TUBUH Aryan terhumban ke belakang sebaik perutnya terkena tendangan dari Noah.
"Kau memamg tak serik-serik, kan!" Noah sudah menggenggam kedua-dua penumbuknya. Dada juga sudah berombak laju.
Aryan tertawa besar. Sengaja mahu memprovokasi Noah.
"Serik? Apa yang boleh buat aku serik?" Aryan bangun kembali sambil membersihkan punggungnya.
"Buat apa lagi kau cari Maria?! Tak cukup lagikah Aryan?! Dia lari daripada kau sebab dia terseksa!"
"Aku masih bagi kau peluang untuk hidup hari tu. Jangan sampai aku belasah kau sampai tak bernyawa dekat sini!" Jari Noah tajam menuding ke arah Aryan.
"Kau tak mampu, Noah," kata Aryan, sinis.
"Tak, Aryan. Kali ni aku tak akan berlembut dengan kau. Aku akan cari Maria dulu. Lepas tu aku akan pastikan kau meringkuk dalam penjara!" Noah begitu tekad dengan kata-katanya. Dia harus memastikan Aryan disumbat ke dalam penjara.
"Apa bukti yang aku rogol Maria? Dia sendiri pun tak boleh buktikan yang aku rogol dia," balas Aryan begitu yakin.
"Kau nak kesaksian dari Yana? Dia sendiri tak rela kalau suami dia masuk ke dalam penjara. So, apa bukti yang kau ada?" Soal Aryan, angkuh.
Noah maju dan terus mencengkam leher baju Aryan.
"Kalau aku tak boleh sumbat kau ke dalam penjara, aku akan pastikan kau dapat balasan yang setimpal dekat luar, Aryan!"
"Balasan? Kalau betul balasan tu ada, aku dah lama kena, Noah. Tapi tak. Malahan, aku dapat Maria." Aryan sengaja menggigit bibir bawahnya. Teringat kembali betapa puasnya dia sudah mendapatkan tubuh gadis itu.
Perbuatannya membuatkan Noah semakin berang. Pasti lelaki itu sedang membayangkan perbuatan jijik yang pernah dia lakukan.
"Kau nak tahu siapa yang paling rugi?" Soal Aryan dengan senyuman sinisnya.
"Kau," bisiknya lalu tertawa.
"Sekalipun kau dapat Maria, yang tinggal untuk kau cuma sisa-sisa aku..."
Serta-merta, Aryan terbaring di atas tanah selepas ditumbuk oleh Noah.
"Aku semakin yakin nak jauhkan Maria dari kau. Dalam otak kau tu cuma nafsu. Bukan cinta!" Tempelak Noah.
Sempat meludah Aryan yang sedang terbaring sebelum beredar dari situ.
SEAWAL pagi lagi Nadia sudah muncul di rumah abangnya. Noah saat itu sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Sebentar lagi dia akan berangkat ke pejabat.
"Kau dari mana semalam? Aku singgah dekat sini tapi kau tak ada." Nadia menyicip nasi goreng buatan Noah di atas meja.
"Jumpa Aryan," kata Noah yang sedang membancuh seteko kopi kosong.
"So, dia macam mana? Masih cari Maria juga?" Soal Nadia.
Selesai membancuh kopi, Noah menyertai adiknya di meja makan.
"Masih. Dia pun tengah upah orang untuk cari Maria. Jadi, kita tak boleh berlengah lagi. Aku risau dia jumpa Maria dulu sebelum kita." Nasi goreng mulai dikaut ke dalam pinggan lalu dijamah.
"Tak sangka korang boleh jadi musuh macam ni, kan. Hanya gara-gara seorang perempuan," tutur Nadia tak habis fikir. Dia sendiri menyaksikan persahabatan Noah dengan Aryan yang dahulunya begitu erat. Kini, semuanya kandas hanya kerana seorang wanita.
"Aryan sepatutnya sedar yang dia dah beristeri," ujar Noah sambil menikmati sarapan paginya.
Nadia mengangguk, setuju. Dia juga tidak menyangka bahawa Aryan akan mengkhianati isterinya.
Bunyi telefon bimbit Nadia mengganggu perbualan mereka. Sebuah pesanan ringkas muncul di skrin telefon bimbit wanita itu.
Nadia yang sedang duduk santai akhirnya menegakkan duduknya sebaik sebuah gambar terpampang di skrin telefon bimbitnya.
"Noah..." panggil Nadia. Skrin telefon bimbit dihala ke arah Noah.
Hampir beberapa saat, Noah juga menegakkan duduknya. Matanya tak berkedip meneliti gambar wanita di dalam telefon bimbit adiknya.
Walaupun menggunakan pelitup muka, Noah begitu kenal dengan sosok wanita itu.
"Maria?" Soal Nadia mahukan kepastian. Abangnya pasti lebih tahu bagaimana fizikal seorang Maria.
Noah akhirnya mengangguk perlahan. Matanya kini merenung perut Maria yang sudah semakin ketara. Serta merta, Noah dilanda sebak. Bagaikan seorang suami yang akhirnya menemui isteri yang selama ini di cari-cari.
"Di mana?" Soal Noah.
Nadia meletak kembali telefon bimbit di atas meja.
"Bandar Serra. Lebih kurang 8 jam pemanduan dari sini," jelas Nadia.
Noah tersandar pada kerusinya. Entah apa yang Maria lalui sepanjang menyembunyikan diri. Yang pasti, gadis itu melaluinya sendirian.
"Dah dapat lokasi dekat mana dia tinggal?" Soal Noah lagi.
"Belum, kawan aku masih ekori dia. Sebaik dapat lokasi, diorang akan terus inform dekat aku."
Noah mengusap wajah tanda bersyukur. Sekurang-kurang, Maria sudah ditemui. Sekarang, mereka cuma perlu mencari tahu di mana gadis itu tinggal.
RUANGAN bilik yang memuatkan 20 katil bertingkat kini sudah mulai sunyi. Semua penghuni Yayasan Arraudah sudah melelapkan mata. Namun, Maria masih celik di tempat tidur sambil mengiring ke sisi.
Perut yang sudah mengijak usia 6 bulan itu membuatkan Maria tidak selesa untuk baring menelentang. Tulang belakangnya pasti terasa sakit.
Sesekali, tangan akan naik mengusap perut yang semakin membuncit. Sudah kebiasaan sejak kandungannya membesar. Walaupun begitu, niat untuk menggugurkan kandungan masih terus bermain di fikirannya.
Dia ingin pulang ke rumah sebaik kandungannya digugurkan. Begitu rindu pada kedua-dua orang tua serta adik-adiknya. Sudah pasti mereka juga merindukan dirinya. Sudah 6 bulan mereka tidak bersua muka.
SUBUH itu, Maria bangun lebih awal. Biasanya dia akan terbangun saat azan subuh berkumandang dari surau yang terdapat dalam pusat perlindungan itu. Tetapi, disebabkan perutnya terasa memulas, dia terpaksa bangun lalu menuju ke tandas yang terletak di luar bilik.
Selesai membuang air besar, Maria keluar semula dari tandas tersebut. Belum pun beberapa langkah, matanya tertangkap satu pergerakan dari luar pagar pusat perlindungan itu. Penglihatannya tidak jelas dek rumput yang tinggi serta sedikit terlindung dengan pohon-pohon yang rendang. Suasana saat itu juga masih terlalu gelap.
Hampir beberapa saat memerhati, kelihatan seorang lelaki keluar dari semak samun dan terus beredar dari situ. Maria mulai diserbu rasa takut. Entah manusia atau makhluk halus, dia juga tidak pasti. Tanpa berlengah dia kembali semula ke bilik.
Sebaik azan subuh berkumandang, barulah dia turut ke surau untuk menunaikan solat subuh.
Semenjak tinggal di situ, ibadahnya mulai terjaga. Dia sedar akan dirinya yang begitu lalai dalam menjalankan ibadah. Selama ini dia terlalu sibuk mencari rezeki sehingga kewajipannya terabai. Mungkin, inilah balasan kerana terlalu jauh dari tuhannya.
Selesai solat, kuliah subuh pula akan diadakan. Pendek kata, seharian mereka diisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Sedikit sebanyak, Maria tidak terlalu terbeban dengan memikirkan keadaan dirinya.
Selain itu, dia juga mengikuti kursus jahitan. Sudah ada beberapa helai pakaian yang dihasilkan sendiri. Sejak hari itu, dia menanam impian mahu membuka butik sendiri suatu hari nanti.
SEBUAH van putih berhenti tepat di hadapan Yayasan Arraudah. Sudah beberapa hari ini van putih tersebut muncul di hadapan rumah perlindungan itu tanpa disedari oleh penghuninya.
Share this novel