmat menggugurkan kandungan kepada penghuni yang lain. Untung sahaja penghuni rumah itu menceritakanya kepada Puan Raiha.
"Jangan ambil hak dia untuk hidup di dunia ni. Jangan ambil kerja tuhan. Hanya Dia yang berkuasa menghidupkan dan mematikan makhluk mengikut kehendakNya."
Maria mengetap bibir seketika. Begitu tertampar dengan kata-kata Puan Raiha. Dia semakin dilanda rasa bersalah. Niatnya mahu keluar pagi itu tidak lain, hanya mahu mencari klinik untuk menggugurkan kandungannya.
"Kalau betul Maria tak salah, anak ni pun tak salah. Kalau betul Maria hanya mangsa, jangan sampai anak ni pun jadi mangsa," pesan Puan Raiha lagi.
"Hati-hati. Balik sebelum solat zohor, ya." Bahu Maria disentuh lembut sebelum tangannya turun mengusap perut gadis itu. Berharap agar sang ibu tidak memghukum dengan tangan sendiri.
Maria tak lagi berkata-kata. Hanya senyuman mendatar yang dipamer sebelum beredari dari situ.
Dengan menaiki bas, Maria menuju ke pekan yang mengambil masa 15 minit dari rumah perlindungan itu.
SEPANJANG menyusuri kaki lima premis, Maria begitu terganggu dengan pesanan Puan Raiha. Jujur, mulai timbul rasa simpati pada nasib kandungannya jika berjaya digugurkan nanti. Tetapi, dia juga tidak mahu menanggung aib jika melahirkan tanpa suami.
Sesaat, langkahnya terhenti di hadapan sebuah kedai menjual pakaian bayi. Serta merta, hatinya dilanda sebak. Sungguh comel baju-baju yang tergantung di premis tersebut. Pasti lebih comel jika anaknya juga mengenakan pakaian itu. Tidak sedar, tangan mengusap perut sendiri. Timbul satu perasaan di dalam hati yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan.
Tidak lama itu, sepasang suami isteri keluar dari premis tersebut bersama beg plastik di sisi mereka. Yang pastinya, mereka baru sahaja selesai berbelanja pakaian bayi. Begitu lebar senyuman wanita yang sedang berbadan dua itu. Ditemani suami berbelanja untuk keperluan bayi mereka.
Sebahagia itukah didampingi suami tercinta saat berbadan dua? Haruskah dia kembali pada Aryan dan menjalani hidup bersama lelaki itu?
Setelah puas merenung pakaian bayi, Maria mulai menapak pergi. Belum pun beberapa langkah, Maria menoleh ke belakang seketika. Kelihatan dua orang lelaki sedang berjalan menghampirinya. Kedua-dua lelaki itu mengenakan pelitup muka dan bertopi serba hitam.
Tanpa ragu, Maria melanjutkan perjalanannya. Sesaat, dia terhenti sewaktu bahunya disentuh lembut. Sebaik menoleh, seorang wanita sedang berdiri di sisinya dengan senyuman manis di bibir.
"Ya?" Soal Maria, polos. Kelibat dua orang lelaki yang tadi mengekorinya tadi sudah tidak kelihatan lagi.
"Maria, kan?" Soal Nadia. Senyumannya mulai melebar. Tidak sangka, akhirnya dia bersua muka juga dengan Maria. Wanita yang sudah mencuri hati abangnya.
"Boleh kita berbual, sekejap?" Soal Nadia, sedikit gugup. Bimbang jika Maria menolak berbicara dengannya.
"Em." Maria terdiam sejenak. Wajah wanita itu sangat tidak asing baginya. Namun, dia tidak pernah pun bertemu wanita itu sebelum ini.
"Boleh." Akhirnya Maria setuju. Maka, mereka berdua menuju ke taman awam yang terletak tidak jauh dari situ.
"Cik ni siapa?" Soal Maria tanpa basa basi. Tidak suka tertanya-tanya.
"Sebelum tu, saya nak awak tenang dulu. Apa pun yang saya cakap lepas ni, saya harap awak tak marah," ujar Nadia tenang, cuba untuk membuang rasa gugupnya.
Maria semakin dihimpit tanda tanya.
Hampir beberapa saat, barulah Nadia memulai bicara.
"Sebenarnya, Noah yang suruh saya datang sini," maklum Nadia akhirnya.
Serta merta, wajah Maria berubah. Keningnya mulai berkerut menandakan dia sudah mulai tidak senang hati.
Sesaat, Maria bingkas bangun dari duduknya.
"Tunggu dulu!" Dengan pantas, Nadia menggenggam pergelangan tangan Maria.
"Saya tak nak dengar apa-apa! Bagitahu Noah, jangan ganggu saya lagi!" Maria merentap tangan dari genggaman Nadia kemudian beredar dari situ.
Nadia mengeluh panjang. Dia sudah dapat mengagak perkara ini akan terjadi. Akhirnya, Nadia pun beredar dari situ. Dia terpaksa menunggu abangnya. Ada berbaki 4 jam lagi sebelum lelaki itu tiba.
Azan berkumandang menandakan waktu zohor sudah tiba. Penghuni Yayasan Arraudah sudah bersedia untuk menuju ke surau. Maria pula masih terbaring di atas katilnya. Pertemuan dengan Nadia pagi tadi membuatkan dirinya semakin bimbang. Tidak sangka Noah dapat menjejakinya hingga ke situ.
Beberapa minit kemudian, barulah Maria menunaikan solat zohor sendirian di bilik itu. Setelah selesai, dia kembali ke katil. Aktiviti yang diadakan petang itu tidak jadi diikuti. Fikirannya masih terganggu dengan kehadiran Nadia. Hampir beberapa minit gundah di atas katil, akhirnya Maria tertidur jua.
TEPAT pukul 3 petang, Noah tiba di Bandar Serra.
"Aku dah cakap, dia tak nak ikut aku," keluh Nadia, yang begitu kesal di sisi abangnya.
"Jangankan ikut, dengar cakap aku pun tak nak. Aku baru sebut nama kau, dia dah baran," sambung Nadia lagi.
Noah yang sedang bersandar hanya mampu mendengar keluhan adiknya.
"Baik kau jujur. Kalau betul kau sayang dia, kenapa dia tak nak jumpa kau? Kalau betul selama ni kau yang ada dengan dia, kenapa dia marah sangat bila dengar nama kau?" Nadia tahu, ada sesuatu yang terjadi membuatkan Maria turut marah pada abangnya.
Noah mengeluh panjang. Sebenarnya, dia tidak menceritakan tentang dirinya yang hampir menodai Maria dahulu.
"Noah! Baik kau cakap! Kalau kau berahsia, macam mana aku nak tolong?!" Lengan abangnya ditumbuk saat lelaki itu termenung jauh.
Noah meraup wajah diiringi keluhan panjang. Akhirnya, dia terpaksa menceritakan apa yang pernah dia lakukan sehingga Maria membawa diri pergi jauh darinya.
Share this novel