BAB 11

Romance Series 128902

ALHAMDULILLAH, akhirnya aku sampai kampung. Alaa, rindunya! Lama bebenor rasanya tak jejakkan kaki ke sini. Rasanyalah. Bunga orkid pun aku bawak sekali. Nasib baik bunga ni masih hidup sepanjang berada di rumah sewa aku. Mana tidaknya, hampir setiap hari aku pergi rumah jiran sebelah nak tanya macam mana nak jaga bunga ni. Ayden pun satu hal, sampai ke hari ni dia tak bawa balik bunga ni. Jangankan bawa, minta pun tidak walaupun dah beberapa kali aku tanya kat dia pasal bunga ni. Last-last, aku jugak yang kena jaga. Hmmmm.

“Assalamualaikum,” sambil aku beri salam, sambil itu kaki aku melangkah.

“Waalaikumussalam”. Jawab mak sambil cepat-cepat meluru ke arah aku. Aih, rindu ke? Hikshiks.

“Mana abah dengan Air mak?” soal aku sambil mencium tangan mak.

“Ada kat belakang rumah, tengah ambik buah kelapa muda. Ingatkan Aisyh lambat lagi nak sampai. Tu yang lambat sikit abah kamu suruh Ash tu panjat pokok kelapa”. Terang mak sambil memimpin aku untuk duduk di ruang tamu.

Aku anggukkan kepala sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Kebas punggung aku naik motor dari KL pergi balik kampung. Dahlah cuaca agak panas, habis terbakar kulit aku dibuatnya. Harap-haraplah mak nampak aku sekarang.

“Oh, kelapa tu buat apa mak?”

“Buat minumlah. Kamu kan suka minum air kelapa. Ni, yang kamu bawak bunga ni dah kenapa?” aku pandang ke arah bunga yang elok berdiri di dalam pasu kecil di atas lantai bersebelahan tempat duduk aku.

“Ayden suruh Aisyh jaga bunga ni, tapi sampai sekarang dia tak ambil balik. Aisyh pun sibuk, risau kalau Aisyh kena bayar bunga ni kalau mati, jadi, Aisyh bawak balik sini. Mak kan pandai jaga bunga, so, mak tolong jagakan eh? Boleh tak?” aku angkat kening berkali-kali pandang mak yang berhadapan dengan aku.

Tetapi, mak bagi jelingan tak puas hati dengan aku. “Macam mana nak kahwin kalau bunga pun Aisyh tak tahu nak jaga?”

Pulak, dengar saja apa yang mak balas, terus aku rasa nak terjatuh ke belakang sekali dengan kerusi ni. Langsung takde kaitan kot bunga dengan kahwin. Dan, bila masa aku yang beria-ia nak kahwin? Tu haa, Ayden tu yang beria namatey. Entah apalah yang dia nampak dalam diri aku ni, aku pun tak tahu. Misteri sangat!

“Aisyh tak cakap lagi kan yang Aisyh terima atau tak lamaran Ayden tu,” tiba-tiba aku rasa lemah segala sel sehingga menyebabkan aku menyandarkan tubuh di atas kerusi yang berkusyen tebal ini.

“Kenapa Aisyh tak nak terima dia?”

“Mak, Aisyh bukannya kenal sangat dengan Ayden tu. Lagipun, dia tu orang kaya. Tak ke pelik mak tengok dia tiba-tiba je nak lamar Aisyh yang takde apa-apa ni? Lainlah kalau Aisyh ni model baju renang depan majalah tu, tak hairanlah kalau dia nakkan Aisyh. Ini? Nak kata cantik, mak sendiri yang cakap yang Aisyh kalau bersiap lama pun masih tak mampu nak kalahkan kecantikan Dayang Senandung. Jadi, mak tak takut ke kalau dia bawak anak mak yang disayangi ni pergi Thailand ke apa,” hah, baru sampai je kat rumah, terus mak ajak aku buka topik pasal Ayden dan hasilnya, aku akan cuba racuni minda mak walau apa keadaan sekalipun.

Sekali aku habis cakap, terus mak cubit aku. Dah macam dengan isi lengan aku sekali mak tarik keluar. Haraplah urat aku tak keluar dari landasan, nanti tak pasal-pasal darah aku tersesat pulak!

“Apeni mak? Sakit tahu tak? Aisyh dah besar pun kena cubit jugak ke?” rungut aku sambil usap lengan yang dah rasa macam kena sepit dek ketam. Entah-entah, ketam pun tak sakit macam ni sangat kalau dia sepit.

“Haa, tahu pun sakit. Ni baru sikit mak cubit. Belum lagi kalau dekat neraka, sakitnya lebih azab daripada mak cubit tadi tahu tak? Suka hati je kamu nak fitnah orang. Kalau takde bukti tu, diam. Jangan main redah je mulut tu nak cakap apa,” hah, mak dah bukak tazkirah percuma dan akulah pendengar setia. Baik kan aku?

Aku gigit bibir sambil pandang kuku jari sendiri. Sebenarnya ada lagi ayat aku nak bidas kata-kata mak, tapi, aku tahu penamatnya macam mana, jadi, lebih baik aku diamkan diri saja.

Sedang kesunyian melanda di ruang tamu, tiba-tiba kedengaran seseorang memberi salam di muka pintu membuatkan kepala aku menoleh ke belakang untuk melihat gerangan tersebut. Rasa macam pernah dengar dan….

“Assalamualaikum”. Pfft, Mak Ton. Bekas bakal mak mentua aku dulu, mak kepada Ammar Faiz. Hah, ada apa pulak orang tua ni datang sini? Nampak motor aku ke?

“Waalaikumussalam,” jawab mak ramah manakala aku hanya jawab salam tersebut dengan suara yang aku sendiri boleh dengar sahaja. Segera aku pandang semula ke arah televisyen, malas aku nak pandang muka perosak hubungan orang lama-lama. Takut nanti aku akan hilang rasa hormat pula.

“Eh, Aisyh sampai bila?” hmm, ada apa tanya aku soalan tu? Bukan dulu Mak Ton sendiri ke yang tak nak tengok muka Aisyh yang cantik ni?

Aku tahu mak tengah pandang aku, tapi, aku peduli apa, malas aku nak bercakap dengan orang macam dia. Aku risau aku jadi naga nanti, dengan api sekali keluar sebab geram sangat dengan dia.

“Aisyh, Mak Ton tengah cakap dengan Aisyh tu kan? Duduklah Ton, aku nak buatkan air kejap,” mak pun macam sambil lewa je tegur aku, tahu sangat tentang sejarah hitam antara kami. Mungkin mak tak nak menampakkan yang dia gagal mendidik seorang anak membuatkan mak tak gemar dengan sikap aku sekarang.

Aku ukir senyuman siap-siap sambil pandang Mak Ton yang terkulat-kulat duduk berhadapan dengan aku. Ikutkan rasa amarah yang sudah sampai ke langit ketujuh ni, memang aku backhand muka orang tua di hadapan aku sekarang. Nasib baik aku ni jenis diajar untuk tidak biadap dengan orang tua, kalau tak, memang Mak Ton orang tua pertama merasa tangan aku.

“Ha’ah, saya baru sampai”. Jawabku dengan nada mendatar tanpa memandang wajah dia. Aku tak nak mata aku memandang sesuatu yang mencemarkan pandangan.

“Oh, eloklah tu. Aisyh dah jadi cikgu sekarang ni eh?” eh, apa kena dengan orang tua ni? Dulu bukan main lagi alergik nak bercakap dengan aku, sekarang kenapa boleh pulak dia tukar profesion daripada pengutuk aku kepada wartawan tanpa gaji?

Oh, aku tahu. Dulu, aku pelajar je. Keputusan pun sedang-sedang je aku dapat, tak setanding dengan anak dia yang dapat keputusan cemerlang tiap saat tiap masa tu. Sebab tulah dia anti sangat dengan aku dulu. Dan sekarang, aku dah kerja. Kerja tetap pulak tu. Kalau lama aku berkhidmat, gaji pun boleh lumayan banyak. Lagi-lagi kalau aku kahwin dengan Ayden. Rasanya aku dikelilingi dengan wang ringgit dan pasti aku akan nyanyi dalam tab mandi dan bermandikan wang. Muahaha! Berangan lebih!

“Ya”. Inilah Aisyh. Kalau dia dah menyampah, memang susah sikit nak dapat layanan yang helok. Lagi-lagi perempuan depan aku ni pernah ada sejarah hitam yang gelap gelita dan anaknya pula sama level dengan dia. Lagilah aku anti sangat-sangat.

Mak Ton angguk. Kalau boleh, aku tak nak tengok dia dalam rumah aku. Letih aku nak melayan. Mak ni pun, boleh pulak dia offerkan diri buatkan air. Kenapa tak bagi je kat aku? Biar aku letak julap sikit dalam air Mak Ton ni. Hah, dah jadi watak antagonis dah aku ni.

“Ada jumpa Faiz tak? Dia cakap hari tu yang dia jumpa Aisyh, tapi Aisyh tak nampak dia. Aisyh tahu ke yang Aisyh dan Faiz satu tempat kerja?” kali ini, tanpa paksaan, kepala aku sendiri yang menoleh ke arah Mak Ton. Aku cuba kawal riak terkejut aku. Dan ya, firasat aku hari tu betul! Dah kenapa aku ditempatkan di tempat yang sama dengan bekas kontena aku dulu? Dah tu, bekas tu pulak bagi kenangan hitam dekat aku.

Aku geleng, aku yakin muka aku dah tampak pucat dah sekarang. Belum sempat aku tanya lanjut, mak datang dari dapur sambil menatang dulang yang berisi gelas kosong dan jag air sirap.

Dulang tersebut kemudiannya diletakkan di atas meja kopi dan aku tolong mak mengisikan gelas tersebut dengan air. Walau jahat mana sekalipun tetamu kita, kena bagi minum jugak. Mana tahu kot-kot tetamu kita tu baru datang dari padang pasir. Sekurang-kurangnya aku dah tolong orang yang hampir mati kehausan.

“Hah Ton, ada hajat apa kau datang sini?” kini, giliran mak pulak menggantikan tempat aku untuk berbual dengan Mak Ton. Aku sebenarnya masih terikat fasal tadi. Entah kenapa aku rasa aku ada benda nak tanya, tapi, tak tahu nak tanya apa.

Lama Mak Ton mendiamkan diri membuatkan aku dan mak berpandangan antara satu sama lain. Ada riak bersalah pada wajah itu. Nak minta maaf ke? Kalau dia minta maaf, mampu ke aku maafkan?

“Aku sedar selama ni aku dah buat jahat kat keluarga kau Laila, terutama sekali dekat Aisyh. Jadi, aku datang sini hari ni nak minta maaf bagi pihak aku sendiri dan Faiz, anak aku. Aisyh, Aisyh boleh maafkan Mak Ton dengan Faiz kan?” Mak Ton pandang aku, tetapi entah kenapa aku dapat rasa ada udang di sebalik mee goreng mamak di sebalik kata maafnya itu.

Perasaan aku je ke?

“Dan, Mak Ton ke sini jugak ada hajat. Hajatnya nak lamar Aisyh untuk Faiz, nak sambung balik hubungan yang telah putus dulu. Mak Ton tahu, dulu tu kamu berdua masih muda, sebab tu ambil keputusan melulu. Jadi, Mak Ton datang sini nak betulkan balik apa yang dah retak dan sambung balik apa yang dah lerai. Jadi, Mak Ton harap sangat Aisyh dapat terima lamaran ni”.

Bingo! Kan aku dah cakap, mesti ada apa-apa dalam kata-kata Mak Ton tadi. Dan apa-apa ni sangatlah membuatkan aku rasa semakin berasap. Gitu je minta maaf dan gitu je nak pinangkan aku untuk anak dia? Hello, aku masih belum gila nak penggal kepala sendiri nak hadap keluarga dia.

Mak pandang aku, pandangan yang aku tak dapat tafsir. Sama ada nak suruh aku terima ataupun tolak, aku tak dapat baca air muka mak. Yang pasti, entah kenapa lamaran kali ini aku rasa aku dapat keputusan dalam masa yang sangat cepat.

“Tak nak. Saya belum gila lagi nak suruh mak dan abah berbesan dengan keluarga Mak Ton dan saya masih waras lagi nak pilih suami macam Faiz tu. Mak Ton carilah calon yang sesuai dengan anak Mak Ton tu, saya tak hadap pun laki macam dia. Lagipun, saya ni bukannya pandai macam Faiz tu kan? Tak sama level dengan anak Mak Ton tu. Jadi, rasanya, tak perlu kot saya nak fikir panjang dan tak perlu saya jelaskan panjang lebar. Saya tolak lamaran Mak Ton”. Aku pandang sekilas wajah masam mencuka Mak Ton dan wajah tenang mak, dan kemudiannya aku berlalu dari situ.

Baru beberapa langkah aku meninggalkan kawasan ruang tamu tersebut, tiba-tiba Mak Ton bersuara. “Berlagak! Dulu masa miskin tak ada kerja tetap, beria-ia nakkan anak aku. Sekarang dah ada kerja, macam gitu je kau tolak lamaran aku. Okay, takpe. Aku pun tak hadap menantu berlagak macam kau. Dahlah Laila, aku nak balik. Ajar anak kau ni sikit supaya hidup tu jangan nak berlagak sangat. Baru jadi cikgu berapa hari je dah bongkak”. Dengar sahaja ayat Mak Ton, terus aku berpaling semula ke belakang dan aku lihat Mak Ton sudah berdiri.

Aku cuba kawal kemarahan aku daripada meletus, jadinya, aku tarik nafas dalam-dalam dan kemudiannya tiup hujung tudung aku supaya amarah aku tak kulepaskan melalui kata-kata.

“Berlagak? Saya yang berlagak? Rasanya Mak Ton pergi balik rumah, guna cermin mahal Mak Ton tu dulu. Tanya dekat cermin tu, siapa yang berlagak sekarang ni? Dahlah Mak Ton, Mak Ton pergi balik, cakap dekat anak Mak Ton tu yang saya memang dah tak hadap dah dengan dia. Huh, mentang-mentang aku dah ada kerja tetap sekarang, baru nak terhegeh-hegeh nakkan aku balik. Pigi balik daaa,” terus aku berpaling ke belakang semula sambil meneruskan langkah yang tergendala sebentar tadi.

Aku dengar ada orang hentakkan kaki dan bergumam, tapi, aku tak endahkan. Dah nama pun orang minta maaf sebab ada niat lain, sebab tulah jadi macam tu. Macam budak-budak.

×××

Sedang seronok aku masukkan cucur udang ke dalam mulut, tiba-tiba Air duduk di sebelah aku sambil geselkan bahu kami. Ceh, tahulah dia sekarang semakin meninggi, tapi tak perlulah nak sindir aku dengan cara sadis macam tu.

“Hah, Air dah kenapa bergesel macam Agumon ni?” aku jeling Air yang turut menyumbatkan cucur udang ke dalam mulut tanpa memandang ke arah aku. Oh ya, Agumon tu nama kucing peliharaan Si Air ni. Dia peminat anime Digimon Savers tu, sebab tulah dengan kucing-kucing dia sekali dapat nama pelik macam tu.

“Kak Ais, kalau Kak Ais kahwin nanti, Kak Ais bawak Ash dengan mak dan abah sekali ke pergi KL? Ke, akak hidup senang-lenang sorang-sorang kat sana, lepas tu lupa kat family?” soalnya dengan nada selamba. Aku yang mendengar, rasa macam nak wrestling budak ni dekat meja makan sekarang. Banyak-banyak perkara, perkara tentang sikap aku jugak yang dipersoalkan.

Aku tepuk kepala Air. “Sejak bila pulak akak setuju kahwin dengan Ayden? Kalau ya pun akak kahwin dengan Ayden tu, memanglah akak takkan lupa kat mak dan abah. Tapi, kalau kat kau, akak tak janji,” aku buat wajah serius walaupun aku tak memaksudkan kata-kata aku tu tadi.

Air betulkan rambutnya yang dah aku selerakkan tadi sambil dia jeling aku dengan geram. “Kakak kejam kan! Mentang-mentang kahwin dengan orang kaya, adik sendiri kakak lupa. Dasar Ais kat kutub utara!”

Ewah, ewah mulut cabul budak ni. Kalau aku tampar ni, memang strok satu badan dia aku kerjakan nanti. Mulut tak tahu nak tapis betul. Siapalah yang ajar? Cuba dia contohi aku, tak adalah dia bermulut celupar macam tu sangat.

“Suka hati akaklah. Lagipun, Air tu anak pungut. Entah anak siapa entah yang mak dan abah kutip. Kalaulah mak dan abah tak kutip Air dulu, rasanya sekarang akak dapat hidup aman dan bahagia jadi anak tunggal,” aku masih cuba untuk memanaskan hati Air yang semestinya mudah marah dan merajuk. Harap nama je Air, tapi perangai macam bahan mudah terbakar.

Kalau tadi aku tepuk kepala dia, kini, giliran dia pulak tarik rambut aku. Dia memang macam ni. Pondan sangat. Kalau kalah sikit, mulalah nak main tarik rambut. Nasib baik setakat ni belum pernah lagi rambut aku tercabut disebabkan tarikan tanpa belas oleh komunis depan aku ni. Kalau tak, aku tak dapat bayangkan yang muka aku jadi pengganti kepada orang tua dekat pembalut gula-gula HACKS warna merah tu.

“Kurang ajar Air kan! Sakit tahu tak! Akak tak buat sampai macam ni tau!” aku tampar lengan dia yang tak berapa nak sado ni dengan sekuat hati. Nasib baik dia duduk di sebelah aku, jadinya, senanglah aku nak sampai tangan kat dia. Dahlah baru tadi aku marah dekat Mak Ton, dan sekarang budak bertuah ni cari pasal dekat aku, memang bertambah-tambahlah rasa marah aku dalam hati.

Dah namapun budak bernama Nuwair Rashdan, mana nak mengalah dengan aku. Kalau perempuan lain ni, dah lama kot dia mengalah sambil pujuk-pujuk. Ya, budak ni jenis mesra alam dengan perempuan. Asal balik sekolah, mesti ada je perempuan dekat sisi. Kawan lelaki dia ramai jugak, sama banyak dengan kawan perempuan dia.

Tapi tulah, dia punya baik dengan kawan, macam aku ni pulak takde hubungan darah dengan dia. Dia layan aku macam nilah, kalau tak berlawan mulut, memang bertepuk tamparlah kerjanya.

Sebab tu, lepas aku tampar lengan dia sekuat hati, dia balas dengan mencubit pipi aku juga dengan sekuat hati. Kali ini aku sangat marah sebab dia cubit pipi aku masa aku tengah makan. Sakit gila tahu tak!

Baru sahaja kami berdua hendak membuat aksi Tom and Jerry, tiba-tiba apabila menoleh, kelihatan mak sudah bercekak pinggang pandang kami berdua. Aku pandang Air, Air pandang aku sebelum kami sama-sama tersengih balas pandangan helang daripada mak.

“Hah, elok sangatlah tu bergaduh depan rezeki. Elok sangat! Kamu berdua sedar tak yang kamu berdua dah besar panjang dah. Aisyh, Ash. Sorang dah jadi cikgu, sorang dah nak habis belajar. Tapi perangai macam budak kecik. Bergaduh memanjang. Aisyh, pakai tudung cepat. Ada orang nak datang kejap lagi,” sambil mak membebel, sambil tu jugak mak mengarah aku untuk memakai tudung.

“Err, siapa yang nak datang mak?” tanya aku dengan suara terketar-ketar. Takut noks kalau-kalau mak baham aku nanti.

Belum sempat mak jawab, tiba-tiba kedengaran ada satu suara garau memberi salam dari muka pintu. Aku tahu ini bukan suara abah dan aku tahu siapa pemilik suara ni.

“Mak, dia buat apa pergi sini?” soal aku separuh berbisik. Aku yakin mesti mak dan abah yang suruh Ayden pergi sini. Ya, Ayden. Aku dah lama sangat dah bersama dengan laki tu, memang tak hairanlah kalau aku dah boleh cam suara dia.

“Boleh pulak tanya macam tu dekat tetamu. Suka hati dialah nak datang ke tak. Dah, jangan banyak tanya. Buatkan air dan suruh Ash ambil tudung kamu,” mak berlalu dari dapur lalu menuju ke ruang tamu.

Aku mengeluh. Air pandang aku sambil tersengih. Tahu sangat dia bahawa aku memang masih dalam dilemma sekarang. Aku hanya jeling dia, memberi amaran bahawa sekarang aku masih takde mood nak bergurau.

“Ambikkan tudung akak,” arah aku dengan suara mendatar sambil aku sendiri mencapai jag di tempat meletak peralatan dapur. Air mencebik lalu berlalu dari sini. Takut tengok aku mengamuk lettew.

Aku pun mula buatkan air kopi sebab aku tahu air ini air kesukaan Ayden. Biasalah, seorang workaholic memang jenis suka minuman berkafein. Tak kira pagi, petang, siang, malam. Lagi-lagi kalau waktu malam, memang minuman inilah yang akan mereka layan.

Setelah gelas dan teko aku letakkan di dalam dulang, Air pun datang bersama tudung sarung. Pffft, banyak-banyak tudung, tudung labuh versi telekung dia ambik. Hmm, nak tak nak, pakai jelah sebab aku tahu Air ni jenis tak suka disuruh berkali-kali. Mulalah dia akan membebel mengalahkan perempuan.

Tudung aku sarung ke kepala dan aku pun mula melangkah menuju ke ruang tamu. Mesti aku nampak macam ustajah, ustajah sikit sekarang dengan tudung labuh siap berstokin. Nasib baik stokin aku letak kat atas mesin basuh, jadi, sempatlah aku sambar.

Sebaik aku memunculkan diri di ruang tamu, terus kepala Ayden tertoleh ke arah aku. Rindu lettew. Al-maklumlah, beberapa hari ni kami tak berjumpa. Semalam pun dia sempat merajuk dengan aku dan sampai sekarang aku tak pujuk. Siapa suruh merajuk dengan aku dan siapa suruh masa aku minta maaf, dia tak maafkan. Hah, rasakanlah penangan seorang Aisyh.

Kemudian, Ayden tiba-tiba berdiri lalu menuju ke arah aku. Erk, dia nak buat apa ni? Takkanlah dia nak tumbuk aku pasal semalam?

“May I help you?” dia angkat kening sambil bercakap menggunakan suara altonya membuatkan aku rasa mata aku tak berganjak sedikit pun daripada terus pandang dia. Sangat kacak dengan baju kosong tanpa sebarang tulisan yang berwarna coklat dikenakan dengan seluar jeans panjang berwarna hitam. Menampakkan dia betul-betul seorang lelaki yang mempunyai aura maskulin. Rambutnya pula dipacakkan di bahagian hadapan dan wangian di tubuhnya benar-benar mengkhayalkan aku buat seketika.

“Aisyh? Are you okay?” dia melambaikan tangannya di hadapan aku dan kali ini aku segera larikan pandangan. Aku rasa darah panas mula menyerang wajah aku sekarang, malu sebab kantoi terpegun dengan Ayden.

Aku segera berdehem untuk menghilangkan rasa nervous. “Err, takpe. Saya kan tuan rumah, sayalah yang kena layan tetamu,” aku lemparkan senyuman nipis buatnya.

Ayden masih berdegil. Dia pandang aku lama, dia tahu aku memang cepat mengalah kalau ada orang tenung aku macam tu. Lagi-lagi kalau yang bagi renungan itu adalah Ayden. Mahu hati aku tak menari bila dia pandang aku sampai begitu sekali.

“Aisyh, let me help you. I tengok tangan you dah menggeletar dah pegang dulang tu”. Sebaik dia cakap macam tu, secara automatik mata aku pandang ke arah yang diberitahu.

Dan ya, memang ketara dulang ini bergetar disebabkan tangan aku yang menggeletar menatangnya. Sekali lagi aku rasa sangat malu. Nak tak nak, aku pun bagi dulang tersebut kepadanya dan berjalan di belakang badan sasanya itu.

Setiba di meja kopi, giliran aku menuangkan air ke dalam cawan.

“Kenapa Aisyh buat kopi petang-petang panas macam ni? Kenapa tak letak air kelapa yang abah dan Ash buatkan tadi?” tegur mak.

Aku lihat Ayden hendak menjawab, tetapi, entah kenapa mulut aku lebih cepat bertindak daripada lelaki kacak itu. “Ayden suka minum kopi, mak. Dia tak suka minum yang manis sangat,” jawab aku sambil duduk di sebelah mak.

Mak angguk faham manakala Ayden jeling aku dengan senyuman nipis yang manis tersungging di bibir merah jambunya. Ceh, bibir dia lebih cantik daripada aku. Terhinanya rasa diri ini.

“Suruh Ash angkat beg Ayden dan kamu Aisyh, ambik satu kipas dalam bilik kamu tu, letak dalam bilik tetamu,” arah mak lagi.

“Eh, takpe mak cik. Biar saya sendiri yang buat nanti,” Ayden menolak. Wah, hebatnya anak orang kaya seorang ni. Pandai berdikari. Bagus-bagus, kalau macam tu senanglah sikit kerja aku. Aku pun baru sampai ni. Niat tadi nak tidur, eh, boleh pulak mata aku tak bagi kerjsama sebab tertunggu air kelapa yang Air dan abah ambilkan tadi.

“Takpe, Ayden. Ayden kan tetamu. Tetamu kena layan dengan baik. Lagi-lagi kalau tetamu ni bakal menjadi keluarga ni”. Mak cakap macam tu membuatkan mata aku terus pergi pandang dia. Mak, jangan bagi harapan palsu dekat orang please. Sekarang ni, aku belum pun cakap yang aku terima lamaran Ayden ni. Masih tergantung sepi.

Ayden hanya tersenyum, ceh, sukalah tu dengar cerita auta daripada mak. Aku ni yang jadi mangsa rasa nak terjun daripada kerusi sekarang.

“Er, Aisyh nak ambil kipas jap. Aisyh minta diri dulu,” cepat-cepat aku berlalu daripada situ. Tak sanggup aku dengar mak jadi Pak Belalang, asyik nak buat cerita tipu je kalau dah bersama Ayden.

Apabila aku sampai ke bilik, terus aku terserempak dengan Air dan aku pun suruh dia ambil barang Ayden. Dan, sebuah keajaiban berlaku. Budak tu tak merungut pun, malah dengan senyuman dia hulurkan bantuan. Amboi, kalau barang aku, jangankan suruh angkat, pandang pun dia tak sudi. Adik aku ni ada hati dengan Ayden ke? Jangan berani macam-macam, kalau sudi terima tamparan hebat dekat otak, silalah berani libatkan diri dalam LGBT. Jangan risau, tak teruk sangat kesan dia. Koma seumur hidup je.

Terkial-kial je aku angkat kipas daripada bilik. Takdelah besar sangat kipas tu, tapi, aku ni kurang bayam dalam badan, sebab tu tak kuat macam Popeye.

Setibanya di dalam bilik, Ayden sudah pun berada di situ bersama Air. Air pulak, bila tengok aku dah ada kat muka pintu, cepat-cepat dia keluar. Hampeh, tak tahu langsung nak tolong kakak dia yang bakal berdua-duaan bersama Ayden untuk beberapa saat.

“Awak, saya letak kipas kat sini eh. Saya harap awak selesalah tidur kat sini malam ni. Sorrylah, bilik ni tak besar macam bilik awak".

Walaupun aku tak pandang ke arah Ayden, tapi aku tahu bahawa lelaki tu sedang tenung aku sekarang lepas apa yang aku cakapkan tadi.

"Aisyh, bilik ni lebih daripada cukup untuk I. Jangan risau," kedengaran suara dia lembut memberitahu aku. Ohmai, aku tak nak dengar suara macam ni lama-lama. Risau andai hati jatuh cinta. Gituh!

Lagipun, aku tahu, Ayden memang jenis tak memilih kalau nak tidur mahupun makan. Macam yang dia bagitau aku sebelum ni, kalau dekat kem tentera di UK sebelum ini, lebih teruk mereka dikerjakan. Nama je kem tentera untuk anak-anak orang kaya, tapi, layanan dia sama je dengan tentera yang lain. Sebab tulah dia macam tak kisah pergi mana-mana dan makan apa-apa. Sebab dah terbiasa dengan cara hidup yang sederhana.

"Okay, baguslah kalau macam tu. Awak, saya nak keluar dulu. Awak rehatlah. Tapi, jangan awak tidur pulak. Dah asar dah kan?"

"Kejap. Sebelum you keluar, malam ni, I ada benda sikit nak cakap dekat you. Boleh you pinjamkan sikit masa untuk I malam ni?"

Aku pandang dia dengan riak pelik. "Bercakap pasal apa? Kat mana?" Okay, soalan kedua aku tu nampak tahyul sikit. Dah dia kat rumah ni, mestilah dia nak bercakap dengan aku dalam rumah ni. Takkan nak pinjam rumah Mak Senah kat sebelah semata-mata nak bercakap dengan aku.

Ayden garu kening sambil tersengih-sengih. "Pasal topik tu, malam nanti I bagitau. Kalau pasal tempat tu, dalam bilik ni pun boleh. Nanti I tolong kuncikan pintu". Ayden tersenyum nakal membuatkan rasa menyesal aku yang belum reda, kini semakin meninggi.

"Ish, tak adanya saya nak berdua-duaan dengan awak dalam bilik ni. Saya masih waras". Kedengaran Ayden meletuskan tawa kecil selepas aku cakap macam tu. Entah apalah yang kelakar, aku pun tak tahu. Semalam bukan main lagi merajuk dengan aku. Eh, tup-tup hari ni boleh pulak dia bergelak ketawa rupanya.

"Manalah tahu kalau-kalau you nak kita kahwin cepat". Balasnya sambil menayang senyuman nakal.

Aku jeling je dia dan cepat-cepat keluar daripada bilik ni. Ayden ni tak boleh dilayan sangat. Lagi dilayan, lagi menggatal. Tak faham aku dengan orang lelaki ni macam mana.

×××

Aku rasa aku dah jadi pesalah dah sekarang. Tak habis-habis aku menunduk, tak mampu dah aku balas pandangan setiap mata yang memandang. Asal aku bersuara, mesti suara aku takkan didengar.

Rasa macam sia-sia sahaja sijil yang bertampal di dinding. Anugerah Pembahas Terbaik dan Anugerah Panel Terbaik. Tapi last-last, aku tak dapat pertahankan pendirian aku, tak dapat melontarkan hujah yang bernas dan tak dapat berbincang dengan aman. Asyik aku saja yang salah. Nak memberontak, aku sekarang sedang bercakap dengan keluarga aku.

"Aisyh tak kenal sangat dengan Ayden".

"Kenal lama-lama pun, kalau bukan jodoh, tak menjadi jugak. Tengok macam Aisyh dengan Faiz. Bukan main lama bercinta, tapi tak jugak kahwin-kahwin. Malah, putus tengah jalan pulak tu. Aisyh, kenal lama-lama tak jamin pasangan kita tu setia".

1-0 daripada abah.

"Tapi, Ayden tu kaya. Takkanlah dia nak terima Aisyh ni yang takde apa-apa".

"Yang datang melamar, Ayden. Bukan kamu".

2-0 daripada abah.

"Hati Aisyh cepat berubah!"

"Sebab tu kita ada agama. Agama suruh kita tundukkan pandangan. Yang kamu masih terfikir nak cari lain lepas kahwin tu dah kenapa?"

Okay, 3-0. Abah kalau dah bercakap, memang aku tak mampu nak balas apa dah. Dia punya panahan kata tu, memang mengikat terus lidah aku daripada cuba untuk mengutarakan sebarang kata.

Dan, tinggallah aku seorang diri. Nak suruh mak datang back-up? Memang sah-sahlah aku cuma mampu berangan. Nak suruh Air? Huh, tak payah! Budak tu mana reti nak tolong aku. Setakat ni, tak pernah lagi aku rasa sebuah pertolongan daripada seorang adik. Yang aku selalu terima daripada dia, hanyalah tamparan dan kata-kata gaduh sahaja. Memang berangan Mat Jeninlah aku nak dapat bantuan daripada Air tu.

Ayden? Lagilah mengarut. Ini semua adalah berpunca daripada dia. Kalau bukan disebabkan dia yang hantar rombongan hari tu, tak adalah masalah macam ni berlaku. Tak adalah aku asyik dipersalahkan sebab terlampau memilih. Bukan aku yang memilih, tapi, aku serik nak bercinta lagi. Cukuplah Faiz seorang yang pernah hancurkan hati aku.

Lagipula, aku ni jenis mudah tertarik dengan orang lain. Takkan aku nak mintak cerai dekat Ayden semata-mata aku minat dekat orang lain, kan? Memang taklah Ayden nak lepaskan macam tu je. Macam mana kalau aku mula cintakan orang lain? Tak ke cari nahas namanya, kahwin dengan orang lain, tapi hati kat orang lain. Aku tak nak tanggung dosa macam tu. Jadi, rasanya tak salahlah kan kalau aku tolak lamaran Ayden?

Tapi, masalahnya sekarang jugak, macam mana kalau apa yang mak cakap tu betul? Macam mana kalau Ayden tu sebenarnya jodoh aku? Kalau aku tolak, lepas ni aku takde jodoh dah. Jadilah aku seorang andartu. Uwaa, tak nak. Aku taknak lonely sampai ke tua. Ish! Fikir pasal kahwin ni lebih susah daripada fikir nak masuk form 6, matriks ataupun asasi masa aku habis tingkatan lima dulu.

Tengah aku berperang dengan perasaan sendiri dan keluarga aku masing-masing mendiamkan diri, tiba-tiba Ayden keluar daripada biliknya. Sebaik mata aku memandang jasad yang sedang membetulkan rambut itu, bibir aku serta-merta mengukir senyuman tanpa paksa. Mana taknya, dia nampak kelakar pakai baju T-shirt kosong berwarna kelabu yang mengikut bentuk tubuhnya dan dipadankan dengan pelikat berwarna gelap. Dah macam bukan Ayden pulak aku tengok.

"Hah, tadi cakap tak nak terima Abang Ayden. Tapi sekarang, nampak macam akak dah terpegun tengok dia," suara sumbang Air membuatkan aku tersentak dan tersedar bahawa mata aku mengiringi setiap langkah Ayden dari muka pintu sehinggalah duduk di sebelah abah.

Terus aku jeling Air, memberi isyarat supaya dia tutup mulut longkangnya itu.

"Pak cik, boleh saya bercakap dengan Aisyh dekat luar sekejap?" Tanpa mempedulikan ketegangan yang berlaku antara kami, Ayden terus meminta izin untuk membawa aku ke beranda luar. Aih, gentleman jugak mamat ni.

Abah mengangguk sambil tersenyum nipis. Sebaik menerima izin daripada abah, terus Ayden memberi isyarat mata buat aku untuk menuju ke beranda rumah. Aku pulak, dah macam lembu dicucuk hidung, ikut saja apa yang Ayden suruh. Mungkin mata seksi dia yang memukau aku untuk ikut dia tanpa bantahan kot.

Ah sudah. Tundukkan pandangan, Aisyh.

Setibanya di kawasan luar rumah, aku terus melabuhkan punggung di atas kerusi yang memang dikhaskan di beranda. Ayden pula mengambil kerusi getah dan diletakkan di hadapan aku. Betul-betul di hadapan aku sehingga membuatkan aku membetulkan segala apa yang patut. Risau andai dia tergoda tengok aku nanti. Kehkeh.

"Awak nak cakap apa?" Terus aku buka topik sebaik sahaja kedua-dua antara kami dilihat sudah duduk dalam keadaan selesa. Ayden pula, lepas sahaja duduk atas kerusi, mata dia tak habis-habis tenung aku. Dah macam pesalah yang kena soal siasat pulak aku rasa sekarang ni.

Ayden raup mukanya seketika. "Okay. Actually, I dengar apa yang you dan your family cakap tadi. I dengar semua. So now, I nak tanya you, you nak ke kahwin dengan I?"

Aku balas pandangan redup Ayden. Di sebalik pandangan redup itu, aku dapat rasa dia cuba untuk suruh aku mengangguk. Dia cuba untuk suruh aku katakan ya. Dan dia seolah-olah memberi amaran, bahawa TIDAK adalah bukan jawapan yang dia nak dengar.

Dan, disebabkan pandangan itulah, aku rasa pendirian aku mulai goyah. Perkataan TIDAK yang aku sematkan selama ini, sedikit demi sedikit terpadam dek renungan redup tetapi dalam itu.

Aku telan liur, rasa berpasir. Aku yakin, muka aku dah macam tertelan Ayden hidup-hidup. Pendirian aku dah macam kerusi tempang tanpa dua kaki. Dan hati aku dah berdebar macam kena kejar gorilla. Sungguh, sekarang aku buntu.

"Sebelum saya bagi jawapan, saya nak awak jawab soalan saya. Kenapa awak nak kahwin dengan saya? Kenapa bukan Cik Melissa? Cik Melissa dah dapat restu daripada nenda dah".

"Sebab you yang lebih dan sangat layak". Jawabnya ringkas dan jawapan itu semestinya bukan jawapan yang aku nak.

Aku geleng kepala. "No, saya nak sebab yang lebih spesifik".

"Kahwin tak perlu ada sebab. Cukuplah ada seorang lelaki, seorang wanita, saksi, wali dan akad, maka sah sebuah perkahwinan tu". Senang je kan dia jawab? Aku yang dengar jawapan dia rasa macam nak cekik laki ni hidup-hidup.

Aku mendengus. "Tak, siapa cakap kahwin tak perlu sebab? Ada orang kahwin sebab cinta, ada orang kahwin sebab kena paksa, ada orang kahwin sebab dendam, ada orang kahwin sebab nak tebus masa silam. Yang tak perlukan sebab adalah cinta. Kerana cinta adalah sebab utama bertahannya sebuah perkahwinan. Jadi, kalau awak, apa sebab awak nak kahwin dengan saya?" Nah, panjang lebar tazkirah perkahwinan aku bagi. Kalau tak faham lagi aku tak tahulah.

Tiba-tiba, riak wajah Ayden berubah. Aku tak pasti ayat aku yang mana satu menyakiti hati dia. Yang pasti, aku dapat rasa sesuatu pada reaksi itu. Aku ada terlanjur kata ke tadi?

Ayden diam. Nampak sangat dia takde sebab nak kahwin dengan aku. Kalau macam ni, patut ke aku terima dia?

"See? Awak sendiri pun tak tahu apa sebab awak perlu kahwin dengan saya. Jadi, awak nak saya bagi sebab apa nak terima lamaran awak?" Suara aku kedengaran sikit terkilan. Mana taknya, dia punya beria nak kahwin dengan aku, macam aku seorang je perempuan dalam dunia ni. Last-last, dia sendiri takde sebab nak kahwin dengan aku.

Dia diam lagi. Memang kalau situasi kami berdua ini difilemkan, memang orang cakap filem ni filem bisu.

"Terima lamaran I please". Kali ini, Ayden bersuara dengan suara altonya untuk memujuk aku dan semestinya dia memang tidak menjawab soalan yang aku utarakan tadi.

"I janji akan jaga you macam mana I jaga diri I. Dan, I janji I akan jadi suami yang baik untuk you".

Janji maniskah ini? Kalau tak manis, kenapa aku rasa hati aku berdegup dengan kencang?

Tapi, boleh percaya ke janji manis daripada kaum Adam ni? Kalau boleh percaya pun, sejauh mana janji tu bertahan? Adakah bertahan untuk beberapa bulan saja? Lepas dah muak, janji entah hilang ke mana.

#Do comment something if you wanna read the next chap. ;)
#Sorry lambat post, kehidupan seorang pelajar takkan pernah bebas daripada kesibukan
#Maaf cerita bosan
#AydenXAisyh

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience