Responsible

Drama Series 9765

SENYUMAN Maria terus mekar sebaik keluar dari pasaraya mini tersebut. Selepas ditemuduga sebentar tadi, akhirnya dia diterima bekerja sebagai pembantu jualan di pasaraya mini itu. Minggu depan dia sudah boleh mula bekerja.

     Dari kejauhan, Noah sedang memerhati gadis itu dari dalam keretanya. Dia tahu, Maria tidak tinggal bersama orang tuanya kerana jarak dari kampungnya agak jauh. Akhirnya, dia mengikuti Maria tanpa gadis itu sedari.

      Hampir sejam berjalan kaki, Maria akhirnya tiba di bangunan bilik sewanya. Sebelum menaiki tangga, dia berhenti seketika di hadapan tangga. Lelah setelah berjalan kaki hampir sejam.

     Noah masih memerhati dari dalam keretanya. Jujur, dia sebak melihat gadis itu. Namun, sakit hatinya tidak dapat dibendung lagi. Dia kecewa. Sungguh kecewa.

     Baru hendak berlalu, dia terlihat Maria berlari menuju ke longkang yang berhampiran lalu muntah di situ. Noah mulai panik. Tanpa berlengah , dia menyambar botol air yang ada di tempat duduk sebelah kemudian segera turun dari kereta dan terus berlari mendekati Maria.

     Belakang gadis itu ditepuk-tepuk lembut.

     Maria tak peduli siapa yang sedang menepuk belakangnya. Dia terus lanjut memuntahkan isi perutnya di situ.

     Sebaik Maria selesai, Noah menghulur botol air miliknya. Maria pantas menoleh. Hampir tak berkedip melihat Noah di sisinya. Setelah mengelap bibir dengan belakang tangan, dia kembali mengatur langkah dari situ tanpa pedulikan pada Noah.

     "Maria, minum. Basahkan tekak tu dulu." Botol air kembali dihulur saat Maria menoleh.

     "Kau buat apa dekat sini?" Soal Maria acuh tak acuh.

     Noah tak menjawab. Tangannya masih menunggu botol itu diambil.

     "Baliklah, Encik Noah. Tak payah susahkan diri dekat sini." Maria larikan pandangan. Bila-bila masa sahaja air matanya boleh mengalir. Sejak kebelakangan ini, entah kenapa air mata mudah sungguh mengalir.

     "Minum." Botol itu dihulur kembali.

Dengan kasarnya, Maria menyambar botol itu kemudian dibuka lalu diteguk hingga separuh. Tekaknya juga memang kering kerana berjalan jauh sedari tadi.

     "Tak payah nak perasan, Maria. Saya memang lalu dekat sini tadi, ternampak pula perempuan tengah muntah," kata Noah terpaksa berbohong.

     Maria mengetap bibir menahan sebak yang semakin menghentam dada. Terguris sungguh hatinya mendengar kata-kata Noah.

     "Dah tahu kan perempuan tu siapa? Apalagi? Jijik? Baliklah!" Maria berpaling sebaik air matanya mengalir. Tidak mahu menangis di hadapan lelaki itu.

     "Nangis pulak. Sendiri buat hal," kata Noah perlahan diiringi tawa kecilnya.

     Maria sudah menggenggam penumbuknya. Semakin sakit hati mendengar lelaki itu berbicara.

     "Dah tahu tak boleh tanggung sendiri, kenapa tak suruh Aryan tanggungjawab?" Soal Noah lagi.

Maria memilih diam. Tidak mahu menimbulkan kekacauan di luar situ.

"Diam? Sebab apa? Sebab kau memang salah, kan?" Noah terus memprovokasi. Semakin puas hati melihat Maria membungkam.

"Baliklah, Encik Noah. Kalau tujuan encik datang sini semata-mata nak sakitkan hati saya, encik dah menang. Baliklah," tuturnya, pasrah.

"Sakit hati? Yang patut sakit hati tu saya, tahu tak?! Awak tipu saya, Maria! Awak bagi saya harapan!"

Maria mengetap bibir menahan sebak. Dia tahu, dia sudah kehilangan peluang untuk bersama lelaki sebaik Noah.

"Habis tu, encik nak saya buat apa sekarang?" Maria berpaling menatap Noah.

"Cakap, Encik Noah nak saya buat apa? Berlutut?" Wajah bengis Noah ditatap dengan mata yang berkaca-kaca.

"Semudah tu kau berlutut? Semudah mengangkang depan Aryan?" Duga Noah, sinis.

Maria palingkan wajah seketika. Sebegitu hinanya dia di mata Noah.

"Encik rasa macam tu? Macam mana kalau sebaliknya? Macam mana kalau saya sebenarnya yang mangsa?"

"Bullshit!" Herdik Noah.

Dia tak percaya. Teringat kembali betapa tenangnya Yana menghadapi kecurangan suaminya. Mana mungkin wanita itu mahu menipu.

"Yana sendiri dah maafkan kamu berdua. Dia sendiri tak nafikan yang kamu berdua suka sama suka. Sekarang ni, kau cakap diri kau mangsa?"

"Kau memang teruk, Maria." Noah berundur perlahan-lahan.

"Kaulah perempuan paling teruk yang aku pernah kenal."

Maria tersenyum.

"Dah tahu, kan. Apalagi, dipersilakan pergi." Tangan sebelah mempersilakan Noah untuk pergi.

Tanpa membuang masa, Noah terus beredar dari situ bersama rasa cinta yang masih tersisa di dada.

HARI pertama bekerja, Maria sudah bertolak lebih awal. Dia harus berjalan kaki yang mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tempat kerjanya.

Waktu kerjanya bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang. Rehat pula pada tengah hari iaitu bermula pukul 12 hingga jam 1 petang. Dia memilih duduk sendirian di belakang premis. Belum biasa bergaul dengan rakan kerjanya. Hanya membeli sebungkus roti serta mineral untuk mengisi perutnya.

Tanpa gadis itu sedari, Noah yang sedang memerhati dari dalam kereta. Sejak bertolak dari bilik sewa lagi Noah sudah mengekorinya. Dia kembali sebaik waktu rehat serta waktu pulang gadis itu.

Jujur dari hati yang paling dalam, Noah bimbang dengan keadaan Maria. Dengan berbadan dua, gadis itu terpaksa hidup sendiri. Harus bekerja untuk menyara kehidupannya.

TIGA BULAN berlalu, alahan Maria semakin kerap menyerang. Berat badannya semakin berkurang dek selera makan yang tidak menentu. Perutnya sudah sedikit timbul namun masih boleh disorok dengan bajunya yang longgar. Noah masih begitu, selalu memerhati Maria dari dalam keretanya. Hanya dia yang mengetahui keberadaan Maria hingga saat ini.

Pukul 6 petang, Maria sudah beredar dari tempat kerjanya. Terpaksa berjalan jauh untuk pulang ke bilik sewanya. Sesekali dia berhenti seketika untuk melepas lelah. Bawah perutnya juga kerap sakit setiap kali berjalan jauh.

Manik peluh di dahi diseka dengan belakang tangannya. Ada beberapa minit lagi sebelum tiba di bilik sewanya.

Noah yang sedang memerhati terus tersedar sebaik telefon bimbitnya berbunyi. Keluhan pendeknya kedengaran sebaik terlihat nama Aryan di skrin telefon bimbitnya.

“Hm?" Sambutnya. Mata masih memerhati Maria yang sedang bersandar pada dinding. Gadis itu kelihatan benar-benar lelah.

“Ada berita pasal Maria?" Soal Aryan.

Noah terdiam sejenak. Sudah beberapa kali Aryan menghubunginya dan bertanya tentang Maria. Namun Noah masih belum berterus terang tentang keberadaan Maria.

“Tak ada. Aku sibuk sekarang ni. Tak ada masa nak cari dia," kata Noah, mendatar.

“Kalau kau ada khabar pasal Maria, terus call aku," tekan Aryan. Dia semakin resah. Sudah berbulan-bulan tidak menemui gadis itu.

Sebaik panggilan dimatikan, Noah turun dari keretanya dan terus mengikuti Maria. Gadis itu sudah kembali melanjutkan perjalanannya.

Tiba-tiba Bella datang menyergah Maria. Tubuh gadis itu ditolak hingga ke dinding premis.

“Hidup lagi rupanya.” Bella mencekak pinggang di hadapan Maria. Gadis itu sedang menahan sakit akibat belakang yang terhentak di dinding.

“Aku ingatkan dah mampus” Bella maju. Maria pula sudah berdiri dengan tegak.

“Kau nak apa?" Soal Maria. Lelah berjalan membuatkan dia malas mahu berdebat dengan wanita itu.

Noah berhenti tidak jauh dari situ. Dia mulai memerhati kedua-dua mereka.

“Kau tanya aku nak apa?" Bella kembali mencekak pinggang.

“Aku nak kau berambus. Pergi jauh dari sini. Pergi ke tempat yang Aryan tak akan jumpa kau, faham?" Tegas Bella.

Maria menghela nafas panjang. Tidak habis-habis nama lelaki itu selalu mendatangkan masalah dalam hidupnya.

“Kenapa pula aku yang nak kena berambus? Aku keluar dari rumah tu pun kau dah patut bersyukur,” tutur Maria masih cuba bersabar.

“Sebab Aryan masih cari kau! Tak habis-habis cakap pasal kau!" Bella menolak bahu Maria namun gadis itu menepis tangannya.

“Aku peduli apa?! Dia cari aku, itu urusan dia! Yang kau sibuk apasal?!" Maria membalas tolakan Bella hingga wanita itu terundur.

Bella tidak puas hati. Dia kembali meluru ke arah Maria kemudian mencengkam rambut gadis itu. Kini, pergelutan mulai berlaku. Maria juga sudah mencengkam rambut Bella.

Noah yang sedang memerhati mulai panik. Lebih tepatnya, dia bimbang dengan kandungan Maria.

“Lepaslah, bodoh! Sakit!" Teriak Bella.

Maria juga sedang kesakitan. Hampir saat minit bergelut, akhirnya Maria menendang perut Bella menggunakan lututnya.

“Argh!" Bella melepas rambut Maria lalu tertunduk memegang perut.

“Sial!" Bella sudah menggenggam penumbuknya. Baru hendak maju, dia terpandang sebatang kayu di kaki lima premis itu. Tanpa berfikir panjang, kayu itu dicapai.

“Kau memang nak kena ajar, perempuan!" Bella mengangkat kayu tersebut. Spontan Maria memegang perutnya.

“Bella! Stop!" Noah terpaksa keluar dari persembunyiannya. Bimbang Bella mencederakan Maria.

Bella tak peduli, dia terus menghayun kayu itu ke arah Maria. Namun untung sahaja gadis itu sempat menangkap kayu tersebut.

“Kau ni dah kenapa, Bella?! Gila!" Teriak Maria. Mereka berdua mulai berebut kayu tersebut.

Hampir beberapa saat bertolak tarik, akhirnya Maria berjaya mendapatkan kayu itu. Dia terus menghayun kayu tersebut ke arah Bella.

Sekelip mata Bella terbaring selepas kayu itu mengenai tubuhnya.

“Argh!" Teriak Bella, kesakitan.

“Maria, stop!" Noah segera menghalang Maria.

“Lepaslah!" Tengking Maria.

Kini, Noah pula mendapat habuannya. Wajah lelaki itu berkerut selepas kayu tersebut mengenai lengannya.

“Sudah, Maria!" Noah terpaksa merentap kasar kayu itu sehingga terlepas dari genggaman Maria.

“Balik, Bella. Aku tak tanggung kalau Maria apa-apakan kau," tegas Noah saat Bella mulai bangun.

“Jadi, kau dah tahulah yang Maria ada dekat sini?" Soal Bella. Dahinya masih berkerut menahan sakit. Pasti berbirat belakangnya selepas dihentam dengan batang kayu itu.

Noah terdiam.

Bella sebenarnya tahu tentang rancangan Aryan dan Noah untuk mencari Maria.

“Kau tipu Aryan selama ni, kan?" Duga Bella lagi. Dia tahu Noah sudah menipu Aryan. Rupanya, lelaki itu sudah tahu keberadaan Maria selama ini.

“Kau baliklah, Bella! Sebelum aku hentam kau dengan batang kayu lagi!" Bentak Maria.

“Kau fikir aku takut? Kalau bukan sebab Noah, dah lama aku lunyai kau dekat sini!" Kata Bella sebelum akhirnya beredar dari situ. Geram kerana belum mampu mengalahkan gadis itu.

Sebaik Bella menjauh, Maria beralih pada Noah. Lelaki itu kasih tercegat di hadapannya.

“Tunggu apa lagi? Baliklah!" Maria menolak bahu Noah.

“Kau tak apa-apa?" Soal Noah. Kayu tersebut disandarkan pada dinding premis.

“Tak payah sibuk." Maria larikan pandangannya.

“Jangan degil boleh tak? Kau tu mengandung. Kalau jadi apa-apa pada kandungan kau, macam mana?" Soal Noah. Dia cuba menyembunyikan kebimbangannya.

“Baguslah," tutur Maria tanpa rasa bersalah. Lebih baik kandungan itu gugur daripda membesar dan lahir tanpa bapa.

“Kau ni memang tak ada hati perut, kan? Budak tu tak salah. Kau yang salah. Ikutkan sangat nafsu syaitan kau tu." Emosi Noah mulai terpancing. Setiap kali berbicara tentang kandungan Maria, hatinya pasti sakit.

“Budak ni akan lebih sengsara kalau lahir tak berbapa. Yang akan dicemuh pun, aku. Bunting tanpa laki,” tutur Maria menahan sebak.

Noah mendengus kasar.

“Hidup ajelah macam biasa. Dah kau yang buat, tanggunglah. Belajar jadi orang yang bertanggungjawab. Jangan asyik nak sedap aje. Tak luak pun kalau hidup tak berlaki,” tutur Noah, sinis.

“Kau cakap senanglah. Yang tanggung tu aku, aku!” Bentak Maria.

“Kalau kau malu sangat bunting tak berlaki, biar aku jadi bapa budak tu, settle!” Ungkap Noah tanpa ragu.

Maria terkedu. Lidahnya kelu. Tak percaya dengan apa yang Noah katakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience