Alone

Drama Series 9765

MALAM itu, Maria tidur di lorong tepatnya di belakang premis yang terletak di tengah-tengah bandar. Belum berani untuk pulang ke kampung. Bimbang jika Aryan atau Noah mendatangi rumah untuk mencarinya.

Kini, dia benar-benar sendirian. Tiada lagi tempat untuk mencari bantuan. Noah yang dulunya menjadi tempat untuk meminta pertolongan, kini sudah memandang dirinya sebagai gadis yang jijik.

Bungkusan makanan yang dibeli tadi kini dibuka lalu diletak di hadapannya. Perut benar-benar terasa lapar kerana seharian tidak di isi. Tidak sampai beberapa minit, bekas makanannya licin dijamah. Barulah perutnya terasa sedikit lega selepas diisi.

Keadaan lorong tersebut begitu sunyi. Hanya Maria yang ada di situ. Dengan hanya beralaskan kotak, gadis itu rebahkan tubuh. Akibat terlalu lelah, dia akhirnya tertidur nyenyak di lorong gelap itu.

YANA merenung wajah suaminya yang sedang berbaring di atas katil mereka selepas membuat panggilan dengan Noah sebentar tadi.

Selepas ditikam dengan pemutar skru, Aryan masih berumur panjang. Akan tetapi, dia masih perlu berehat dan kurangkan pergerakan. Luka-lukanya masih belum sembuh sepenuhnya.

Sebaik Maria larikan diri tempoh hari, Yana terpaksa menghubungi Bella untuk meminta bantuan. Dia tidak berani menghubungi ambulans kerana pasti akan banyak persoalan yang timbul dari pihak hospital.

Aryan segera dibawa ke klinik swasta milik teman Bella. Dengan peralatan bedah yang lengkap, Aryan dirawat di situ. Dia kemudian dibenarkan pulang selepas menjalani pembedahan namun rawatannya dilanjutkan di rumah.

Selepas kejadian itu juga Yana diserang bertubi-tubi soalan dari Bella. Akibat tidak tahan diasak, Yana terpaksa menceritakan hal yang sebenar. Terduduk wanita itu saat mendengar perbuatan Aryan terhadap Maria.

Tanpa sedar, air mata Yana mengalir. Sedih mengenang keadaan suaminya. Namun dia juga kecewa dengan perbuatan lelaki itu pada pembantunya. Kini, mereka menyimpan rahsia yang begitu besar. Jika diketahui oleh orang luar, maka tirai besi menanti mereka.

Kehadiran Bella menyedarkan Yana ke dunia nyata. Air mata segera diseka sebelum mengukir senyuman hambar buat adiknya.

"Aryan dah makan ubat?" Soal Bella seraya duduk di sisi Aryan. Spontan, tangannya naik mengusap dahi Aryan. Perbuatannya diperhati oleh Yana. Jujur, wanita itu cemburu melihat suaminya disentuh oleh adiknya sendiri.

"Dah. Lepas makan tadi dia terus tidur," balas Yana, mendatar.

"Kau tak kerja? Awal pagi dah datang sini," soal Yana, sinis.

Bella segera memandang Yana dengan wajah selamba.

"Kalau aku tak datang sini, siapa nak tolong kau jaga Aryan? Kau bukannya mampu," balas Bella.

"Kau sendiri tak nak mommy dia tahu keadaan dia. Siapa lagi yang kau boleh harapkan?" Soal Bella lagi sambil merapikan selimut Aryan.

Yana hanya mengeluh pendek. Untuk saat ini, hanya Bella yang dapat membantunya.

"Jadi, korang tak tahu Maria dekat mana sekarang?"

"Tak."

Bella kembali merenung wajah Aryan. Begitu pedih hatinya selepas mengetahui hal sebenar. Dia sangka, Aryan setia padanya. Ternyata dia silap. Lelaki itu tidak pernah puas dengan wanita yang ada di sisinya.

"Kau yakin yang Maria tak akan report polis?" Soal Bella lagi. Dia bimbang jika gadis itu melaporkan Aryan kepada pihak polis. Dia tidak sanggup melihat Aryan meringkuk di dalam penjara.

"Aryan cakap, Maria tak akan berani buat report polis sebab dia tak ada bukti yang Aryan rogol dia. Kejadian tu dah sebulan lebih berlalu. Kalau ada bukti dekat badan dia pun, mungkin dah hilang." Mendatar sahaja suara Yana berbicara.

Sehingga saat ini, dia masih diselubungi rasa bersalah terhadap Maria. Jika Aryan bukan suaminya, sudah lama lelaki itu disumbat ke dalam penjara.

"Kesian kau, kan. Bukan setakat tak mampu nak halang hubungan Aryan dengan aku dekat luar, nak halang Aryan ratah pembantu sendiri pun kau tak mampu," tutur Bella diiringi tawa kecil.

Yana tersentak. Betapa teruk dirinya kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

"Dah jelas kan sekarang ni yang kau memang tak mampu penuhi keinginan dia. Sampaikan dia terpaksa puaskan diri dekat pembantu kau." Bella masih terus memprovokasi.

"Lebih kesian kau sebenarnya, Bella," tempelak Yana.

"Kau sempurna pun, Aryan tetap cari Maria. Kau dah bagi dia segalanya. Tapi dia tetap nakkan Maria. Kau tengoklah sekeliling rumah ni. Aryan sanggup pasang pagar besi supaya Maria tak lari dari rumah." Yana akhirnya tertawa. Ketawa yang cuba menyembunyi kehancuran hatinya.

"Satu benda yang kau perlu tahu, Bella. Kau dengan Aryan tak akan boleh bersama. Di hati dia cuma ada aku... dan Maria." Yana tidak lagi tertawa namun senyuman yang begitu sinis membuatkan Bella semakin panas hati.

PERUT yang masih rata itu disentuh perlahan. Masih belum mampu menerima kehadiran benih di dalam rahimnya. Belum tentu juga dia akan diterima keluarga jika tahu dirinya sedang berbadan dua.

Maria berniat untuk pulang ke kampung sementara perutnya belum timbul. Rindu pada keluarga sudah semakin membuak-buak.

Setelah seminggu menjadi gelandangan, akhirnya Maria tekad pulang ke rumah. Walaupun hanya sekejap, setidaknya rindu boleh terubat. Kerana selepas ini, dia tidak akan menemui keluarganya selagi dia tidak menggugurkan kandungan. Sudah pasti perutnya akan membesar.

Sebaik tiba di halaman rumah, suasana begitu sunyi. Adik-adiknya masih di sekolah. Mak Ijah pula sedang berniaga di pasar. Pak Latif sudah tentu sedang berada di kebun.

Dengan kunci pendua yang dimiliki, Maria membuka pintu rumah. Serta merta, sebak menyelubungi diri. Mata mulai memerhati segenap ruang tamu rumah. Di sinilah dia dan adik-adiknya membesar. Dididik dengan baik dan penuh kasih sayang. Walaupun kehidupan mereka sederhana, kasih sayang dari orang tua tidak pernah berkurang.

Setelah meletak beg di dalam bilik, Maria segera menuju ke dapur. Saat membuka tudung saji, ianya kosong. Maria terus membuka peti ais kemudian mengeluarkan bahan mentah untuk dimasak.

Sesekali mualnya terasa saat bau tumisan bawang memasuki rongga hidungnya. Dia terpaksa menutup hidung saat memasak. Setelah semunya terhidang di atas meja, Maria menuju ke bilik untuk berehat.

Sedang lena di atas katil, tiba-tiba terasa dirinya dipeluk. Gelak tawa adik-adiknya juga kedengaran. Sebaik membuka mata, Maya sedang berbaring disisi sambil memeluk dirinya. Mizan pula sedang tertawa di hadapan pintu melihat gelagat adiknya.

"Mak tak cakap pun kakak nak balik hari ni," kata Maya sambil memeluk kakaknya dengan erat. Mereka akhirnya bangun bersama. Sesaat, Mizan juga ikut menyertai mereka di situ.

"Mak pun tak tahu yang kakak balik hari ni," jelas Maria sambil merapikan rambut adiknya.

Tidak lama itu, kedengaran suara Pak Latif di ruang tamu. Mereka bertiga pun keluar bersama-sama.

"Eh, Maria? Bila sampai?" Soal Pak Latif, hairan.

"Pagi tadi, ayah." Maria segera mendekati Pak Latif lalu memeluk lelaki tua itu. Begitu erat sehingga Pak Larif terpaksa menepuk bahu anaknya agar melepaskan pelukan.

"Ayah belum makan lagi, kan? Saya dah siap masak. Ayah pegilah makan." Maria terpaksa mengalih cerita kerana sebaknya mulai menyerang dada.

"Nantilah kita makan sekali dengan mak kamu. Kejap lagi dia balik," kata Pak Latif.

Tidak sampai beberapa minit, Mak Ijah sudah tiba di halaman rumah bersama Mak Jun. Maria sempat bersalaman dengan Mak Jun sebelum wanita itu beredar.

Setelah membersihkan diri barulah mereka makan bersama. Agak riuh suasana dapur dengan gelak tawa mereka. Maria begitu bahagia dapat meluangkan masa bersama keluarganya. Detik itu dimanfaatkan sebaiknya sebelum dia pergi membawa diri dari ahli keluarganya. Hanya itu sahaja satu-satunya jalan agar kehamilannya tidak terbongkar.

Selesai mengisi perut, mereka semua menuju ke ruang tamu.

"Yana macam mana? Sihat?" Soal Mak Ijah. Matanya sesekali melirik televisyen di hadapan mereka.

"Sihat," balas Maria dengan anggukan.

"Kamu sihat? Mak tengok dah makin kurus. Rambut pun dah menipis." Tangan Mak Ijah naik lalu menyentuh rambut anaknya.

"Sihat, mak. Biasalah, kerja. Penat," katanya tanpa menatap wajah Mak Ijah. Serba salah kerana menipu wanita itu.

"Yalah. Kerja, kerja jugak. Kesihatan pun mesti dijaga. Kalau kamu pun sakit, macam mana nak jaga Yana, kan?" Kening Mak Ijah sudah terjongket sebelah.

"Ya. Mak jangan risau. Saya okey," kata Maria meyakinkan Mak Ijah. Dia tidak mahu wanita itu bimbang.

"Cuma, saya nak bagitahu mak yang saya mungkin tak balik untuk beberapa bulan ni," katanya sedikit gugup. Kening Mak Ijah sudah berkerut.

"Encik Aryan ada urusan dekat luar. Jadi, saya tak boleh ke mana-mana sampai urusan dia selesai." Jari jemari dikuis sesama sendiri. Semakin serba salah kerana terpaksa menipu.

"Tak apalah kalau macam tu. Mak faham. Yang penting kamu jaga diri baik-baik," pedan Mak Ijah dengan senyuman.

"Nampaknya, mak kena beli telefon lepas ni. Kalau rindu, mak terus hubungi kamu."

Maria mengangguk tanda setuju. Ada baiknya jika Mak Ijah mempunyai telefon bimbit bagi memudahkan untuk mereka berhubung.

CUKUP seminggu di kampung, Maria sudah bersedia untuk pergi. Begitu berat rasanya hati untuk meninggalkan rumah itu. Wajah ceria adik-adiknya yang sedang melambai ditatap satu persatu. Entah bila lagi mereka akan dapat berjumpa. Wajah orang tuanya juga ditatap penuh simpati. Dia tidak akan membiarkan kedua-dua orang tua itu tahu ada nyawa yang sedang menumpang dalam rahimnya.

Berbekalkan duit yang ada, Maria berniat untuk mencari kerja. Namun sebelum itu, dia harus mencari tempat tinggal. Tidak mungkin untuk tidur di lorong setiap malam.

Setelah seminggu mengelilingi bandar, barulah dia menemui bilik sewa dengan kadar RM500 sebulan. Bilik tersebut tidaklah terlalu besar namun cukup luas untuk diri sendiri. Lengkap dengan bilik air serta tempat memasak.

     Kini, dia harus mencari kerja untuk kelangsungan hidupnya. Tidak mungkin terus berharap pada duit yang ada kerana ianya semakin berkurang.

     Sampul berisi duit itu dibelek sekali lagi. Walaupun berat hati untuk menggunakannya, namun dia sangat memerlukan. Masih terngiang di telinga setiap bait kata saat Aryan mencampak duit itu di hadapan kakinya.

    Kini, terasa dirinya tak ubah seperti pelacur. 'Diguna' kemudian dibayar.

     Pagi itu, Maria sudah bersiap di biliknya. Dia ingin mencari kerja di kawasan berdekat. Kerja apa pun dia tak peduli asalkan mampu memenuhi keperluannya buat masa itu.

     Namun, hari kedua dan ketiga pencariannya tidak membuahkan hasil. Akhirnya dia terpaksa mencari di luar kawasan tempat tinggalnya.

     Selesai mengisi perut, Maria lanjut pencariannya. Setiap premis dimasuki untuk bertanya tentang jawatan kosong. Kini, dia berdiri di hadapan sebuah pasaraya mini. Ini merupakan premis yang terakhir sebelum dia pulang memandangkan hari sudah lewat petang. Jika tidak diterima, dia terpaksa memyambung esok hari.

NOAH yang sedang duduk di sofa terus menoleh sebaik melihat Aryan keluar dari biliknya sambil menggunakan tongkat. Di sisinya ada Yana yang sedang menolak roda kerusinya sendiri. Perlahan-lahan, Aryan mengambil tempat duduk bertentangan Noah.

     Noah agak terkedu melihat keadaan Aryan. Entah apa yang sudah terjadi pada lelaki itu.

     "Kau kenapa, Aryan? Sampai bertongkat macam ni?"  Soal Noah kehairanan.

     "Accident," jelas Aryan. Sempat mengerling isterinya yang duduk tidak jauh darinya.

     Lama mereka bertatap sebelum Noah perbetulkan duduknya.

     "Rasanya kau tahu sebab apa aku datang sini," kata Noah.

     Aryan mengangguk perlahan. Dia dan Yana sempat mengerling sesama sendiri.

     "Aku nak tahu apa yang dah jadi antara kau dengan Maria," tutur Noah tanpa basa basi.

     "Apa yang kau nak tahu?" Soal Aryan kembali.

    "Semua. Aku nak tahu semua. Rasanya isteri kau pun patut tahu apa yang dah terjadi." Noah menatap Yana dengan penuh simpati. Kasihan melihat wanita itu dikhianati oleh suami serta pembantunya.

     "Kau dah jumpa Maria, kan? Kenapa tak tanya sendiri dengan dia?" Aryan sengaja menduga.

     "Dah, aku dah tanya tapi dia tak nak cakap." Suara Noah muali kendur.

     Aryan menghela nafas lega manakala Yana sudah memejam mata seketika. Betapa deritanya Yana terpaksa menyembunyikan perbuatan suaminya.

     "Apa pun yang terjadi, kami buat suka sama suka," tutur Aryan begitu tenang. Yana menoleh ke arah suaminya dengan hati yang terluka.

     "Kau ada fikir tentang Yana tak waktu tu?" Soal Noah, cuba mengawal amarahnya.

     Aryan senyap. Yana juga begitu.

     "Saya maafkan dia orang." Yana mulai membuka mulut.

     "Saya maafkan apa yang dia orang dah buat. Aryan suami saya. Maria pula pembantu yang paling setia dengan saya," tutur Yana begitu tenang. Namun siapa sangka hatinya sedang remuk menahan kecewa.

     "Habis tu, kenapa dia lari? Dia mati-matian tak nak balik ke rumah ni."

     Aryan dan Yana kembali berpandangan. Mereka mulai buntu untuk mencipta alasan.

     Serentak mereka bertiga menoleh ke arah pintu rumah sebaik Bella muncul di situ.

     "Ada meetingkah?" Soal Bella seraya duduk di sisi Aryan. Duduknya begitu rapat sehingga Aryan mengeluh pendek.
 
     "Dia tahu?" Soal Noah lalu menatap Bella.

     Aryan mengangguk perlahan. Serta merta Noah menyandarkan belakangnya pada sofa.

     "Korang ni dah kenapa? Tak jijik langsung?" Soal Noah begitu hairan.

     Yana melarikan pandangan manakala Bella hanya menayang wajah selamba.

     "Aku dah lama kenal Aryan. Maria tu yang gatal. Dulu bukan main halang aku, sekarang dia pulak kemaruk dengan Aryan," ujarnya.

     Noah semakin terpukul. Betapa cintanya pada gadis itu namun tidak sangka sifat sebenar Maria tak ubah seperti wanita jalang.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience