"WHAT?!" Nadia tegakkan duduk. Deruan nafasnya mulai kasar diiringi dada yang berombak laju.
Bagai tak percaya dengan pengakuan abangnya. Tidak sangka Noah bertindak melakukan hal jijik itu ke atas Maria. Walaupun tidak sempat berlaku, namun abangnya sudah berniat buruk.
"Patutlah dia baran gila-gila dengan kau!" Nadia kembali tersandar pada kerusi seraya menyelak kasar rambutnya ke belakang.
"Ya, aku salah. Sebab tu aku nak tebus kesalahan aku," ucap Noah perlahan.
"Senang aje kan. Salah, tebus. Macam tu?!" Tengking Nadia.
"Tapi aku tak sentuh dia pun. Aku just..." Noah kehilangan kata-kata.
"Okay fine! Aku salah! Tapi aku tak teruskan perbuatan aku. Aku stop sebelum semuanya terlambat." Noah masih cuba menegakkan benang yang basah.
"Tak! Kau stop sebab dia terus terang yang Aryan rogol dia. Kalau tak?!... kau pun sama!" Penumbuk Nadia hinggap di cermin kereta Noah. Untung sahaja tidak pecah.
"Dahlah, Noah. Sia-sia aje kita datang sini! Aku dah tahu dia tak akan ikut kau! Susah-susah dia jauhkan diri dari Aryan, buat apa dia ikut kau kalau kau pun dah pernah berniat nak rosakkan dia?!" Nadia cuba keluar dari kereta namun Noah menghalangnya.
"Please, Nadia! Tolong aku kali ini!" Noah sudah separuh merayu. Hanya Nadia harapan yang dia ada.
"Kalau akulah jadi, Maria. Bunyi nafas kau pun aku tak nak dengar!" Tempelak Nadia.
"Okay, fine! Aku minta maaf," ucap Noah. Dia harus meyakinkan adiknya bahawa dia benar-benar menyesal.
"Minta maaf dengan aku buat apa?! Minta maaf dengan Maria!" Kemarahan Nadia benar-benar sampai ke penghujung.
"Okey, okey! Jangankan minta maaf, aku akan berlutut depan dia! Puas hati?!" Noah menghela nafas panjang. Lelah berlawan mulut dengan adiknya.
"Tolong aku kali ni, Nadia. Kita kena lindungi Maria dari Aryan. Kalau kau tak nak aku ganggu Maria lepas ni, okey. Aku akan jauhkan diri. Tapi, kita kena bawa dia ke tempat yang lebih selamat," pujuk Noah lagi.
"Tempat selamat? Dekat mana? Sedangkan kau pun tak mampu lindungi dia," perli Nadia begitu sinis.
"Please, Nadia. Aryan pun akan sampai sini tak lama lagi." Noah semakin bimbang.
"Last! Ini last aku tolong kau. Kalau Maria tak nak, aku tak akan paksa dia! Tak ada perempuan yang nak jatuh ke tangan perogol dia!" Bentak Nadia semakin beremosi.
Noah meraup wajah dengan kasar. Begitu tertampar dengan perkataan 'perogol' dari adiknya.
"Aku tak rogol dia, Nadia! Aku sempat berhenti sebelum semuanya lebih teruk!" Untuk kesekian kalinya Noah membela diri.
"Samalah tu!" Bentak Nadia. Baginya, Noah sudah berniat melakukan hal yang fatal!
"Kau nak tahu tak?!..." Nadia merenung abangnya dengan begitu tajam.
"Aku jijik dengan kau sekarang ni! Aku tak pernah rasa sejijik ini dengan abang aku sendiri!" Nadia segera mengenakan tali pinggang keledar kemudian berpeluk tubuh.
"Tunggu apa lagi?! Geraklah!" Bentak Nadia.
Tergopoh gapah Noah memperbaiki duduknya sebelum mula memandu ke Yayasan Arraudah.
10 minit kemudian, mereka tiba di hadapan pagar rumah perlindungan itu. Memandangkan waktu sudah petang, penghuni di situ mengisi masa dengan membersihkan halaman. Ada juga yang bersukan untuk mengeluarkan peluh.
"Kau tunggu sini, biar aku yang turun. Itu pun kalau Maria masih nak jumpa aku." Nadia menjeling sekilas sebelum turun dari kereta.
Sebaik tiba di hadapan pagar, dia terus memberi salam. Kebetulan Puan Raiha ada di situ, maka dia pun menjemput Nadia untuk masuk.
"Sebenarnya, saya datang nak jumpa Maria. Boleh panggilkan dia?" Pinta Nadia, sedikit gugup.
Puan Raiha segera memgarahkan salah seorang penghuni untuk memanggil Maria di bilik.
Saat itu, Maria sedang duduk di atas katil sambil termenung ke luar jendela. Dia segera keluar dari bilik sebaik dipanggil. Setibanya di halaman luar, langkahnya terhenti saat melihat Nadia sedang berbual bersama Puan Raiha.
Belum pun sempat beredar, Puan Raiha lebih dulu melihat Maria. Dia segera memanggil gadis itu. Kerana tidak mahu menimbulkan kekacauan, Maria terpaksa menyahut panggilan Puan Raiha.
"Hah, Maria. Awak ada tamu," kata Puan Raiha dengan senyuman lebar. Jarang sekali penghuni di rumah perlindungan itu dikunjungi tetamu. Bahkan kebanyakan ahli keluarga penghuni tidak mahu menemui anak-anak mereka yang ditinggalkan di situ.
"Korang berbuallah dulu, ya." Puan Raiha segera beredar bagi memberi ruang pada kedua-dua mereka untuk berbual.
"Untuk apa lagi awak datang sini?" Soal Maria acuh tak acuh. Matanya tidak mahu memandang Nadia. Sehingga saat ini dia tidak tahu siapa nama wanita itu dan apa hubungannya dengan Noah. Pendek kata, dia tidak berminat langsung mahu mengetahui semua itu.
"Kita cari tempat tenang sikit, boleh?" Soal Nadia, lembut. Semakin simpati pada gadis itu selepas pengakuan abangnya sendiri.
Akhirnya Maria beredar lebih dulu lalu diikuti Nadia. Maria memilih pondok berbentuk cendawan yang ada di sudut halaman rumah. Ianya jauh dari penghuni yang lain.
"Cakap, apa yang awak nak." Maria melabuhkan punggung di atas kerusi batu tersebut. Nadia juga ikut duduk tepat berhadapan Maria.
"Saya Nadia." Nadia menghulur tangan untuk bersalaman.
"Hm," balas Maria. Tangan wanita itu disambut kemudian dilepas.
"Noah yang suruh saya datang sini..."
"Untuk?" Maria memintas lebih laju.
"Dia suruh saya pujuk awak... untuk ikut dia," jelas Nadia, sedikit gementar.
Tiba-tiba, Maria tertawa. Lucu dengan ajakan Nadia.
"Kenapa pulak saya nak ikut dia? Jauh-jauh saya datang sini, tiba-tiba pula nak ikut dia. Lucu," perli Maria seraya menggeleng kepala.
"Saya... dah tahu semuanya, Maria. Apa yang berlaku pada awak selama ni... dan apa yang Noah dah lakukan," jelas Nadia yang semakin dihimpit rasa bersalah.
Serta merta, senyuman Maria terhenti. Bererti, Nadia sudah mengetahui perihal dirinya dinodai oleh Aryan.
"Kau siapa sebenarnya? Kenapa Noah suruh kau datang sini?" Soal Maria mulai tak puas hati.
"Saya adik Noah."
Riak wajah Maria berubah. Dia terdiam sejenak untuk menghadam pengakuan Nadia.
"Saya minta maaf atas apa yang abang saya dah buat pada awak. Jujur, saya pun marah waktu dia bagitahu perkara sebenar," luah Nadia dengan mata yang berkaca-kaca.
Maria alihkan pandangan. Tidak mahu termakan dengan air mata Nadia.
"Kalau kedatangan awak semata-mata nak bela abang awak..."
"Tak!" Nadia bingkas bangun lalu duduk di sisi Maria.
"Saya tak bela dia. Saya memang marah dengan perbuatan dia. Tapi, lepas tahu apa yang Aryan buat pada awak, itu lebih membimbangkan saya, Maria." Tangan Maria diraih kemudian digenggam erat.
"Saya tak paksa awak untuk maafkan Noah. Saya cuma sampaikan pesanan dia. Abang saya betul-betul menyesal dengan apa yang dia dah buat. Dia sayangkan awak, Maria," luah Nadia bersungguh-sungguh
"Awak wanita pertama yang dia cintai. Saya nampak keikhlasan dan penyesalan dia. Saya tahu, susah untuk awak maafkan dia. Tapi, awak pun kena faham situasi dia masa tu, Maria." Nadia menarik nafas panjang sebaik air matanya mengalir ke pipi. Semakin sebak setiap kali melafazkan kata-katanya.
"Kalaulah awak cerita semuanya dari mula, Noah tak akan jadi macam tu. Dia lelaki. Dalam situasi macam ni, ego melebihi fikiran waras dia."
"Saya minta maaf juga atas semua hinaan dan cacian dia sebelum ni. Dia paksa awak kawin dengan Aryan, kan. Dia cuma kecewa, Maria. Lagi-lagi dapat tahu yang awak mengandung anak Aryan."
Maria sedari tadi berendam air mata. Ya, dia tahu akan kesilapannya kerana tidak berterus terang dari mula. Sikap Noah yang berubah kasar juga memang berpunca darinya.
"Please, Maria. Bagi peluang pada abang saya untuk tebus kesalahan dia. Bagi dia peluang untuk buktikan yang dia memang cintakan awak. Dari dulu sampai sekarang, cinta dia tak pernah pudar walau sedikit pun."
Nadia hanya mampu meyakinkan Maria. Apa pun keputusan gadis itu, Nadia tidak akan memaksa lagi. Maria berhak menolak. Lebih-lebih lagi setelah apa yang Noah lakukan pada gadis itu.
Share this novel